Khamis, Jun 21, 2018

Pasca raya

Telah berakhir sebulan Ramadan, harı ini telah masuk 7 Syawal. Aku cepat-cepat memulakan puasa enam, harı ini sudah masuk harı kedua. Aku perlu cepat habiskan puasa enam sebelum Syawal berlalu, sambil berazam untuk istiqamah puasa sunat Isnin dan Khamis selepas ini. Ini adalah hasrat yang telah tertangguh sekian lama. Maka aku harap tahun ini akan dapat aku mulakan, sebagai satu tanda memasuki kehidupan baharu pada angka empat puluh menjelang November nanti.

Hari ini juga masuk hari kedua bekerja. Momentum bekerja belum ada. Aku mula menggunakan iMac bagi menggantikan Dell dengan perisian Windows, jadi dua hari ini kerja aku hanyalah memindahkan semua fail daripada Dell kapada iMac. Itupun dalam kelajuan yang aman perlahan, sambil-sambil melayan Youtube. Momentum kerja belum ada lagi. Tambahan pula aku dalam fasa menyunting tesis, jadi akt ambil masa terluang menyusun semula bab yang masih berkecamuk. Aku berharap minggu hadapan dapat mencetak keseluruhan bab dan menyerahkan kepada Prof T untuk semakan. Kemudian aku akan perbaiki lagi dan serahkan bab penuh kepadanya sebelum Prof T balik bercuti bulan Julai nanti. Sementara dia bercuti, aku akan perbaiki dan tambah bahagian lain sebelum dimuktamadkan kepada SPS.

Begitulah cadangannya dan semoga rancangan ini berjaya.

Jumaat, Mac 30, 2018

Tentang Kesihatan bhg 1

Jarang sekali aku bercerita tentang kesihatan di ruangan ini. Nampaknya 2018 ni aku betul-betul serius mengambil tahu tentang kesihatan. Mungkin sebab dah masuk 40 tahun ini.

Eww, tak sangka dah 40 kan. Kawan-kawan yang seusia, ada yang dah meninggal sebab kanser, ada yang dah mula bergantung pada ubat. Ada yang jatuh di bilik air terus meninggal. Ada yang sedang berperang dengan penyakit. Al-Fatihah buat mereka yang sudah pergi. Kita ini menunggu masa sahaja.

Hujung 2017, aku buat full medical check-up di klinik dekat dengan rumah. Maksudnya buat full blood test, urine test dan aku tambah dengan ECG. Tekanan darah yang doktor ambil, uuuh, tinggi. Doktor sarankan buat lagi dua hari berturut-turut di klinik untuk dapatkan keputusan yang tepat. Mungkin sebab malam sebelumnya tidur lewat jadi tekanan tinggi. Selepas itu buat ECG. Alhamdulillah, terus dapat keputusan. Tiada apa yang merisaukan pada jantung.Hidup boleh diteruskan sperti biasa tapi perlulah ada perubahan ke arah yang lebih baik.

Seminggu kemudian, awal Januari, aku ambil keputusan darah dan air kencing. Tiada apa yang membezakan dengan keputusan darah yang akubuat sepanjang 2017 di HKL (bahagian ini nanti aku cerita). Cancer marking yang aku risaukan, tiada. Kolesterol masih tinggi. BP tinggi, tapi boleh control dan kena control. Darah aku yang memang ada pelik sejak dulu, tak mendatangkan apa-apa symptom penyakit. Secara keseluruhan, tiada penyakit merbahaya hinggap kat badan. Tapi kena jaga makan, kena exercise,, kurnagkan stress dan sebagainya. Itulah pesan doctor. Lagipun, pemeriksaan darah dan air kecing hanya memberitahu kita 20% dari bacaan sebenar. Bermakna, kita cuma tahu 20% sahaja. Gitulah yang aku faham. Selebihnya kena buat pemeriksaan lain yang lebih menyeluruh, misalnya CT Scan.

Hujung Februari, aku dapat baucr PERKESO untuk pemeriksaan kesihatan usia 40 tahun. Baucer ini percuma dari kerajaan untuk buat pemeriksaan darah, air kencing dan tambahan mammogram untuk perempuan. Ini sudah bagus. Sebelum pergi, seperti biasa aku Google dahulu apa yang akan dibuat, klinik yang menjadi panel dan apa itu mammogram. Kemudian barulah aku pilih panel klinik. Tanya kawan-kawan lain semua belum buat dan belum dapat baucer. Dah alang-alang percuma, aku pun pilih KPJ Kajang.

Maka selepas temujanji dibuat, aku pun memecut SYM ke KPJ. Janji temu jam 8.30 pagi. Malam tu kena puasa tapi boleh minum air. Dia suruh minum air banyak tapi aku fikir, biarlah puasa terus, tapi minum jugalah seteguk dua.

