Memaparkan catatan dengan label KERJA OH KERJA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KERJA OH KERJA. Papar semua catatan

Khamis, Mac 28, 2019

Penyunting Menyunting


Tahun ini saya diberikan peluang menyunting lebih banyak judul dalam pelbagai bidang. Secara keseluruhan, sebanyak 17 judul berjaya ditangani dalam masa tiga bulan - sejak Januari hinggalah awal minggu ini. Saya percaya, jumlah yang banyak dalam tempoh yang singkat tidak akan menjadi kenyataan jika dikerjakan sendirian. Semua atas kerja berpasukan dan semangat kerjasama yang meringankan kerja nan berat. Tiada tugas yang dirasakan membebankan kerana semua dijalankan dengan rasa semangat dan gembira dalam suasana positif meskipun melangkaui bidang. Namun paling utama ialah kasih sayang dan rahmat yang Allah kurniakan dalam bentuk kesihatan, kekuatan fizikal dan keseimbangan emosi sehingga dapat menyiapkan buku dalam masa yang ditetapkan. Semuanya berawal daripada tujuan yang jelas sehingga matlamat dapat dicapai tanpa tergelincir dari sasaran.
Daripada sejumlah judul ini, 13 judul terbitan Akademi Jawi yang mana 8 judul telah siap diterbitkan. Jemputlah ke khemah Kafilah Buku bagi menikmati hidangan lazat kami. 
—-
Temui kami di 
Pesta Buku Antarabangsa KL
Khemah Kafilah Buku 
Dewan Tun Razak 3
3225-3227 & 3245-4243
29 Mac - 7 April
10 pagi - 9 malam

Selasa, Januari 15, 2019

Belerang Ibn Arabi




Tahun 2018, selain berjaya menyiapkan tesis dan melepasi peperiksaan lisan (viva), menjadi penyunting karya terjemahan biografi Ibn Arabi ini memberi satu pengalaman baharu yang cukup bermakna. Saya berdebar-debar sejak mendapat tahu diberi tugasan untuk menangani buku ini, malah sering ternanti-nanti bilakah akan siap diterjemah supaya dapat segera dikerjakan sambil menyelami kehidupan Ibn Arabi. 
Namun atas keperluan menyiapkan tesis dan memberi tumpuan penuh kepada kajian, saya hanya sempat menyunting pengenalan sebelum menyerahkan semula kepada penerbit. Kalau diikutkan perasaan, saya mahu terus menyunting dan menulis tesis, dengan berangan agar dapat memaksimumkan masa sebaiknya. Peluang tidak datang dua kali. Namun risikonya, yang dikendong keciciran, yang dikejar pula tak dapat. Semoga dapat lagi peluang akan datang.
Jika ditanya mengapa menyibukkan diri dengan kerja luar - saya sebagai penyunting akan sentiasa berusaha menambah pengalaman, mengasah kemahiran dan memperkukuhkan kepakaran agar menjadi penyunting serba mahir dalam apa-apa genre dan bidang. Apatah lagi dalam keadaan yang tidak menentu sekarang, macam-macam boleh berlaku.

Jumaat, Februari 24, 2017

Penyunting

Akhir-akhir ini dapat manuskrip bukan main tebal dan hebat isinya. Ada bernota kaki beratus-ratus, ada yang banyak terisi ayat Qur'an dan hadith yang perlu disemak, ada yang membahaskan perkara di luar batasan ilmu yang kita pelajari. Namun itu semua adalah buah-buahan yang meranum di dahan, menanti masa untuk dipetik dan dinikmati dengan lazatnya. Kepercayaan penulis terhadap keupayaan kita sebagai penyunting adalah satu penghargaan meskipun pandangan mata telah terisi dengan aksara yang menari-nari.
.
Kadangkala rasa ada seorang editor sahaja di pejabat. Tapi kita ok sahaja, kita gumbira, usah fikirkan masalah orang 🤐
.
#into4series #livelife #harike18

Khamis, Jun 13, 2013

Roket

Terlibat dalam pengkajian manuskrip, transliterasi khazanah keilmuan lama dan penerbitan semula tulisan Jawi seperti memberi nyawa kepada kehidupan saya yang sedikit statik beberapa tahun kebelakangan ini. Pernah dahulu saya berangan untuk mempelajari semula hikayat lama sehingga saya membeli apa sahaja hikayat yang terlihat di hadapan mata. Tetapi usaha membacanya seperti melepaskan batuk ditangga. Sentuh muka hadapan, selak helaian dalam kemudian diletakkan kembali ke rak dengan niat suatu hari nanti akan dibaca semua buku-buku ini.

Suatu hari yang entah bila kan menjelma.

Timbul juga kecemburuan kepada mereka yang boleh membaca dan mengulang bicara buku hikayat lama yang telah di bacanya. Ini ditambah-tambah lagi dengan kemampuan mereka mencerna tulisan terhadap bacaan-bacaan ini menjadikan saya bertambah-tambah geram, kembali melihat buku di rak, menyentuhnya dan berazam untuk membaca semuanya suatu hari nanti.

Suatu hari yang entah bila kan menjelma.

Niat di dalam hati sangat jelas, suatu hari akan dikhatam buku-buku ini, menjelajah ke alam Melayu dengan mengambilkira hikayat ini semuanya berkaitan dengan alam dan pusaka Melayu. Apabila berfikir yang tugas ini akan mampu dilaksanakan bila menjadi sarjana atau pengkaji, maka saya pun berusaha membuat kajian dan bacaan sendiri. Namun sejauh manalah usaha itu menjadi kalau atas ikhtiar sendiri.

Suatu hari itu mengambil masa juga untuk dijelmakan. Kini ia sudah menjadi realiti. Nah, di sini saya diberi seluas ruang untuk mengembara seluas samudera atau menyelam dalam ke dasar lautan untuk menikmati semua khazanah yang ada. Ruang terbuka luas kini. Terbuka luas. Manuskrip lama terbentang di hadapan mata, tulisan demi tulisan di minta untuk di terbitkan, suntingan transliterasi berjalan pantas, penganjuran program yang memerlukan ketelitian dan pembacaan silih berganti sebagai rujukan  karangan menjadikan hidup terisi dengan buku dan ilmu. Maka hidup yang statik suatu ketika dahulu seperti roket yang sedia untuk di lepaskan ke bulan.

Terima kasih untuk ruang dan peluang ini. Doa itu memang kuasa yang ajaib

Rabu, Jun 12, 2013

Menggilap permata

Saya sering membayangkan sesuatu akan berlaku pada diri sendiri yang kemudiannya menyebabkan diri saya bertukar 180 darjah. Sama ada dari segi kerjaya, kehidupan atau pun perjalanan hidup. Tetapi saya juga tahu ia tidak akan berlaku tanpa daya usaha sendiri. Doa memang penting tetapi tindakan tidak dihalakan ke arah matlamat memang menjadikan bayangan itu sekadar khayalan.

Namun begitu, 'sesuatu yang akan berlaku' itu biarlah bukan dari peristiwa yang mendukacitakan atau peristiwa pelik dan ganjil. Malah kemungkinan berlaku pun entahlah, tak pernah ada statistik untuk itu saya kira. Jadi, saya buangkan sahaja bayangan atau angan-angan itu, kembali berpijak ke bumi yang nyata. Tak usah mengharapkan sesuatu tetapi berusaha menghasilkan sesuatu.

2013 saya kira membawa perubahan yang baik untuk diri. Selepas pindah ke rumah yang diusahakan atas titik peluh sendiri (ah, bukan menukanginya sendiri pun) pada penghujung tahun lalu, saya bertukar kerja ke bidang yang sungguh berbeza dari apa yang saya kerjakan sebelum ini. Ini kerjaya ketiga dalam hidup. Memasuki bulan ketiga, saya sudah mula nampak perkara yang tercicir sebelum ini - yang kabur, yang menjadi gelap - sudah kembali memancarkan sinarnya. Banyak yang perlu saya pelajari dengan pantas, misalnya membaca banyak buku bagi menambah ilmu dan kefahaman. Dari sehari ke sehari saya menemui benda-benda baru yang menarik dan mengujakan, menjadikan saya kian seronok dan jatuh cinta. Jatuh cinta setiap hari.

Semoga ia adalah apa yang saya cari selama ini. Inilah masa menggilapnya semula.


