Jumaat, Mac 23, 2007

Buku : Saga

Judul :Saga
Penulis : Abdul Talib Mohd Hassan

Penerbit : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Cetakan :15, 1998Tebal : 388
ISBN: 967-61-0100-1


Ada dua sebab mengapa saya beli buku ini. Pertama kerana ia mendapat Hadiah Pertama Sayembara Novel Gapena 1976, atau kira-kira 31 tahun dahulu (lebih dari usia saya). Kedua kerana ia dilelong pada harga RM 10.00 di Jalan Masjid India. Harga yang ditampal pada kulit buku ialah RM 14.00. Jadi, jika buku ini memenangi Sayembara Novel Gapena 1976, mengapa jatuh sangat maruahnya dilelong begitu?

Statusnya yang memenangi Sayembara Novel Gapena 1976 menyebabkan buku ini di ulang cetak sebanyak 15 kali bermula 1976 sehingga 1998 dengan dua kali cetakan pada 1977 dan 1998. Blurb mencatatkan “...Sehingga kini, Saga boleh dianggap sebagai salah sebuah novel yang terbaik dan paling laris yang pernah diterbitkan.” Saya kurang periksa tentang perkara ini tetapi mungkin ada benarnya dengan melihat kepada banyaknya ia diulang cetak.

Saga mengisahkan tiga orang sahabat iaitu Hisyam, Rahmat dan isterinya, Munirah yang kembali ke kampung meninggalkan kerjaya dan kehidupan dikota bagi membangunkan masyarakat di kampung Rahmat yang ketinggalan dari segala segi. Harus diingat, kisah ini berlatar belakangkan suasana 1970-an dimana pengaruh komunis masih kuat, bekalan air, elektrik atau telefon masih belum ada, tv belum wujud, dan pendidikan anak-anak tidak menjadi perkara utama. Apatah lagi Kg Batu Ragi yang terpencil di daerah Segamat, Johor dan dapat dihubungi dengan laluan air, segala-galanya nampak sukar bagi seseorang yang telah biasa dengan kehidupan kota.

Namun Rahmat sebagai anak jati kampung itu tidak memandangnya sebagai alasan. Mereka bukan bertanggungjawab membangunkan kampung, tetapi juga pemikiran masyarakat. Hasrat membuka fikiran mereka yang tertutup perlu diatasi dengan membuang pengaruh bomoh dalam kehidupan, perkara biada’ah dan khurafat, stigma masyarakat terhadap kemajuan dan pembangunan, membuang kemiskinan dan membawa sistem baru dalam kehidupan dan bermasyarakat.

Cabaran yang dihadapi bukan sedikit. Pelbagai masalah dalam hidup bermasyarakat di paparkan disini. Konflik dalam keluarga, hasad dengki, fitnah, khianat, dendam, talam dua dan mengadu-domba muka, cinta terhalang, tanah dan maruah yang menjadi sebahagian dari rentak hidup semua terpapar pada pelbagai watak. Meskipun ada yang menentang, yang menyokong juga bukan sedikit. Oleh kerana sedar akan keperluan membebaskan diri dari belenggu hidup selama ini, ada yang terbuka membantu dan bersatu dengan tiga sahabat ini.

Saya dapat merasakan beban yang dihadapi Hisyam, Rahmat dan Munirah. Bukannya mudah membawa pembaharuan kepada seluruh penduduk kampung. Apatah lagi Rahmat tetap dianggap asing hanya kerana meninggalkan kampung bertahun-tahun bagi melanjutkan pelajaran dan berkahwin pula dengan seorang wanita yang baru memeluk Islam. Rahmat ibarat memecahkan tradisi hidup yang selama ini mereka pegang.

Apa yang menarik dalam novel ini ialah setiap bab disusun menggunakan sudut pandangan yang berbeza. Misalnya bab pertama adalah dari sudut pandangan Hisyam manakala bab kedua Munirah, bab ketiga Rahmat dan begitulah seterusnya. Novel ini turut menggunakan banyak pepatah dan bidalan lama yang jarang didengari (atau mungkin saya sahaja!) yang sama ada di ucapkan oleh watak atau di ceritakan secara langsung oleh penulis. Mungkin itu adalah keunikan novel ini selain temanya yang berjaya mengangkat buku ini memenangi hadiah pertama.

