Mesir: Dataran Tahrir. Apakah dataran Merdeka akan seperti ini rupanya nanti?
Pertama kali mendengar perkataan unjuk rasa ialah ketika membaca novel karya SN S Othman Kelantan berjudul Pertentangan petengahan tahun lalu. Berkerut dahi memikirkan padanan pada bahasa moden. Kemudian dapat saya fahami ia menjadi kata terbitan 'tunjuk perasaan' dan kita kini senang menyebutnya demonstrasi. Unjuk rasa bukankan lebih selesa didengar telinga?
Tunisia: Pencetus dan penggerak semangat
Mutakhir ini khalayak lebih banyak memandang ke Asia Barat, ke negara tok syeikh Arab yang sedang sibuk dengan unjuk rasa. Dari Tunisia bergerak ke Mesir. Sekarang ini Libya. Zine el-Abidine Ben Ali sudah meninggalkan Tunisia. Hosni Mubarak pula akhirnya tunduk dengan gesaan penunjuk perasan yang berkampung di Dataran Tahrir berminggu-minggu. Kini dunia merencana apakah Muammar Ghaddafi akan turun dari takhtanya di Libya.
Mesir: Mereka sepakat dan berarak. Tidak gentar polis atau tentera
Unjuk rasa bukan sesuatu yang baru. Di Amerika Syarikat, demonstrasi anti-perang bagi menentang penglibatan tentera Amerika di Vietnam menyebabkan Presiden Nixon (dan skandal Watergate) meletakkan jawatan. Di tanah air sendiri, pergerakan mahasiswa pada tahun 1970-an atas beberapa isu kemiskinan dan kebuluran membuka mata kita betapa kuasa rakyat jika di gunakan dengan betul dan diatur baik akan menyebabkan pemimpin yang korup kecut lalu lari menyelamatkan diri. Yang korup sahajalah. Yang betul nak lari untuk apa pula.
Amerika Syarikat: Protes anti-perang yang memuncak di zaman Presiden Johnson. Askar AS di Vietnam mencecah 500,00!
Dunia memerhati negara mana pula selepas Libya. Ada menjangka Jordan dan Yaman. Benar, banyak sekali negara Arab / Asia Barat yang di pimpin oleh orang yang sama berpuluh-puluh tahun sehingga menjadi diktator dan punya kecenderungan membentuk dinasti sendiri. Dan kebanyakan mereka - sekali lagi - kecut perut.
Malaysia: Demonstrasi pelajar dekad lalu. The angry-young-man. Di mana kebanyakan mereka kini?
Ada juga dari kalangan agamawan di tanah air bersifat sebaliknya. Mereka membaca hadis, mengkaji dan menafsirnya. Melihat bahawa unjuk rasa ini adalah petanda ke arah kiamat. Lalu terus mengaitkan dengan ramalan kemusnahan dunia pada 2012. Dunia dijangka musnah. Dijangka kiamat. Ah, apa ini?
Libya: Cukuplah Ghadafi!
Nah, itu angan-angan sahaja!