Isnin, Januari 07, 2013

Perjalanan Pagi

Masuk tahun baharu bermakna sudah lima minggu saya berada di daerah baru, selepas berpindah pada penghujung November lalu. Perpindahan ini sungguh bermakna, dan ia insyaAllah menjadi yang terakhir bagi saya. Memiliki kediaman sendiri bagi sesetengah orang adalah puncak kenikmatan yang tidak terhingga dalam pusingan kehidupan. Saya cuba mendalami makna itu.

Tempat baharu ini membawa kelainan tersendiri. Pertama kerana lokasinya kira-kira 22 km dari tempat kerja. Mengikut perjalanan biasa tanpa lampu merah dan tanpa kesesakan, ia cuma mengambil masa dua puluh minit. Tetapi kesesakan awal pagi menjadikan waktu bertukar menjadi 45 minit. Apabila sesi persekolahan bermula, ia melampaui 60 minit.

Soalan pertama yang sering ditanyakan pada saya, susah tak ke pejabat? Saya akui, sejak bekerja ini kali pertama tinggal dilokasi yang jauh dari rumah. Jika tidak, perjalanan mengambil masa lima ke sepuluh minit sahaja. Selama lapan tahun itulah, saya tidak menempuh kesesakan, berada dalam situasi yang selesa, tidak perlu risau tentang tol dan petrol atau kereta yang boleh meragam tiba-tiba. Saya boleh mendengar pengalaman orang yang tersangkut dalam kesesakan, yang mengeluh perlu keluar awal dari rumah, yang menaiki motor untuk cepat sampai atau bersesak dalam koc awam bagi mengurangkan kos perjalanan.

Jadi perubahan kali ini, pada awalnya merisuakan juga. Tetapi saya mengambil faedah sebaliknya. Banyak perkara yang saya ketinggalan, saya dapat lakukan kini. Membaca dalam kereta, mendengar bual bicara dalam Ikim terutamanya Isnin (Ustaz Pahrol), Khamis (Islam Agamaku) dan Jumaaat (Prof Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri), atau mendengar lagu lama beserta catatan pendengar di Nasional FM setiap jam 5.30 pm menerusi ruangan Aku, Dia dan Lagu (sungguh retro). Atau pun, mengulang dengar rakaman menerusi perakam suara yang merakamkan pelbagai siri kuliah, kursus atau seminar yang saya hadiri sebelum ini. Setidak-tidaknya ia menambahkan pengetahuan saya atau lebih memahamkan apa-apa ilmu yang terlepas sebelum ini.

Nampak skema? Ah, apa sahaja yang boleh dibuat dalam kereta yang tidak bergerak? Telefon pintar juga membantu mengurangkan perasaan bosan dengan membaca bahan yang sudah dimuat turun sebelum itu. Tetapi pastikan baterinya mencukupi sebelum pemanduan dimulakan.

Apa lagi?

Pastinya ada buku, kerana apa bila kereta tidak bergerak, satu halaman dapat diselesaikan. Apatah lagi jika pagi sebelum itu sudah membaca dan perlu dihentikan untuk bekerja, maka menyambung dalam kereta pun boleh dikira nikmat dari menunggu sehingga habis waktu pejabat. Selain itu, saya siapkan juga bekalan yang cukup - air, atau bekalan dari rumah supaya tidak kehausan atau kelaparan dalam kereta.

Sejauh mana saya boleh bertahan dalam situasi ini saya tidak pasti. Selagi Lekas tidak menyiapkan susur keluar terdekat seperti yang diwar-warkan, selagi itulah saya perlu mencari varisi dalam perjalanan pagi agar tidak dilanda kesuraman dan kepenatan sebelum masuk ke pejabat. Atau jika sudah benar terdesak, carilah kerja yang lebih dekat dengan rumah, atau buatlah pejabat di dalam rumah.


Jumaat, Jun 15, 2012

Kepalang ajar

Semalam (Rabu) saya bepeluang duduk minum bersama seorang bakal guru. Sebenarnya dia sudah pun masuk mengajar ke sekolah dan akan menjadi guru penuh selepas tamat satu setengah tahun perguruan di maktab.

Banyak yang diceritakan, khususnya tentang sikap kurang ajar murid zaman sekarang - almaklumlah beliau mengajar di sekolah elit bandar. Ini diikuti dengan beban tugas guru yang bukan lagi isu kecil dan terpencil - guru mengajar dan menyiapkan tugas pentadbiran; tanggungjawab guru di kelas yang bukan sahaja mendidik tetapi mengajar. itu belum lagi dengan sikap guru yang culas dan tidak punya cita-cita besar - menjadi guru kerana tiada kerjaya lain yang melekat padanya.

"Pada hari-hari awal mengajar, saya terkena culture shock," dia ketawa. Saya pun ketawa. Dalam kepala, terlintas soalan yang menghairankan: sudah besar panjang dan berkeluarga pun boleh dikatakan kena culture shock di sekolah?

"Sampai satu masa, saya terfikir yang saya seperti menyesal memilih profesyen perguruan. Tapi oleh kerana minat dan impian saya sejak kecil, maka saya teruskan." Ya, bukan lagi bohongan, memang dia sejak dulu sibuk mengisi borang KPLI dan JQAF sehingga akhirnya betul-betul sangkut.

"Kita dah bekerja dengan beberapa syarikat yag besar dan bertaraf profesional. Kita dah kenal ramia orang, dah buat macam-macam kerja, dah biasa dengan kerja yang tersusun dan sistematik. Jadi bila saya masuk mengajar, saya hairan dan terkejut dengan budaya yang ada." Catatan dalam kepala saya:  profesyen perguruan tidak profesional. Patutlah cikgu sibuk dengan katalog pinggan mangkuk dan menjual kain pasang.

Dia bercerita lagi tentang beberapa polisi yang diperkenalkan oleh kerajaan terhadap institusi sekolah yang mendatangkan kelucuan. "Dahulu ada konsep guru penyayang. Kita faham itu bermaksud guru di hormati dan disayangi murid. Sekarang ini, konsepnya diperkenalkan kembali. Tetapi terbalik."  Dia ketawa. Saya menunggu, belum mahu ketawa.

"Guru mestilah bersikap penyayang terhadap murid dengan menunggu mereka di pintu pagar sekolah, membukakan pintu kereta dan mengajak mereka masuk ke kelas."

Saya tak jadi ketawa. "Bukankah itu menyebabkan aank murid memijak kepala gurunya di kemudian hari?" Dia mengangguk tapi saya menggeleng. Hairan.

"Sekarang setiap cikgu adalah cikgu disiplin." Dia ketawa. "Cikgu motivasi pun dah tak boleh nak motivasi pelajar. Mereka pun jadi guru disiplin. Cikgu macam tarzan. Malangnya kami tak boleh merotan. Ada pekeliling dikeluarkan khas untuk itu. Tak boleh cubit, tak boleh guna rotan, tak boleh itu tak boleh ini."

Saya mencebikkan bibir. Rasa kasihan bertimpa-timpa pula.

Dia bercerita lagi tentang kursus dan latihan yang perlu disertai setiap kali cuti sekolah. Kerja pentadbiran yang dibebankan ke bahu guru muda kerana guru senior tidak mahir menggunakankomputer. "Cikgu buat kerja pentadbiran ini pun disebabkan orang awam cemburu cikgu kerja sampai tengahari, ada cuti sekolah yang panjang dan tak ada beban kerja sampai perlu kerja lebih masa. Tetapi akhirnya, guru terbeban bukan dengan tugasan hakiki."

Saya menghela nafas panjang. Mengenali beberapa orang guru secara dekat mutakhir ini, masing-masng mengutarakan isu yang sama - beban tugasan guru. Tetapi selagi persepsi terhadap profesyen perguruan 'yang bekerja sampai tengahari sahaja' tidak dibuang, maka selama itulah guru akan menjadi penulis laporan yang baik dan pentadbir yang cemerlang tetapi mengkesampingkan tugas hakiki mendidik anak bangsa.


Selasa, Februari 02, 2010

Manusiawi 2

Petang tadi kami duduk di gerai makan selepas waktu pejabat sambil menghirup sup. Dia dengan sup daging, saya dengan sup ekor. Dia sedang berdiet, saya cuba kurangkan makan sambil melayan perut yang masih belum kebah dari musibah.

Kami cerita tentang masa depan, langsung melarat ke hal terdekat. Seputar kami, ada manusia yang buat onar dengan perangai serupa syaitan. Kalau kamu dengar, mesti anggap saya tabur fitnah, tetapi saya tegas katakan ini bukan fitnah, ini realiti. Kalau kamu tonton tv dan lihat adengan yang tidak senonoh, itulah paparan syaitan seputar kami. Jelas maksudnya?