Saya mengambil masa hampir satu bulan setengah menghabiskan novel ini kerana – mungkin kerana gaya penulisan 70-annya yang menyebakan saya perlu mengambil masa yang agak lama bagi menghadamnya. Namun secara keseluruhannya saya berpuas hati kerana segala kesusahan tiga sahabat ini dapat saya rasakan dan terasa segala pengorbanan yang dilakukan itu amat murni demi kemajuan masyarakat.

Jadi, apa kesudahannya? Saya rasa lebih baik dapatkan segera buku ini bagi mengetahui kisah yang berlaku.

“...apabila kerapkali aku dalam keadaan mendung, kau ibarat angin sejuk yang akan menukar mendung tersebut menjadi titik-titik air hujan. Mengapa tidak kau – berikan haba agar awan yang mendung, hitam akan menjadi putih bersih dan cuaca murni...”

Khamis, Mac 22, 2007

Jalan yang bersimpang siur

1)
Tiada jalan yang lurus dalam hidup ini. Seperti yang pernah saya katakan dahulu, jalan yang lurus tanpa belok itu membosankan. Sesekali pengembaraan hidup ini perlu juga merentasi gunung ganang, lurah lembah, danau hutan, belok selekoh, mahupun duga yang macam-macam. Ada kalanya jalan yang lurus juga ada halangan yang tidak terduga. Begitulah antara perancangan-Nya yang Maha Kaya.

Seminggu dua ini ada benda yang mengacau benak saya. Entah apa tidak pasti. Lantas saya berdoa dan mengharap sesuatu, mohon dijauh kemungkinan dan di dekatkan hati ini dengan lurus jalan dan hidayah-Nya. Alhamdulillah, Dia mendengar dan saya menerima jawapannya hari ini. Cuma saya perlu menanti kata putusnya.

Allah itu Maha Mendengar. Usah putus doa dan usaha.

2)
Balik kampung baru-baru ini, abah menitipkan pesanan yang maha dalam (ayatnya telah di perbaiki supaya sesuai dengan tatabahasa moden).

“Mereka panggil kau semula sebab mereka suka dengan cara kau kerja. Mesti ada yang lebih pada diri kau yang tidak ada pada orang lain. Kalau tidak, bukan calang-calang orang boleh buat kerja macam tu. Lepas ni, kerjalah elok-elok.”

(Atau dengan kata lainnya, dia minta supaya jangan asyik fikir nak berhenti sahaja!)

Ya, sejak melepasi dunia buku, saya asyik tukar kerja dan pindah rumah entah berapa kali. Seingat saya berpindah sebanyak 10 kali dalam masa 5 tahun. Dan bakal bertambah lagi. Suatu rekod? Mungkin juga.

Saya berharap dan berdoa lagi, agar ini menjadi yang terakhir. Tiada apa lagi yang saya harapkan, dan saya mahu berusaha agar tangga kerjaya ini akan saya daki hingga ke puncak. Jika ini adalah jalan yang telah saya pilih, maka saya harus teruskan biar apa yang berlaku.

3)
Peta hidup kita ini pelbagai. Kita diberi kertas kosong dan pensel, lalu lakarlah perjalanan sendiri. Pilihlah gunung tinggi mana yang mahu didaki, lurah dalam mana yang mahu dituruni, atau berimpian mahu mencapai langit yang berlapis-lapis itu.

Pilihan itu ditangan sendiri.

Saya suatu masa telah berhenti seketika, meletakkan titik pada perjalanan kehidupan. Ia bagai satu kesilapan namun bukan kerana saya putus asa, bukan kerana patah semangat. Tetapi kerana mahu memulakan sesuatu. Titik berhenti itu adalah untuk saya memulakan sesuatu.

Ya, kerana mahu memulakan sesuatu.

Rabu, Mac 21, 2007

Jadi, apakah kemungkinannya?

Panas hari ini ternyata menggelegak. Matahari memanah isi bumi, berpijar cahayanya memancar dan menjilat apa sahaja yang ada. Suasana kurang selesa kelihatan jelas dimana-mana. Setidak-tidaknya, masing-masing cuba mengelak dari berada di bawah panas. Ada yang sedia berpayung namun tidak mampu mengelak peluh dari bercucuran.

