Isnin, Januari 20, 2014

Erti Ikhlas

Sering benar memujuk diri, kalimah sabar saya ulang-ulang dalam hati supaya mendarah daging pada segenap urat selirat mengalir dalam pembuluh darah. Kerana sabar itu iman, maka iman harus sebati dengan diri, pada tiap-tiap yang dikerjakan. Saya percaya dengan iman dan keikhlasan, usaha akan membuahkan hasil. Hasil yang manis.

~ Tunggu Teduh Dulu

Ahad, Januari 19, 2014

Yang luas pandangan

Seorang teman yang terinspirasi dari sebuah filem, membuat keputusan untuk mengembara supaya lebih mengenali manusia. Sekejap ke Eropah, sekejap ke Amerika Latin sekejap ke negara jiran. "Berjalanlah," katanya, "kau akan melihat pelbagai manusia di luar." Banyak yang menyedarkan, banyak yang menginsafkan, katanya lagi. "Kita akan lebih mensyukuri nikmat hidup di Malaysia dan memberi banyak maklumat dalam menghadapi hidup.'

Dia memberi contoh, dalam kita sibuk-sibuk bercakap tentang GST, di Eropah pula kadar cukainya tinggi tapi rakyat masih hidup dengan aman. Ini hasil dari ketelusan kerajaan, katanya. Maka kerajaan harus meniru usaha itu - lebih telus dan tegas. Begitu juga dalam pendidikan, urusan agama, sukan, pengurusan ekonomi, kerajaan harus buat ini buat itu.

Begitu katanya. Hasil apa yang dia dapat dari kembaranya ke luar negeri.

Tetapi apabila mendapati kembaranya itu sekadar mahu mencari kebebasan dan kegembiraan, sambil melepaskan diri dari beberapa beban yang digalas untuk dilepaskan kepada orang lain maka nampak ia seperti seorang yang tidak bertanggungjawab, atau lebih mudah enggan memegang tanggungjawab. Kerana dia gemar memberi kepuasan pada diri tanpa ada apa-apa yang perlu digalas.

Jika tidak, masakan masalah sendiri tidak mampu diselesaikan dan dibiarkan tergantung begitu, lalu dia pergi mencari kebebasan dan kegembiraan sambil mengharap masalahnya itu akan hilang di telan waktu. Ah, jauh kau mengembara kawan, tapi masalah yang wujud dalam diri takmampu kau selesaikan. Maka usahlah bercakap yang tinggi melangit sedangkan rumput di bumi pun tak mampu kau sentuh!

Khamis, Januari 16, 2014

Penanda aras iman

Seorang pensyarah saya di alma mater, bila teringat-ingat perkataan yang dituturkan, antara yang masih jelas dalam ingatan saya ialah "Islam is the religion of peace. How to spell peace? P.E.A.C.E not P.I.E.C.E."
Jelas sekali, satu perkataan yang boleh membawa makna dan maksud yang berbeza. Kita pula sebagai yang memikul agama itu, adalah insan yang menjadikan ia sama ada PEACE atau PIECE. Mahu disatukan atau dipecah-pecahkan.
Ini mengingatkan saya kepada kejadian mutakhir ini yang berlaku di kejiranan sendiri. Kawasan ini  baru mencecah setahun usianya, jiran tetangga masuk berperingkat-peringkat dan kami masih dalam proses perkenalan. Apabila diminta menyertai AJK, saya yang tidak tahu berkata tidak, bersetuju menyertai mereka. Apatah lagi ini boleh menjadi platform mudah untuk saya mengenali jiran, kerana diri sendiri adalah seorang yang bermasalah dalam beramah mesra dengan orang yang baru dikenali.
Tetapi platform ini memperkenalkan saya kepada ramai manusia yang beragam sifatnya. Jangkaan saya, kejiranan yang berusia muda lebih rasional dan terbuka dalam menangani isu. Namun darah muda nampaknya memercik dan memarak di sana sini. Angin amarah mudah mendatangi menjadikan komunikasi tidak begitu baik meskipun awalnya menunjukkan wajah-wajah ceria dan ria. Lama kelamaan ia menjadi dendam dan kesumat yang mendarah daging dalam diri, melahirkan bibit kebencian dan kejengkelan yang membawa permusuhan. Syaang sekali, kejiranan yang baru berusia setahun sudah mewujudkan kelompok yang berbeza fahaman, hanya kerana pendapatnya tidak didengari. Lalu dia menjadi tali barut yang mengepalai kelompok menentang. Kami hanya berdoa moga dia dibukakan pintu kesedaran untuk kembali pulang ke ruang penyelesaian.
Namun ini mengingatkan saya kembali kepada kata-kata pensyarah di alma mater itu. Peace or piece. Antara yang berada dalam kelompok penentang itu ialah seseorang yang bergelar ustaz dengan kopiah putih yang tidak lekang dari kepala. Dia memang antara yang menjadi batu apai - kalaulah itu yang boleh saya katakan. Tetapi sebagai seorang yang ada agama dan iman, dimanakah agaknya dia meletakkan agama dan iman kalau dia menutup ruang perbincangan, enggan menghadiri pertemuan, tidak mahu menjawab panggilan dan berkata yang bukan-bukan kepada jiran yang menjadi wakil. Apakah Islam pada dirinya adalah untuk memecahkan atau menyatukan?
Agama sifatnya adalah untuk mendamaikan, bukannya memecahkan. Agama seharusnya memberi ketenangan kepada penganutnya, bukannya membawa kekacauan dan kegalauan. Jika dia gagal menangani imannya dengan betul, bermakna hatinya itu sudah rosak dikuasai dunia. Apalah yang ada pada kopiah yang dipakainya saban waktu, jika dia gagal menunjukkan akhlak yang baik kepada orang lain, yang sepatutnya menjadi contoh dan ikutan, yang seharusnya menjadi ruang penyelesai dan pembuka kekusutan. Jika itulah Islam yang cuba dibawanya, maka kita boleh menilai sendiri, apakah aras iman yang ada dalam dirinya. Dan tidak salah jika menebak, semakin tinggi iman seseorang, semakin besar cabarannya untuk membawa iman!