Dalam bercerita, dia sendiri terkejut kerana hal yang saya diamkan ini sebenarnya seperti barah yang menunggu masa merebak, seperti gunung berapi pendam yang kembali aktif, seperti kapal menunggu karam. Saya sendiri lancar berbicara sedangkan ini hal rumahtangga yang harus didiamkan, bukan dibisingkan di telinga yang tidak perlu. Tetapi saya sendiri tidak mampu menahan mulut dari berkata. Kalau rumahtangga sudah berantakan, harus juga bercerita bagi berkongsi rasa, bukan dengan tujuan mengaibkan sesiapa.

Lalu saya berkata lagi, manusia ini seperti jigsaw puzzle. Mereka tidak akan bercerita tentang diri atau memperlihatkan siapa diri mereka sepenuhnya. Mereka berbicara sedikit tentang itu, sedikit tentang ini. Tetapi bagi yang suka membelit, mereka tidak akan ingat apa yang telah mereka lakukan. Mereka meninggalkan ruang kosong untuk kita isi. Seperti puzzle yang kita susun, tidak semua dapat kita cantumkan dalam sekelip mata. Ada yang kosong disini, ada yang terisi disana. Mana-mana ruang kosong itu, kitalah yang mencantumkannya bagi mencari siapa diri dia sebenarnya, yang disembunyikan dalam kepura-puraannya sebagai seorang manusia.

Dia diam mengangguk. Saya harap dia faham.

Akhirnya saya menyimpulkan agar dia mempersiapkan dengan diri sampan yang lebih baik. Bila-bila masa, terjun ke dalamnya dan selamatkan diri. Kalau benarlah kapal yang membawa kami ini sudah tidak berdaya melayan kerenah syaitan yang berantakan didalamnya, apa lagi yang boleh kami lakukan melainkan menjaga kepentingan diri.

Ah, saya cerita seputar diri lagi. Entah bila pula kan berakhir keluhan ini. Kamu jangan rasa kecewa, kamu juga yang banyak memberitahu manusia itu apa, manusia itu bagaimana. Malah, kamu juga kecewa terhadap manusia seputar kamu biarpun kita dalam situasi berbeza. Namun saat kita diduga begini, kita yakin ada tangan ghaib yang bisa memberitahu apa yang terbaik untuk kita lakukan. Dengan syarat kita yakin dan percaya. Jujur dan ikhlas.

Kami meninggalkan meja makan saat Maghrib mencecah waktunya. Petang berlalu pergi meninggalkan kami dengan cerita yang tidak sudah, cerita tentang manusia yang tiada pengakhirnya. Kami berpisah dan esok kisah baru pula akan saya cerita pada kamu. Itu pun andai kamu masih mahu mendengar.


Isnin, Februari 01, 2010

Manusiawi

Kami - saya dan teman - berbicara tentang manusia. Sisi saya, mereka gilakan wang. Di sisi teman, gila mereka pada wang juga. Cuma cara membezakan matlamat.

Mereka melakukan sesuatu di luar norma manusiawi, sanggup ketepikan prinsip setiakawan dan kejujuran, menidakkan nilai kebaikan dan keikhlasan, menaikkan maruah diri melakukan kebaikan saat kaki memijak najis. Lalu, siapa pula yang menghidu bau dan siapa pula yang membersihkan najisnya yang bersepahan di lantai?

Perbualan kami berakhir pada satu konklusi yang sama.

Kata saya, "tidak ramai suka pada kebenaran. Itu adalah hakikat. Maka, bersedialah menjadi tidak popular dalam usaha menegakkan benang yang basah."

Kata teman pula, "hasilnya saya ialah ikon yang paling tidak disukai mereka. Itulah kehidupan kita, macam dalam novel awak pula. Kalau tidak sealiran kita akan disisihkan."

Apakah itu harga sebuah kehidupan dengan kejujuran dan keikhlasan bukan lagi menjadi perkara dipandang berat? Dan berapa ramai dari kita yang sanggup memperjuangkan ideologi dan jatidiri sendiri, dengan tidak hanyut di khalayak yang gila terhadap material dan duniawi.

Ingat, kita masih punya hari ESOK untuk hidup. Dunia kita bukan setakat HARI ini.

Rabu, Januari 13, 2010

Tangan yang berdosa

Tengahari tadi saya keluar makan dengan teman lama, teman sepejabat. Sekarang dia sudah mengusahakan perniagaan sendiri, sudah ada pekerja sendiri, sudah ada akaun syarikat sendiri, sudah ada kereta besar, sudah jadi bos. Boleh dikatakan dia sudah menjadi ahli perniagan yang berjaya.

Dia meminta saya menyempurnakan satu kerja bagi pihaknya, yang walaupun saya keberatan tetapi bersetuju juga atas sifat kawan (dosa ditanggung seorang atau bersama?).

Kemudian kami berbual sekitar perniagaan dan industri yang sama-sama kami ceburi. Kawalan ketat oleh kerajaan dan pelaksanaan undang-undang yang ketat sejak akhir-akhir ini nyata memberi tempias kepada perniagaannya. Saya juga setuju. Jika tidak, masakan Kementerian Dalam Negeri sudah berani 'naik' ke pejabat bagi melakukan audit terhadap syarikat, seperti apa yang kami alami semalam.

Perbualan kami tamat sebaik waktu rehat tengahari berakhir. Saya kembali ke pejabat dan memanggil teman sepejabat yang sangat saya percayai lalu bercerita kepadanya apa yang berlaku. Sebenarnya, saya tidak mahu menanggung kerja itu seorang diri (atau menanggung dosa seorang diri) kerana menyedari risiko yang besar disebaliknya. Biarpun menerima dengan rela, namun tangan yang ini tidak mampu mencuci dosa jika terpalit perkara salah disebaliknya.

Saya bercerita dan bercerita, sehinggalah dia membuka mulut dan cuba membetulkan tanggapan saya terhadap teman ahli perniagaan itu.

"Kau tak boleh buat begitu sebenarnya. Kita tidak boleh terlalu jujur dan baik sekarang. Ini bisnes. Banyak orang jahat disekeliling kita,"katanya.

Saya terdiam  memandangnya. Antara percaya dan tidak.


"Jadi, apa yang harus aku buat?" tanya saya.


Dia memberikan saranan, saranan yang bisa membuahkan wang. Saya lemas lalu cuba menyangkal saranannya itu.


"Tak boleh, kau tak boleh buat begitu. Aku sudah puas berbuat baik tetapi tiada apa yang aku dapat akhirnya. Kali ini kita harus ambil kesempatan kali ini. Peluang terbuka dihadaan kita, maka kita harus rebut. Kita sudah tidak boleh terlalu jujur," balasnya lagi.


Saya menjadi kelu. Langsung tidak mampu berbicara.

Andai berbuat kebaikan pun sudah menjadi kesalahan, apa lagi yang tinggal untuk kita?

Antara memberi dan menerima, apakah sudah tiada manisnya lagi?





Rabu, Disember 17, 2008

Lobi 1

Malam tadi, sesudah mengemas dan membasuh baju hasil dari perjalanan sana sini hampir minggu, fon genggamku tiba-tiba bergetar di atas meja. Mesejnya pendek menyatakan keputusan satu tender yang amat kami nantikan keputusannya. Usaha dan penantian berakhir. Kami gagal.

Tender ini sebenarnya banyak 'makan hati dan perasaan', selain tenaga dan ikhtiar. Ada hikmahnya syarikat tidak berjaya. Usaha melobi pihak tertentu oleh orang tertentu nampaknya tidak mendatangkan hasil. Ketika berbual tentang kegagalan ini, entah mengapa mulutku ringan mengatakan sesuatu yang tiba-tiba terlintas di kepala...

'Dia lobi manusia, tak mahu lobi Tuhan.'

Mereka yang dengar segera terdiam, tetapi kemudiannya ketawa. Hanya kami yang tahu mengapa.


.

Isnin, Julai 14, 2008

Kita ini manusia

Bagaimana cara kita menghadapi masalah? Bagaimana menyelesaikan? Bagaimana mencari penyelesaian?