Dia terkocoh-kocoh keluar dari dingin kereta cuba mengelak panas memanjat tangga ke tingkat empat apartment. Entah silap apa agaknya, kelam kabutnya menyebabkan dokumen penting yang disiapkan malam tadi keciciran. Seingatnya jelas, masih diatas meja. Tidak tercapai oleh tangannya sewaktu turun ke pejabat pagi tadi. Mujurlah jarak antara pejabat dan apartmentnya cuma sepelaung, maka kesempatan makan tengahari diambil untuk pulang sebentar.

Panas ini menghauskan tekak. Apatah lagi memanjat tangga ke tingkat empat tambah meletihkan. Di hadapan pintu, dia terkial-kial memasukkan kunci. Ada suara tv kedengaran dari dalam. Mungkin ada teman serumah yang tidak bekerja. Segera terbayang kepada jus mangga yang enak disejukkan didalam peti. Tekak yang nyata kehausan membayangkan nikmat meneguk jus mangga sejuk. Teringin dia meneguk barang seteguk dua.

Pintu dibiarkan terbuka luas. Segera dia melangkah masuk sambil membayangkan kenikmatan jus mangga yang telah siap dibancuh itu membasahi tekak. Ada tv terpasang, kipas berputar laju, dua gelas air dan sepinggan keropok goreng diatas meja. Bunyi pancuran air menandakan ada nyawa didalamnya. Dan dia tidak merasa risau, kerana yakin teman serumahnya itu memang tidak pergi kerja.

Jus mangga memanggilnya dahulu, meninggalkan dokumen biarpun itu yang menyebabkan dia pulang. Sebaik tiba di dapur berhadapan peti, langkahnya terhenti. Ada tubuh asing di situ berdiri memegang jus mangganya. Tubuh asing itu – lelaki tanpa baju – memandangnya yang terdiam tanpa gerak, membisu tanpa kata. Masing-masing kaget. Beberapa saat berlaju dengan matanya memandang wajah asing itu. Otaknya berpusing mencari logik, akalnya cuba mencantumkan ingatan yang ada terhadap teman serumahnya yang berada dibawah pancuran air.

Sebaik sahaja dia menerima kembali kewarasannya, dia memohon izin ke peti dan batang tubuh asing itu meninggalkannya. Matanya meneliti isi peti, tetapi daya fikirnya masih cuba mencari hubungkait dua insan ini. Seperti orang yang direnjat elektrik, dia tidak dapat mengingatkan tujuan dia membuka peti. Lantas dia melangkah ke bilik, kebingungan dan termangu lalu keluar, mengunci pintu dan turun.

Di pertengahan tangga, barulah dia waras kembali akan tujuannya, lalu berpatah semula. Dia hadapan pintu dia masih berfikir saat mahu memasukkan kunci. Namun kali ini dia tidak mahu berfikir dua kali. Dokumen itu penting untuk mesyuarat petang nanti. Dia istighfar sebelum melangkah masuk. Sewaktu keluar tadi, pancuran air masih kedengaran, namun tidak saat dia masuk kembali. Pintu bilik yang tadi terdedah juga telah tertutup rapat. Tubuh asing tadi entah kemana. Tv dan kipas masih terpasang. Dua gelas dan sepinggan keropok masih disitu juga. Dokumen di ambil terburu-buru dan bergegas mengunci pintu lalu turun tanpa menoleh.

Didalam dingin kereta, akalnya kembali memikirkan kewajaran. Apa yang dilihatnya bermain pantas didalam kepala - pintu terkunci, tv terpasang, kipas berputar laju, dua gelas air, sepinggan keropok goreng, pancuran air, tubuh lelaki asing tidak berbaju dan temannya yang perempuan itu. Dirinya berfikir mencantumkan kemungkinan yang timbul bila seorang lelaki berada di rumah yang bukan muhrim.

Ya, apakah kemungkinannya?

Sabtu, Mac 10, 2007

Kerana sesuap nasi - 2

1)

Kerja saya sebelum ini memerlukan saya berhubung dengan para kontraktor binaan, penyedia peralatan dan perabot, technician, pengawal keselamatan dan juga pembersih bangunan. Bangunan asrama sebenarnya masih 50% dalam pembinaan tetapi kami diarahkan mengisi mana-mana blok yang sudah siap.