Rabu, Januari 15, 2014

"Tunjukilah kami jalan yang lurus"

Suatu hari beberapa tahun lalu, mungkin hampir sepuluh tahun yang lalu, saya berkereta bersama seorang teman. Kami diekori di belakang kami, sebuah kereta lain. Kami diberi lokasi pertemuan, iaitu sebuah dewan yang terletak di Petaling Jaya. Teman saya yang menjadi pemandu sudah beberapa kali menelefon dan mendapatkan pengesahan lokasi. Dia sendiri tidak berapa arif akan tempat pertemuan tetapi berusaha dengan positif meyakinkan kami. Dia memang positif dan selalu meyakinkan saya dengan tutur katanya yang luhur dengan penuh rasa bergantungan kepada Tuhan. Jadi, kami berusaha dengan sedikit teragak-agak memandu menuju tempat yang telah dinyatakan.


Ternyata hari itu bukanlah hari yang baik buat kami meskipun kami telah berusaha sebaiknya - bertanya orang di tepi jalan, menelefon beberapa kali dan berhenti untuk menenangkan fikiran sambil melihat kembali arah. Zaman itu masih belum ada GPS atau telefon pintar. Masing-masing menggunakan telefon yang bersaiz besar dengan kadar caj yang mahal. Nak hantar SMS kena fikir dua tiga kali kerana harganya masih mahal.


Tetapi teman saya ini bukanlah seorang yang mudah berputus asa. Dia juga tidak putus-putus menyakinkan saya bahawa kami akan sampai juga ke destinasi. Sebagai teman pemandu, saya tidak banyak bersoal jawab, tidak komplen apa-apa malah turut sama mempositifkan diri. Sambil mengendalikan stereng, dia berselawat dan berdoa agar Allah membantu kami menunjukkan jalan yang betul ke lokasi pertemuan. Dia tidak sedikit pun gelisah, tetapi tenang mencari jalan meskipun matahari di luar sana memanah kulit tanpa rasa kasihan.


Akhirnya kereta belakang yang rapat mengekori kami terputus dari haluan. Mereka tertinggal dan selepas beberapa kali menghubungi, mereka putus asa untuk mencari kami atau meneruskan pemanduan ke lokasi. Mereka pulang. Tetapi kami, teruskan perjalanan sehinggalah kami sampai ke alamat yang di beri. Waktu ketika itu berbaki setengah jam dan kami sempat duduk, melepas lelah dan majlis tamat setengah jam kemudian. Namun teman positif saya itu tidak mengeluh. Dia tetap ceria berbual dengan tetamu jemputan, sempat bercerita tentang perjalanan kami tetapi tidak pun dia mengeluh tentang kesesatan kami. Dia kekal positif.


Beberapa hari kemudian, kami berjumpa dengan teman yang berpatah pulang. Tidak sempat membuka cerita, seorang daripadanya sudah menegur lebih awal. "Ada pengajaran dari apa yang berlaku," katanya. "Aku tak sepatutnya putus asa mencari jalan. Aku seharusnya kena memandu sehingga sampai ke lokasi. Aku tak patut patah balik." Saya dan sahabat positif saling berpandangan dan tersenyum.


