Memaparkan catatan dengan label Filem. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Filem. Papar semua catatan

Khamis, Disember 14, 2017

Barisan hadapan: The Front Line

Ahad malam Isnin aku kena ingat selalu kerana ada filem Korea yang menarik untuk ditonton. AKu bukanlah peminat atau penonton filem kerana kau lebih gemar membaca, tetapi aku tahu apa yang mahu aku tonton, bila dan dengan siapa.

Filem malam tadi berjudul The Front Line, sebuah filem perang, perang saudara. Adik aku baru tengok tak sampai sepuluh minit dah memanjat tangga naik ke bilik. AKu yang berhajat nak tengok sekejap boleh menyambung hingga selesai, malah aku Google maklumat hingga puas membaca tentang filem ini.

Ada satu dialog menarik pada pengakhir filem ini yang terngiang-ngiang hingga kini:


+ Kau tahu kenapa kau kalah dalam perang? Kerana kau tak tahu tujuan berperang.


Geleng


- Aku tahu. Dahulu aku tahu. Tapi perang ini terlalu lama sehingga aku lupa apa tujuannya berperang.

The Front Line, filem (2011)


https://en.m.wikipedia.org/wiki/The_Front_Line_(2011_film)

Ahad, Mei 25, 2014

Filem: Sang Murabbi

Bulan lalu, ketika sedang berbual tentang beberapa filem yang berunsur dakwah dan tarbiyah, terdengar dalam perbualan itu seseorang menyebut tentang Sang Pencerah, Sang Murabbi, Sang Kiyai. Terdetik dalam hati, apakah semua judul ini berbeza? Seperti selalu, saya menerjah ke Google mencari jawapan. Lain rupanya, lain. Jadi saya muatturun dan simpan dalam harddisk. Nanti akan ditonton. Nanti.


Hari ini yang serba lembab dengan capai internet yang mengada-ngada sejak dua tiga minggu, saya pun menonton Dalam Mihrab Cinta. Rupanya filem ini sudah pun saya tonton sebelum ini, tapi kerana sudah membukanya maka saya hadam sekali lagi sambil mengacah-acah internet. Bila acahan tak berhasil, saya buka pula Sang Murabbi tanpa ada apa-apa harapan pun. Tiada.

Terkesima sekejap menonton sosok Kiyai Rahmat Abdullah. Kenapa saya tidak tahu dia, kenapa ketinggalan mengenalinya? Soalan ini bertalu-talu muncul di kepala. Belum pun habis filemnya, cepat-cepat saya Google namanya, mencari dan memahami beliau yang sebenar. Rasa ketinggalan sangat-sangat. Sangat-sangat.

Sang Murabbi ditayangkan sekitar 2008 merupakan kisah yang diangkat dari kehidupan Almarhum KH Rahmat Abdullah bin Abdullah (1953-2005). Kalau mahu tahu tentang dirinya, boleh baca di sini dan di sini. Tapi tentang filemnya, sedikit sebanyak dapatlah mentarbiah hati yang keras semiggu dua ini. Betapa dakwah dan tarbiah yang Kiyai Rahmat jalankan sangat tenang, santun dan berhemah. Teratur tutur kata, jelas misi dakwahnya, tidak keras dalam tindakan, mengajak tanpa mendesak, memahami kehendak semasa dan ulah masyarakatnya. Tidak dengar pula dia mengeluh tetapi tegas denan pendiriannya. Lihatlah ketika dia membangkang seseorang yang mengatakan sesuatu tentang Nabi. Dia tidak melenting, marah atau memaki hamun sebaliknya menasihatkan dengan baik sambil mematah-matahkan hujah lawan. Ketika dia menerima surat panggilan ke pejabat (kerana dikatakan telah melakukan kesalahan), si pembawa surat itu pula ditarbiah sehingga mengalir air mata. Empat lima kali saya ulang bahagian ini bagi melihat bicara yang dituturkan. Memang ternyata membekas tanpa sindir menyindir. Begitu juga ketika dia menegur anak perempuannya yang pulang lewat dibalas si anak 'ayah juga pulang lewat'. Tetapi dia tidak marah sebaliknya minta maaf kepada anaknya. "Fida, maafkan Abi ya nak ya. Kalau Fida mengerti apa yang abi kerjakan, insha-Allah Fida tidak akan keluar malam ya nak ya." Duh!

