Jumaat, September 28, 2007

Apa di sebalik Ayam

Saya sebenarnya tertanya-tanya mengapa sejak akhir-akhir ini ayam menjadi isu yang cukup hangat. Saya pasti, ia bukan hanya kerana harga. Pasti ada sebab lain. Dan sebagai orang yang sejak sebulan dua ketinggalan dengan isu semasa, saya bertanya kepada senior saya - seorang peguam - sewaktu mengakses para pelajar dalam practical assignment Ahad lalu.

Sebagai seorang peguam, dia menganalisis satu persatu isu-isu yang membawa kepada kenaikan harga ayam. Maksudnya sejak harga gula dan minyak naik di pasaran. Dia menerangkan kepada saya satu persatu. Akhirnya saya sedar bahawa isu harga ayam ini bukan sahaja tentang harga dan bekalan ayam. Ia lebih dari itu. Malah, jika diteliti halus-halus, ia menyentuh tentang perkauman. Mungkin ada yang perasan dan mungkin ada yang cuba tutup mata tidak mahu memanjangkan isu ini. Tetapi kita kita sebagai pengguna jika tidak bertindak, percayalah, ia lebih dari apa isu harga. Dan ia sebenarnya benar-benar menggugat.

Ini seterusnya menyebabkan saya hampir seminggu menulis tentang ayam serta memaksa saya membuka kembali kitab kuning ekonomi saya. Segala teori ekonomi, falsafah ekonomi dan apa sahaja yang berkaitan ekonomi yang telah saya tinggalkan hampir lima tahun yang lalu kembali segar di ruang ingatan. Malangnya saya belum punya masa untuk menaip.

Kebetulan juga, Berita Minggu dan Metro Ahad lalu menghidangkan artikel menarik tentang ayam dan kuasa pengguna. Dan bermula dari entri ini, saya akan mencari dan mengupas isui ini dengan lebih halus, Insya Allah.



Di Luar Lingkaran: Memanfaat kuasa beli orang Melayu

Sumber: Berita Minggu, Ahad, 23 September 2007

Bersama Johan Jaaffar
zulujj@tm.net.my

Berbilion ringgit di tangan kita wajar digunakan untuk membantu Bumiputera

SEHINGGA rencana ini ditulis, sebuah kompleks beli-belah yang sangat popular di Lembah Klang masih belum mempersiapkan premisnya dengan perhiasan sambutan bulan puasa dan hari raya. Tahun lalu hal yang sama berlaku sehinggalah sebuah akhbar berbahasa Melayu mendedahkan kealpaan kompleks itu. Malah bukan sebuah dua kompleks beli-belah popular yang mengambil sikap endah tak endah dalam soal seperti itu.

Pada tahun lalu alasan yang diberikan ialah 'terlepas pandang' dan pihak pengurusannya meminta maaf. Tahun ini, sekiranya tidak dikejutkan dengan laporan media, kompleks ini akan terlupa kehadiran 13.5 juta orang Melayu di negara ini. Hakikat bahawa hari raya ialah perayaan istimewa bagi lebih 16.8 juta orang Islam di negara ini. Terlepas perhatian lagi? Atau kesombongan dek kejayaan dan populariti?

Sebenarnya banyak pihak yang mengambil mudah kuasa beli di tangan orang Melayu. Termasuk orang Melayu sendiri. Samalah halnya dengan syarikat raksasa dunia yang melupakan kuasa beli umat Islam yang berjumlah 1.3 bilion orang itu.

Apabila kebencian terhadap Amerika Syarikat (AS) ekoran serangan ke atas Afghanistan dan Iraq, banyak syarikat milik orang Islam mengeluarkan barang yang memberikan saingan hebat pada jenama terkenal dari AS.

Umat Islam di beberapa negara memboikot barang dari Barat sebaliknya membeli barang keluaran syarikat dan negara Muslim. Hal ini berlaku juga ke atas syarikat dari negara yang akhbarnya menyiarkan kartun yang menghina Rasulullah tidak lama dulu.

Sayangnya umat Islam dan negara Islam tidak pernah bersatu dalam soal pembelian barang dan penggunaan perkhidmatan. Bayangkan apa yang boleh dibuat oleh upaya beli umat Islam yang jumlahnya seramai rakyat negara China sekiranya digunakan sebagai kuasa tawar-menawar (bargaining power). Itu belum lagi hasil bumi dari negara Islam.

Di Malaysia kita tahu hakikat bahawa orang Melayu mewakili lebih 60 peratus rakyat negara ini. Dalam bahasa ekonomi jumlah menjadi penentu. Satu waktu dulu memang lebih 60 peratus orang Melayu berada pada paras kemiskinan.

Hari ini jumlah itu hanya tinggal lima peratus. Dasar Ekonomi Baru (DEB) sudah mengubah orang Melayu keseluruhannya. Mobiliti sosial berlaku dengan cara yang luar biasa. Kemunculan golongan kelas menengah Melayu cukup memberangsangkan.