"Itu perkara penting yang aku belajar dari kau berdua. Kita tak boleh putus asa, kita kena berusaha sehingga sampai ke destinasi. Baru cari jalan dah putus asa, belum lagi berusaha untuk perkara-perkara lain," sambungnya lagi, seperti menyatakan kekesalan kerana terlalu mudah berputus asa.


Dia menyampaikan apa yang dia rasa dari sifat putus asanya itu, tetapi secara tidak langsung dia mengajar saya untuk tidak mudah putus asa. Sahabat positif itu juga banyak mengajarkan saya erti mencari ketenangan dalam setiap tindakan dan kebergantungan kita yang sepenuhnya kepada Tuhan. Dia mengajarkan dalan setiap tindakannya.


Inilah yang saya pegang tatkala berpusing-pusing selama hampir tiga jam dalam bandar Klang pada Sabtu yang lalu. Asalnya berjanji dengan teman yang lain yang akan sy aekori sehingga ke destinasi, tetapi menyedari saya akan terlewat kerana perlu singgah mengambil dua barang di lokasi berbeza, saya mengarahkan dia meninggalkan saya. Saya pernah sekali sahaja ke rumah anak yatim di Klang ini dan masih belum sepenuhnya mengecam jalan. Tetapi saya yakin yang saya akan sampai dan akan sampai dengan bantuan Tuhan sepenuhnya.


Namun oleh kerana tidak begitu yakin, saya menggunakan GPS di telefon. Tetapi menggunakan Backberry yang mudah hang, asyik-asyik restart dan mudah kehabisan bateri, saya kesesatan. Bertanya orang arah yang dimaksudkan tidak begitu membantu. Saya berpatah balik beberapa kali ke bandar Klang selepas keluar ke arah yang dimaksudkan kerana ia bukannya tempat yang di cari. Hampir sepuluh kali saya berpusing di tempat yang sama. Akhirnya saya berhenti di sebuah kawasan parking, menarik nafas, berselawat dan berdoa semoga Allah keluarkan saya dari kesesatan ini. Saya tahu mengapa saya sesat - kerana saya begitu yakin dengan bantuan GPS saya akan tiba tanpa sesat. Nah, Tuhan beri cash, cepat sahaja saya di simpang-simpangkan ke laluan yang tidak sepatutnya. Bukan Tuhan menjadi tempat pergantungan saya rupanya tetapi GPS. Wajah anak yatim dan sukarelawan yang kelaparan kerana menanti makanan pagi yang ada dalam kereta saya bermain-main di hadapan mata. Ya Tuhan maafkanlah aku. Cepat sungguh balasan yang kau berikan. Aku mohon ampun dan maaf atas kesilapan tidak bergantung sepenuhnya kepada-Mu. Kalau pusingan akhir ini aku gagal mencari destinasi, aku akan pulang terus ke rumah, mengecaj telefon dan menghubungi kawan-kawan untuk meminta maaf.


Saya nekad menghidupkan enjin dan berpusing buat kali terakhir sebelum nanti pulang terus ke rumah andai tidak bertemu arah. Biarlah nasi lemak dan mee yang dibungkus cantik itu saya habiskan semuanya atau saya sedekahkan pada orang lain. Ini bukannya berputus asa, ini adalah perjalanan keluar dari kesesatan untuk kembali ke jalan yang sebenar. Jalan yang lurus, akibat dari pergantungan hati yang tidak lurus.


Saya menarik nafas panjang dan mengendalikan stereng sebaiknya. Wajah anak yatim dan sukarelawan yang kelaparan masih bermain-main dalam kepala. Mujurlah Sabtu itu bandar Klang lengang, tidak sesak seperti sebelumnya. Mungkin ini bantuan Tuhan untuk memudahkan perjalanan saya dari terganggu oleh kesesakan tetapi saya terperangkap oleh kesesatan. Satu papan tanda yang telah saya lalui sewaktu berpusing sepuluh kali mengajak saya untuk membelok ke arahnya meskipun sebelum itu hati rasa ragu-ragu. Tak mengapa, untuk kali terakhir saya membelok ke kiri. Kurang 100 meter dari simpang, saya ternampak masjid di kiri dan kanan jalan. Nah, itulah arah yang saya cari. Akhirnya saya tiba ke destinasi setelah puas mencari.