Jadi dalam keadaan bangunan yang belum sempurna sepenuhnya seperti pendawaian yang belum kemas, berhabuk, perabot yang belum lengkap, kotor oleh kerja binaan dan segala-galanya yang serba baru, semua harus disiapkan segera sebelum pelajar masuk. Asrama ini pula untuk pelajar perempuan, jadi keselamatan juga perlu dititik beratkan.


Seorang supervisor cleaner selalu menjadi mangsa dengan pengurus saya (pengurus perempuan dn juga cerewet). Dia sering selalu mengadu itu ini pada dia. Sampah terabur, cermin tidak di cuci bersih, tandas di cuci kurang sempurna dan macam-macam yang remeh temeh. Sebenarnya ia bukanlah sesuatu perkara yang besar, tetapi pengurus saya ini memang seorang yang teliti. Jadi dia mahu semua dalam keadaan sempurna.


Oleh itu semua orang yang memberi servis pada asrama seperti kontraktor kontraktor binaan, penyedia peralatan dan perabot, technician, pengawal keselamatan dan juga pembersih bangunan perlu menepati standard dan cita rasanya sendiri. Ada baiknya tetapi ia memberi kerja tambah kepada mereka sebenarnya.


Supervisor cleaner itu selalu mengadu pada saya. Mula-mula saya rasa tidak sedap juga, kerana saya adalah pekerja yang perlu memenuhi kehendak pengurus. Namun lama-lama saya tahu bagaimana mahu membezakan antara kerja dan kawan. Kemudian saya menjadi tempat dia bercerita itu ini.


Melaluinya saya dapat tahu macam-maca tentang kerja yang perlu dilakukan, rutin hariannya dan tanggungjawabnya pada semua tukang cuci. Malah saya juga berkesempatan berkawan dengan beberapa makcik cleaner yang kebanyakannya dari Indonesia. Seperti yang saya katakan sebelum ini, ada sesuatu yang saya dapat dari mereka yang tidak saya dapat dari orang lain, terutamanya tentang hidup.


Dia sekarang jadi kawan dan bukan sekadar teman berbual. Bila saya habis kontrak di sana, kami masih berhubung dan singgah di rumah berbual-bual.






2)

Pembantu rumah lain yang saya rapat ialah PR kepada seorang staff. Usianya dalam 40-an. Dia selalu bawa bibiknya ke pejabat. Dari situ berkenalan, kemudian berbual dan makan. Dia pernah ditumpangkan dirumah saya selama sebulan. Dari situ juga saya dapat tahu macam-macam, terutama tentang tuannya (bukan saya mahu korek, tapi dia yang mahu cerita).


Suatu malam selepas solat Maghrib, seperti biasa saya melakukan rutin membaca Qur’an. Bibik merapati saya dengan telekung.


“Ajarkan saya mengaji,” katanya perlahan.


Saya terdiam seketika. Rupanya dia memang tidak tahu mengaji apatah lagi membaca dan menulis. Mengira bolehlah sikit-sikit. Saya jadi kekok seketika. Lalu saya ambil Qur’an dan minta dia baca apa yang dia tahu.


Jarinya menunjuk kepada Al-Fatihah kemudian al-Baqarah. Dia membaca dengan tersekat-sekat. Namun saya tahu dia menghafal, bukan membaca.


Esoknya saya belikan buku ABC, pensel dan buku tulis. Malamnya saya mulakan kerja tambahan bagi mengajarnya menulis dan mengeja. Kemudian sesi praktikal dengan menunjukkan akhbar hari itu – kebetulan tsunami baru berlaku. Saya tunjukkan kepada dia tentang angka kematian tsunami dan beritahu apa bezanya antara puluh ribu dan ratus ribu. Dia mengangguk, tapi saya harap dia faham.


Namun, agak susah juga mengajarnya kerana rebung dah jadi buluh. Tambahan pula saya mengajar menggunakan sistem Malaysia, manakala dia menyebut slanga Indonesia. Mahu juga saya ketawa memikirkan sebutan ABC sahaja sudah menunjukkan perbezaan, apatah lagi perkara lain yang lebih besar.


Saya cuma sempat mengajar ABC hingga Z, menulis nama dan beberapa patah suku kata sebelum diambil semula oleh tuannya. Alangkah eloknya jika saya ajar dia mengaji terlebih dahulu, kerana ia adalah ilmu yang lebih penting. Saya tidak tahu di mana dia sekarang kerana telah dilepaskan oleh tuannya. Namun saya harap dia masih ingat ABC hingga Z bila ada kesempatan bertemu dengannya selepas ini.