Demikian juga sudah lahir masyarakat perniagaan dan perusahaan Bumiputera (MPPB) serta pertambahan besar bilangan orang kaya baru (OKB) dan jutawan serta billionaire. Rata-rata, bukan faktor nombor saja yang menentukan kekuatan Melayu dari segi daya beli, tetapi kualiti manusianya juga.

Kajian yang dibuat oleh syarikat media mengenai pola pembelian di negara ini jelas menunjukkan bahawa kuasa beli Melayu tidak boleh dipandang ringan. Sasaran iklan terhadap golongan profesional, kelas menengah dan mereka yang makin gaji di kalangan orang Melayu memang amat ketara.

Malah sebuah stesen TV berbayar mulai menyedari bahawa potensi langganan di kalangan orang Melayu akan bertambah pada waktu akan datang, satu-satunya segmen yang sebenarnya punya potensi cukup besar. Oleh yang demikian mereka mulai menyediakan lebih banyak saluran khas untuk orang Melayu dan Muslim.

Seperti biasa, orang Melayu sendiri mengambil mudah kekuatan itu. Mungkin secara tradisinya begitu. Di sebuah kampung Melayu, kedai runcit milik orang Melayu sendiri jarang yang berjaya. Rancangan untuk mengadakan kedai secara koperasi juga tidak selalunya berhasil.

Sebenarnya ada satu aspek yang lebih positif mengenai kuasa beli orang Melayu ini. Kuasa itu boleh membantu pertambahan bilangan peniaga dan usahawan Melayu. Hari ini realitinya ialah tidak ada networking atau rangkaian yang baik di kalangan peniaga Melayu.

Gabungan atau badan perniagaan Melayu tidak banyak memberikan impak pada struktur dan amalan niaga. Kaum lain menggunakan sistem rangkaian dan memanfaatkan gabungan atau badan perniagaan (chambers of commerce atau guilds) dengan cara yang cukup berkesan. Malah melalui rangkaian inilah gerak kerja, strategi, bantuan dan sokongan dapat diwujudkan.

Tetapi yang menjadi masalah pokoknya ialah pembeli Melayu sendiri. Samalah halnya kedai runcit Melayu tidak boleh maju di dalam kampung Melayu, banyak syarikat Melayu gagal kerana tidak ada sokongan pembeli atau pengguna Melayu.

Lebih separuh syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia hari ini sama ada dimiliki, dikuasai, dipimpin, diurus atau sebahagian sahamnya di tangan orang Melayu. Tetapi sejauh mana manfaatnya jatuh pada syarikat Melayu yang lain yang sepatutnya dapat tumpahan kejayaan mereka?

Berapa banyakkah daripada syarikat ini yang mengiklan dalam akhbar Melayu? Berapa banyak pula yang membantu syarikat Melayu melalui sistem sokongan, francais, anak angkat atau bantuan modal?

Berapa banyak pula yang membantu anak Melayu yang menganggur? Malah golongan yang paling banyak menyuarakan keresahan mengenai kualiti graduan Melayu ialah pimpinan korporat Melayu sendiri.

Syarikat bukan Melayu secara diam-diam melatih anak kaum mereka. Graduan dari disiplin manapun boleh dibentuk menjadi pekerja yang baik sekiranya diberikan peluang. Ijazah hanya kertas yang menandakan seseorang tamat belajar. Kertas itu harus diberi nilai tambah melalui latihan dan pendedahan di tempat kerja.

Bagi saya rungutan mengenai kualiti graduan yang masuk ke pasaran kerja hanya alasan untuk tidak mahu membantu. Sistem yang melahirkan graduan tidak berubah sejak lama dulu. Sepatutnya mereka dibantu, terutama yang menganggur.

Kerajaan pernah menyediakan Skim Mahasiswa Menganggur satu ketika dulu. Kenapa tidak sektor swasta? Sekiranya setiap tahun seribu syarikat milik Melayu mengambil 10 graduan Melayu secara senyap-senyap dan melatih mereka dengan kemahiran dan ketrampilan yang diperlukan, akan lahir 10,000 calon profesional Melayu yang berkualiti setiap tahun.

Orang Melayu yang berjaya terlalu banyak menghabiskan masa mengkritik sikap dan nilai bangsa sendiri, sistem pendidikan negara dan dasar kerajaan sedangkan mereka lahir daripada sistem yang sama.

Kalaulah tenaga memburuk-burukkan bangsa sendiri dapat diagih-agihkan pada usaha positif untuk membantu anak bangsa alangkah hebatnya. Saya tidak percaya graduan dari kaum lain tidak ada masalah penguasaan bahasa Inggeris atau kemahiran asas, tapi mereka selalu diterima bekerja tanpa riuh rendah. Kita? Tidak ada yang baik daripada telur sesangkar.

Kenapa tidak juruskan tenaga pada usaha membina kekuatan bersama? Kenapa tidak mulakan dengan kuasa beli yang ada pada kita? Kenapa tidak gunakan kuasa itu untuk membantu perusahaan bangsa sendiri? Ini bukan perkauman. Orang Melayu tidak pernah mengambil sikap sedemikian. Orang Melayu membeli kain kafanpun dari kedai kaum lain sejak sekian lama. Mereka tidak memilih kaum dalam membuat keputusan membeli dan menggunakan perkhidmatan. Kaum lain sudah berjaya kerana sokongan kuasa beli Melayu.