Hampir dua bulan berperang dengan kerja di pejabat, saya memendam perasaan yang amat. Terlalu terikat dengan kerja, kurang waktu untuk diri, tidur yang kurang sempurna (dan diganggui pula dengan mimpi buruk tentang kerja…aduh!) dan rehat yang jarang-jarang ada menyebabkan diri menjadi tertekan. Kadang-kadang diri menjadi terlalu emosi, cepat marah, mudah hilang sabar. Perangai yang buruk semua keluar. Maka staff di sekeliling menjadi mangsa. Kena marah, kena jerit, kena sindir, kena maki. Argghh…

All work and no play make Jack a dull boy.

Ya, benar. Buat seketika saya mengakui kata-kata ini. Tetapi saya tidak mahu menjadi sorang yang bodoh, yang lembab. Saya harus keluarkan diri dari belenggu kerja yang terlalu mengikat. Lari dari masalah? Sejauh mana pula saya boleh pergi. Masalah jika tidak diselesaikan, ia tetap disitu. Jauh mana kita lari, ia akan tetap mengejar.

Seperkara yang penting ialah, saya sudah menjadi jauh dengan buku, dan jauh dari sebarang aktiviti tulis-baca. Segala perancangan sudah lari, masa yang dinanti pula sudah semakin hampir. Sasaran kian tersasar. Saya harus lakukan sesuatu. Drastik!

Buku. Hampir dua bulan saya menghalang diri dari membeli buku baru. Alasannya ialah kerana saya membeli tetapi tidak membaca. Alasan tidak membaca ialah kerana masa yang kurang. Masa kurang ialah akibat dari kerja yang banyak. Kerja menjadi banyak kerana…banyak sekali kerja yang perlu diselesaikan. Tetapi saya tahu itu alasan. Alasan. ALASAN. Saya memberi alasan kepada diri, dan cuba mencari penyelesaian mudah. Mencari excuse bagi menyedap hati.

Ini sudah tahap bahaya. Saya berusaha mencari jawapan. Gawat jika masalah terus membelenggu diri.

Penyelesaiannya ialah muhasabah diri. Lihat kembali kepada matlamat, merancang kembali jadual, mengemaskini kembali sasaran. Merangka kembali tarikh-tarikh yang perlu di patuhi. Jangan beri alasan pada diri. Delegate kerja kepada staff di pejabat dan jangan di bebani kepada diri sendiri sahaja. Syarikat adalah tanggungjawab bersama, dan itulah yang membantu saya menyusun atur kembali hidup. Inilah yang saya pegang. Jangan lagi bertangguh, jangan lagi beri alasan. Tetapkan matlamat dan fokus.

Sukar juga berdepan dengan masalah (siapa pula yang boleh lari dari masalah? Sudah namanya kita ini manusia!). Mujur ada kawan yang boleh memberi nasihat, menyarankan tips-tips dari buku. Sempat juga melayari laman web yang sedikit sebanyak membantu. Mana yang perlu, saya praktikkan. Mana yang elok, saya sarankan kepada yang lain.

Dalam masa yang sama pergilah ke tempat yang boleh memberi ketenangan. Berehat di taman selepas solat Subuh sambil menghirup udara segar pagi dan memerhati matahari naik. Berjalan-jalan di pantai sambil melihat ombak yang menghempas pinggir pantai tanpa henti, atau memerhati burung-burung yang berterbangan bebas di angkasa nan luas. Lihat dan saksikan semua kejadian, dan tafsirkan segala keindahan ini dengan mata hati. Pastinya ia terapi rohani yang hebat.

Saya sudah semakin sembuh (huh...bunyinya macam orang yang sakit. Mungkin juga). Jangan fikir masalah. Fikirkan penyelesaian. Cari jawapan. Tenangkan hati. Banyakkan berdoa. Jangan bertangguh. Usah beri alasan.

Tiada manusia tanpa masalah. Tetapi jangan biarkan ia mengikat kita.

:-)

Jumaat, Jun 20, 2008

Sibuk yang sibuk

Bulan Jun adalah bulan yang sibuk. Mungkin juga. Tahun 2008 tinggal lagi 'separuh'. Pertengahan tahun yang sibuk dan memenatkan.

Bulan Jun terlalu banyak tender kerajaan di keluarkan. Sesudah tender sekolah, kementerian lain turut bermurah hati mewanarkan tender baru di premis masing-masing di saat syarikat sudah mula mencongak kenaikan kos operasi akibat dari kenaikan harga minyak. Ada juga yang retender. Mengapa? Hmm... faham-faham sahajalah. Masalah birokrasi menyebabkan banyak kerja perlu di buat dua kali. Mengapa perlu retender, atau dikeluarkan kembali tawaran tender tersebut? Cukuplah dengan menilai sahaja tender dokumen yang telah dihantar sebelum ini oleh syarikat yang sama. Kemudian, lebih telus dalam meneliti dokumen dan latar belakang syarikat yang menyertai tender. Kalau setahun kementerian yang sama mengeluarkan tender sebanyak dua kali, setiap tender berharga RM 50, dan katakanlah 50 syarikat turut serta, bermakna setiap kali tender di keluarkan, kementerian terbabit berjaya mengutip RM 2,500. Dua kali keluarkan tender dapat kutip RM 5,000. Itu kalau 50 syarikat sahaja yang masuk tender. Syarikat kawalan keselamatan di Malaysia ada lebih kurang 300 syarikat. Bayangkan!

Masalah dalam menyiapkan tender ini ialah mengenal pasti cara bagaimana mahu memenuhi kehendak dan spesifikasi maklumat seperti yang di minta. Kadang-kala saya hairan mengapa perkara yang tidak perlu juga perlu dimasukkan. Minta sahajalah maklumat yang perlu, apa perlu ditambah dengan perkara yang tidak berkenaan. Kalau tidak di turuti kehendak, mereka akan menjadikan ini alasan untuk mendisquallifiedkan penyertaan syarikat. Tak cukup, terus cantas. Jadi kerja mereka senang kerana tidak perlu browse dokumen banyak-banyak. Kadangkala saya terpaksa menyiapkan dokumen setebal tiga inci. Bukan satu set, tetapi sampai tiga. Aduh!!

Satu lagi masalah ialah masa. Ada sesetengah tender, jika tidak dibaca arahan dengan betul memang betul-betul mengelirukan. Nak disiapkan ketika waktu pejabat, hah, kirim salam. Kerja rutin pun melambak, datang pula tender. Jadi terpaksalah saya mencuri masa sendiri datang kembali ke pejabat menyiapkan segala yang di minta. Dalam masa yang sama, memaksa beberapa staff yang bujang untuk menolong (takkan nak minta yang kahwin pula!). Sebab itulah kadang kala awal pagi baru sampai rumah dan tidur. Tidur pun bermimpikan tender.

Habuan? OT? Arrgghhh....

Sekarang ada 7 tender menanti untuk di siapkan. Ada lebih kurang 8 lagi yang menanti untuk di beli. Harus dalam sebulan dua ini saya mabuk tender. Saya memikirkan kerja-kerja sendiri yang terbengkalai, projek yang saya rencanakan dan jadual yang telah saya susun sebelum bulan Ogos. Harap-harapnya tidaklah terganggu. Tetapi masa yang pantas berlari, memaksa saya berlari sama menyebabkan ada benda yang tercicir dan tidak sempat dibawa bersama.

Aduh...




Selasa, Jun 10, 2008

Selesai sudah

Selasa, 10hb saya menghantar tender sekolah Kuala Lumpur di Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kala Lumpur, Jalan Duta. Satu tender yang memenatkan dan cukup meletihkan. Banyangkan, setiap zon perlu disertakan sekali dengan dua set dokumen yang cukup tebal. Keseluruhan tender sekolah KL mempunyai 26 zon. Jika syarikat ambil 20 zon, maknanya perlu ada 40 set dokumen. Fuhh...memang meletihkan. Hampir dua minggu bertungkus lumus dengan keadaan pejabat yang penuh bersepah dengan dokumen yang telah siap di fotokopi. Dan juga balik awal pagi buat beberapa hari. Bila siap, memang rasa beban terlepas dari bahu. Lega amat.

Oleh kerana tender cukup banyak, saya minta beberapa staff mengiringi bersama. Penat juga nak berulang alik seorang diri membawa dokumen yang berat dari kawasan parkir ke peti tender. Sudahlah dalam keadaan mengantuk kerana tidur jam 4.30 pagi akibat tender ini, bimbang juga diri jadi tak stabil di tambah dengan kepenatan mengatur urusan tender.

Sebaik siap dokumen di masukkan ke peti, kami menjamu selera ke Sentul Curry House. Memberi peluang tekak menelan makanan yang sukar di makan jika menggunakan duit poket sendiri. Hehe. Sebagai habuan atas penat lelah.

