Jumaat, Oktober 30, 2009

Sebuah mengapa dari sudut jiwa



(Dia pernah berkata pada suatu hari di sebuah perbukitan kontang)

Mengapa
dengan selalu memberi, kita jarang menerima?
dengan sering menyerah, kita selalu kalah?

Mengapa ada yang tidak pernah cuba mengerti
dengan segala usaha yang telah dikorbankan
yang sering memakan bukan sedikit hati dan perasaan


Mengapa harus disuap barulah mereka tahu apa sebenarnya yang kita inginkan
Mengapa perlu diucapkan barulah hasrat terjun ke dasar firasat

Hidup ini kadang-kadang gembira tetapi selalu-selalu mengecewakan
Ada yang indah namun tersirat juga buruk wajah

Lalu dia mengeluh, dirinya sudah letih dengan laku manusiawi
Yang galak berpura di sebalik topeng persahabatan


BBB
30 Oktober 2009

Selasa, Oktober 27, 2009

Ampunkan aku, teman



Kiranya aku ada berdosa padamu
mohon ampunkan

Kiranya ada khilaf bicaraku padamu
mohon ampunkan

Kiranya ada salah laku padamu
mohon ampunkan

Ampunkan aku, teman
Kesilapan semalam masih dalam igauan


Bandar Baru Bangi
27 Oktober 2009






Sabtu, Oktober 24, 2009

1000 Catatan Sabah


Entah pulau apa diambil dari perut kapalterbang. Bumi Sabah memanggil-manggil saat ini. Seperti mahu terjun ke dasarnya

Saya namakan ia '1000 Catatan Sabah.'

Sepulang dari melunaskan kerja-kerja di Kota Kinabalu, rasanya banyak yang perlu dicatatkan. Sedikit demi sedikit akan di letakkan disini. Ia mungkin cerita pendek, bicara hati, gosip, gambar, bual kosong, cakap-cakap politik, isu bisnes, masalah sosial, tentang geografi, sukan, alam semulajadi, ekonomi dan macam-macam berkaitan Sabah.

Entri akan dinaikkan satu persatu sehingga genap seribu. Seribu, jangan tak percaya!

Rabu, Oktober 07, 2009

Timbang


Dalam ruang kerja di pejabat, saya letakkan alat penimbang. Ia menjadi tempat dimana teman sepejabat berpusu masuk menimbang berat badan mereka, melihat betapa banyaknya lemak yang telah terkumpul lalu bercita-cita mahu menguruskan badan.

Ada yang  lebih pandai membuat pertandingan untuk menurunkan berat badan. Dalam masa sebulan, dicatatkan berat asal dan di lihat kembali berat selepas sebulan. Siapa yang turun paling sedikit akan didenda belanja makan tengahari di McD bertentangan pejabat.

Itu satu usaha kecil bagi memotivasikan diri supaya menjaga berat badan. Apatah lagi selepas tamat sebulan berpuasa, bagi yang gembira kerana berat telah turun nampaknya tidak berpuas hati bila berat badan mereka naik lagi selepas raya. Alat penimbang itu juga menjadi mangsa kemarahan dan kutukan. Jarum yang berpusing jarang di puji betul.


Itu penimbang berat badan. Kita boleh nampak berapa berat semasa, boleh menilai turun naik berat, boleh merancang untuk membanyak atau mengurangkan makan, boleh memilih untuk kekal atau berubah. Kita boleh ubah mengikut kemampuan. Kita boleh pilih untuk menjadi kurus atau gemuk. Kita boleh rekodkan prestasi dan bandingkan dengan catatan sebelum.

Itu timbangan berat badan yang boleh kita lihat dan direkodkan. Bagaimana pula dnegan timbangan amalam kita?Apakah mizan nanti memberat ke kanan atau kekiri?



Selasa, Oktober 06, 2009

Warkah berusia sembilan tahun


Assalamualaikum.

Before I start to comment on you, I would like to tell something which is interesting. But, let me use Malay for easy understanding in order to avoid any miscommunication.