Kenapa tidak berikan juga perhatian pada syarikat peruncitan, perusahaan industri kecil dan sederhana (PKS) Melayu yang banyaknya hidup segan mati tak mahu?

Banyak orang menyatakan perusahaan atau syarikat Melayu tidak akan mampu bersaing dengan orang lain. Memang begitulah nampaknya realiti hari ini. Kita pergi ke kedai foto, kedai tayar, kedai bateri, bengkel kereta dan kedai runcit kaum lain selama ini. Tidak ada salahnya berbuat demikian. Tetapi syarikat orang Melayu juga perlu hidup.

Kita punya jumlah. Jumlah ialah kuasa. Kita boleh memilih untuk membeli atau menggunakan perkhidmatan dari sesiapapun. Ini demokrasi dalam sistem kapitalis.

Apa salahnya sebahagian daripada berbilion ringgit kuasa beli di tangan kita itu digunakan untuk membantu perusahaan dan perniagaan orang Melayu sendiri? Kalau bukan kita, siapa yang akan membantu mereka?


.

Selasa, September 25, 2007

Cerpen - Monolog Diari Tujuh Hari

* Mungkin agak lewat untuk saya jadikan cerpen ini sebagai entri seperti yang saya war-warkan tempohari. Tetapi untuk yang menanti ia di siarkan, terutamanya Abang Kassim Selamat, semoga cerpen ini menjadi teladan buat kita.


CERPEN: MONOLOG DIARI TUJUH HARI

WAYAR yang mencucuki tangan kiriku ini terasa sungguh melemaskan. Kadangkala terasa denyutan di hujung jarumnya yang menusuk masuk ke dalam nadi. Terasa juga cairan halus dan sejuk yang melewatinya perlahan-lahan sekaligus membantu tubuhku kembali sempurna berfungsi.

Begitulah keadaanku sejak tujuh hari yang lalu. Tujuh hari yang sungguh menyiksakan. Hari pertama dan kedua aku boleh bertahan lagi kerana aku sekadar tidur tidak bermaya. Namun setelah hari ketiga, keempat dan seterusnya, aku berasa sangat kosong. Terlantar begini di atas katil, aku menjadi tidak bermaya dengan suasana yang hambar dan hampa. Tubuhku panas hingga tidak mampu befikir apa.

Tetapi saat ini, selepas tujuh hari, aku semakin gelisah. Berbaring resah bagaikan berada di neraka biarpun bidadarinya manis melempar senyum di sebalik seragam putih mereka. Sedikit sebanyak melegakan, tetapi tidak mampu menyembuhkan. Aku memandang dan merenung syiling. Satu renungan kosong tanpa makna, tanpa kata. Kipas berputar kadang perlahan kadang laju. Ia mengikut sahaja kerenah penghuni katil yang lain yang selalunya cerewet yang macam-macam.


Tangan yang sesekali kebas hanya mampu ke gerakkan sedikit kerana terhalang oleh wayar yang seolah menyambung nyawaku. Aku cuba juga untuk mengiring ke kiri dan ke kanan namun tidak mampu bertahan lama. Badanku yang panas dan kepala yang pusing tidak membenarkan aku berkeadaan begitu.


Semuanya hanya kerana seekor nyamuk. Haiwan kecil yang selalu di pandang remeh olehku. Ya, memang ia kecil pada saiz tetapi besar dengan rahmat. Tubuhku yang sebegini besar dan gagah tumbang hanya dengan gigitannya. Sesuatu yang sukar dipercaya oleh fikiran normal manusia. Namun, itu yang terjadi padaku, sehingga terlantar sebegini dengan puluhan botol air menyambung hayat.


Gigitan rahmat, fikirku. Hakikatnya, ia adalah askar Tuhan yang datang memberi ingatan kecil yang selalu di pandang sinis. Kita selalu lupa akan tanggungjawab yang Tuhan serahkan buat kita kepada makhluknya yang lain. Kita dikurnia kelebihan akal, namun acap kali kita lupa kelebihan itu sebenarnya untuk kebaikan semua. Kepada haiwan, kepada tumbuhan dan kepada semua yang ada menghuni bumi ini bersama kita.


Aku imbaskan kembali perkara yang berlaku pada diriku dan apa yang aku lakukan kepada maklukNya. Senang sekali andai aku lihat kepada diri sendiri. Sedala apa yang dikurni kepadaku amat nikmat. Aku punya keluarga dan kerjaya yang bukan calang-calang. Rumah yang tersergam indah dan segala kenikmatan dunia aku syukuri. Namun aku tidak kongsikan kenikmatan itu bersama makluknya yang lain. Rumah ku indah, namun aku gagal menjadikan ia sebagai syurga. Ada sahaja sampah yang bersepahan. Rumput menyesakkan mata.