Dalam perjalanan pulang ke pejabat, saya singgah di Istana Budaya. hajat mahu memberi reward kepada diri dengan menonton P Ramle The Musical. Say atahu memang sudah terlewat, persembahan terakhir pula Sabtu ini 14 Jun. Tetapi saya gagahkan juga bertanya ke kaunter kalau-kalau saya bernasib baik.


Seperti yang di jangka, tiket yang ada cuma yang mahal-mahal belaka. Tak mengapalah, tak ada rezeki. Saya pun bukannya mengharap sangat. Bebeza dengan persembahan pertama yang dahulunya memang saya frust, kali ini tidak ada apa-apa perasaan sangat. Mungkin sebab dah frust sangat tempohari agaknya.

Alhamdulillah. Selesai segalanya.

Ahad, Mei 25, 2008

Antara dua dunia

Sebenarnya ada beberapa persoalan yang tidak saya temui jawapannya sejak beberapa bulan yang lalu. Di tambah-tambah lagi dengan situasi pejabat yang sekarang ini menghimpit. Walau bagaimanapun saya berusaha berdoa agar Allah memberi petunjuk supaya tidak mudah tersilap arah.


Beberapa bulan yang lalu – secara tidak sengaja atau sudah di takdirkan – Pengarah Urusan mengarahkan saya melibatkan diri dalam projek ternakan lembu. Dia menerima cadangan dari seorang kenalan niaga yang menyatakan projek ini memberikan pulangan lumayan. Tanah juga telah di sewa. Hah! Jauh panggang dari api. Dari bidang perkhidmatan melompat ke pertanian. Tetapi tiada apa yang peliknya bagi saya. Mungkin Allah mendengar doa saya agar dapat ditunjukkan jalan keluar dari kemelut yang melanda.


Pertanian bukan asing. Sebagai anak Felda, hidup saya dikelilingi oleh pohon getah dan kelapa sawit. Sepanjang perjalanan balik ke Serting, jika bukan sawit di kiri dan getah di kanan, pastilah sebaliknya. Dua tanaman yang melidungi hidup kami sejak dua puluh lima tahun yang lalu, sejak kami pindah ke tanah rancangan ini pada 1983. Sebutlah apa sahaja tentang getah. Dari membaja, membuang anak pokok, membekukan getah menjadi sekerap (getah beku), menghantar getah ke PMG (Pusat Pengumpulan Getah), semuanya telah saya lakukan. Cuma menoreh sahaja tidak berkesempatan, kerana pokok getah ketika itu masih muda dan kulit yang masih dara jika disentuh oleh bukan tangan yang sepatutnya nanti boleh menyebabkan getah merajuk dari mengeluarkan hasil.


Ada masanya saya bercucuk tanam. Mengambil tanah dari tempat bakar sampah dibelakang rumah dan memasukkan ke dalam beg plastik (bukan polibeg yang hitam tu, jimat kos!). Saya bertanam cili, bawang, kunyit dan halia. Tetapi hasilnya jarang datang dalam bentuk yang banyak kerana menjadi mangsa tangan emak yang tak sabar melihat tanaman ini membesar bila dia keputusan bahan-bahan masakan. Namun, berbudi pada tanah memang tidak mengecewakan.


Berkenaan projek lembu, saya membuat sedikit kajian melalui internet. Mudah sahaja mendapatkan maklumat. Forum Bicara Jutawan misalnya membicarakan pelbagai perkara termasuklah bidang pertanian yang merangkumi penternakan, penanaman dan beberapa perkara lain. Pengalaman dari mereka yang mengusahakan dan juga orang baru yang berminat dikumpulkan dan dibincangkan bersama. Ia membentuk satu komuniti tani yang progresif. Melaluinya juga dapatlah saya menilai peranan yang dimainkan oleh agensi kerajaan, dana yang di war-warkan, cabaran dan halangan sebagai petani yang tidak ramai yang sedar.


Ayat ‘berbudi pada tanah memang tidak mengecewakan’ bukannya sekadar untuk di ucapkan, tetapi harus dibuktikan melalui tindakan. Tiada jalan singkat untuk berjaya. Semua yang terlibat dalam pertanian ialah mereka yang benar-benar ada disiplin untuk berjaya, boleh menutup telinga dari dengar kutukan orang terhadap bidang pertanian, sabar dengan dugaan alam, berpanas dan berhujan, penghasilan yang tidak seperti diharapkan serta pelbagai karenah birokrasi. Yang paling cuba dielakkan ialah cakap-cakap orang tentang bidang ini yang dikatakan tidak ada masa depan. Inilah perkara wahid yang perlu diatasi sebelum menjejakkan kaki secara serius dalam bidang ini.


Saya diminta menyiapkan kertas kerja, merangka aliran tunai, mendapatkan khidmat nasihat serta mencari bantuan pinjaman yang sesuai. Tetapi saya dapat rasakan hati tidak sepenuhnya disini. Kertas kerja setelah beberapa bulan tersangkut dibahagian pengenalan. Beberapa kali di tegur, beberapa kali juga merasa terpaksa. Di sebalik kesibukan kerja, saya sekadar melewati blog para penternak lembu. Rasa berat hati dengan bidang ternakan ini. Mungkinkah kerana start-up cost yang tinggi? Atau mungkin saya tidak mendapat gambaran yang jelas tentang bidang ini. Mungkin inilah bahana andai berguru dengan buku, sekadar membaca melalui pengalaman bukannya belajar secara terus dari cikgu. Tetapi saya tetap merasa berat hati.


Tiba-tiba, Pengarah Urusan mengarahkan agar projek ternakan lembu ditukar kepada penanaman serai dan pokok jarak. Rakan niaga yang sudah menghadiri kursus penternakan lembu menjadi hampa dengan keputusan itu. Tanah sudah di tolak separuh, dan kerja-kerja tersebut terhenti sehinggalah perbincangan seterusnya dengan rakan niaga lain dijalankan.


Dalam masa yang sama, saya menerima panggilan dari seorang rakan yang mengusahakan tanaman serai. Secara tiba-tiba pula peluang hadir dan secara tiba-tiba pula ditunjukkan jalan. Saya bergegas mencari maklumat tentang serai wangi. Satu hari menelaah tentang serai, meneliti dari satu blog ke satu blog, melihat aspek kewangan, penjagaan, pemasaran, pembiayaan, serta bertanya beberapa soalan cepu emas kepada rakan tadi. Berbanding projek lembu, saya kira saya sudah mendapat gambaran jelas terhadap projek serai. Alhamdulillah, teknologi membolehkan maklumat di terima di hujung jari. Dan jangan pandang rendah kepada bloggers, kerana kami bukan berblog atas sebab politik sahaja ya. Banyak urusan lain yang boleh di bincangkan!


Esok saya akan terbang ke Terengganu melihat tanah yang telah separuh di tolak serta membincangkan mengenai projek penanaman serai. Dengan maklumat yang saya dapati dari para bloggers dan form BJ, moga-moga projek ini menjadi kenyataan dan bukan terhad di meja perbincangan sahaja. Insya Allah. Malah saya memasang impian sendiri untuk menjalankannya secara sendiri jika syarikat tidak mahu melibatkan diri dalam projek ini nanti.


Beralih arah ke pertanian? Tidak mustahil bagi saya kali ini!


.

Sabtu, Mei 24, 2008

Yang tajam menikam dan tikam menikam

Syarikat tempat saya bekerja merupakan seratus peratus milik bumiputera dan dimiliki oleh pasangan suami isteri. Pejabat yang saya duduki ini merupakan ibu pejabat, dan ia memiliki beberapa cawangan di seluruh negara. Perniagaan yang dijalankan adalah dalam bidang perkhidmatan dan ia kadangkala mengerah tenaga luar dari waktu pejabat. Namun saya jarang berkeluh kesah tentang ini. Jarak rumah sewa ke pejabat yang hanya lima minit berkereta juga tidak banyak mengganggu jika dipanggil bila-bila masa.

Bila disebut ibu pejabat, maka bayangkanlah bagaimana sibuk dan cacamerbanya keadaan dan suasana kerja. Urusan pentadbiran pejabat keseluruhan termasuk cawangan seperti payroll, tender, sebutharga, complaint dari pelanggan, semuanya terletak di bawah bahu saya. Seringkali MD mengadakan mensyuarat dengan pegawai dari cawangan lain, atau mengadakan lawatan ke cawangan tersebut, yang mana tujuan utamanya ialah sekadar berjalan-jalan makan angin. Hubungan kami dengan cawangan juga agak rapat dan sejak tiga bulan terakhir, setiap bulan mereka berkampung di HQ untuk membentangkan gaji / payroll pekerja yang beratus-ratus orang itu.