Kiyai Rahmat seorang terbuka dan boleh menerima teguran dan padangan orang lain. Ketika dia mellihat tanah yang mahu diwakafkan, beliau yang melihat kawasan itu nampaknya seperti kawasan kumuh lalu berkata 'ini bukan tempat jin buang anak, Pak Haji Mukhtar?'  Maka dijawab oleh si penderma, 'Anta lupa sama kisah Nabi Ibrahim? Beliau menerima amanah Allah awal dakwahnya di tempat yang tiada seorang manusia, jangankan  jin, pohon pun enggak ada ustaz'. Apa jawapannya? Jazakkallahu khayr Haji. Mereka pun bersalaman. Begitu juga ketika dia menerima kehadiran kaum ibu yang dipinggirkan oleh sang suami yang berpoligami. Semua itu menjadi ramuan dakwahnya, tarbiahnya yang dijalankan dalam kelompok kecil (atau orang kata sekarang usrah) tanpa dia rasa malu-malu seperti para ustaz kita. Sepertinya perempuan ini jijik dilihat.Menurut ibu itu, kami ini juga perlukan bantuan sang ayah dengan mengambil contoh Hassan al-Bana yang turut sama mendidik anak-anaknya, bukan seperti apa yang dilakukan oleh sang suami ketika itu. Semuanya dilepaskan pada bahu si ibu.

Pada awal beliau berdakwah, oleh kerana terpengaruh dengan cara Hassan al-Bana, Syed Qutb, Mohammad Natsir dan beberapa pemimpin lainnya, cara penyampaian dan pengisiannya dilihat berbeda. Namun ketika itu agak sukar bergerak kerana gerakan usrah menjadi satu larangan dibawah kepimpnan Presiden Suharto. Maka dia melakukannya secara sembunyi, dengan cara yang dapat mengelakkan keraguan. Sebelum itu pun dia sudah dipanggil oleh si pemerintah kerana didakwa ajarannya berbeda dari biasa. Semuanya dijawab dengan tenang, lengkap hujah dan kebenaran yang tidak mampu disangkal si pemerintah. Kiyai Rahmat kemudian mendirikan sebuah pergerakan dengan pejabat sendiri. Dia juga bersama-sama menubuhkan Parti Sejahtera yang kini dikenali sebagai Parti Kebangsaan Sejahtera (PKS) yang cukup kuat disamping Golkar dan PDI-P.

Penglibatannya dalam politik tidak mengubah kerja-kerja dakwahnya yang turut sama berjalan. Dia digelar Kiyai tarbiah kerana caranya menyampaikan dengan cara tarbiah yang memikat. Beliau tidak putus membaca, menulis dan berusaha keras menyampaikan dakwah kepada masyarakat. ketenangannya tetap menjadi tarikan.

Ketika Kiyai Rahmat memberi taklim di sebatang sungai kepada anak-anak muridnya, beliau berkata:
“Antum perhatikan bagaimana Allah SWT menciptakan batu yang luar biasa besarnya. Allah menciptakan begitu kerasnya batu. Bagaimana Allah SWT menciptakan air yang mengalir lembut ini. Tapi antara batu dan air mereka bekerjasama untuk menimbulkan satu harmoni yang Allah SWT harapkan di semua aktivis dakwah. Kita sama muslim, kita sama aktivis dakwah, kenapa banyak di antara kita tidak mengambil ibrah ini? Kenapa banyak di antara aktivis dakwah selalu mengatakan ini hak antum, ini ana. Ini kewajipan antum, ini kewajipan ana. TIDAK ADA!!! Malulah kita kepada apa yang diciptakan Allah SWT, batu dan air ini tidak ada pertikai di antara mereka”.
Ditakdirkan Kiyai Rahmat meninggal pada usia 52 tahun pada 2005, yang agak muda ketika sedang mengambil wuduk untuk solat maghrib sebelum mengendalikan satu acara. Pemergian beliau ditangisi ribuan orang yang datang menziarahi. Pengkebumiannya turut disimbahi hujan yang lebat yang turut menangisi kehebatan insan yang berjuang dan berdakwah di jalan Allah.

Nasyid dengan judul Sang Murabbi dendangan Izzatul Islam ini menjadi lagu runut bunyi. Sungguh indah didengar telinga, dalam maksudnya. Apa lagi yang harus saya katakan? Dengarlah dan hayati liriknya.