Alasanku mudah – aku sibuk dengan urusan dunia. Matahari belum muncul saat aku tiba di pejabat dan selalu pulang bersama bulan. Hujung minggu ku bawa anak-anak berlibur dan bergembira. Memang hakikatnya aku ayah yang baik dan sempurna, namun yang lainnya aku tidak peduli. Lantas, inilah kejutan yang aku terima. Ah, perit sungguh dugaan ini. Peringatan kecil tuhan dari makhluknya yang kecil ini ternyata merimaskan. Bagaimanalah agaknya jika aku di duga denga perkara yang lebih besar?


Aku toleh ke katil sebelah. Seorang pakcik tua ditemani isterinya sejak tiga hari yang lalu. Dia bergilir menjaga bersama anaknya. Segala kerenah cerewet pakcik di turuti. Adakala ditengking dan dimaki macam-macam, namun mereka yang menjaga diam sahaja. Agaknya begitulah ragam melayan orang sakit. Aku kuteringat kepada anak dan isteriku. Andai kasih sayang saat ini kurang aku kongsikan, apakah ada simpati pada diri mereka membantuku saat aku terlantar seperti pakcik itu kelak. Sanggupkan mereka berhadapan dengan kerenahku nanti. Oh, terasa insaf yang teramat sangat.


Bosan berbaring, aku cuba bangun. Sekuang-kurangnya aku mahu menyandarkan diri beralaskan bantal. Namun, sebaik aku cuba mendirikan badan, kepala terasa pusing. Aku cuba bertahan, dan cuba perlahan-lahan. Kali ini aku mahu buang perasaan pusing. Aku mahu seolah tidak merasa apa-apa. Nyata usaha untuk aku duduk sahaja sudah memakan masa. Cuba mengelakkan pusing kepala yang kadangkala membawa gelap pada mata.


Aku menarik nafas lega sambil membetulkan bantal yang tersandar dibelakang badan. Pagi masih awal. Jururawat baru sahaja berganti shift dari malam ke pagi. Yang baru masuk senyum tetapi berbau kesuraman. Yang mahu pulang mencuka tetapi wajah penuh riang. Selepas ini mereka melakukan rutin harian kepadaku dan kepada penghuni katil yang lain. Suhu badanku di periksa dan tekanan darah diambil lalu direkodkan. Sebarang turun naik akan dikhabarkan kepada doktor yang akan datang jam 10 nanti.


Aku mengeluh perlahan. Baru tujuh hari aku sudah merasakan suasana yang cukup membosankan. Tetapi ia menginsafkan. Memang benar mereka berkata, kita harus sentiasa untuk sebarang kemungkinan. Mungkin hari ini kita sihat, esok sakit terlantar di hospital, atau menerima kematian orang yang tersayang atau kita sendiri yang tiba-tiba pergi. Semuanya berlaku sekelip mata. Tiada siapa boleh duga. Sekali lagi, seperti nyamuk yang menjadi askar kecilNya, aku redha lagi atas ketentuannya.


Aku bersyukur diberi ingatan ini saat aku masih bernyawa. Andai aku tumbang terus dan tidak dibangunkan, sudah pasti aku tidak berkesempatan bertemu yang tersayang, memohon kemaafan, melangsaikan segala hutang, menyelesaikan segala keperluan dan meninggalkan pesan kepada yang ditinggalkan. Ah, aku sungguh terganggu. Memang aku terlupa akan hal ini. Mengejar dunia meninggalkan alam akhir. Walhal itulah alam hakiki tempat yang akan kuhuni bersama manusia yang lain. Mengapa mudah aku lupa akan hal ini? Sungguh aku insaf ini.


Tidak dinafi, aku berusaha menjadi umatnya yang sempurna. Memang aku bapa yang baik, pekerja yang cemerlang, suami yang menjadi idaman. Tetapi apakah aku mampu menjadi umatnya yang dinginkan? Jika pada pandangan manusia aku lulus cemerlang, apakah pada pandangan tuhan aku ini berjaya? Mudah sekali untukku menghakimkan diri sendiri bahawa aku ini sesungguhnya gagal menjadi hambanya yang penuh sifat taqwa dan iman.


Aku membetulkan letak punggung dan dan sandar belakang. Terasa lenguh pula berkeadaan begini. Aku teringat kepada kisah yang selalu aku dengar. Mereka yang hilang nikmat dunia, hidup bersandar kepada bantuan insan lain. Yang masih bernyawa tetapi ibarat mati sebelum ajal. Ya, bagaimana agaknya hidup mereka yang lumpuh, diserang penyakit yang tidak membolehkan mereka berganjak dari katil seperti yang ku alami ini. Tentu hidup mereka lebih tersiksa jiwa dan batin.


Pada tahap yang hebat, nyawa bergantung pada alat bantuan, makan bersuap dan serba serbi keperluan memerlukan bantuan. Bagaimana yang hilang anggota tangan atau hilang deria penglihatan misalnya. Ah, tidak dapat aku gambarkan bagaimana perassan mereka. Aku, sekurang-kurangnya boleh bergerak, cukup segala anggota dan memang boleh sembuh. Tetapi bagaimana mereka yang telah ditakdirkan sepanjang hayat diatas katil. Sungguh menyiksakan bukan?