Meminta orang lain memberi komen terhadap kita merupakan satu cara muhasabah yang berkesan untuk mengesan kelemahan diri. Dalam hal pembelajaran seperti saya dan kawan-kawan yang lain alami, masalah utama yang dihadapi ialah bukan terhadap lecturer atau subjek yang diambil tetapi masalah yang datang dari diri pelajar itu sendiri.

Bukanlah saya mahu menyalah sesiapa dalam hal ini tetapi sekurang-kurangnya ada orang yang mampu untuk mendengar apa yang telah saya fikirkan sejak kebelakangan ini.

Masalah diri pelajar itu berpunca dari sistem pendidikan disekolah. Pengenalan KBSR dan BSM tidak banyak membantu pelajar menggunakan kemampuan yang ada pada diri mereka sendiri. Keupayaan berfikir terlalu lemah, selalu mengharapkan bantuan orang lain (terutama guru dan kawan-kawan), tiada inisiatif memajukan diri serta kurang motivasi. Disekolah, pelajar diajar dan diberikan input-input oleh guru secara terus (direct) tanpa meminta mereka fikir sebab, akibat dan kesan serta menganalisa sesuatu perkara tentang natijah dari sesuatu kejadian. Semua ini menjadikan pelajar sebagai ‘tong sampah’ mampu mengisi tetapi tiada hasil dari apa yang dipelajari.

Terlalu mengharapkan kepada orang lain merupakan salah satu faktor penting. Mereka kurang meminta bantuan tetapi sekadar mengharapka bantuan hingga menyebabkan mereka tiada inisiatif untuk memajukan diri sendiri. Tidak hairanlah jika kia perhatikan para pelajar dikatakan belajar untuk lulus periksa, belajar kerana peperiksaan tetapi hasilnya, tiada.

Saya anggap diri saya dan rakan-rakan yang lahir pada tahun 1978 adalah generasi percubaan kerana kami adalah mangsa kepada sistem pengenalan KBSR (melalui UPSR tahun 1990, pertama kali menggunakan KBSR dengan empat matapelajaran), kepada sistem pengenalan KBSM (PMR pertama  kali pada 1993 dan SPM KBSM pertama pada 1995). Melaiui peperiksan-peperiksaan ini, generasi ‘eksperimen’ ini dikatakan lulus cemerlang melalui percubaan-percubaan yang dilakukan terhadap sistem pembelajaran. Hasil yang memuaskan bagi mereka merupakan suatu tekanan bagi kami. Tiada siapa yang sudi mendengar isi hati pelajar. Mereka melakukan ujian terhadap kami, tapi keputusan  / apa yang berlaku ke atas kami tidak diambil peduli.

Akibatnya, PMR yang rendah standardnya tidak menjamin apa-apa bagi pelajar yang mahu berhenti. Lihat sahaja apa yang ada didalamnya (bukan stakat PMR tetapi SPM dan UPSR). Tiada soalan yang boleh memaksa pelajar untuk berfikir. Semua adalah direct berdasarkan kepada text, malahan disertai juga dengan pilihan objektif. Memanglah ketika belajar kita mahukan kesenangan, tetapi apabila kita berada ditahap yang tinggi seperti saya sekarang ini, barulah saya mengerti betapa ‘teruknya’ sistem pembelajaran seperti itu.

Akibatnya, seperti yang Dr dapat lihat sekarang ini. Bagi saya, cara pengajaran Dr tiada salah, tiada cacat celanya. Kerana bagi saya itu adalah standard pengajian di university yang memerlukan pelajar berfikir serta membuat sendiri kajian dan kerja-kerja rumah tambahan jika mereka mahukan gred / pangkat yang terbaik.

