Rabu, Februari 29, 2012

Dua Puluh Sembilan Februari


Tidak ada apa-apa yang mahu saya tuliskan. Cuma sebagai tanda kenangan terhadap tahun 2012 yang merupakan lompat.

Hari ini bercuti bagi menyelesaikan urusan orang tua. Seperti yag saya katakan di FB,
 Tidak semua perkara dapat kita nikmati. Satu daripada beberapa urusan hari ini mengecewakan, namun saya tahu ada cara lain untuk mengusahakannya. Tetapi ia tidak mendatangkan kesusahan jika saya mengambil tindakan untuk tidak menyelesaikan. Pasti ada ganti yang lebih baik telah direncanakan untuk saya
Ketika hampir selesai urusan, seorang teman memberitahu dia berkelapangan untuk berdiskusi lalu saya memecut ke Shah Alam. Ketika hampir mahu bergerak, seorang teman yang lain mohon saya online malam nanti.

Hidup ini indah jika kita tidak berusaha mengecewakan orang lain. Tiada kasta dalam bersahabat. Semua adalah rakan. Dan saya sangat gembira akan itu. Alhamdulillah :-)

Rabu Bisu # 1


Sabtu, Februari 25, 2012

Kesusasteraan pada pandangan Ismail Al-Faruqi


(Dato' Dr) Mohd Salleh Yaapar dan isteri beliau (Datin) Fatimah Ali yang bersama Ismail Faruqi sehingga jam 11.30 malam sebelum dibunuh pada awal pagi esoknya (27 Mei 1986) sedang menyempurnakan ijazah kedoktoran falsafah dibawah bimbingan al-Faruqi. Mereka membincangkan tentang kertas kerja Dr Salleh yang berkaitan kesenian Islam.

Dr Salleh menceritakan pandangan al-Faruqi berkenaan kertas kerjanya itu. "Menurutnya, jika seseorang meneliti sesuatu hasil kesenian Islam, misalnya permaidani, seni tulisan khat ataupun senibina, akan ketara padanya satu daya bentuk yang berterusan, sambung-menyambung tidak ada akhirannya. Kesusasteraan juga tidak berkecuali. Bagi beliau, bentul bentuk novel itu sendiri tidak berunsur Islam kerana ia mempunyai plot, iaitu ada permulaan dan akhiran, walhal kesenian Islam melambangkan teknik dan jiwa al-Qur'an, yang tidak mempunyai permulaan dan akhiran. Tema dan tema kecilnya sedia terdapat, tetapi semuanya saling berhubung kait dalam suatu kesinambungan."

Sambung al-Faruqi, "Semua ini saya perkatakan kerana tidak lama lagi saudara akan pulang ke tanah air. Saudara perlu memerangi para penulis berfaham sekular dalam kesusasteraan Melayu. Perangi mereka habis-habisan secara berdepan, dengan memberitahu mereka: Kamu meniru barat, tetapi kamu lebih buruk daripada apa yang lamu tiru, lantaran kamu gagal sebagai peniru."

Sehingga kini, saya tidak tahu apakah perjuangan tersebut berjaya.



Nota: Diambil dari buku Ismail Al-Faruqi: Warisan Zaman Yang Abadi. M Tariq Quraishi DBP. 1988

Jumaat, Februari 24, 2012

Buku: Labyrinth





Akhirnya baca juga karya Imaen setelah dikempen berulangkali. Mereka memuji tinggi melangit tapi bagi aspek thriller-penyiasatan ala CSI, saya masih anggap Ekuinoks (Azizi Ali) sebagai yang terbaik. Mungkin saya pilih novel yang salah (Nota: Imaen ada beberapa novel lain bersama Jemari Seni)

Selain Ekuinoks, ada sebuah novel terbitan CESB yang juga menarik (bersifat penyiasatan). Tetapi saya tak ingat judulnya. Maksud menarik bagi saya ialah aspek penyiasatan 'bertaraf' CSI. Ada kes, ada fail kes, suspek, mangsa, OKT dan yang penting, gerak kerja polis. 

