Memaparkan catatan dengan label Terjemahan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Terjemahan. Papar semua catatan

Selasa, Mei 31, 2011

The Facts on File Dictionary of Proverbs: Tentang akar peribahasa

Buku The Facts on File Dictionary of Proverbs ini adalah antara buku awal yang saya beli ketika mula melibatkan diri dalam arena penterjemahan. Tarikh pada buku ini dibeli tertulis tahun 2005. Ketika itu saya diberikan tugasan berkaitan peribahasa Melayu. Ia bukanlah menterjemah peribahasa, sebaliknya mengelaskan setiap peribahasa dalam kumpulan tertentu. Misalnya tajuk lidah merangkumi peribahasa tentang lidah, tajuk rumah pula peribahasa tentang rumah dan sebagainya.

[Sebenarnya saya dah lupa akan tugasan ini. Bagi mengembalikan ingatan, saya membuat carian kembali dalam arkib e-mel akaun yahoo yang penuh dengan notifikasi groups, iklan dan macam-macam langganan yang memenuhkan kantung mel masuk].

Saya tidak tahu buku ini ada dijual di Malaysia kerana saya beli langsung menerusi teman penterjemah. Malah berdebar-debar pula bila menerima buku yang setebal 440 muka surat ini kerana dikhabarkan 'ia bagus dan terbaik'. Sememangnya ia bagus untuk simpanan dan rujukan kerana ia menghimpunkan kurang lebih 1500 peribahasa lama dan baharu. Setiap entri peribahasa mengandungi maksudnya, contoh penggunaan dalam ayat, asal-usulnya, peribahasa yang serupa atau hampir dengan maksud atau peribahasa yang berlawanan dengannya.

Saya ambil contoh dari halaman 141:
the leopard can't change its spots: A person cannot change his or her character or nature: "Although he swears he has changed, leopards don't usually change their spots, especially those who don't cooperate in conseling" (Washington Times, 1997). The proverb is of biblical origin: "Can the Ethiopian change his skin, or the leopard his spots?" (Jeremiah 13:23)

Variant of this proverb: The leopard does not change his spots.

Provers expressing similar meaning: Once a thief, always a thief; You can drive out nature  with a pitchfork but she keeps on coming back.

Atau contoh yang ini dari halaman 241:
truth lies at the bottom of a well. It is often very difficult to discover the truth: We will probably never know exactly what happened on that night - truth lies at the bottom of a well, and everybody I've interviewed so far has given me a different version of events. The proverb is attributed to the Greek philosopher Democritus (c. 460 - c. 370 B.C): "we know nothing certainly, for truth lies in the deep."

Variant of this proverb: truth keeps to the bottom of her well.

Proverb expressing opposite meaning: Truth will out.

Saya percaya suatu hari nanti buku yang sama akan wujud di negara kita. Peribahasa kita saya percaya lebih banyak dan bervariasi berbanding dalam English. Semoga ada pihak yang bertauliah prihatin untuk mengorek kembali asal usul peribahasa yang sebenarnya sudah tidak banyak digunakan dewasa ini. Secara kebetulan, saya mempunyai sebuah buku peribahasa lama berjudul Mestika Bahasa terbitan 1959 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Membelek setiap peribahasa yang ada didalamnya, banyaklah antara peribahasa tersebut sudah tidak didengari lagi atau tidak lagi disebut-sebut orang meskipun kedengarannya agak ganjil.

Siapa lagi yang akan buat kalau bukan kita?

P/s: mengais hendaklah berkuku: membuat sesuatu itu biarlah dengan ilmu pengetahuan. Seperti orang hendak berniaga, biarlah punya modal...

Khamis, Mei 26, 2011

Penterjemah dan terjemahannya

Tugas penterjemah bukanlah sekadar menukarkan bahasa kedalam bahasa lain. Penterjemah bukanlah 'sebuah kamus' yang tahu semua perkataan walaupun itu adalah pra-syarat atau mungkin kelayakan utama.

Saya memasuki bidang terjemahan secara tidak sengaja. Ada cerita yang berlaku, yang terhasil dari perbualan ketika menunggu pelanggan hampir sepuluh tahun dahulu. Saya kemudian dijemput ke seminar terjemahan di sebuah hotel di Petaling Jaya beberapa minggu kemudian. Oleh kerana saya spesis yang suka mencuba perkara baharu, saya terjah sahaja seminar tersebut. Pergi pun seorang diri dalam keadaan tahu-tak-tahu dimana letaknya Hotel Singgahsana. Hasil dari perkenalan dengan peserta, walaupun dalam keadaan segan dan malu, saya memberanikan diri menerima job pertama - transcribe sebuah buku dalam tulisan Jawi ke dalam tulisan Rumi. Buku itu bertarikh 1911 dan dengan gaya bahasa lama.