Saya tidak pernah berada dalam kelas Dr sebelum ini tetapi saya banyak mendengar tentang Dr melalui kawan-kawan. Ada yang mengatakan Dr ini terlalu ‘strict’, subjek yang susah, terlalu theoretical dan soalan-soalan yang memerlukan pelajar berfikir. Saya mendengar dan menilai apa yang mereka perkatakan dan berharap suatu hari nanti saya mahu berada dibawah pengajaran Dr dan menilai sendiri. Apa yang saya dapati seperti yang saya katakan tadi, ini bukan masalah student, bukan masalah lecturer tetapi learning system dinegara kita yang tidak menggalakkan pelajar befikir (mungkin kesalahan besar bagi pelajar yang tidak mahu / malas berfikir). Saya mengambil beberapa subjek dengan lecturer yang ‘diblacklistkan’ oleh pelajar  seperti Dr Muhammad Anwar dan Mr Zakariya Man (yang mana mereka menyampaikan input untuk berfikir, seperti Dr) dan hasilnya result saya tidaklah terlalu mengecewakan malah sama seperti subjek-subjek melalui lecturer yang’digemari’ ramai.

Dari itu saya berfikir sejenak. Apakah kesalahan itu harus ditanggung oleh lecturer terbabit atau pelajar. Pada saya, tiada masalah dalam apa yang Dr lakukan kerana itu adalah cara Dr (setiap orang ada cara sendiri).  Pelajar harus meletakkan kesalahan dibahu mereka sendiri kerana mereka ini kebanyakkannya malas berusaha, kurang berfikir, tiada inisiatif untuk memajukan diri serta terlalu mengharap kepada orang lain (masalah yang sama ketika disekolah). In kerana saya pasti Dr bukanlah jenis yang suka melihat studentnya fail kerana melalui Mid-Term Dr yang lalu, soalan-saoalnnya memeranjatkan saya (jauh dari apa yang saya sangkakan). Itu pun masih ada yang tidak mampu berbuat dengan baik. Jadi, jika Dr buat soalan objektif, isi tempat kosong atau T/F sekalipun, tanpa usaha dari pelajar, mereka akan gagal juga.

Satu lagi contoh yang ingin saya bawa. Ketika di semester 1, saya mengambil subjek Management dengan Ms Azura Omar (tiada sekarang ini). Pada saya beliau adalah perfect lecturer (pendapat ini disokong oleh beberapa orang rakan).  Beliau sentiasa memberikan kuiz-kuiz untuk menilai prestasi pelajar-pelajar. Tetapi hasilnya mengecewakan beliau. Saya lihat beliau adalah seorang lecturer yang bermotivasi tinggi dan sentiasa cuba untukmemajukan /  meningkatkan prestasi anak didiknya.  Setiap kuiz merupakan kekecewaan bagi beliau, walaupun telah diberitahu akan tarikh kuiz, tetapi masih ada yang tidak dapat buat dengan berkesan. Kerajinan beliau ini membuatkan saya terharu dengan usaha-usaha yang beliau lakukan tetapi tidak dibalas setimpalnya  melalui result yang baik. Kesimpulannya disini, walau sebagus mana lecturer, tetapi jika pelajar masih tidak mahu berubah, tiada makna. Yang penting, sikap pelajar itu sendiri.

Seperti Dr, setiap kali kuiz, Dr akan mentioned dalam kelas. Tetapi mengapa masih ada yang tidak berjaya buat dengan baik (seperti saya)? Masalah-masalah yang saya utarakan diatas bukanlah bertujuan untuk menambah bebanan Dr tetapi sekadar menyampaikan situasi sebenar yang berlaku dikalangan pelajar dinegara kita. Secara keseluruhannya, boleh saya simpulkan kepada dua:
1.       Sistem pembelajaran yang tidak memaksa pelajar berfikir
2.       Pelajar malas dan kurang motivasi diri untuk memajukan diri

Masalah pertama begitu menghantui saya. Saya masih lagi terbawa-bawa dengan sistem disekolah sehinggakan memberi kesan terhadap keputusan exam. Saya mengambil masa empat tahun (2 tahun matric, 2 tahun disini) untu melakukan perubahan pada diri dengan lebih banyak berfikir dan berusaha. Mungkin usaha ini tidak seberapa kerana apa yang penting saya tidak mahu result saya cantik hanya kerana saya menghafal dengan intention untuk lulus periksa. Biarlah result saya buruk tetapi saya boleh apply dalam dunia sebenar dan ilmu itu berkekalan dalam kepala saya.