Aku terus ke tingkat enam yang menempatkan bahagian pemeriksaan. Apabila sampai di KPJ, mula-mula sekali isi borang sebab nanti KPJ nak claim dari kerajaan. Borang-borang ini berupa borang maklumat Perkeso dan borang KPJ. Kemudian barulah dimulakan dengan prosedur. Nurse ambil bacaan berat, tinggi dan ukur pinggang, ambil bacaan tekanan darah dan ujian mata. BP tu, tinggi boleh tahan :(

Kemudian bergerak ke aras satu untuk pemeriksaan air kencing, ambil darah dan akhir sekali buat mammogram. Bila masuk bilik mammogram, radiotherapist (betul ke ni) minta tukar pakaian. Dalam bilik yang samar-samar, dia akan buat physical check pada breast. Kat sini toksah malu, biarlah dia tengok perbezaan luaran jika ada. Dia juga akan pegang dua-dua breast sebab nak rasa dalaman, kalau-kalau ada benda bergerak (yang kadang-kadang dipanggil lump) atau apa-apa yang pelik. Bila aku cerita ada discharge, dia pun explain sikit apa tu discharge. Dan kemudian keluar pulak bendalir tu dari putting kanan. Elok-elok sahaja dia dapat lihat rupa dan jenis discharge tu. Kemudian doctor cadangkan untuk aku buat ultrasound pada susu. Buat US ni tak termasuk dalam pakej PERKESO. Maksudnya kena bayar sendiri. Kalau KPJ ni panel syarikat, bolehlah dapat claim. Kalau tak, bersedialah membayarnya. Cuma hari ini doctor mengendalikan US lelaki, perempuan tak ada. Mula-mula aku fikir, buat kat klinik lain, manalah tahu murah. Kemudian aku fikir, ah buat teruslah. Nak buat apa tunggu, nanti boleh dapat keputusan terus., sekali dengan pemeriksaan darah dan air kencing. Doktor lelaki pun bukan buat benda bukan-bukan. Lagipun boleh dapat keputusan cepat.

Kemudian bergerak ke mesin. Guna radio rupanya. Mesin akan scan empat kali, iaitu pada susu kiri dan kanan, kemudian bawah ketiak kiri dan kanan. Sakit juga buat tu sebab akan menekan susu dan menyebabkan sakit, sakit sikit sahajalah dalam dua tiga saat tu. Nak cerita macam mana pun susah juga ni, Google sahajalah gambar. Selepas siap, aku dibiarkan duduk dalam bilik tu, lama juga duduk seorang diri kat situ, hampir setengah jam. Tak tahulah sama ini adalah prosedur atau apa, sebab sesudah mammogram aku bergerak ke bilik sebelah untuk US. Mungkin juga kena duduk dahulu sebab baru lepas guna bahan radio. Entah, aku agak je.

Sampai di bilik US, terus baring atas katil dengan pakaian yang sama. Pembantu perubatan perempuan ada di situ, dalam masa lima minit doctor pun datang. MA sapu jel. Doktor pakai sarung getah dan ambil scanner, letak pada susu kanan. Ada dua skrin, satu untuk doctor, satu lagi untuk pesakit. Jadi aku boleh tengok apa yang doctor tengok dan boleh tanya apa yang dia nampak.

Ah, nanti aku sambung. Panjang pulak.

Rabu, Februari 21, 2018

Anak muda, belajarlah bersabar

Sudah beberapa hari tidak buka FB, bermacam-macam cerita mengejutkan keluar. Ada yang pergi, ada yang memulakan hidup baru. Semuanya mengejutkan, kerana tidak ada sebarang tanda. Apatah lagi kematian. Namun seperkara yang mengejutkan lagi ialah apabila seorang anak muda yang puisinya keluar di MM, rupanya puisi milik orang lain yang disalin bulat-bulat lalu di hantar ke akhbar. Tersiar pula. Lebih malang lagi (atau lebih bertuah lagi?), rupanya satu puisinya yang ernah tersiar dahulu pun disalin bulat-bulat dari milikan orang lain. Mujurlah sahaja dia yang pernah menang HSPM kategori puisi, tidak memenangi anugerah itu dari puisi yang dicuri.

Kes ini menjadi besar bila pemilik puisi telah menunjukkan bukti bahawa dialah penulis asal, Memang bukti itu ternyata benar. Dan kemudian deretan komen menyokong bahawa penulis yang sebenar itu adalah yang sebenar penulis, bukan anak muda yang mencuri dan mengaku dialah yang sebenar. Ah, sayang sekali anak muda. Kau masih terlalu muda untuk mencuri, atau usia muda mu tidak patut diisi dengan kerja mencuri. Kenapa tidak kau usaha dan memenangi hati pembaca dengan hasil usahamu? Kenapa perlu kau mendapat nama dengan mencuri, yang akhirnya memalitkan sejarah hitam sehingga akhir hayatmu. Jadi sekarang, mana kau dapat letak air muka dan harga dirimu?

