Isnin, Jun 25, 2012

Mencari makna memberi

Dua hari bersatu bersama penggerak Teach For The Needs,  sebuah pertubuhan yang menjalankan perkhidmatan tuisyen percuma kepada anak sekolahan yang tercicir, berhadapan kemiskinan dan masalah pembelajaran membuka paradigma baru kepada saya dalam mencari makna memberi.

Mungkin ada yang mempertikaikan mengapa kami bergabung di KL Alternative Books yang menjadi ruang puak liberalis, pluralis, sosialis, anti-establishment dan berhaluan kiri mempamerkan produk mereka? Tidak, kami tidak bergabung, kami cuma menggunakan platform. Malah, kita perlu sedar yang pendidikan seharusnya diberi sama rata kepada semua orang jika kita tidak mahu mereka menjadi liberalis, pluralis, sosialis, anti-establishment dan berhaluan kiri. Bukankah itu suatu ironi?

Berbual dengan para guru dan sukarelawan menyedarkan saya akan kepincangan yang berlaku dalam sistem pendidikan. Banyak pendedahan yang mengejutkan dan menyedihkan diceritakan sendiri oleh guru-guru yang prihatin yang sekaligus menyebabkan mereka menggerakkan TfTN. Itu belum lagi guru yang berhadapan dengan masalah autisme dan dyslexia, dimana ibu bapa mereka sendiri tidak mengaku anak mereka mengalami kelemahan tersebut. Jika anda sudah menonton filem Taare Zamen Par, anda akan segera insaf dan kecewa dengan sikap mereka yang menjadikan kecacatan atau kelematan sebagai hukuman untuk mereka dikesampingkan dari menerima pendidikan yang sempurna.

TfTN menyatukan guru dan bukan guru yang meliputi pensyarah, ahli terapi (occupation therapist - Oh, Google it!), pekerja kolar biru yang sedia berkhidmat dan mahasiswa yang sedia membantu. Kami hanya mempunya hati nurani sedangkan guru-guru ini menyumbangkan tenaga secara percuma, disamping masa dan emosi yang diratah-ratah oleh anak-anak yang masih merangkak membaca dan mengeja.

Malah, tidak mengejutkan juga tuisyen percuma ini tidka mendapat sokongan dari ibu bapa. Anak mereka sedia lemah dan tercicir, tetapi masih tidak mahu dilepaskan untuk berlajar. Apa yang anda lakukan jika berhadapan dengan situasi ini?

TfTN mengajar saya erti memberi yang sebenar. Jika sebelum ini penglibatan bersama NGO kelihatan hanya dipermukaan, kali ini saya benar-benar diajak masuk dan menyelam ke dalam permasalahan sebenar. Bagaimana mahu mengajar murid yang sudah darjah enam tetapi masih belum kenal huruf? Bagaimana mahu menunjukkan apa itu laptop dan internet kepada pelajar bandar yang tidak menerima perkhidmatan jalur lebar. Ketepikan pemberian netbook percuma kepada pelajar sekolah - mereka di tengah Kuala Lumpur tetapi tidak tahu internet apatah lagi Facebook. Tidakkah ini menyebabkan anda menggeleng kepala beberapa kali?

Malaysia, TfTN akan membantu anak bangsa anda!

Khamis, Jun 21, 2012

Perut

Mutakhir ini pelbagai jenis ubat, makanan dan alat menguruskan badan berleluasa di iklankan. Bukan mutakhir ini, tapi sudah hampir dua tiga tahun. Macam-macam jenis iklan keluar. Bila dilihat di tv atau di akhbar, terasa nak gelak pun ada. Dari gemuk menjadi kurus, prosesnya bukanlah semudah makan produk dam kurus. Apatah lagi berada dilingkungan meremka yang makan, menjual, merasai perbezaan dan kecewa dengan kesan yang tidak seberapa, memberikan pelbagai tanggapan yang sangat ... errr.. boleh dikatakan menjengkelkan.

Menguruskan badan memerlukan proses yang mudah. Asal usulnya ialah perut. Kemudian tekak. Diikuti makanan. Kita punya hak memilih. Tetapi selalunya kita kalah pada tekak. Perut tidaklah lapar mana. Selera akan mengikat tekak juntuk menerima apa sahaja makanan yang dilihatnya. Mahu tak mahu, perut terpaksa menerima. Akhirnya, tanggung sendirilah akibat.