Jadi kesimpulannya, dapat saya kira Dr dapat mengambil apa yang tersirat dari apa yang cuba saya sampaikan. Ini adalah luahan hati dari mangsa kesilapan sistem pembelajaran disekolah. Pada saya, cara pengajaran Dr seperti sekarang ini tiada salahnya dan ‘boleh’ dikekalkan jika Dr mahu. Saya tahu, Dr sudah berusaha sehabis baik untuk bantu kami tapi jik kami tak bantu diri sendiri, tiada inisiatif untuk berusaha, keputusannya akan tetap sama. Jadi, terpulanglah kepada Dr sama ada cara Dr Itu betul atau tidak.

Saya minta maaf jika apa yang saya sampaikan sekadar membuang masa Dr.  Jika ia tidak memberi kesan, biarlah ia berlalu seperti biasa. Tetapi jika Dr merasakan ada sesuatu yang tak kena pada sistem pembelajaran di negara kita, fikirkanlah. Untuk melakukan sesuatu terlalu sukar jika diperhatikan dengan keadaan kerajan kita sekarang.

Yang baik itu datang dari Allah, yang buruk itu dari kelemahan diri saya sendiri.

Andai Dr ingin berhubung dengan saya, saya akan e-mel Dr dalam masa terdekat.


Benar, sudah sembilan tahun dalam simpanan. Dengan bahasa yang kurang cermat dan ayat yang kurang menarik, apa yang terkandung dalam kepala tercurah sudah. Apa hasilnya?


Ahad, Oktober 04, 2009

Jiran yang baik

Orang kata resam hidup berjiran jika sekali tidak pernah bermasan muka atau terluka dengan kata, tak payahlah hidup dengan orang. Duduk sahajalah di dalam gua atau dalam hutan bertemankan hantu atau binatang buas.

Tetapi jiran, fungsinya bukan sahaja menjadi peneman disebelah rumah, bukan sahaja menjadi teman ketika susah, bukan sekadar berkongsi ketawa saat gembira. Jiran itu fungsinya maca-macam. Bila jauh dari keluarga dan saudara mara, maka jiranlah tempat mengadu nasib berkongsi cerita. Masa susah dan senanglah jiran menjadi tempat bergantung harapan dan kekuatan.

Pernah juga kita dengar jiran bergaduh tidak bertegur sapa. Ada disebabkan hal kecil seperti dahan kelapa jatuh ke dalam kawasan rumah, atau air longkang yang mengalir melepasi batasan rumah boleh dianggap pencetus perang mulut dan balas kata. Hal tetek bengek inilah yang kemudiannya mengundang bencana. Lalu tidak bertegur sapalah mereka buat berapa ketika.

Alangkah baiknya jika sesama jiran duduk aman dalam satu komuniti. Alangkah indahnya hidup sesama tetangga yang bertimbangrasa, saling memahami, bantu membantu dan harmoni dalam setiap tindak tanduk. Tidak sukar rasanya berbuat demikian, bukan?

Tetapi bayangkan ini. Kita selalu menjadi seorang jiran yang baik. Mungkin ajaran Islam menyebabkan kita merasa tiada ruginya berbaik sangka sesama jiran dan membantu bila mereka di perlukan. Kita beri mereka makan, bukan sekali tetapi berkali-kali. Anak-anak mereka setiap hari datang bertandang ke rumah kita bertanya tentang kerja kosong yang boleh mereka laksanakan demi sesuap nasi. Kita alu-alukan kehadiran mereka. Kita beri mereka latihan, kemudian ajari mereka cara kerja kita supaya tidak kekok. Mereka tekun dan cekal bekerja sehingga membawa pulang berjuta-juta nilai wang mereka bagi membolehkan keluarga mereka keluar dari belenggu kemiskinan.