Walaupun begitu, Labyrinth tidak mengecewakan. Ada bahagian yang memukau. Ada mainan kata Imaen yang menyebabkan saya terfikir panjang. Beliau cuba memasukkan fakta yang menjadi rencah tambahan tetapi pada sesetengah tempat ia seperti mengganggu plot sehinggakan tujuan utama - penyiasatan - seperti terpinggir oleh sub-plot rumah tangga Kamal, Hanani yang gila bayang dan mainan perasaan Dani.

Saya beri tiga bintang dan cuba membaca karya Imaen yang lain pula :-)




Nota: Sama seperti di GRMY. Copy-paste sahaja :-)

Khamis, Februari 23, 2012

Belajar

Sudah beberapa kali saya berhasrat menyambungkan pelajaran tetapi sering berhalangan. Apatah lagi saya keluar dari bidang yang sudah saya pelajari sebelum ini meskipun lapangan ekonomi sangat menarik untuk terus ditekuni. Namun, sebagai seorang adventurous, mana mungkin saya berada dilapangan yang sama.

Kali ini, saya benar-benar rasa terhalang lagi. Komitmen terhadap sebuah rumah yang saya beli menuntut saya menyimpan sebahagian besar gaji menunggu saat dibenarkan menduduki. Itulah hasil kerja keras, ikat perut, jimat belanja, berdikit menyimpan, honorarium juga royalti yang tidak seberapa. Tetapi itu bukanlah penyebab utama. Halangan paling besar kali ini ialah apabila melihatkan dua orang adik saya sudah mendaftarkan diri menyambung pengajian mereka. Saya perlu berulang-alik menziarahi orang tua yang semakin dipanjat usia pada setiap bulan memandangkan nanti mereka berhalangan dengan kelas dan tugasan. Saya tidak boleh melepaskan tanggungjawab itu.

Saya mengundur diri dan belajar dari luar sahaja. Menekuni bidang yang berbeza memerlukan saya bersiap fizikal dan mental. Selesai pengajian mereka, saya akan menyusul. Itu pun jika masih ada ruang kesempatan. Apatah lagi saat ini saya menanti satu tawaran yang entah bila kan berkunjung tiba. Saya nantikan detik itu.

Sabar.

Rabu, Februari 22, 2012

Musuh

Saya seorang yang mudah tapi sering di pandang sukar. Tak mengapa - kerana saya senang dengan diri saya sendiri. Cuma satu sifat saya yang baru saya fahami, saya akan senang menarik diri dari bersahabat sekiranya seorang sahabat itu mengutuk sahabatnya yang lain. Atau mengumpat. Atau mengeji satu dua sikapnya. Saya sering memandang diri saya yang kurang sempurna lalu lebih senang menutup mulut dari berkata apa-apa. Pada saya, sepatah kata kita tentang orang, sepatah kata itulah yang akan berbalik semula pada kita. What you give, you get back.


Oleh itu, jika berlaku sebarang perselisihan, saya lebih senang mengundurkan diri. Melihat kembali diri. Saya suka memahami sikap manusia yang gemar diam jika betul dan bising apabila salah. Sering saya simpati pada insan yang dimusuhi, lalu dalam diam saya mendekati musuh, mengambil sikap membaiki dan memahami. Jika benar dia salah, saya akan membetulkan. Tapi jika dia menarik saya dalam kesalahannya, maka saya akan terus meninggalkannya tanpa ampun. 


Saya sangat percaya pada Tuhan dan saya sentiasa berserah kepadanya dalam setiap langkah saya di dunia. Saya tidak tahu apa-apa tentang manusia. Jika mereka orang baik, maka ia anugerah. Jika mereka orang jahat dan saya tidak tahu, maka saya minta Tuhan beri petunjuk. Saya seorang diri dan sebatang kara disini, maka saya sangat bergantung pada gerak hati yang Allah kurnia. Saya sangat percaya Tuhan. Mungkin sebab itu, saya tidak merasa apa-apa jika masih sendiri dan sentiasa seorang diri. Saya percaya diri. Dalam diri, saya selalu melafazkan doa ini: Ya Allah, sesungguhnya aku ini tidak tahu, maka kau bantulah aku.