Itulah pilihan. Boleh berkata tidak tetapi tunduk kepada keputusan. Jadi bila merasa lemak-lemak sudah mula menyebabkan perut atau dagu menggeleber, mulalah risau. mula rasa menyesal bila melihat pertambahan saiz baju. Tokay ubat pelansing pun gembira

Rabu, Jun 20, 2012

Jerebu

Saya teringat waktu kecil, pernah sekali berselisih faham dengan jiran tetangga. orang tua-tua kata itu perkara biasa. sedangkan suami isteri tinggal serumah tidur sebantal kekatil pun bboleh tergelincir. macam lidah dengan gigi, duduknya sebelah menyebelah pun gigi boleh terbabas gigit lidah.

kalau kita tak suka jiran, kita boleh pilih untuk pindah atau memindahkan si jiran. tapi kalau sebuah negara yang sering mendatangkan masalah kepada kita, nak kita pindah ke mana agaknya?


sambung kemudian. nak kerja dulu :

Jumaat, Jun 15, 2012

Kepalang ajar

Semalam (Rabu) saya bepeluang duduk minum bersama seorang bakal guru. Sebenarnya dia sudah pun masuk mengajar ke sekolah dan akan menjadi guru penuh selepas tamat satu setengah tahun perguruan di maktab.

Banyak yang diceritakan, khususnya tentang sikap kurang ajar murid zaman sekarang - almaklumlah beliau mengajar di sekolah elit bandar. Ini diikuti dengan beban tugas guru yang bukan lagi isu kecil dan terpencil - guru mengajar dan menyiapkan tugas pentadbiran; tanggungjawab guru di kelas yang bukan sahaja mendidik tetapi mengajar. itu belum lagi dengan sikap guru yang culas dan tidak punya cita-cita besar - menjadi guru kerana tiada kerjaya lain yang melekat padanya.

"Pada hari-hari awal mengajar, saya terkena culture shock," dia ketawa. Saya pun ketawa. Dalam kepala, terlintas soalan yang menghairankan: sudah besar panjang dan berkeluarga pun boleh dikatakan kena culture shock di sekolah?

"Sampai satu masa, saya terfikir yang saya seperti menyesal memilih profesyen perguruan. Tapi oleh kerana minat dan impian saya sejak kecil, maka saya teruskan." Ya, bukan lagi bohongan, memang dia sejak dulu sibuk mengisi borang KPLI dan JQAF sehingga akhirnya betul-betul sangkut.

"Kita dah bekerja dengan beberapa syarikat yag besar dan bertaraf profesional. Kita dah kenal ramia orang, dah buat macam-macam kerja, dah biasa dengan kerja yang tersusun dan sistematik. Jadi bila saya masuk mengajar, saya hairan dan terkejut dengan budaya yang ada." Catatan dalam kepala saya:  profesyen perguruan tidak profesional. Patutlah cikgu sibuk dengan katalog pinggan mangkuk dan menjual kain pasang.

Dia bercerita lagi tentang beberapa polisi yang diperkenalkan oleh kerajaan terhadap institusi sekolah yang mendatangkan kelucuan. "Dahulu ada konsep guru penyayang. Kita faham itu bermaksud guru di hormati dan disayangi murid. Sekarang ini, konsepnya diperkenalkan kembali. Tetapi terbalik."  Dia ketawa. Saya menunggu, belum mahu ketawa.

"Guru mestilah bersikap penyayang terhadap murid dengan menunggu mereka di pintu pagar sekolah, membukakan pintu kereta dan mengajak mereka masuk ke kelas."

Saya tak jadi ketawa. "Bukankah itu menyebabkan aank murid memijak kepala gurunya di kemudian hari?" Dia mengangguk tapi saya menggeleng. Hairan.

"Sekarang setiap cikgu adalah cikgu disiplin." Dia ketawa. "Cikgu motivasi pun dah tak boleh nak motivasi pelajar. Mereka pun jadi guru disiplin. Cikgu macam tarzan. Malangnya kami tak boleh merotan. Ada pekeliling dikeluarkan khas untuk itu. Tak boleh cubit, tak boleh guna rotan, tak boleh itu tak boleh ini."

Saya mencebikkan bibir. Rasa kasihan bertimpa-timpa pula.

Dia bercerita lagi tentang kursus dan latihan yang perlu disertai setiap kali cuti sekolah. Kerja pentadbiran yang dibebankan ke bahu guru muda kerana guru senior tidak mahir menggunakankomputer. "Cikgu buat kerja pentadbiran ini pun disebabkan orang awam cemburu cikgu kerja sampai tengahari, ada cuti sekolah yang panjang dan tak ada beban kerja sampai perlu kerja lebih masa. Tetapi akhirnya, guru terbeban bukan dengan tugasan hakiki."