Kemudian bila mereka sudah pandai, sudah rasa maju, timbul pula rasa besar diri. Jiran ini merasakan tidak perlu lagi bantuan dari kita, lalu cuba-cuba berusaha sendiri. Ada yang lari dari rumah meninggalkan anak kecil kehausan, ada yang melarikan anak kecil, kemudian pandai mencuri, membawa lari harta tuannya. Tidak lama kemudian pandai pula mereka secara berkumpulan memecah masuk rumah kita, merompak, membunuh, merogol, menyebabkan kita mula merasa tidak selamat duduk di rumah sendiri. Alangkah!

Tetapi kita juga tahu, tidak semua jiran kita ini berlaku jahat. Ada juga yang baik, ada yang murni akhlaknya, ada yang memang datang bertandang dengan niat tulus dan ikhlas. Tetapi kita amat kesal dengan perlaku mereka yang tidak kenal budi. Susu yang kita beri, tuba yang mereka balas. Madu yang kita minta, racun yang mereka beri. Apa boleh buat, kerana nila setitik, rosak sebelanga susu!

Kita teringat beberapa tahun lepas, rumah mereka habis roboh musnah dilanda badai yang tingginya melampaui pokok kelapa tua. Kita jugalah yang terkejar-kejar memberi mereka sepinggan nasi mengalas perut dan pakaian bagi menutup aurat. Tiba-tiba suatu hari anak-anak kita yang belajar di rumah mereka merasa terganggu bila mereka cuba menyapu mereka keluar hanya kerana kita difitnah yang tarian separa bogel itu milik kita. Tarian separa bogel milik kita?

Syawwal nampaknya tidak memberi apa-apa perubahan. Kita pula rasa terganggu bila kain baik yang selalu kita pakai tiba-tiba hilang dari ampaian. Alunan gamelan yang selalu menjadi latar majlis pun dikata milik mereka. Kita pula difitnah mencuri, menjadi maling, mengambil sesuatu yang dikatakan milik mutlak mereka. Kita keliru, mengapa kita dituduh sebegini. Mereka ini buta sejarah atau kita yang tak pandai membaca sejarah?

Belum habis mereka beraya dengan kain batik, tiba-tiba kita rasa gegar pada suatu petang. Terlintas yang rumah kita ini bukan dalam Lingkaran Api Pasifik, lalu mengapa ada rasa goyang. Lantas kita teringat akan jiran kita yang tidak habis ditimpa musibah. Apakah mereka dilanda petaka lagi? Ya, benar. Sewaktu kita menonton tv, terlihat satu kawasan dalam rumah jiran kita itu musnah ditelan bumi. Tuhan, petunjuk apakah ini yang Kau kurniakan kepada jiran kami tatkala kita ditimpa tuduhan yang memedihkan naluri.

Namun sebagai jiran yang baik, kita tiada sifat buruk sangka atau dengki mendengki. Kita hantar ubat, kita beri nasi, kita berikan pakaian supaya luka mereka dirawat, perut mereka terisi dan aurat mereka terjaga. Kita buka tabung, kutip derma, mohon bantuan untuk disampaikan kepada mereka. Walau pedih hati kita dengan kata-kata mereka, tiadalah kita ambil pusing kerana kita mahu menjaga jiran tetangga yang dilanda derita, ditimpa bencana. Kita ketepikan segala prasangka yang tidak perlu, kerana kemanusiaan itu besar ertinya pada kita.

Bila kita fikir lagi, inilah agaknya drama hidup sesama tetangga. Tetapi sampai bilakah kita harus menahan hati yang sering diguris luka dengan kata-kata mereka yang seolah tidak kenal erti persaudaraan.

Wahai tetanggaku, insaflah dengan apa yang menimpa kalian!


Jumaat, Oktober 02, 2009

Soalan

Teringat saya kepada satu ceramah di radio. Ustaz menceritakan pengalamannya bercerita tentang soalan-soalan yang ditanya oleh malaikat tatkala insan ditinggalkan seorang diri dialam barzakh.

Oleh kerana soalan tersebut senang dan mudah dijawab, ada yang memperlekehkan kualiti soalan. Malah, ada yang seolah-olah tidak percaya yang soalan serupa itu ditanyakan kepada kita. Ada yang mempertikaikan kesahihan betapa mudahnya soalan tersebut dibandingkan dengan amalan yang diwajibkan ke atas kita. Malah, ada yang tidak mengendahkan langsung kesahihan kisah dialam kubur ini biarpun ia merupakan perkara berkaitan zat Allah yang sukar kita dapatkan jawapan.