Aku lirikkan mata kearah jam. Masih awal untuk anak dan isteriku datang melawat. Sesekali aku rindu kepada mereka. Beginilah agaknya perasaan mereka tatkala aku dihantar berkursus beberapa hari atau minggu ke tempat yang jauh. Komitmenku pada kerja kadangkala melampaui tangungjawab kepada keluarga. Alasanku mudah – isteriku tidak bekerja boleh menggalas amanah itu. Apa guna berkahwin jika tidak boleh berkongsi tanggungjawab. Nyata ini pandangan yang sungguh khilaf. Mereka adalah permata hidupku, menyinari kehidupan yang seharusnya kami gembirai bersama. Tidak sepatutnya aku melepaskan semudah itu. Anak-anak dan isteri mempunyai hak untuk disayangi dan dikasihi, seperti mana hak yang patut aku beri kepada Allah dan juga makhluk lain.


Jururawat datang membawa sarapan. Entah apa pula yang mereka hidangkan hari ini. Sudah nasibku ke hospital kerajaan, makanan tidaklah semewah mana. Ah, untuk apa pula aku berkira. Jika mahu layanan yang baik, pergi sahaja ke hospital swasta, lebih nikmat. Namun kewangan pula terhad. Sekali lagi aku terpempan. Selama ini aku kerja untuk apa ya, andainya aku masuk hospital pun mencari yang murah. Kemana perginya wang yang aku terima hujung bulan? Simpananku? Apakah aku boros? Oh, aku mampu bersusah bekerja tetapi untuk kepentingan diri sendiri aku pinggirkan. Apakah ini patut?


Seharusnya aku yang sedang berakit ke hulu dan berenang ke ketepian ini membawa bekalan yang cukup. Terlintas dihatiku andai tebing yang ku hampiri itu tidak berjaya ku dekati. Bagaimana jika aku lemas didalamnya, tidak mampu berenang hingga ketepian. Sisa-sialah sudah segala yang aku bersama saat berenang dan berakit. Ah, harta yang aku kumpul itu untuk apa jika tidak aku gunakan saat susah. Aku yang berkemampuan ini seeloknya tidak perlu berada disini. Hak ini untuk mereka yang benar-benar tiada apa. Mereka yang tidak berkemampuan mendapatkan kemudahan yang lebih nikmat. Seharusnya aku bukan disini jika dilihat kepada pendapatanku. Mengapa tiada perasaan belasku kepada mereka?


Aku cuba merapati juadah. Mee goreng nampak lazat dan menyelerakan. Perutku memang lapar namun tekakku tidak terasa untuk menelan. Pelbagai perkara bermain dalam laut fikirku sejak terlantar disini. Banyak perkara aku ketepikan. Banyak kenikmatanNya yang aku buang dan kesempatan yang tidak aku hirau. Pelbagai perkara bercampur menjadikan aku kacau.


Kupandang kearah katil bertentangan denganku. Semalam, katil itu dihuni oleh seorang anak muda berusia pertengahan 30-an. Sekarang, katil itu kosong kerana penghuninya pulang menemui penciptaNya. Baru sehari aku berkenalan, hari ini dia tiada. Dia cukup baik tetapi kelihatan lemah diserang virus yang telah bersarang sekian lama dalam tubuh.bsekali lagi aku terpempan. Walau kita kelihatan sihat, Jibril tidak akan bertangguh bila tiba saatnya untuk kita. Sekali lagi aku insaf.


Saat ini, sudah tengahari. Waktu untuk melawat dibuka. Anak dan isteriku datang seperti hari yang lalu dengan gembira. Tambahan pula doktor mengkhabarkan aku boleh pulang. Hatiku hiba bercampur girang. Akan ku tinggalkan wad yang memberiku macam-macam, pesakit yang menyedarkan, tidur malam yang tidak menyeyakkan, makanan yang tidak mengenyangkan. Didalam kereta anak-anak gembira menunjuk itu ini. Isteriku juga berwajah ceria. Mungkin teman hidupnya yang kembali ini menghilangkan sebahagian beban yang digalas beberapa hari.


Memang aku kembali. Kali ini sebagai seorang hamba, insan, suami, bapa dan pekerja yang baru. Tujuh hari yang lalu mengajarku macam-macam. Memberitahu kepadaku pelbagai perkara. Secara senyap, aku menghimpun janji kepada mereka.


Azan zohor sayup-sayup kedengaran dari tingkap kereta yang terdedah luas. Sudah tujuh hari aku tidak berkemampuan menghadap Allah. Tetapi hari ini, aku berjanji aku akan bersama menyedarkan mereka tentang kehidupan. Buang segala sampah sarap, bersihkan longkang, cuci segala kotoran, bersihkan lalang yang melangit dihalaman, buang segala lopak dan sumber takungan air. Berbakti kepada manusia dan makluknya, berkongsi rezeki saat hidup masih bererti, menghadap tuhan pada bukan pada waktu yang penting sahaja, dan belajar untuk hidup dengan indah dan seringkas yang boleh.