Kata-kata Martin Luther King Jr ini sentiasa berlegar di telinga bila melihat manusia. In the end, we will remember not the words of our enemies, but the silence of our friends. Memang, sukar untuk mengenali manusia tapi saya sangat percaya pada Tuhan.






Baca ini juga.

Selasa, Februari 21, 2012

Restoran tepi jalan

Setiap hari bekerja, beberapa minit sebelum jam lima, saya akan segera mematikan komputer lalu bergegas mengerjakan solat Asar. Tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan, saya akan segera menuruni tangga, keluar dari pejabat, menuju ke kereta dan memandu ke sebuah kedai makan yang terletak di pertengahan perjalanan saya pulang ke rumah. Di meja yang sama setiap hari, saya memesan secawan teh tarik atau kopi panas lalu membuka novel, apa-apa buku atau majalah bersama sebatang pena dan buku catatan. Kadang kala apabila merasa lapar kerana tidak akan tengahari selepas heavy breakfast, saya akan memesan sepinggan nasi goreng atau mehoon goreng atau nan tandoori yang baunya sering menggoda. Tetapi saya sering dengan secawan teh dan segelas ais kosong sahaja. Ketika itu juga saya teringat pesan emak agar mengurangkan pengambilan teh tarik. Saya faham mengapa tetapi saat itu saya sudah pun meneguk teh yang berbuih-buih dan masih berasap.

Di meja yang sama dan pada waktu yang sama, begitulah saya bertemankan novel, apa-apa buku, majalah pena dan buku catatan. Kadang kala membawa laptop atau tab. Menaip apa sahaja atau melompat-lompat dari satu blog ke satu laman web. Restoran tepi jalan besar ini menjadi saksi saya melihat manusia. Kenderaan lalu lalang. Motor mundar mandir. Kala hujan atau panas, ia adalah wayang yang memaparkan lakonan manusia. Setap hari tidak henti.

Pelayannya sudah serasi dengan saya. Kelibat saya jika tidak muncul akan menjadi topik bualan hari berikutnya. Saya akan duduk sehingga langit gelap atau sebelum azan Maghrib berkumandang. Selepas penat membaca, mencatat, menaip, saya bangun, membayar segelas teh tarik dan langsung pulang. Esok, sama ada berteman atau tidak, saya akan tetap di kerusi yang sama dengan buku yang berbeza.

Isnin, Februari 20, 2012

Soalan

Sehari dua ini hati saya seperti berkata sesuatu. Saya seperti ditanyakan dengan bermacam soalan tapi tidak pula memerlukan jawapan. Persoalan itu kemudian berlegar-legar di ruang ingatan, bermain-main seperti anak-anak kecil di padang bola dan berpusing-pusing seperti roda basikal di jalanan. Ia hanya berhenti apabila saya tidur, Dan ia muncul lagi apabila saya terjaga dari lena pagi esoknya.

Dalam lena itu muncul beberapa watak bertanyakan soalan yang sama dalam nada yang berbeza-beza berulang-ulang kali. Saya ingin bertanya apa sebenarnya yang mereka mahukan tetapi mereka tidak menjawab. Sebaliknya mereka memalingkan muka ke kiri dan ke kanan, kemudian ke kiri dan ke kanan lagi seperti mencari-cari sesuatu. Saya pun turut sama menoleh ke kiri dan ke kanan dan kek kiri dan ke kanan seperti mereka tetapi sebaik sahaja pandangan kami menyatu, watak-watak itu kembali melontarkan soalan yang sama. Bingung, memang saya bingung. Saya tidak faham apa yang mereka maksudkan.

Saya terjaga dan mimpi itu langsung terbunuh.Saya mandi, solat dan bersiap ke tempat kerja. Soalan itu menjadi teman saya dan duduk di kerusi sebelah yang kosong sepanjang pemanduan saya ke pejabat. Soalan itu masih berkata-kata dan bermain-main di telinga saya. Saya bertambah bingung, pusing, keliru. Saya memutar haluan berbeza, membawa kereta ke arah kawasan lombong yang luas.Saya membiarkan kereta terjunam ke dasarnya. Suara itu segera mati dan tenggelam tidak muncul-muncul lagi. Saya berjaya membunuh suara itu. Saya gembira. Saya tidak lagi bingung.