***

Apa yang saya ingin cerita disini sebenarnya, mereka itu juga manusia. Mereka senang bercerita kerana saya tahu tidak semua mahu dengar cerita mereka – sengsara, suka, duka penat dan lelah. Berpisah beribu batu dari tanah air dan orang tersayang, mencari rezeki disini bukannya mudah. Apatah lagi bagi yang dapat tuan yang bengis atau kejam. Bukan sekali dua kita dengar mereka diperlakukan seperti haiwan. Banyak lagi kes terpinggir yang tidak pernah diceritakan.


Satu dua peristiwa ini menjadikan saya insaf kerana tidak ada ruginya untuk saya berbaik dan bermesra dengan semua orang. Apalah yang ada pada kita kerana tinggi mana pun gunung kita daki, jauh mana pun perjalanan kita, jangan sesekali lupa untuk memandang mereka yang kita tinggalkan di belakang atau dibawah. Tidak ada ruginya untuk berbaik sesama kita kerana mereka juga manusia seperti kita.


(Saya juga prejudis dengan mereka yang bertandang kemari – meragut rezeki anak tempatan dan ada yang bertindak liar. Tetapi tidak semua begitu, bukan? Yang baik kita kawan, yang jahat kita ketepikan)

Salah siapa agaknya...

Sewaktu saya buat home tuisyen dahulu, selalunya saya ambil kesempatan berbual dengan pembantu rumah. Biasanya sewaktu makan selepas sesi mengajar (biasanya saya dijamu nasi kerana tuisyen sebelah malam). Nak berbual dengan mak ayah mereka, memang tidak pernah ada di rumah (kemudian baru dapat tahu yang mereka sengaja keluar supaya saya rasa selesa mengajar). Kadang-kadang susah juga sebab saya tidak dapat beritahu kemajuan anak-anak mereka atau pun mahu bertanya tentang itu ini.

Melalui pembantu rumah, saya dapat tahu ragam anak-anak. Apa yang mereka lakukan selepas sekolah, cara makan, tentang tv dan astro, membeli belah, percutian, hobi dan apa-apa sahaja. Kadangkala saya menjadi tempatnya mengadu – bila anak majikan mengugutnya supaya tidak beritahu ibu bapa yang mereka ponteng atau keluar jalan-jalan tanpa memberitahu atau bawa kawan-kawan ponteng ke dalam rumah. Selalu juga diancam, diherdik dan ditengking, walhal mereka masih di sekolah rendah.

Saya lihat pula ibu bapa mereka, dan saya tidak khilaf berpendapat sekiranya itu yang anak-anak mereka buat. Apa yang ibu bapa lakukan akan dicontohi oleh anak-anak dan memang benarlah bahawa didikan awal ibu bapa dirumah itu penting. Mungkin ibu bapa tidak pernah mengherdik pembantu rumah, tetapi jika anak-anak tidak ditunjukkan cara yang betul melayan orang dewasa, pastinya mereka buat sesuka hati.

Sesekali terlintas dalam fikiran saya, apa yang saya dengar ini adalah sama dengan apa yang ada dalam tv. Persoalannya, apakah mereka mencontohi rancangan tv atau rancangan tv itu paparan sebenar realiti?

Kerana sesuap nasi - 1

Saya suka memerhatikan orang yang menyapu sampah di tepi jalan atau yang mengutip tin-tin dari tong-tong sampah. Selalu juga berbual-bual dengan makcik cleaner dan juga pembantu rumah yang saya temui bila singgah rumah kenalan. Selalunya ada sesuatu yang saya dapat dari mereka yang tidak saya dapat dari orang lain, terutamanya tentang hidup.

Kita selalu ketepikan mereka hanya kerana pekerjaan mereka. Memjijikan, mengotorkan dan busuk. Maklum sahajalah kerja yang mereka lakukan itu mengundang pelbagai persepsi. Namun, tidak semua orang boleh buat kerja seperti itu seperti mengutip sampah atau menyelongkar tong sampah.