Ribuan langkah kau tapaki
Pelosok negri kau sambangi
Ribuan langkah kau tapaki
Pelosok negri kau sambangi

Tanpa kenal lelah jemu
Sampaikan firman Tuhanmu
Tanpa kenal lelah jemu
Sampaikan firman Tuhanmu

Terik matahari
Tak surutkan langkahmu
Deru hujan badai
Tak lunturkan azzammu

Raga kan terluka
Tak jerikan nyalimu
Fatamorgana dunia
Tak silaukan pandangmu

Semua makhluk bertasbih
Panjatkan ampun bagimu
Semua makhluk berdoa
Limpahkan rahmat atasmu

Duhai pewaris nabi
Duka fana tak berarti
Surga kekal dan abadi
Balasan ikhlas di hati

Cerah hati kami
Kau semai nilai nan suci
Tegak panji Illahi
Bangkit generasi Robbani..

Sabtu, Mei 10, 2014

English Vinglish untuk motivasi belajar bahasa



Sabtu yang tenang tanpa aktiviti, cuma ada satu jemputan kenduri kahwin yang aku kena pergi. Elok-elok dah berjanji dengan yang lain, tiba-tiba mereka berhalangan. Kalau diikutkan hati, memang tak mahu pergi tapi memandangkan aku kena bawa kuih yang ditempah si pengantin, cepat-cepat bersiap. Semoga orang belum ramai, pengantin belum ada, tiada orang dikenali dan aku boleh jumpa emak pengantin, makan, salam emak pengantin dan balik. Memang bodoh sombong bunyinya, tapi sifat introvert masih ada. Memang itulah yang berjaya ku buat, balik sebelum hujan turun mencurah di Semenyih.

Besar harapan hari ini agar dapat aku menulis dan menghabiskan bacaan satu buku. Esok satu hari yang padat dengan seminar Hamka, jadi hari ini kena pulun semua kerja. Paling tidak pun, sinopsis 20 episod kena siap. Tentang apa, nantilah cerita, bila dah dapat surat tawaran :)

Sebelum keluar pagi tadi, aku dah menulis serba sedikit. Kemudian aku tinggalkan laptop menyala dengan harapan dapat kusambung kembali apa yang telah aku tuliskan. Ketika ku hidupkan kembali laptop, aku turun ke bawah. Tv sedang terpasang filem hindustan yang baharu bermula. Duduk dan lihat sekejap. Sekejap yang menyebabkan aku duduk di situ sehingga filem tersebut habis.

EnglishVinglish sebuah filem yang lari dari kebiasaan filem Hindustan. Tak rugi rasanya aku naik kembali ke atas dan mematikan laptop. Sashi dan Satish mempunyai sepasang anak yang comel. Satish bekerja dengan jawatan yang agak baik juga sementara Sashi suri rumah yang digambarkan kurang berpendidikan menerusi penampilannya yang kekampungan – pakai sari, memasak untuk keluarga dan tidak fasih langsung berbahasa Inggeris. Ini menjadikan dia sering dimomokkan oleh anaknya, Sapna dan suaminya. Sashi diminta oleh kakaknya, Manu untuk ke Manhattan bagi membuat persiapan perkahwinan Meera, anak Manu. Satish memberi kebenaran agar Sashi pergi lebih awal untuk menyiapkan segala keperluan. Pergi seorang diri adalah sesuatu yang menakutkan Sashi. Dia terlalu merendah diri dengan penguasaan Englishnya yang lemah dan tidak pernah pernah ke mana-mana berseorangan. Inikan pula perlu ke Manhattan, tempat yang jauh dan serba serbi yang asing. Namun Sashi diyakinkan oleh suaminya dan diberi beberapa tips dan latihan agar tidak canggung.

Pengalaman awal Sashi tanpa penguasaan English yang baik amat menduga ketiga berada di sebuah cafe untuk memesan minuman. Kesedihan ini menjadikan dia berazam untuk belajar Englsih dalam masa empat minggu, seperti yang terpapar dalam sebuah iklan dibadan bas. Sashi memang berusaha keras belajar bahasa asing ini dan dia mendaftar secara senyap. Di dalam kelas, ada pelajar dari India, Pakistan, Mexico, China, Perancis dan Nigeria. Masing-masing dengan perwatakan tersendiri namun Shashi sangat disenangi kerana bijak bertanya soalan yang unik dan sering membawa masakan India ke kelas. Malamnya Sashi belajar sambil menonton DVD, siangnya selepas kelas dia menyiapkan apa yang patut untuk majlis perkahwinan anak saudaranya itu. laurent, pelajar Perancis yang membantunya ketika di cafe tempohari tertarik dengan perwatakan Sashi dan cuba memikatnya. Namun Sashi sedar diri yang dia mempunyai suami dan anak. Prinsip Shashi ini sangat Laurent hargai, menunjukkan Shashi benar-benar mempunyai harga diri yang tinggi.