Apa yang tidak kita sedar disini ialah, bukan hal senang atau susah soalan tersebut diajukan kepada kita tetapi bagaimana kita harus menjawabnya nanti. Soalan mudah seperti siapa tuhan kamu, siapa Nabi kamu, apa kitabmu, apa agamamu itu bukanlah dijawab dengan menghafal jawapan. Ia bukan perlu dicari dengan menyelak buku berbahasa Arab supaya boleh berbicara mudah dengan malaikat. Ia bukan dengan memaksa diri mengingat jawapan.

Soalan itu boleh jadi mudah, boleh jadi sukar. Jawapannya kita boleh berikan dengan berdasarkan banyak atau kurangnya amalan kita di dunia. Ya, jawapannya kita sediakan sejak kita didunia. Andai kita menjadi seorang Muslim yang benar Muslim, yang beragama dengan orang yang benar-benar beragama (bukan dengan Rasul Melayu atau Ayah Pin dari kerajaan langit), masuk sepenuhnya dalam agama dan bukan sekerat-sekerat, menunaikan segala perkara yang patut dan meninggalkan segala yang dilarang, masa InsyaAllah jawapannya akan muncul tanpa kita perlu cari. Jawapannya akan hadir dengan sendirinya, akan dijawab dengan pantas dan tuntas.

Jawapannya ada didunia ini. Maka sama-samalah kita menyediakan jawapan untuk soalan yang telah kita tahu agar mudah kita melalui detik-detik yang mendebarkan di alam kubur juga di Padang Mahsyar nanti.

Marilah kita mencari jawapannya. Apakah kita telah punya jawapan yang cukup?

Khamis, Oktober 01, 2009

Lemang

Aidilfitri kali ini, seperti Aidiladha yang lalu, kami bergotong-royong lagi. Jiran sebelah menyebelah rumah berkongsi tenaga dan upaya membakar lemang bermula dari awal proses sehingga ke akhirnya. Kami berkongsi segala - mencari buluh (kena minta anak bujang redah hutan), kelapa (jolok dan panjat pokok kelapa belakang rumah, juga digunakan untuk merendang), daun pisang (yang muda dan masih bergulung-gulung), beras pulut (direndam semalaman) hinggalah kepada proses membakar (kena cari kayu dari kebun, yang dari jenis elok. Di jemur dalam seminggu, dibungkus supaya tidak basah ditimpa hujan, dipastikan kering tepat pada masa).

Itulah bahan asasnya.

Untuk makluman, kami bukan orang Negeri Sembilan sejati. Dua keluarga membiak dan terhasil dari benih negeri hujung tanah. Darah selatan jati berakar kukuh dalam diri sehinggakan kami, walaupun sudah hampir dua puluh enam tahun tinggal di negeri minangkabau ini, lidah pun masih belum mampu dilentur dengan loghat nogori. Bukan tidak bercampur, tapi amat kurang orang dari tanah adat tinggal di tanah rancangan. Maka kamilah yang mencampuradukkan budaya dari negeri hujung tanah dengan minangkabau sehinggalah imejan Satu Malaya terpapar sejak kecil, bukan ketika usia menjengah tiga abad ini.

Sudah. Ini cerita tentang lemang Aidilfitri. Kisah rakyat dari negeri hujung tanah berbondong-bondong di jemput ke tanah adat akan saya ceritakan nanti bila rasa mahu dan rasa perlu.

Kali ini saya mahu bercerita proses membuat lemang. Lebih mudah diceritakan dalam gambar sejak ia menjadi beras pulut sehinggalah ia sedap di makan, apatah lagi ketika sedang berpuasa. Terliur tengok lemang yang lemak bersantan tu! Oh, entri ini juga khusus buat mereka yang ingin tahu azab dan nikmat dalam proses melemang.