Dan saya pun tidak sedar yang saya sebenarnya turut sama terjunam dan tenggelam di dasar lombong itu.

Ahad, Februari 12, 2012

Bebalisme


Prof Syed Hussein al-Atas telah mengupas ciri budaya dan bentuk pemikiran bebalisme dengan mendalam dalam bukunya Intellectuals in Developing Societis (Frank Cass, 1977). Senarai berikut merupakan ciri bebalisme yang beliau senaraikan dan saya petik dari buku Penjelasan Budaya Ilmu (DBP 1997)  oleh Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud.
  1.  Tidak mampu mengenali masalah
  2. Jika diberitahu, dia tidak berupaya menyelesaikannya
  3. Tidak mampu mempelajari apa yang diperlukan, malah tidak memiliki kemahiran belajar
  4. Tidak mengaku kebebalannya
  5. Tidak boleh menghubung-kaitkan sesuatu dalam konteks ruang dan waktu dan dengan faktor lain
  6. Hanya memberikan tindak balas kepada suasana sementara tetapi tidak memikirkan akibat / perkiraan jangka panjang
  7. Berfikir hanya melalui sebab terhad dan tidak melalui urutan sebab-akibat
  8. Terpenjara dengan tabiat sendiri tanpa berfikir secara kritis tentang asas pemikirannya
  9. Tidak berfikir dengan mendalam
  10. Tidak konsisten
  11. Tidak mempunyai tenaga akal dan hanya menurut apa yang mudah
  12. Tidak berupaya berbicara dengan abstraksi yang tinggi tanpa menentang hakikat
Apakah kita salah seorang daripadanya?


Selasa, Februari 07, 2012

Dilema seorang wartawan dalam Travelog Wartawan Islam

Saya pernah bercita-cita menjadi wartawan sewaktu kecil. Menyedari kerjaya wartawan penuh glamor dengan nama terpampang pada by-line, mengejar publisiti, mencari berita, sentiasa sibuk dengan agenda menemuramah para VIP dan menteri, saya beranggapan ia adalah kerjaya yang berkelas tinggi dan penuh sensasi. Hanya ketika ditingakatan empat, saya mula mengambil subjek perdagangan dan kemudian menukar cita-cita kepada sesuatu yang masih dalam pencarian. 

Travelog Wartawan Islam ini saya beli ketika Ekspo Buku 1Malaysia melabuhkan tirainya. Saya dari cuti panjang hujung minggu memandu dari kampung, meletakkan kereta distesen LRT Sungai Besi dan menaiki LRT ke PWCT. Ketika tiba, beberapa gerai sudah pun di tutup. Pengunjung tidak berapa ramai dan sebuah dua gerai yang lain mula melakukan acara lelong buku dengan meletakkan diskaun pada harga yang tidak munasabah. Sebagai pembaca, acara melelong buku pada saat akhir merupakan peluang yang amat dinanti-nantikan. Namun sebagai penulis, ia merupakan saat yang merobek hati. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana perasaan sendiri jika suatu hari nanti bertemu saat dimana buku sendiri di jual murah seperti itu. Memang saya akan gembira melihat buku tulisan sendiri beredar di khalayak tetapi pada sudut lain, pasti ada perasaan hampa melihatkan penerbit berusaha menghabiskan stok yang dibawa sebegitu rupa. Seperti usaha yang berhempas pulas ketika menghasilkan buku tersebut dipijak-pijak maruahnya. Tetapi apa boleh buat, nasib penulis di Malaysia memang di tangan penerbit.


Buku ini menceritakan pengalaman Roslan Hamid sebagai wartawan di akhbar Berita Harian dan Harian Metro kira-kira 12 tahun. Berkhidmat di meja luar negara, beliau terkenal dengan beberapa ruangan pojok yang sering menjadi kesukaan saya ketika di bangku sekolah. Malah, tulisan beliau yang kemas dan tersusun amat mudah saya fahami meskipun beliau bercerita mengenai isu-isu yang berkaitan negara luar. Tidak saya nafikan, tulisan beliau sering memudahkan saya memahami apa yang berlaku di luar negara menjadikan saya dapat menghadam dengan santai apa yang cuba beliau sampaikan. 