* Bila dah keluar di DS, barulah perasan banyak yang lompang!


.

Khamis, September 20, 2007

Melihat Alam, Menafsir Kehidupan


1.
Saya sudah membaca tulisan FT tentang Bagaimana MulanyaTuhan Manusia bila mengesani bahawa menulis itu bukanlah satu usaha yang mudah. Sedarnya sudah lama, cuma akhir-akhir ini ia menjadi lebih insaf. Tambahan pula bila kita ini di dokongi oleh tanggungjawab lain yang perlu di bahu. Berat sebenarnya. Kerana menulis itu satu usaha dakwah juga yang di haruskan keatas kita yang berpaksikan Islam sebagai pegangan.

FT banyak berjalan dan mengembara. Jauh perjalanan, luas pemandangan. Banyak pengalaman indahlah kehidupan. Memang banyak yang di terimanya daripada perjalanannya yang panjang. Terasa kagum atas kembaranya yang menghasilkan idea-idea yang bernas. Masih sempat untuk dia mencatat dan memikir bagi menghasilkan buah tangan sepanjang perjalanan. Tetapi sekadar berjalan tidak memadai. Ilmu bantu dan ilmu-ilmu lain juga perlu. Ia adalah perisa tambahan dalam proses pengkaryaan. Seperti apa yang di katakan oleh SN Dato' A Samad Said, bahawa menjadi penulis itu awalnya dengan banyak membaca (melebihi orang biasa). Ilmu itulah yang perlu dikongsikan. Pengalaman yang dikutip sepanjang perjalanan itu menambah rencah dalam perkongsian ilmu. Ia bukan sesuatu yang mudah dan bukan seindah yang dibayangkan.


2.
Saya sudah memikirkan perkara ini sejak sekian lama - mengembara - sejak dari awal tahun 2007. Tetapi dari sehari ke sehari, hambatan kerja terlalu menyesakkan. Semakin banyak yang cuba diselesaikan, semakin banyak pula yang datang. Semakin cuba dikurangi beban, semakin bertambah pula tanggungjawab yang dipikul seorang diri. Kadangkala terasa mahu saya campakkkan segala beban ke tepi dan tinggalkan segala-galanya. Namun memikirkan tangungjawab lain yang digalasi bersama, maka hasrat itu saya lupakan perlahan-lahan.

Dalam pada masa yang sama, perkara yang biasa saya lakukan juga semakin terjauh. Tiada lagi ruang luas untuk membaca, mencatat, menulis atau mencerna idea. Waktu senggang semakin terbatas. Hampir dua bulan saya terpaksa berkurung di pejabat santak ke pagi, meninggalkan kebiasaan. Malah, tiada lagi lembaran idea dapat dinukilkan sama ada di blog mahupun di lembar-lembar kertas yang biasanya mampu mencetuskan idea baru.

Tetapi saya lihat kembali dalam diri (dan ini yang sering saya lakukan). Andai inilah jalan yang saya lalui dan inilah laluan yang saya pilih, mengapa harus mengeluh? Dengan jalan inilah, saya dapat menyusun jadual hidup yang ketat itu dengan pelbagai perkara. Kata orang masa yang berkualiti. Saya menjadi lebih cekap mengawal masa, mencuri selang waktu yang ada untuk keperluan lain. Pada masa yang sama, ia mampu menjadikan hidup saya lebih tersusun, sistematik dan lebih produktif. Tiada lagi meja yang bersepah dengan kertas. Dokumen penting semuanya lengkap di failkan. Kerja-kerja tiada lagi tertangguh. Semuanya siap pada masa yang tepat. Jika kerja terlalu banyak, maka inisiatif saya ialah memberikannya berdikit-dikit kepada mana-mana staff yang kelapangan. Delegation. Tidak salah meminta pertolongan mereka andai kita tidak mampu.

Memang kadangkala kesibukan itu meletihkan tetapi akhirnya ada kemanisan yang saya kecapi. Dalam masa itu, ada juga kesempatan saya mengajar secara sambilan. Kesibukan yang nyata berbaloi. Masa lebih terisi dari dibuang dengan sia-sia. Jika dibandingkan dengan dahulu di mana saya ada waktu luang yang banyak tetapi tahap produktivitinya sama sahaja. Jadi biarlah sibuk kerana ia lebih menguntungkan. Biarlah diri sendiri yang menilai dan memberikan jawabannya.


3.
Ya, saya sudah memikirkan untuk keluar mengembara. Ambil peta dan memandu ke kawasan yang belum pernah dijejaki. Atau naik bas dan melompat-lompat dari satu destinasi ke destinasi yang lain. Melihat alam, menafsir kehidupan, melihat manusia yang pelbagai dan ragam yang rencam. Adat berbeza, budaya tidak sama. Banyak lagi tentang tanah air ini, Melayu dan Islam yang belum saya jelajahi sepenuhnya. Saya perlu memahami jati diri sebelum melangkah jauh. Bukannya saya tidak pernah berbuat seperti ini dahulu. Orang kata, kerja gila.