Banyakkan bersabar anak muda. Belajar itu suatu proses, menjadi pandai memerlukan proses. Membaca bukan boleh dimahirkan dalam sehari. Menjadi pemuisi bukan semudah menyalin dan mencuri hasil karya orang lain!

Rabu, Februari 07, 2018

Antara dua cahaya

Dalam sebuah video mengenai kitab Idaman Buat Penuntut, al-fadil ustādh memberi analogi cahaya dengan membezakan cahaya matahari (al-diyā’) dan cahaya bulan (nūr). Adapun cahaya matahari sifatnya panas manakala cahaya bulan sifatnya sejuk. Nabi mengatakan bahawa sabar ibarat orang yang boleh bertahan duduk di bawah matahari. Meskipun bercahaya, terang dan dapat mengeluarkan diri dari keadaan gelap gelita; tiada ramai sanggup berpanas, berpeluh dan duduk gelisah dalam keadaan tidak selesa. Tiada yang sanggup membiarkan diri berjemur di bawah matahari. Mereka lupa bahawa itu adalah ujian, terangnya cahaya matahari menguji kesabaran. Jika mereka tiada bersabar dengan ujian (kepanasan), maka tercabutlah hikmah dari musibah yang sedang dilalui. Terkeluarlah mereka dari cahaya, duduklah dalam kesamaran dan kegelapan.

Adapun sabar adalah antara sifat penting yang menjadi pakaian ahli tasawwuf. Imām al-Qushayri dalam Risālah Qushayriyah menyenaraikan sifat sabar sebagai amalan dan ajaran pokok dalam ilmu tasawwuf. Begitu juga dalam Kitāb Tasawwuf karya Tuan Guru Haji Muhammad Sammān Kati (Mat Saman Kati), sabar dinyatakan sebagai antara sifat terpenting ahli sufi.


Khamis, Januari 18, 2018

Abdullah Munshi dan bahasa Melayu


Keengganan orang Melayu mempelajari bahasa sendiri telah mendapat teguran lebih awal daripada Abdullah Munshi yang merakamkan pandangan orang Melayu terhadap bahasanya dalam Hikayat Abdullah. Beliau menceritakan bagaimana tradisi pembelajaran diamalkan Melaka dengan hanya belajar membaca al-Qur’an sehingga mereka khatam dan hafaẓ. Meskipun anak-anak ini juga diajar menulis di papan loh, tetapi tidaklah ramai yang boleh menulis dengan baik kerana mereka memberi lebih tumpuan kepada pembacaan al-Qur’ān sahaja.

Adapun sehabis tamat membaca al-Qur’an, anak-anak ini sepatutnya diberikan pelajaran bahasa Melayu. Namun begitu, mereka berfikiran bahawa tiada ada gunanya belajar bahasa Melayu kerana itu adalah bahasanya sendiri, bahasa nenek moyang mereka, dan tiada pernah ada orang mengajarkan bahasa Melayu pada ketika itu. Sedangkan menurut Abdullah, menguasai jalan bahasa sendiri akan memudahkan banyak urusan kehidupan. Bahasa Melayu menurut Abdullah, akan dapat digunakan dalam urusan berjual beli, berkirim surat, berbalas surat dengan jalan bahasa yang baik. Sedangkan menurutnya, tiada orang Melayu akan menggunakan bahasa Arab dalam urusan berjual beli, berkirim surat, berbalas surat ‘melainkan dalam sembahyang atau doa itulah sahaja.’

Manakala Raffles ketika di bawa Abdullah melihat tempat orang-orang Melayu belajar, juga hairan melihat tiada tempat belajar khusus untuk bahasa Melayu. Katanya kepada Abdullah, ‘kalau sahaya umur panjang, sahaya mahu taruh tempat belajar bahasa Melayu. Sahaya terlalu sayang, kerana bahasa Melayu itu terlalu bagus bunyinya, dan lagi banyak gunanya.’

Shahdan, Abdullah menceritakan satu peristiwa ketika seorang nakhoda mendatangi rumah mencari ayahnya untuk meminta dibuatkan surat hutang kepada seorang saudagar Cina di Melaka. Hampir setengah hari orang itu menanti ayahnya yang mempunyai urusan di luar rumah semata-mata membuat sehelai surat kerana nakhoda itu tiada tahu menulis. Adapun perkara ini kepada Abdullah adalah satu kerugian kepada orang Melayu sekiranya masih juga gagal mempelajari bahasanya sendiri. Segala urusan yang sebegitu mudah perlu diserahkan kepada jurutulis sedangkan boleh diselesaikannya sendiri dan dipermudahkan pula urusan perniagaannya selepas itu.

Justeru, Abdullah berpesan: Bahawasanya barang siapa hendak belajar bahasa-bahasa bangsa lain-lain, maka sayugianya hendaklah diketahuinya bahasanya sendiri dahulu, supaya memberi faedahlah baginya bahasa yang hendak dipelajarinya itu adanya.

- Catatan ketika membaca Hikayat Abdullah

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...