Namun begitu, Sashi yang diam rupanya menyimpan perasaan terhadap suami dan anaknya yang kurang memberikan rasa hormat kepada dirinya sebagai isteri dan ibu. Kekurangannya terhadap English sentiasa dimomokkan. Suaminya tidaklah mengongkong tetapi begitu dingin terhadapnya. Satish pernah meluahkan kepada Laurent bahawa dia bukanlah mahu disayangi tetapi cukuplah dihormati. Rasa ini timbul akibat Sapna yang memarahinya kerana menyimpan buku skrap dalam almari sedangkan katanya, ‘emak tak tahu baca pun English tapi simpan buku saya untuk apa?’ Uniknya, mereka berbicara dalam bahasa ibunda masing-masing yang meski pun tidak difahami, hasrat dan perasaan rupanya dapat disampaikan melalui bahasa badan yang semulajadi sifatnya. Pada saya, inilah intipati sebenar filem ini. Bahasa adalah sejagat dan alami. Memahami dengan perasaan sudah cukup meyakinkan kita apa yang cuba disampaikan meskipun tidak faham sepatah haram bahasanya.

Pada akhir pembelajaran, pelajar diminta menyampaikan ucapan selama 5 minit sebagai ujian dan jika lulus akan diberi sijil. Ketika itulah hari perkahwinan Meera. Sashi tidak dapat hadiri ujian meskipun telah merancang. Namun Radha, adik Meera yang tahu usaha Sashi ke kelas bahasa berusaha menjemput semua pelajar ke majlis selepas ujian. Sashi diminta menyampaikan ucapan buat pengantin, yang diucapkan dalam English. keadaan ini benar-benar mengejutkan suami dan anaknya, malah Sashi memberikan nasihat kepada pasangan pengantin. Nasihat yang sebenarnya untuk dia dan Satish agar kembali kepada kehidupan perkahwinan yang lebih sempurna.

This marriage is a beautiful thing. It is the most special friendship. Friendship of two people who are equal. Life is a long journey. Meera, sometimes you will feel you are less. Kevin, sometimes you will also feel you are less than Meera. Try to help each other to feel equal. It will be nice. Sometimes... Married couple don't even know how the other is feeling. So... how they will help the other? It means marriage is finished? No. That is the time you have to help yourself. Nobody can help you better than you. If you do that... you will return back feeling equal. Your friendship will return back... Your life will be beautiful.

Meera... Kevin... Maybe you'll very busy... but have family... son... daughter. In this big world... your small little world, it will make you feel so good. Family... family can never be... never be... never be judgemental! Family will never... put you down... will never make you feel small. Family is the only one who will never laugh at your weaknesses. Family is the only place where you will always get love and respect. That's all Meera and Kevin... I wish you all the best. Thank you. 

Memang benar filem lari dari kebiasaan. Hanya ada satu lagu lengkap tarian, itu pun ketika upacara perkahwinan berlangsung, diikuti lagu-lagu selingan. Plotnya berjalan laju dan tidak melankolik. Mainan perasaan oleh Sashi tidak diperpanjangkan sehingga mendayu-dayu dan cukuplah dengan riak wajah dan gerak badannya menunjukkan dia dalam dilema, sedang marah atau gugup. Watak yang dimainkan oleh primadona Hindustan, Sridevi ini, yang sudah lima belas tahun menghilang, nyata tidak tumpul oleh waktu. Dia sendiri digambarkan seorang isteri pasrah dan taat pada suami dan perkahwinan yang mengikat kehidupannya. Satish pula bukanlah suami yang kejam cuma kurang menunjukkan kasih sayang. Ini sikap biasa pada lelaki timur misalnya Melayu yang kurang membelai, menunjukkan perasaancinta dan kasih atau menyampaikan kata yang indah dan manis seperti yang si isteri inginkan.