Namun hingga ke hari ini, ia sekadar satu perancangan. Apakah saya harus menunggu hingga 2008 untuk memulakannya? Terpulanglah kepada diri sendiri. Apa yang pasti, selagi tidak memulakan, sampai bila-bila pun saya tidak berdaya untuk menamatkan. Andainya saya bermula, pasti temui jalan akhir.


4.
Jauh perjalanan, luas pemandangan. Banyak pengalaman indahlah kehidupan. Ketika memegang status pelajar dahulu, saya merasa tiada rugi memperuntukkan masa untuk aktiviti luar. Banyak juga tempat yang saya jelajahi. Yang menariknya, bukan sekadar berkereta. Namakan apa sahaja - basikal, kayak, bas, keretapi, lori, berjalan kaki. Puas. Orang lain convo, saya juga naik pentas. Merasa juga pakai jubah hijau dan ambil skroll. CGPA tidaklah beza mana. Orang lain ada kerjaya, saya juga ada kerjaya. Pengalaman jualah yang nampaknya memisahkan cara kita mengatur kehidupan. Apa yang dikecapi dan apa yang tidak.

Jadi sekarang ini, saya harus memulakannya kembali. Memulakan sesuatu yang telah lama ditinggalkan. Mengutip cebisan pengalaman dari perjalanan yang di lalui. Mengecapi makna dari hikmah kehidupan manusia. Melihat alam dan menafsir kehidupan. Merenungi hidup sebagai bekalan di sepanjang perjalanan.

Soalnya, bila mahu bermula?

*Kenangan di Cherating semasa Tahun Baru Cina bersama teman-teman lama. Sesekali bertemu - makan, bermain, berbual, bergurau dan - apalagi yang indah-indah. tetapi usah di cari kerana saya tiada dalam gambar!
.

Selasa, September 11, 2007

Kadang kala...terlalu..


Terlalu banyak benda yang menekan dalam kepala

dan
terlalu banyak hati yang perlu dijaga.

.

Nyawa

'Jangan tangkap gambar tiga orang satu kamera. Nanti ada yang mati'

'Oh, hidup dan mati kita ditangan kamera rupanya'

.


Sekali-sekala

Hujung minggu yang lalu, saya..

Sabtu:
Menghadiri sesi latihan menembak. Sudah lama saya idamkan dan sering terlepas peluang untuk turut serta. Syarikat mempunyai senjata sendiri dan mana-mana pengawal bersenjata diwajibkan menghadiri latihan ini. 10 butir peluru pump-gun - lima butir pertama sudah cukup menyebabkan tangan terketar-ketar. Lima butir seterusnya menyebabkan bahu dan lengan lebam. 14 butir peluru pistol automatik .38 Smith & Wesson pula memberi saya peluang berangan seperti koboi. Berdesing telinga!

'Kenapa kau pegang pump-gun macam pegang pen?"


Ahad:
Menjadi pemeriksa untuk group assignment pelajar First Aid sambil bersantai dan berbual-bual dengan kawan-kawan yang hadir. Seronok juga mendengar cerita mereka dari bidang yang berbeza. Cikgu, PTD, JQAF, gaji, bonus, COLA, belanjawan, pilihanraya, puasa, raya. Semua cerita menjadi satu.

'Cikgu, saya tak boleh ambil wuduk sebab saya pakai kasut'
'Kalau macam tu, buanglah kasut tu'
'Tak apalah, saya tak nak buang, saya nak buka kasut ni'

Nota: Cikgu ni orang Kedah. Kami ketawa bagai nak pecah perut!


.


Ubat


Berkawan dengan orang yang ada 'penyakit' memang menginsafkan. Kemana-mana pergi perlu bawa bekal - ubat. Kadangkala bukan satu jenis. Ubat sakit kepala, sakit perut, minyak angin, migrain, gastrik. Panadol, gelusil, PCM, ponstan dan macam-macam senarai yang hanya empunya badan sahaja tahu bila masa sesuai untuk di guna.

Itu belum lagi staff saya yang seorang ini yang cuma umurnya berjarak beberapa tahun daripada saya tapi sudah ada bekalan satu bekas ubat-ubatan yang perlu diawasi rutin masa menelannya. Penyakit tiga serangkai yang membunuh - darah tinggi, kencing manis dan jantung (tekanan mungkin) menyebabkan ada masa-masanya hidupnya seperti di bawah kawalan ubat.

Pesanan untuk diri sendiri, jagalah pemakanan kerana ia adalah racun kesihatan. Badan juga perlukan rehat yang cukup. Nak pakai lama!

Selasa, September 04, 2007

Tutup Mata

Sama ada saya tidak tahu atau memang ketinggalan. Istilah ini yang suatu ketika dahulu hangat di perkatakan rupanya begitu meluas digunakan dan saya seolah tidak sedar ia adalah istilah yang cukup popular.