Saya menghela nafas panjang. Mengenali beberapa orang guru secara dekat mutakhir ini, masing-masng mengutarakan isu yang sama - beban tugasan guru. Tetapi selagi persepsi terhadap profesyen perguruan 'yang bekerja sampai tengahari sahaja' tidak dibuang, maka selama itulah guru akan menjadi penulis laporan yang baik dan pentadbir yang cemerlang tetapi mengkesampingkan tugas hakiki mendidik anak bangsa.


Khamis, Jun 14, 2012

Dunia Jam 10

Dahulu, sebelum tidur, abah akan menonton Dunia Jam 10. Ia merupakan siaran berita dunia yang disiarkan pada jam 10 malam. Kemudian terbitlah teka-teki nakal anak-anak sekolah - dunia apa yang ada dua orang?

Bilik saya bersebelah ruang tengah yang menempatkan tv. Kami adik beradik sudah bersedia di katil ketika itu untuk beradu. Abah pula belum mahu tidur. Dia akan mengacau segelas air panas, membuka tv dan menonton berita sehingga tamat. Dalam usaha memejamkan mata, saya mendengar suara Farid Ismeth Emir dan gandingan utamanya Harjit Singh Hullon membacakan berita-berita dunia. Dari situ saya dapat tahu negara mana sedang berperang, apa itu EAEC dan APEC, negara mana menganggotai G8 dan Komanwel, isu Palestin dan Perang Teluk, perjanjian Maastrich dan penubuhan Kesatuan Eropah, pengapusan etnik di Bosnia sehinggalah perang puak pemisah di Chechnya. Saya dapat mendengar meskipun suara tv sudah di rendahkan. Dari situ dapatlah saya tahu isu-isu yang berlegar di seluruh dunia.

Kemudian Dunia Jam 10 dianjak ke pukul 10.30 dan seterusnya jam 11. Setelah itu saya melanjutkan pelajaran dan tidak lagi menghiraukan Dunia Jam 10 atau apa-apa isu dunia menerusi kaca tv, kecuali membaca menerusi akhbar. Lama kelamaan saya langsung tak ambil tahu isu dunia.

Kemudian, Pengetua di sekolah saya yang suka masuk ke dalam kelas yang tidak mempunyai cikgu (tak dapat peluang nak main-main) gemar memberi nasihat dan memotivasi kami. Saya masih ingat lagi, ketika itu dalam tingkatan dua. Dia seperti bergurau mengatakan bahawa perempuan tidak ambil tahu hal-hal dunia, sebaliknya orang lelakilah yang sangat celik isu semasa dan isu dunia.

Panas sekejap saya mendengarnya.

"Kalau tak percaya," kata Pengetua, "cuba kita tanya pelajar perempuan." Dia mengarahkan kami - pelajar perempuan - berdiri.

"Apakah bezanya Chechnya dan Chechen?" soal Pengetua sambil senyum simpul. Pada fikirannya, soalan ini sangat susah sehingga boleh memecahkan urat kepala. Saya pun senyum simpul. Soalan kacang, bisik hati saya. Berkat memasang telinga mendengar Dunia Jam 10, saya pun menjadi batu api berbisik-bisik kepada kawan-kawan.

"Chechen itu bangsa, Chechnya itu negara," beritahu saya kepada semua. Semua pelajar perempuan memegang jawapan saya dan bersiap sedia menjawab. Tetapi Pengetua yang mendengar bisik-bisik kami itu tidak pula memberi peluang kami menjawab, sebaliknya menyuruh kami duduk. Agaknya dia tidak mahu dimalukan kerana sudah silap membuat telahan terhadap orang perempuan. Saya pun senyum simpul memandang Pengetua yang tidak pun memandang saya.

Kemudian di alma mater, ketika belajar subjek History of Islamic Economic Thought, pensyarah yang sangat saya kasihi akan ilmunya, Dr Muhammad Arif Zakaullah - pensyarah hebat dari Pakistan - bercerita tentang beberapa negara Islam. Sampai waktunya dia bertanya siapakah Perdana Menteri Syria. Tiada siapa menjawab. Saya pun dalam keadaan malas-malas menjawab, "Hafez al-Asad."

Atas jawapan itu, saya diminta ke biliknya selepas kelas pada sekian waktu. Terfikir pula, apalah salahnya dengan jawapan saya itu? Dia memuji saya menjawab dengan betul tetapi mengapa pula dipanggil ke biliknya?

Dalam perasaan separa menggigil dan berdebar-debar, saya menapak ke kamarnya. Selepas mengetuk pintu, saya diberi izin masuk dan duduk. Dia sedang menulis dan meminta sedikit waktu untuk menghabiskan tulisannya. Saya memandang kaca mata tebalnya, buku yang tersusun di almari, kertas kerja yang menumpuk di meja dan kerja-kerja yang masih terbengkalai disisinya. Selepas meletakkan pena, dia memandang saya. Saya sudah kecut perut ketika itu.