 Langit cerah tak bermakna hujan tak turun. Teknologi kampung menggunakan tulang empat kerat. Jangan kata tak menolong ya, tangga tegak tu siapa punya angkara?



Kayu yang cukup kering

Daun pisang elok ambil yang muda. Untuk mendapatkan yang seperti ini, perlu ambil di bahagian pucuk. Maka perlu bantuan tangga, pisau yang diikat pada buluh (untuk dikait) atau anak bujang yang tinggi menggalah.
Masukkan pulut kedalam buluh, isi agak-agak penuh dan ketuk sedikit supaya padat. Jangan terlalu padat, nanti tak sedap, santan pun tak boleh masuk

Batang buluh yang terisi beras pulut. Belum bubuh santan lagi


Dulu perah, sekarang mesin.

Untuk proses ini memerlukan tenaga tiga manusia – tukang mesin, tukang perah dan tukang pukul gambar. Anak jiran, emak jiran dan anak emak jiran tu!

Ini rupa kelapa yang telah siap diparut.

Ibu santan (ada yang panggil kepala santan). Satu kali mesin dan perah. Pekat.
Tuang santan kedalam buluh yang telah diisi pulut. Tuang setakat mana pulut terisi, ketuk buluh supaya sama padat, sama masuk

Beras pulut 10kg habis, buluh 40 batang sudah terisi. Masih berbaki 10 batang. Pergi kedai kejap, tambah pulut. Kali ini kiraan chef lari sebab diameter buluh lebih besar dari yang sebelum ini.

Satu lagi teknologi kampung. Tak perlu fire starter. Cari tiub motor, cucuh api, letak tempurung, cepatlah marak
Hampas kelapa tadi dicampak ke perdu pokok pandan. Menjadi santapan insan kelaparan. Usah malu, makanlah!

Menyusun kayu pun ada caranya


Biar menyala dan menanti menjadi bara. Kita perlukan bara, bukan api


Menyusun buluh pun ada seninya


Cantik! Tunggulah 6 jam lagi ya. Sekarang pukul 1.14 petang

Baru separuh masa


Nampak tak santannya menggelegak tu?


Masa ni api kena jaga, jangan sampai marak macam sebelah sana. Bara sahaja. Bila dicampak tempurung, apinya marak. Inilah gaya anak muda tak sabar menunggu masak. Kesudahannya?

Pusingkan buluh supaya masak sama rata. Yang ni tak tahan – melawan asap dan bahang

Dua jam sebelum masak


Yang hitam-hitam tu akibat api marak. Inilah yang tak best

Selepas menggelegak, ketuk bagi padat. Jangan ketuk masa menggelegak, nanti masak tangan disambar santan panas!

Wow! Tapi kena masak sikit lagi

Sebenarnya, kali ini sedikit mengecewakan. Warna hitam ditengah buluh petanda tak baik – sedikit berkerak didalam gara-gara kurang memusingkan buluh dan mencampak banyak tempurung bagi menaikkan api sedangkan cuma bara yang diperlukan. Inilah kesan jika anak muda yang menjaga.Hendak cepat masak, malas menunggu lama, tidak mahu kepanasan dibakar mentari dan bara juga kelemasan diselubungi asap
Jiran membuat kesimpulan bila selesai membakar:
“Lain kali kita jangan bakar lemang untuk raya puasa, sebab semua letih nak jaga lemang. Apatah lagi mahu menyediakan juadah berbuka.”
Saya terdiam kemudian menambah:
“Betul juga ya. Kita letih, penat. Nak makan tak boleh, kena tengok sahaja. Mana-mana lemang yang dah masak, hanya mampu telan air liur. Nak merasa tak boleh.”
Melemang kali ini kurang menjadi, tetapi tidak semua. Namun pengajarannya besar. Anak muda hati panas, semua mahu cepat. Orang tua banyak bersabar, pentingkan kualiti dari kuantiti. Hasilnya berbeza. Pengalaman banyak membezakan dua generasi.

Tak mengapa, hujung tahun nanti, kita bakar lagi, jangan serik!









0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...