Kita kalau lalu tepi tong sampah pasti tutup hidung semahunya. Bila lori sampah datang cepat-cepat lari tidak mahu diserang bau busuk. Tetapi bayangkan mereka yang kerja dengan sampah langsung tidak tutup atau menggunakan sesuatu bagi menutup mulut atau hidung. Malah ada yang mengirai sampah untuk mencari tin-tin atau apa sahaja yang boleh dijual.

Begitu juga pekerja pembersihan. Yang menyapu di jalanan atau yang mencuci tandas atau kali lima. Yang menyapu terdedah dengan panas serta habuk. Mengutip dan membersihkan segala yang kita buang. Yang tidak bertimbang rasa buang itu ini, sepahkan sampah, tidak buang dalam tong sampah dan sebagainya. Begitu juga yang membersihkan tandas. Bukan sekali dua saya mendengar mereka mengeluh kerana ada yang tidak flush selepas buang. Seolah-olah tidak ada tanggungjawab langsung.

Memang itu sudah kerja dan kewajipan mereka tetapi menjadi tanggungjawab kita juga untuk menjaga kebersihan dan kecantikan. Janganlah kerana menganggap mereka ada kita boleh buang sampah sewenang-wenangnya atau mengotorkan kawasan hanya kerana itu adalah kerja yang mereka patut buat.

Sekurang-kurangnya jadilah insan dengan akhlak yang baik bagi mengasihani sesama kita. Jangan bebankan mereka dengan perkara yang kita boleh selesaikan sendiri. Kita bila diberi kerja lebih di pejabat pun, pasti mengeluh. Apatah lagi mereka!

Khamis, Mac 08, 2007

Mari beragama

Agama itu ada peraturannya yang tertentu. Tidak ada agama di dunia ini yang mahu penganutnya berbuat jahat. Semua agama mengarah kepada kebaikan.

Memang ada yang mempersoalkan kerana jika benar agama menyuruh kearah kebaikan, mengapa masih ramai yang melanggar dan bertindak untuk meninggalkan agama dan memilih untuk tidak bertuhan.

Bayangkanlah kita memandu di sebatang jalan. Ada lampu isyarat dan papan tanda di kiri kanan. Lampu bertukar merah lalu kita berhenti. Tetapi kereta yang di sebelah terus jalan. Mengapa? Hanya dia yang boleh menjawabnya. Dia punya pilihan untuk berhenti atau terus. Tetapi dia memilih yang salah.

Dia akan sedar kesalahan itu bila ada kereta keluar dari simpang lain lalu melanggarnya. Jika masih hidup, dia punya masa bertaubat. Tetapi bayangkan jika tidak? Kita juga punya pilihan untuk berhenti atau terus memandu. Tetapi tidak salah untuk kita berhenti dan mengikut peraturan. Tiada harga yang perlu kita bayar jika kita melakukan perkara yang betul.

Itu sekadar satu signifikan. Kita memang diberi pilihan, tetapi biarlah memilih dengan kewarasan dan keikhlasan. Agama bukan sekadar satu upacara ritual atau aktiviti yang punya peraturan tersendiri. Ia lebih dari itu. Agama memandu kita ke satu jalan yang punya arah dan tujuan. Dengan agama, kita mengenali siapa diri kita dan penciptanya, mengenali kehidupan dan ciptaan lain, menginsafi kejadian dan mengetahui tujuan kita hidup.

Jadi, tanggungjawab jatuh kepada kita untuk menasihati mereka yang terpesong dari kebenaran dan menunjukkannya jalan yang sebenar bagi mematuhi peraturan. Jika seseorang itu berpaling daripada keimanan, bantulah dia mencari iman yang sebenar. Tidak salah jika kita memilih untuk tidak membantu, tetapi tidak salah juga jika memilih untuk membantu. Adalah lebih elok jika ada orang yang kita kenali menuju kearah yang sama dan berbuat kebaikan. Malah lebih elok lagi kita kita membantu mereka kearah itu.

Kita ada banyak pilihan dalam hidup, tetapi biarlah pilihan itu diatas keimanan dan petunjuk yang diberiNya. Semoga jalan yang kita ambil itu adalah sebenar jalan.


P/s: Seronok pula beri tazkirah...

Selasa, Mac 06, 2007

Percutian

Percutian tiga hari dua malam kali ini merupakan yang ketiga bagi mereka tetapi yang pertama bagi saya bersama kawan-kawan sepersatuan dahulu. Setelah berjaya mengelak segala halangan, nampaknya saya tiada alasan untuk mengatakan tidak. Mereka akan merajuk jika saya menolak kali lagi ini.