Kerja-kerja ini sudah menjadi rutin yang tetap. Ada waktu tertentu kerja terlalu banyak. Ada harinya boleh bersenang-senang di pejabat. Ada tarikh yang perlu di patuhi untuk membayar gaji, advance, melangsaikan caruman EPF dan Socso serta membayar cukai Kastam. Saya perlu memahamkan kakitangan lain akan kepentingan tarikh tersebut kerana kerana ia bermakna sejumlah wang turut di perlukan. (Tarikh yang menjadi rutin dan ingauan buruk ialah pada 7hb, 15hb, 20hb, 25hb dan 30hb).

Akhirnya rutin yang tetap ini menjadi satu perkara yang menyesakkan kepala kerana terpaksa mengikat diri kepada satu peraturan tertentu. Tambahan pula perempuan, ada hari-hari bila hormon tak stabil, maka diri turut dikuasai emosi. Kadangkala terlepas juga suara yang tinggi, atau teguran yang mengguris hati. Tetapi saya cuba memperbaiki diri supaya tidak dikatakan menunjuk kuasa. Mujur mereka boleh menerima sikap saya yang kadang kala boleh dikatakan ‘kepala angin’ juga.

Saya tidak gemar bekerja mengikut rutin tertentu. Mudah bosan jika terikat dengan sesuatu kerja yang sama. Oleh itu, prestasi kerja saya mudah turun naik. Jadi untuk mengatasinya (supaya tidak menjejaskan kerja) saya mengambil cuti rehat, memandu ke tempat yang tidak pernah saya tiba, melakukan kerja part-time yang sebati dengan jiwa atau menyertai aktiviti yang berbeza dengan skop kerja.

Seboleh-bolehnya mengelakkan diri dari bekerja menjelang dateline, atau last minit. Saya cuba menggembirakan diri dengan menjadikan kerja ini sebagai dakwah juga. Apa tidaknya, jika tidak saya selesaikan payroll para pengawal, mereka akan menerima gaji bukan pada waktunya, dan pihak akaun pula akan bersilat menjawab panggilan telefon yang tidak putus-putus. Mujurlah saya tidak pernah melewatkan urusan payroll yang menjadi tunjang perniagaan. Setiap 5hb saya pastikan semua siap, biarpun terpaksa bersengkang mata hingga malam atau duduk di pejabat seorang diri menyiakan payroll. Dalam usaha mengelakkan diri terjerat dengan rutin kerja, saya berjaya menjadikan kerja ini sebagai satu perkara yang menarik pula.

Cuma sejak akhir-akhir ini, disebalik rutin yang membosankan, datang pula dugaan lain. Sebelum ini pernah saya ceritakan bagaimana ada adengan yang tidak sihat berlaku. Akibat keegoan diri masing-masing yang tidak mahu mendengar nasihat, maka hadirlah unsur-unsur yang tidak menyenangkan. Saya berusaha menasihatkan mereka, tetapi saya juga manusia. Sabar saya juga ada batasnya. Bila berlaku untuk kali ketiga, saya sendiri tidak mahu lagi bercakap apa-apa tentangnya. Biarlah!

Entah di mana silapnya ada juga yang dengki dengan syarikat. Maklumat yang di terima, sasarannya hanyalah kepada seorang kakitangan. Tetapi tempiasnya adalah pada syarikat. Kami dimaklumkan ada surat layang menyebarkan fitnah yang boleh menjejaskan periuk nasi kami disini. Bukan calang-calang orang yang menulisnya, kerana apa yang diceritakan itu ada kena mengena dengan apa yang berlaku disyarikat sebelum ini. Tidak semuanya benar dan tidak semuanya salah. Surat layang itu sampai ke pihak berkuasa dan siasatan sedang dilakukan sehingga kini. (Setakat ini yang boleh saya ceritakan. Yang lainnya menjadi rahsia!)

Tuhan! Saya terpempan mendengar berita disampaikan ketika mesyuarat tertutup. Sungguh, tidak disangka sama sekali ada musuh dalam selimut yang cuba menikam dalam diam. Kakitangan pentadbiran yang tidak sampai sepuluh orang ini pun boleh berpecah belah. Lalu masing-masing menanam syak wasangka antara satu sama lain. Tuduh menuduh dalam diam mula berlaku. Beberapa nama yang telah berhenti disebut dan disyaki. Bila ditanyakan kepada saya, saya mengelak dari menyebut nama. Saya mahu bersangka baik. Tidak mahu menuduh. Tidak mahu menerbitkan syak wasangka dalam hati.

Beberapa hari berlalu, saya cuba melupakan dan berharap ia tidak menjejaskan kerja. Namun suasana kerja menjadi sedikit berbeza. Ada syak wasangka yang wujud. Pandangan mata juga menampakkan perbezaan. Ada cakap-cakap yang tidak sedap sampai ke telinga. Ada pula yang mengadu diri seperti di serang ilmu hitam, disantau dan di sihir. Masing-masing cuba berlaku normal walaupun geruh di hati hanya Tuhan yang mengerti. Keadaan menjadi buruk biarpun masing-masing cuba beriak manis. Lalu, bagaimanakah harus saya lakukan untuk memperbaiki keadaan?

Sejak dahulu, saya lebih gemar bercakap secara privasi. Jika ada benda yang ingin dicakap, ditegur, atau sekadar berbual biasa, biasanya saya berhadapan sendiri dengan empunya badan. Bukannya dihadapan orang lain yang boleh menjatuhkan air muka. Setiap seorang yang saya temui menyatakan kesalan terhadap surat layang ini, dan cuba menyalahkan beberapa individu dan mendoakan yang balasan yang buruk. Nyata, sifat balas dendam ini wujud dengan jelas dalam diri setiap seorang.

Saya ambil jalan tengah. Menegur sambil menasihatkan mereka agar berdoa supaya si penabur fitnah di insafkan Tuhan dan di tunjukkan jalan yang betul. Bukannya berdoa di timpa penyakit atau mengalami kemalangan. Beberapa hari saya ulangi kata-kata ini. Bukan sahaja ketika duduk beramai-ramai, tetapi juga ketika sedang berdiskusi. Mereka diam sahaja. Tidak membalas. Mungkin sukar mengubah pendirian. Mungkin juga tidak menyangka saya boleh ‘sebaik itu’ membuang sikap buruk sangka. Malah saya sendiri tidak percaya yang kali ini saya boleh bersangka baik dengan semua orang dan membuang prasangka buruk. Nampaknya saya sendiri boleh membuang sifat negatif ini. Syukurlah.

Amat sukar sebenarnya memberi nasihat kepada orang lain. Diri kita sendiri, melalui sikap dan pemikiran adalah dua perkara yang di ambil kira sebelum kita di diberi ‘lesen’ menasihatkan orang. Ia adalah sama ada berkeupayaan menjadi seorang yang boleh merubah sikap orang lain atau menjadi ‘ustazah’ yang mahir perihal agama dengan ceramah panjang berjela. Sikap kita diambil kira kerana sebarang kesilapan menyebabkan tahap hormat atau respek merudum, sekaligus menjadikan kata-kata nasihat ibarat mencurahkan air di daun keladi. Dengan itu, lahirlah kata-kata seperti ‘nak nasihatkan orang konon, diri sendiri pun sama!

Dalam keadaan saya yang dipandang budak, bercakap dengan yang lebih dewasa memerlukan saya mengaturkan ayat dengan teliti. Setiap orang saya dengarkan isi hati dan luahan terhadap kerja, serta sikap tidak senang hati terhadap orang lain. Ah, nampak seperti episod dalam drama atau telenovela pula bila adengan tikam menikam berlaku dalam pejabat atau masyarakat. Namun ini adalah realiti yang terbentang di hadapan mata. Saya bertanggungjawab membersihkan kudis ini dari bernanah.

Sikap memang sukar di ubah. Tetapi saya tahu, ini semua kerja Tuhan. Kuasa ditangan-Nya. Usaha kita hanyalah berdoa dan berdoa. Setiap masa saya cuba menasihat dan menegur biarpun dalam bentuk gurauan. Malah, beberapa kali juga saya berkeras dan memberi amaran supaya tidak lagi menuduh dan menyebut nama. Biarlah kali ini mereka tahu saya memang serius mahu membuang kudis. Janganlah berlaku negatif, buatlah kerja masing-masing. Usah di biarkan perkara ini menghantui kita. Ada tanggungjawab yang besar harus kita kerjakan.