Kemudian saya memberanikan diri mengambil Diploma Terjemahan dari Persatuan Penterjemah Malaysia-DBP yang lebih murah dan tidak mengambil masa yang lama berbanding kursus yang sama di ITNM yang lebih glamour tetapi bertahap sijil. Saya mula menerima job dari senior translator dan belajar banyak tips terjemahan jarak jauh. Kiranya sebelum OUM buka kursus online, para penterjemah sudah memulakan kursus jarak jauh dan memaksimumkan penggunaan internet.

Apa yang berlaku selepas itu menjadi sejarah. Saya menjadi seronok menerima tugas tetapi rasa tidak yakin mencari job sendiri. Ramai yang menjadikan kerja terjemahan sebagai part-time job, tetapi lebih ramai yang menjadikannya mata pencarian utama. Jangan tak percaya pula dengan prospek kerja terjemahan.Bukan sahaja buku yang diterjemah, macam-macam medium tersedia. Poster, iklan, brosur, katalog dan yang seumpama dengannya. Terjemahan sarikata pula tidak terhad drama dan filem. Dokumentari, kartun, berita, forum atau apa sahaja. Pendek kata, apa yang ada di tv, boleh diterjemah. Apa yang ada di rak pun, boleh diterjemah. Atau apa yang ada di sekeliling kita pun, memerlukan terjemahan. Papan iklan yang bersepah misalnya, ada dalam dwibahasa atau lebih.

Sebelum menterjemah kita perlu tahu ada syarat yang perlu dipatuhi dan ia adalah rukun untuk dipegang oleh para penterjemah supaya tidak terbabas.

1. Menguasai bahasa sumber. Bahasa sumber ialah bahasa asal si penterjemah. Jika dia berbangsa Melayu, tidak syak lagi bahasa sumbernya ialah Bahasa Melayu.

2. Menguasai bahasa sasaran, iaitu bahasa yang ingin diterjemah. Misalnya menterjemah dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris (BM > EN), maka Bahasa Inggeris adalah bahasa sasaran. Penterjemah perlu kuasai bahasa sasaran bagi memudahkan proses terjemahan dan mengelakkan kekeliruan.

3. Mengetahui bidang, misalnya bidang kejuruteraan, IT, ekonomi atau agama. Jika penterjemah kurang mahir menguasai sesuatu bidang, misalnya diperlukan menterjemah teks perubatan, apa yang dibaca tidak sama dengan apa yang difahami oleh pelajar perubatan. Begitu juga jika menterjemah puisi atau novel. Mesejnya boleh tersasar dan gaya bahasa tidak secantik bahasa sumber.

4. Mengetahui budaya bahasa sumber dan bahasa sasaran. Jika diminta menterjemah novel Sepanyol, kita perlu tahu akan budaya dan adat bangsa Sepanyol supaya terjemahan itu sejadi dan kena dengan teks asal. Jika tidak, ia boleh menimbulkan kepelikan dan bantahan dari pihak yang berkenaan. Penterjemah perlu berhati-hati akan perkara ini yang dianggap sensitif

5. Mengetahui teori dan amali terjemahan. Seelok-eloknya, bacalah buku yang boleh membantu memahami tugas danperanan penterjemah. Antara buku yang baik di pasaran ialah Teori dan Teknik Terjemahan olen Pn Ainon Muhd dan Prof Abdullah Hassan. Penterjemah juga biasanya mempunyai pelbagai jenis kamus, glosari dan buku istilah yang boleh membantu memudahkan terjemahan.

6. Mengetahui audien sasaran. Harus diketahui buku itu disasarkan kepada kumpulan mana - kanak-kanak atau dewasa, golongan agama atau orang biasa, parti A atau parti B supaya ia diterjemahkan ke dalam bahasa yang sesuai.

Penterjemah harus tahu bahawa menterjemah bertujuan mengekalkan mesej asal bahasa, bukannya susunan perkataan atau gaya bahasanya. Contohnya, jika bahasa sumber menggunakan ayat pasif, tidak semestinya diterjemah kepada ayat pasif. Penterjemah boleh menukarkan kepada ayat aktif jika ia boleh menghindari kekeliruan dan menguangkan kejanggalan.

Saya akan tulis lagi isu yang berkaitan dunia terjemahan yang menarik dan unik. Entri ini pun saya tulis kerana esok akan menghadiri interview merangkap ujian menterjemah. Jadi, anggaplah sahaja saya mengulangkaji pelajaran. Apatah lagi buku yang hendak dibaca lesap malam ini. Baca nota sahajalah. Aduhai...

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...