Lokasi kali ini di Cherating dan merupakan yang terbesar kerana penganjur menempah 10 resort – 8 untuk kelamin dan 2 untuk bujang. Kalau sudah namanya bercuti, tiada agenda lain yang sesuai selain dari berbual, makan, main dan berbual, makan, main dan begitulah seterusnya.

Sesekali bertemu, mereka yang jauh dan dekat datang berjumpa. Bagi yang tidak bermalam, kesempatan cuti panjang sempena Tahun Baru Cina diambil untuk singgah menemui kami di sini. Kawasan percutian bagaikan milik kami dengan suara riuh rendah perbualan dan gelak ketawa termasuklah dengan anak-anak yang berlari-larian dan masing-masing berumur lingkungan dua dan tiga tahun.

Mereka ini adalah senior saya dahulu. Kebanyakannya tidak saya kenali, tetapi bila kami yang sama-sama memakai uniform merah persatuan ini bertemu, ia bagaikan satu chemistry yang memisahkan jurang. Uniform merah itu menjadi satu titik penyatuan semua tanpa mengira apa status yang ada ketika itu. Nyata ia menjadi kebanggaan untuk dijadikan topik perbualan pula. Dan nampaknya kami serasi dengan itu.

Semua kisah lama keluar. Saat mengadakan camping, berkawad, melakukan attachment di HKL, lawatan itu ini, menjalankan program dan aktiviti serta rejim latihan yang ketat. Ia menjadi satu kenangan yang terindah. Kemudian perbualan berkisar pula kepada kerjaya, kewangan, kesihatan dan keluarga. Dari satu cerita ke satu cerita dan tidak akan habis jika tiada yang menghentikannya.

Malam terakhir, kami berduyun-duyun ke restoran berdekatan. Lebih 10 buah kereta kesemuanya. Saya tidak pernah membayangkan suasana ini, dimana kami makan disebuah restoran yang separuh daripadanya adalah untuk kami. Mujur tuan punya restoran tidak cerewet dan makanannya boleh tahan. Dan saya merasa amat seronok kerana ukhuwwah yang dibina semasa berpersatuan terjalin kukuh hingga kini. Amat berbeza dengan mereka yang lain.

Terima kasih kepada semua yang hadir. Semoga tahun depan kita bertemu lagi. Siapa pula yang sudi menjadi tuan rumah?

Kisah di sebalik kuah kari yang cair

Ahad dua minggu yang lalu, kami dapat nasi bungkus percuma. Bukan untuk kami sebenarnya. Ketika itu kami sedang beramai berjalan menuju ke cafe untuk mengisi perut pada tengahari yang terik memanah bumi. Melewati meja yang dipenuhi nasi bungkus, kami dipanggil, lalu dengan gembira kami bawa nasi itu untuk santapan kami sebelas orang.

Sebaik suapan pertama mencecah tekak, wajah gembira yang terpancar tadi tiba-tiba bertukar kerutan. Masing-masing saling berpandangan. Ada yang berhenti, ada yang sambung menyuap. Ada juga yang senyum sinis.

“Tak rasa apa-apa ke makan nasi tu?” Satu soalan tidak puas hati keluar. Saya senyum. Mulut lancar saja mengunyah. Kawan saya ini menyoal dengan muka berkerut sambil menggelengkan kepalanya tanda tidak percaya.

Dia menyambung rungutan. “Karinya bukan sahaja cair, tetapi tiada rasa. Tawar.” Dia sudah menghentikan suapan dan meletakkan nasinya ke tepi.

“Mungkin kehabisan garam,” satu suara menambah. Dan suara itu kelihatan terkulat-kulat menyuap nasi sedikit demi sedikit sambil memainkan nasi dalam bungkusan polistrene putih itu.

“Kenapa makan bagai tiada perasaan?” Suara yang pertama tadi menegur lagi. Saya senyum sahaja. Memang tekak rasa tidak sedap, tetapi saya bukannya jenis memilih. Apa yang ada saya makan. Apa sahaja rasanya saya telan.

“Jangan kutuk makanan. Telan sahajalah,” saya berkata sambil menelan nasi dengan bersungguh-sungguh seperti tiada apa-apa yang berlaku.