Setiap pagi sebelum sampai ke pejabat saya berdoa tiada perkara buruk yang berlaku hari ini. Kes ini masih dalam siasatan dan biarlah Allah menunjukkan siapa yang benar-benar bersalah, bukannya kita sewenang-wenangnya menuding jari dengan syak wasangka tanpa bukti yang kukuh.

Insya Allah, Dia bersama dengan orang yang benar.


.

Sabtu, Januari 19, 2008

Atas kerana sikap, badan menjadi binasa

Orang tua-tua ada berkata kerana mulut, badan binasa. Memang kebanyakan dari kita sering bermasalah dengan mulut, maksud disini ialah mulut sendiri. Dan ini menjadi kenyataan yang tidak boleh diubah, apatah lagi kerana mulut berlaku krisis di luar jangka di pejabatku petang semalam.

1)
Semalam aku menghadiri mensyuarat akaun dan kewangan di cawangan Seremban. Sudah nasib badan, walaupun berkhidmat dibahagian pentadbiran, soal akaun dan kewangan syarikat juga menjadi sebahagian dari perihal yang memeningkan kepalaku. Sudahlah ia menambah beban kerja, orang yang bertanggungjawab keatasnya boleh bersenang lenang dan berlenggang datang ke mesyuarat sedangkan aku bersengkang mata menyediakan dokumen hingga tengah malam. Tak mengapa, selepas ini akan ku serahkan semuanya kepadanya. Semuanya.

Biasanya setiap awal tahun, syarikat akan menyemak semula tangga gaji para pekerja. Yang bernasib baik akan mendapat kenaikan yang lebih. Tetapi biasanya, akan adalah habuan untuk yang setia berkhidmat. Yang baru masuk, tidak bernasib baik kerana perlu menunggu tahun hadapan. Paling tidak pun, jika prestasi benar-benar memuaskan dan ada pula yang recommend, adalah tambahan yang sesuai dengan beban kerja. Dan tahun ini, entahlah angin apa yang sampai kepada Pengarah Urusanku. Semua dapat kenaikan. Alhamdulillah.


2)
Sesudah makan tengahari, kami bertolak pulang. Sebaik tiba, dan belum sempat kami naik (pejabat kami di tingkat satu), seorang staf turun dengan jujuran airmata memeluk Pengarah Kewanganku, yang juga isteri kepada Pengarah Urusan. Apa pula yang berlaku kali ini? Puas ku tanyakan, tetapi dia enggan melepaskan pelukan. Aku rasa tidak sedap hati. Apakah yang berlaku? Adakah berkenaan urusan peribadi, atau ada apa-apakah yang terjadi di pejabat?

Aku terus naik, melewati receptionist, dia senyum sambil menggelengkan kepala. Masuk ke dalam, seorang lagi menggelengkan kepala. Aku pasti ada sesuatu yang buruk telah berlaku. Aku terus meluru ke bilikku.

"Kenapa?" soalan yang sama ku tanyakan buat kali ketiga kepada kerani akaun yang duduk disebelahku.

"F*** dan F***** bergaduh. Baling fail, hentak meja."

Aku terpempan. Terdiam. Orang yang sama. Dan perkara yang ku takuti sejak dahulu akhirnya terjadi juga.

Setelah suasana menjadi tenang seketika, aku menemui seorang demi seorang. Mereka yang tadinya berdiam diri, sudah mula berani meninggalkan tempat duduk dan merapati ku. Dalam sebuah bilik, kami berkumpul. Selain bertanyakan tentang keputusan mesyuarat yang sememangnya aku tidak mahu umumkan (biarlah diumumkan secara rasmi nanti), peristiwa tadi menjadi topik utama.

Aku mendengar dari sebelah pihak dan saksi. Yang seorang lagi, biarlah. Memang telah kami maklumi keceluparan mulutnya yang sering mengundang rasa sakit hati orang lain dalam diam. Malah, aku juga tahu dia memang kaki gaduh di syarikat lama. Padaku, biar pun dia mempunyai rekod yang tidak berapa elok di tempat lain, janganlah diulangi perkara yang sama berlaku disini. Namun, segalanya sudah berlaku dan dia nampaknya tidak berubah.

"Dia salah tekan button." Cerita mula dibuka.

"Dia simbah minyak pada api. Terus marak menyala, malah menyambar diri," sambung si pencerita.

"Kata orang tua, kerana mulut badan binasa. Aku pun tak tahu apa yang dia dengki sangat pada aku. Sudahlah aku baru balik jumpa client, hari pula panas, hati aku panas. Dia membebel tidak berhenti-henti."

Dia diam, mengambil nafas.

"Aku dah baling kunci. Dia bising juga. Aku baling fail, lagi dia bising."

"Apa kau buat lepas tu?" Aku bertanya. Hebat juga perbalahan kali ini.

"Aku hilang sabar. Aku sepak dia."

"Kau sepak dia? Kau sepak bini orang?" Aku bertanya. Namun ada juga perasaan untuk 'berterima kasih' kepadanya.

"Apa nak buat. Aku bertanggung jawab atas apa yang aku buat."

Aku ada juga perasaan geram, tetapi aku juga manusia. Rasa kasihan tetap ada. Mungkin khilafnya ada disitu, tetapi dua-dua ada juga saham yang menyumbang kepada peristiwa yang tidak disangka-sangka. Aku melihat apa yang berlaku ini adalah lebih kepada attitude. Aku pasti masing-masing sudah lama menyimpan perasaan yang cukup hebat yang akhirnya terlerai juga hari ini. Nasi sudah menjadi bubur.


3)
Kami bersuari. Aku biarkan sahaja sokseksoksek diluar selepas itu. Sebelah pihak sudah bercerita, namun aku malas menganggu sebelah pihak lagi yang baru naik. Biarlah dia melayan perasaan dan dirinya dahulu. Dia mengajak aku minum petang. Aku mengelak kerana perlu menyiapkan beberapa perkara untuk kelasku malam nanti. Aku tahu dia mahu bercerita dan memohon simpati. Aku boleh berikan simpati, tetapi aku tidak mahu memihak kepada sesiapa. Aku tidak mahu bias. Aku cuba berlaku adil. Tetapi, apakah sebenarnya tindakan yang baik untukku lakukan?

Sebelum tidur lewat malam, aku imbasi perkara tadi. Sebenarnya, aku sudah memutuskan untuk tidak mahu campurtangan dalam hal ini. Aku mahu lepas tangan. Aku sudah menetapkan sejak awal tahun ini - mungkin azam baru - apa yang mahu aku lakukan ialah :pergi kerja, balik kerja, buat kerja hingga siap, aku tidak beri masalah kepada syarikat dan hujung bulan terima gaji. Noktah.

Ini sudah menjadi masalah peribadi mereka. Dua-dua sudah ada rekod buruk dan dua-dua memang pernah bergaduh sebelum ini, tetapi dengan orang lain. Bekerja di bawah satu bumbung, menguruskan perajalanan syarikat malah bertembung pula didalam satu pejabat yang kecil pasti menyukarkan mereka untuk bekerjasama.

Namun aku lihat dari sudut lain pula. Aku kini sudah menjadi orang kanan pentadbiran. Hal-hal seperti ini sudah menjadi tanggungjawab untuk aku selesaikan. Beberapa SMS yang masuk petang tadi memohon pandanganku akan perkara ini. Nampaknya, aku ada tugas untuk meleraikan kekusutan. Ada tanggungjawab yang perlu aku laksanakan bagi menyambung tali yang terputus, jambatan yang terpisah. Mereka bukannya kecil anak. Malah aku yang lebih muda ini terpaksa pula berperanan menjadi penghubung akan tali yang terputus, jambatan yang terpisah. Soalnya sekarang ini ialah merubah sikap, bukannya merubah pendirian.

Selepas ini, akan nyata ada perpecahan - team menyokong dan team menentang. Dan secara tiba-tiba aku memutuskan untuk menjadi penghubung akan tali yang terputus, jambatan yang terpisah. Siapa tahu ada yang baik yang akan lahir akhirnya nanti?


4)
Semuanya adalah kerana sikap. Dan sikap memerlukan perubahan. Lalu aku menghantar pesanan ringkas:
"Kalau akak free malam ni, smslah saya. Boleh minum-minum, borak-borak."