Apabila ditanya bagaimana saya boleh bertemu lokasi ini, saya hanya tersenyum. Mereka pastinya ternantikan kehadiran saya tanpa mengetahui yang saya sudah 99% membulatkan hati untuk berpatah balik. Terlalu panjang jawapan yang mahu saya beri, terlalu banyak cerita yang ingin saya kongsi. Tetapi di sudut yang lain, Allah sebenarnya menghantarkan satu tanda untuk saya, satu tanda untuk saya membetulkan diri dengan memandang anak-anak ini. Saya tahu, jika saya patah balik atau tidak sesat tempohari, saya akan mengucapkan selamat tinggal selama-lamanya kepada mereka.


Tanda yang Tuhan berikan kepada saya terlalu mahal harganya untuk saya biarkan. Jawapan yang Dia berikan itu menjadikan saya kuat untuk terus berjuang meskipun sering dilanda badai yang tidak pernah susut dan surut.


Lantas, makna Surah al-Fatihah ini sering teringang-ngiang, menjadikan saya cepat insaf dan sedar diri.


Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.


Tunjukilah kami jalan yang lurus


Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.


Al-Fatihah 1:5-7




Jumaat, Januari 10, 2014

Yang dinamakan kepercayaan itu adalah

1.
Kita tidak saling mengenali. Kita bukanlah adik beradik, saudara mara atau kenalan. Kita tidak punya hubungan darah. Kita ditakdirkan berkenalan lalu kepercayaan mengikatkan kita pada satu persahabatan. Kita diyakinkan dengan kepercayaan itu dan kita mengusahakan sesuatu yang sebelumnya nampak mustahil. Kita belajar membina kepercayaan. Kau memberi, aku menerima. Kau menerima, aku memberi. Begitulah kita berdikit dikit belajar. Kita membina kepercayaan perlahan-lahan dan membangunkan kepercayaan itu untuk menjadikan orang lain jatuh percaya kepada kita. Kita bersama-sama mereka menggerakkan segenap kepercayaan kepada massa, untuk membuka mata kepada kekurangan yang membadai masyarakat dewasa ini. Dalam menempuh badai itu, kita kemudiannya dilanda badai. Perahu kepercayaan yang sedang kita naiki ini tersasar haluan. Kita membetulkan arah dengan rasa penuh percaya yang laluan itu bisa menenangkan kita sepanjang perjalanan dan memimpin tangan-tangan yang lain menempuh laluan yang sama. Kita bawa mereka ke ruang cahaya - dari gelap kepada terang, dari tiada kepada ada, dari gusar kepada tawa, dari kecewa kepada ria. Itu semua terhasil dari rasa percaya yang tercurah kepada mereka. Sambil belayar kita belajar, sambil meneroka kita menjadi dewasa. Tetapi kedewasaan membawa harga yang mahal untuk kita apabila ia mula perlahan meruntuhkan kepercayaan yang sebelum ini menembok berdiri kukuh mengikat perkenalan kita. Kepercayaan itu runtuh, menjadi puing-puing halus nan berterbangan ditiup angin. Kita dalam resah gelisah tetap berusaha menangkis gelora menempuh gelombang mengharung badai. Tetapi atas runtuhan kepercayaan, kita tersadai di pinggirnya. Atas runtuhan kepercayaan, ikhlas mengurang, benci pun bertandang.


2.
Mengapa benci yang kau bawa dalam diri, kawan? Dimana perginya kepercayaan yang kau bina dan tanamkan sekian lama? Mengapa mudah kau biarkan kepercayaan melarut dalam lautan kecurigaan dan syak wasangka yang selama ini tega berdiri di sempadan hati, mencuri kesempatan meninggalkan was-was ketika sedang alpa sedetik? Mengapa kali ini kau tewas?


3.
Aku tidak mahukan jawapan. Perahu kepercayaan yang kita naiki ini meskipun telah cuba kau baiki kini aku enggan tumpangi bersama. Pergilah kau belayar dengan puing-puing dan debu kepercayaan yang telah rapuh menemanimu kerana aku kini - dengan kepercayaan yang rapuh, ikhlas pun runtuh. Biarlah aku mencari jalan untuk pulang ke pangkal dan berpaling dari cita-cita yang telah kita bina lama dahulu.


4.
Kehidupan itu adalah belayar ke lautan kepercayaan.

Rabu, Januari 01, 2014

Januari mengetuk pintu...

... lalu kita masuk ke dalamnya dengan penuh hati-hati. Ada 365 pintu perlu dibuka, setiap satunya membawa cerita manusia. Kita sebagai seorang dari manusia yang berada di dalamnya, apa yang kita mahu? Atau kita bersedia menyampaikan apa-apa bagi memenuhi keperluan diri.


Atau kita menjadi salah seorang yang melihat dan memerhati, membeku dan membatu di sisi pintu?

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...