"Well, sister, please tell me about yourself." Mendengarkan soalan itu, terasa ketengangan mereda. Saya pun bercerita siapa saya - seorang anak luar bandar yang manhu membaiki taraf hidup keluarga yang susah dan tidak berilmu. Kami pun berbual-bual. Dia memuji saya kerana celik hal dunia. Airmatanya mengalir kerana terharu. Saya jadi hairan, hal dunia ini kecil sahaja. Setakat nama Perdana Menteri atau Presiden, tak kan ramai yang tahu?

Di luar pengetahuan saya, memang ramai teman-teman yang tidak ambil pusing seputar isu dunia apatah lagi isu tanah air. Maka pengetahuan saya pada pandangannya di anggap hebat. Saya menghargai pujiannya tetapi masih tetap hairan kerana ilmu dunia saya tidaklah sehebat mana. Itu pun sudah dikatanya bagus.

Sebaik sahaja menamatkan pengajian, saya terserempak dengan Dr Muhammad Arif di kuliah. Saya berteduh kerana hujan dan dia sudi menumpangkan saya ke asrama (menjadi penumpang haram sekejap). Dalam perjalanan itu - dia di hadapan dan saya di belakang - dia mengucapkan kata-kata yang saya ingat sampai sekarang, yang menjadi azimat dan tangkal kepada usaha saya.

"Sister, please write something. You can write in Bahasa (Melayu) and send it to local newspaper."

Kami pun berpisah. Sepanjang perjalanan ke bilik asrama, kata-kata itu terngiang-ngiang di telinga.

Dan malam ini, kata-kata itu kembali kedengaran di telinga saya. Buat sekian kalinya.



Isnin, Jun 11, 2012

Catatan pasca kembara - 1

Pasca kembara, ada-ada sahaja yang terlintas dalam fikiran. Kemudian ia mengalirkan ilham yang menderu-deru turun tanpa sempat ditadah. Ada yang berlari masuk ke longkang dan kembali ke laut. Ada yang hilang diresapi tanah yang bahang dibakar mentari bulan Jun yang sungguh menyala. Mana yang sempat ditangkap, akan tercatat dalam buku nota, status facebook, twitter atau blog. Kadang kala dibiarkan sahaja bersawang menjadi memori bergambar tersimpan dalam kamera kompak, bila direnung dan dilihat dikemudian hari akan membuahkan ilham kembali.

Saya ke Jogjakarta selama empat hari, dari 6 Jun hingga kembali semula pada Sabtu 9 Jun bersama teman penulis, penggila buku dan kaki kopi. Sebaik pesawat berlepas dari LCCT, saya sedar yang saya seperti tidak bersedia mengembara. Dua minggu yang saya lalui sungguh meletihkan. Mengambil pesanan katering selama dua Sabtu berturut-turut (ah, bidang baru!), menyelesaikan suntingan yang baharu saya sedari tarikh matinya tiga hari sebelum (mujurlah cuma suntingan halus), melawat anak saudara yang menjalani pembedahan di HKL, pulang ke kampung menghantar adik dan kembali semula esoknya dan langsung ke tempat kerja, menghadiri kenduri di Kuantan, melayani kedatangan emak dan abah dari kampung, menyiapkan kiraan payroll sebelum bercuti dan tender penting yang menjerat masa, menghadiri kuliah tertutup dan bertemu kawan-kawan yang perlu ditemui. Semua itu memerah tenaga. Terasa sangat letih. Waktu dirumah menjadi terhad lalu saya menyingkatkan waktu tidur - bangun awal dan tidur lewat. Namun ia tidak mengganggu tumpuan untuk bercuti. Beg pakaian siap disusun, wang rupiah berjaya ditukar, kerja berjaya disiapkan, henfon dicaj, voice recorder tersedia dan kamera dengan memori kosong. Saya berjaya memastikan semua dibawa dan tiada yang tertinggal. Apabila pesawat sudah mencecah awan. saya sedar saya memang perlu bercuti!

Kami ke Jogjakarta, Daerah Istimewa di selatan Pulau Jawa menerusi Solo. Pesawat  mendarat di Bandar Udara pada jam 12.30 WIB. Melihatkan bandara yang kecil dan tenang, saya mula merencana apa yang patut saya kejar sepanjang empat hari di tanah Jawa. Ah, rupanya saya kembali ke tanah leluhur saya! Lupa, saya sungguh lupa akan hal itu!




0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...