Aku pasti dia tidak akan menolak.


Innallaha ma'ana



.

Rabu, Disember 26, 2007

Cuti

Kisah bulan dua belas lagi. Bila tengok kalendar, tanda merah melimpah ruah. Cuti berselang hari. Maka ada yang gatal-gatal isi borang cuti sambil-sambil mahu cuti panjang. Kemudian, bulan satu pula ada lagi beberapa cuti umum. Maka yang jadi mangsa, kita inilah. Dah isi borang cuti pun, dapat SMS lewat malam suruh masuk kerja.

Nasiblah orang kolar putih ni. Lagi-lagi dalam service line. Cuti pun tak senang.

Pesanan bos: "Lain kali kalau nak cuti pun, susun jadual. Jangan bagi office kosong. 1hb nanti jangan cuti. Semua kerja"


P/s: Kena denda. Report Buruh nanti baru tau...huhuhu..

Rabu, November 28, 2007

Perbuatan adalah dakwah tanpa kata-kata

1)
Saya tidak ingat sama ada kata-kata ini saya ambil dari mana-mana bahan bacaan atau terlintas keluar dari kepala saat ditekan dengan pelbagai perkara yang mendesak sejak minggu lalu.

2)
Berdakwah, bukan kerja yang mudah, dan bukan juga senang. (Mungkin). Kita (orang Islam) telah jelas dinyatakan bahawa kita ini adalah khalifah di muka bumi. Wakil-Nya. Maka dalam setiap perbuatan dan kata-kata itu, setidak-tidaknya haruslah mempunyai 'sesuatu' untuk disampaikan sama ada secara zahir atau lisan.

Namun ada juga yang tidak melihatnya sebagai sesuatu yang penting. Pada mereka, hidup ini sekali, maka kecapilah segala nikmat yang terhidang berkali-kali. Tanpa sebarang ragu. Halal dan haram sekadar mainan. Dosa dan pahala langsung tidak diendahkan.

3)
Biar apa pun persepsi anda yang baca terhadap entri kali ini, bukan niat saya mahu menunjukkan yang diri ini bagus.

Ada orang menzahirkan dakwah melalui kata-kata, bibirnya sentiasa basah dengan zikir dan mulutnya sentiasa mengajak kepada kebaikan. Ada pula disebaliknya. Menggunakan diri sebagai contoh, menjadikan perbuatannya sebagai ikutan. Apa yang baik dan apa yang buruk ditunjukkan melalui sikap.

Memang saya seorang yang berat mulut. Saya bukan sebagus orang pertama yang menggunakan mulut. Tetapi saya berusaha menjadi seperti yang kedua. Sekurang-kurangnya saya menggalas amanah-Nya dan tanggungjawab yang telah di serahkan kepada saya sebaiknya.

Tetapi ada juga yang berusaha menjadi baik tetapi tidak mampu memberi contoh yang baik. Percakapan tidak sama dengan perbuatan. Apa yang dinasihatkan sepatutnya memberi insaf, tetapi telah mengundang cakap-cakap yang tidak enak.

Adakalanya, saya menjadi kusut memikirkannya. Apatah lagi sejak kebelakangan ini, saya menjadi mangsa menyiapkan kerja bagi pihak orang lain. Sehingga semalam, saya terpaksa angkat kedua belah tangan.

"Maaf, mengantuk. Aku mahu rehat." Jam baru menunjukkan pukul 10 bila saya sudah belayar jauh ke alam mimpi.

4)
Ya, bukan diri mahu menunjukkan sesuatu yang boleh mengundang persepsi yang lain terhadap orang. Saya juga tahu apa yang Allah janjikan kepada hamba-Nya yang berusaha mengajak kearah kebaikan. Saya mahu mendapatkan janjinya itu, walaupun tidaklah sebagus mana pun. Saya juga tahu dugaan yang ada dikiri dan kanan saya, yang sentiasa datang dalam bentuk wang dan kesenangan. Seboleh-bolehnya, biarlah saya mendakwahi diri dahulu sebelum menjurus kepada orang lain. Tetapi andai apa yang kita lakukan itu membawa kebaikan kepada yang lain, syukur sahaja saya panjatkan kepada Allah.

Tiada siapa yang mahu menolak syurga-Nya. Tiada siapa yang mahu menafikan hak mendapat keredhaan-Nya di dalam kehidupan yang sementara ini. Setiap apa yang kita lakukan adalah kerana-Nya, kerana kita sedar hidup ini sementara cuma. Jadi, tujuan hidup kita sebenarnya alam lain disana. Alam dimana Allah telah janjikan pelbagai perkara yang menggembirakan bagi yang benar-benar sabar terhadap ujian dunia.

5)
Satu panggilan masuk.

"Mari kita pergi karaoke malam ni. Bilik dah tempah. Besar. Boleh bawa ramai kawan. Tunggu pukul 8. KIta pergi sama-sama. Jangan tak datang."

Dia terus merayu sehingga saya terpaksa mematikan talian kerana sedang memandu - atas alasan polis. Malah, pelbagai alasan menolak juga saya telah beri.

Tetapi dia terus merayu.

6)
Perbuatan adalah dakwah tanpa kata-kata.

Fikiran saya kusut sekarang.


.

Jumaat, November 23, 2007

Pelawat tetap

Sejak Isnin, saya menjadi pelawat tetap Hospital Kajang selepas waktu kerja. Kadangkala, tanpa ada apa-apa keperluan pun selain melawat dan melihat keadaannya. Dia salah seorang staff yang saya hormati kerana sangat gentleman. Di pejabat, banyak yang saya pelajari darinya. Dia mempunyai PR yang baik, interpersonal skill yang bagus, communication skill yang mantap, decision maker dan problem solver yang rasional serta kemahiran membuat presentation sehingga selalunya berjaya mempengaruhi para pelanggan dan syarikat lain.

Saya selalu berbincang dengannya jika ada apa masalah yang tidak dapat saya selesaikan dengan baik, atau kadangkala saja mencuri masa berbual dengannya kerana dia sentiasa mempunyai sesuatu untuk disampaikan kepada saya, baik berkenaan syarikat atau kehidupan.

Kehidupannya peribadinya disisi lain sangat gelap dan hitam. Apa-apa sahaja mahu dihalalkan, biarpun dia tahu apa itu halal dan haram, dosa dan pahala. Namun, selalu saya berdoa agar dia menerima petunjuk atas setiap langkah yang dilakukannya kerana seorang yang bagus seperti ini sebenarnya sukar untuk di temui dimana-mana.

Rabu lalu, saya bersendirian melawatnya di hospital. Biarpun ada isteri dan ibunya di sisi, dia tahu ada sesuatu yang berlaku di pejabat berdasarkan kepada wajah saya yang kusut (dan datang pula seorang diri.) Sememangnya bukan niat saya datang untuk menyampaikan berita yang mengejutkan itu, memandangkan kesihatannya tidak begitu baik. Tetapi suasana pejabat yang sudah tidak memberangsangkan menyebabkan saya perlu memberitahunya berita ini, walaupun saya beberapa kali menahan diri dari membuka mulut.

Semalam, di sebalik segala kekalutan di pejabat, saya menerima SMS darinya. Agak sedih juga:

"Btw i got my test result on ct scan, not a gudnews, i tak bgtau sesapa pun lagi, it might be related to cancer but the doctors will discuss dulu among them b4 seeing me again tmrw. There's a large area of blood cloth in my lung based on the ct scan. I need to be on special medication called 'warfarin' yg byk pantang, the disease are very uncommon known as 'pulmonary embolisme'... i'm so sad now, tak tahu nak buat apa, huhuhu..."

Saya mencari di internet tentang warfarin dan Pulmonary Embolism, print dan membawanya ke hospital. Dia begitu gembira dengan informasi seperti ini yang menjelaskan kedudukan blood cloth di paru-parunya dan menyarankan saya mencari lagi apa-apa maklumat yang berkaitan. Dia akan menghantar mesej kepada saya dari semasa ke semasa andai ada apa-apa yang diperlukannya lagi.

Jauh di dalam hati, saya berharap dia cepat sembuh. Syarikat memang memerlukannya. Semoga dugaan ini memberinya keinsafan atas kehidupan gelap yang dilaluinya dan juga menyedarkan semua yang berada di pejabat. Setidak-tidaknya.

Ajal itu boleh datang bila-bila masa. Malaikat tidak akan bertangguh walau sesaat bila tiba masa yang ditetapkan untuk kita.


.

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...