Walau pun begitu, saya merasa sedikit hampa kerana buku ini tidaklah seratus peratus menceritakan pengalaman beliau sebaai wartawan yang pada pertengahan tahun-tahun perkhidmatan sudah berkonflik dengan diri dan tanggungjawab dalam melaksanakan tugas. Buku ini boleh dikatakan terbahagi kepada dua - satunya seputar pengalaman beliau sebagai wartawan dan sebahagian lagi adalah koleksi tulisan beliau di akhbar menerusi ruangan 'Kisah Atara Dua Kota'. Pada pandangan saya, biarlah pengalaman sewaktu membuat liputan di luar negeri diceritakan dalam satu buku dan koleksi tulisan di terbitkan dalam buku berbeza. Saya pasti, sebagai wartawan pada era 90-an, banyak yang boleh beliau ceritakan memandangkan ada pelbagai peristiwa dunia berlaku dalam waktu tersebut menjadikan beliau orang utama dan pertama menjadi saksi. Antara yang dapat saya sebut ialah pembubaran kesatuan Soviet, pilihan raya pelbagai kaum yang pertama di Afrika Selatan, runtuhnya tembok Berlin di Jerman, pembakaran Masjid Babri di Bombay, Perang Teluk di Iraq-Kuwait, perang Balkan yang melibatkan pembersihan etnik di Bosnia dan pelbagai lagi peristiwa yang menjadi tajuk utama akhbar dunia ketika itu.

Meskipun dunia kewartawanan di Malayis akini sudah pun menjadi ruang yang diragui oleh pelbagai pihak akan ketelusan berita dan pelanggaran etika kewartawanan, Roslan Hamid yang terkenal dengan nama pena LanH sudah melihat perkara ini sejak beliau berkhidmat lagi. Dan konflik diri itulah yang menjadi punca kepada perletakan jawatan beliau pada Januari 1998. Rupa-rupanya, konflik yang sama turut dirasai beberapa bulan kemudian apabila beberapa editor dan wartawan terkemuka tanahair meletakan jawatan berikutan isu pemecatan jawatan (bekas) Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim pada September 1998. 

Saya berharap agar ada sequel terhadap buku ini yang lebih menjurus kepada pengalaman beliau sebagai wartawan akhbar meja luar negara. 

Jumaat, Februari 03, 2012

Jejak seorang Muhammad

membaca kembali bagaimana seorang insan istimewa di angkat menjadi pembimbing dan penunjuk jalan kepada sekian umat manusia pada takah usia sebegini sering membuat saya menjadi perenung - apakah yang ada dalam fikiran Muhammad tatkala Baginda melihat sekian banyak kemaksiatan, penyelewengan, kejahatan, kemusnahan kemanusiaan yang berlaku seputar hidup Baginda ketika kegelapan masih menjerut kehidupan.

Saya melihat pada diri, ketika hidup kita juga didalam lingkungan masyarakat sebegitu - jenayah, pembohongan, rasuah, zina, hedonisme - yang seperti satu budaya baru dalam masyarakat serba 'moden'. Kemudian, apa yang saya lakukan pada mereka? Ya, saya lihat sahaja dan mencemuh dalam diri. Ohalangkah hinanya saya menjadi manusia berakal.

Muhammad, sebelum diangkat menjadi Nabi, memikirkan keadaan masyarakatnya selama beberapan tahun, kemudian mengasingkan dirinya bagi mendapatkan ketenangan diri juga berusaha mencari penyelesaian. seharusnya kita mengambil langkah yang sama, berusaha menyelesaikan kebobrokan yang melanda masyarakat teruamanya 'mazhab materialisme' yang dianuti kini nampaknya semakin menghakis nilai manusiawi. Mahukah kita menjejaki langkah Rasulullah itu?

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...