“Ini rezeki kita hari ini. Dapat nasi percuma, beginilah rasanya. Kalau nak yang sedap, pergilah beli,” saya cuba membidas.

Saya terasa sungguh bila mereka mengeji makanan. Mengapa tidak diikut perangai Nabi, tinggalkan jika tidak suka. Bukannya dicaci maki. Lagipun, tiada siapa yang rugi kerana nasi ini percuma sahaja.

“Hmm.. macam makan nasi dituang air kosong. Lebih elok kalau di tuang air mangga ini ke dalam nasi,” suara tadi menyambung rungutan sambil menyedut air jus mangga ais di tangannya.

“Tak baiklah. Jangan kutuk makanan,” saya menyambung lagi. “Ini pun dah kira rezeki dapat makanan percuma, bersyukurlah.’

Saya makan hingga habis sebungkus nasi. Mereka pula setakat makan separuh. Ada yang sekadar dua tiga suapan. Karinya cuma kuah kosong, cair dan tidak ada rasa. Mujurlah ayam gorengnya punya rasa masin yang sedikit, jadi rasa masin ayam itulah yang membantu saya menelan nasi yang tawar tanpa rasa itu. Sayur kobis gorengnya cuma ada beberapa ulas.

“Inilah yang dinamakan amanah,” saya cuba membuat kesimpulan. “Mereka diberi bayaran untuk sediakan makanan, tetapi sediakan ala kadar. Selebihnya masuk poket sendiri,” kata saya sambil merujuk kepada program yang dianjurkan.

“Mereka ini sudah pasti dapat kontrak membekalkan nasi untuk program seperti ini. Kalau nak diikutkan sebungkus makanan macam ni, kosnya dalam RM 3.00. Tetapi saya pasti, sebut harganya berbeza dan lebih banyak dari harga yang diberi. Setidak-tidaknya RM 10.00 untuk sekali makan bersama air dan juga buah sebagai pencuci mulut,” saya membuat konklusi sendiri.

“Inilah cara orang berniaga. Amanah diketepikan, tanggungjawab dibiarkan. Yang penting bagi mereka ialah duit dan keuntungan besar yang mereka boleh dapat hasil dari satu usaha yang sedikit,” saya menyambung menyampaikan tazkirah pendek pada tengahari yang panas kepada mereka yang kepanasan juga.

Saya tidak mahu menunjuk atau merujuk kepada sesiapa. Nasi bungkus itu adalah dari satu program besar yang dianjurkan di situ. Saya pasti mereka menerima habuan yang banyak, dan nasi itu adalah hasil dari kerakusan manusia yang mengejarkan wang demi kebahagiaan hidup didunia.

Saya kecewa kerana mereka tidak membalas kepercayaan yang diberi dan membiarkan mereka yang diluar menerima padahnya. Apakah ini caranya kita memikul tanggungjawab dan melupakan janji yang ditaburi sewaktu berusaha mendapatkan kontrak seperti itu.

Saya tidak perlu melihat jauh. Sekarang, banyak syarikat yang bersikap seperti ini dan tidak berlaku adil. Melobi untuk mendapatkan kontrak dan tender, kemudian khidmat yang diberi tidak seperti yang diharapkan. Mereka terima duit yang banyak tetapi tidak menyampaikan apa yang patut diberi. Jika beginilah sikap yang ada pada kebanyakan syarikat, kesannya diterima oleh orang seperti kita yang menerima risiko yang bukan sedikit.

Kita boleh rujuk kepada menu yang kurang khasiat di kantin sekolah, bancuhan pasir yang lebih banyak dari simen di kawasan pembinaan, kawalan keselamatan yang longgar di premis perniagaan, atau projek yang tergendala di pertengahan jalan. Lalu terdengarlah kisah sekolah tidak siap, makmal sekolah runtuh, rumah yang retak, jejambat yang goyang dan sebagainya. Inilah akibat jika duit lebih banyak masuk ke poket lalu menghasilkan perkhidmatan yang tidak baik dan cekap. Mereka ini boleh dianggap sebagai pengkhianat.

Itu semua berkait rapat dengan tanggungjawab. Di saat semua manusia mengejar wang, tidakkah mereka terfikir akan pengakhirnya perjalanan hidup mereka?

~BC~
27 Feb 2007

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...