Satu.
Beberapa pelajar di hadapan saya menayangkan muka kasihan - supaya saya boleh beri mereka markah lebih. Saya minta mereka ulangi aktiviti sebelumnya, sehingga saya berpuas hati yang mereka tidak melakukan kesilapan. Tambahan pula mereka kelihatan tidak serius dalam menyelesaikan tugasan.

"Alaaa... kak, beri kami markah penuhlah. Tutup mata sahajalah!"


Dua.
Setelahbeberapa kali menekan kalkulator, saya dapati ada beberapa ratus RM tidak balance dengan akaun payroll. Bila saya telefon pegawai terbabit, jawapannya mudah!

"Duit tu dah masuk dalam perut saya. Awak tutup mata sahajalah, anggap sahaja ia tak ada. Tak wujud."


Tiga.
Istilah ini memang mempunyai konotasi negatif, sebagaimana yang di gunakan oleh Yang Berhormat kita suatu masa dahulu. Nampaknya, sama ada yang masih belajar atau yang sedang terumbang-ambing dengan dunia kerja - kedua-duanya menggunakan istilah ini pada tempat yang betul!


*Ya Allah, jauhilah diriku dari sebarang sifat manusia yang cela.

.

Isnin, September 03, 2007

Yang Paling Sukar Ialah Mengekalkan Kemerdekaan Itu Sendiri...

Hujung minggu yang lalu saya menghadiri aktiviti perkhemahan di Hutan Lipur Lentang, Karak atas undangan sebagai Pembantu Jurulatih. Saya di minta untuk menilai prestasi para pelajar yang mengambil subjek Recreation yang merupakan salah satu University Required Course. Perkhemahan ini bermula selepas solat Jumaat dan berakhir pada hari Ahad, 2 September. Pelajar yang terlibat juga ramai, 190 orang tidak tidak termasuk Jurulatih dan Pembantu Jurulatih yang memerlukan 5 buah bas untuk mengangkut barang serta peralatan perkhemahan bersama-sama.

Ini kali pertama saya menghadiri perkhemahan yang bukan di bawah tangan sendiri - maksudnya saya sekadar menjadi pemerhati dan tidak terlibat secara langsung. Sekadar membantu apa yang patut dan berehat-rehat. Jarang dapat peluang begini!

Malam terakhir para pelajar diminta membuat persembahan tentang kemerdekaan. Setiap kumpulan diberi nama seorang tokoh atau pejuang kemerdekaan dan diminta buat apa-apa persembahan yang berkaitan tentang mereka. Sewaktu ketua kumpulan di minta mencabut satu nama, Jurulatih terbabit sempat berpesan, 'Jangan kamu kata tak kenal pula nama yang kamu dapat.' Nak tahu apa reaksi mereka?

'Siapa Mat Salleh?
'Kenal tak Kanang anak Langkau?'
'Tun Fatimah Hashim ni siapa?'
'Apa sumbangan Dato' Onn Jaafar kepada negara?'

Kepada diri saya, ia merupakan reaksi yang cukup memalukan. Nampak sungguh mereka ini sekadar mendengar nama Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein Onn lalu melupakan nama-nama besar yang lain. Sungguh cetek dan terhad sekali ilmu dan pengetahuan mereka terhadap tokoh dan pejuang kemerdekaan negara. Tidak hairanlah ketika senggang waktu, ada yang menelefon adik atau kawan-kawan bertanyakan nama tokoh yang mereka terima. Memang ini sebenarnya sudah dijangka. Bertanya kepada adik yang masih bersekolah lagi senang kerana mereka belajar dan tahu tentang tokoh-tokoh negara. Mujurlah telefon boleh dibawa, kalau tidak, sudah pasti persembahan mereka lagi haru biru.

Walau bagaimanapun, persembahan mereka tetap kacau bilau. Haji Abdul Rahman Limbong dikaitkan dengan penjajahan Jepun sedangkan tokoh ini hidup sebelum Jepun memerintah. Tunku Abdul Rahman sekadar di ingat dengan laungan 'Merdeka' di Stadium Negara. Tun Razak pula dikatkan dengan Felda.

Cukuplah saya duduk selama 10 minit melihat persembahan. Entah berapa kali saya menggelengkan kepala. Saya sendiri terasa malu dengan persembahan mereka. Sudahlah salah fakta, nama tokoh juga tidak dikenali. Mahu sahaja saya basuh mereka semua, tetapi memandangkan saya ini sekadar tetamu jemputan, maka saya simpan sahaja. Tetapi beberapa orang telah kena tempias dan saya perasan mereka menjeling tajam!

Maka tidak hairanlah jika kita selalu diingatkan bahawa mengekalkan kemerdekaan itu sebenarnya lebih sukar dari mendapatkan kemerdekaan. Inilah hasil yang dapat dilihat kepada generasi pasca merdeka yang terlalu senang dengan kehidupan sekarang dan tidak tahu erti susah payah. Perkara inilah yang selalu di gusarkan oleh pemimpin negara dan memang wajar PLKN di wujudkan untuk menyemai kesedaran ini. Tetapi, nak hadiri PLKN pula meraung menangis macam nak pergi ke medan perang. Ah! Dunia..dunia...

.

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...