English Vinglish pada ku sebuah filem motivasi untuk belajar bahasa. Pernah ku tuliskan sebelum ini betapa aku ingin kembali belajar bahasa Arab dan peluang itu kemudian datang terhidang. Maka aku angkat English Vinglish sebagai motivasi untuk belajar bahasa Arab sehingga boleh faham makna al-Qur’an dan boleh berbicara dengan fasih dan lancar. Ketika ini, syukurlah aku belum ponteng walau satu kelas pun berbanding dengan tiga temanku. Kini sudah masuk bab lima, sampai kepada muḍāf-muḍāf ilayh yang agak sukar bagi ku. Malah topik ini hampir tiga minggu diajar dan wajibāt mencecah lima halaman. Namun Cikda telah memberi satu pautan video Nouman Ali Khan yang menceritakan bagaimana usaha dia belajar bahasa Arab pada mulanya. Motivasiku bertambah. Benarlah kata ustaz, belajar BA dengannya adalah bertujuan untuk memahami al-Qur’an dengan betul dan sekaligus akan mahir bahasa Arab dengan sebaiknya.

Teringat pula pada pagi Rabu yang lalu sewaktu dalam perjalanan ke UM seawal enam pagi, aku memasang radio IKIM. Dalam tazkirah pagi, penceramah membaca surah al-Fath dan menyebut maknanya satu persatu. Tiba-tiba air mata ku bergenang. Betapa mudahnya aku faham setiap ayat yang dituturkan itu. Jalan sesak seperti tidak terasa. Aku ulang-ulang perkataan yang disebutkan siap maknanya. Ya Tuhan, dahulu pun aku belajar bahasa Arab, tetapi mengapa tidak dapat kurasakan nikmat yang sebegini indah?

Semangat Sashi dalam English Vinglish akanu jadikan motivasi untuk belajar Bahasa Arab sehingga faham makna al-Qur’an. Jadi sekarang ini, perlulah aku buka Qur’an dan terjemahannya supaya dapat kesan muḍāf, muḍāf ilayh, mubtada’ dan khabar lalu dapat aku berbahasa dengan betul. Niat nampaknya membezakan hasil. Niat memahami Qur’an rupanya memudahkan aku memahami pelajaran. Doakan aku, teman!

Rabu, Januari 26, 2011

Filem: Alangkah Lucunya (Negeri Ini)

Sekiranya tidak ketawa pada babak serius atau membeliakkan mata pada babak lucu, maka anda memang tidak pandai membaca lambang dan simbol yang bersepah-sepah dalam setiap babak. Tidak perlu berlawak. tidak perlu skrip yang menggeletek. Cukuplah menjentik sikap-sikap orang sebelah menyebelah atau kelakuan sendiri atau perangai manusia sekeliling. Semuanya itu adalah ramuan yang cukup bagi membikin sebuah filem yang sungguh bermakna.

Alangkah Lucunya (Negeri Ini) sangat menghiburkan. Tidak perlu tempelan pelakon perempuan tidak cukup kain. Tidak perlu adengan hantu hisap darah. Tidak perlu bantuan mat rempit dan minah motor. Tidak perlu adengan bergolek-golek bergumbira di taman. Tidak memerlukan hero menyelamatkan dunia pada babak akhir.

Semua pelakon dalam filem ini adalah hantu, hero dan heroin. Mereka menghidupkan lakonan dengan sangat berkesan. Di mana boleh saya tonton filem serupa ini di tanah kelahiran saya yang tercinta?

Jangan tanya dari mana filem ini boleh di dapati. Zaman internet ini, semuanya percuma!


Terima kasih kepada Ali yang mengusulkan filem ini.

Ahad, Januari 23, 2011

Filem: The Children of Heaven

The Children of Heaven ialah kisah tentang sepasang kasut yang digarap penuh emosi. Ali dan Zahra adalah adik beradik, masih bersekolah. Kalau di Malaysia, dalam peringkat rendah. Segalanya bermula apabila Ali kehilangan kasut milik Zahra sewaktu singgah di sebuah kedai. Sebelum itu dia membawa kasut sekolah tersebut untuk di jahit.

Bagi mengelakkan dari di pukul bapa yang garang ditambah pula dengan keadaan kewangan yang tidak mengizinkan, mereka sepakat untuk berkongsi kasut milik Ali. Zahra menyarung kasut sekolah Ali yang lebih besar dari saiz kakinya pada sebelah pagi dan bersegera pulang selepas waktu sekolah untuk di serahkan kepada Ali yang bersekolah sesi petang. Maka bermulalah episod berlari-lari - Zahra mahu segera menyerahkan kasut kepada Ali. Ali pula tidak mahu lewat tiba walaupun sudah beberapa kali ditangkap kerana lewat. Ini menjadikan Ali berusaha mempercepatkan lariannya supaya tidak di usir dari sekolah. 

Suatu hari, sekolah mengadakan pemilihan calon untuk pertandingan larian (merentas desa) antara sekolah (mungkin atara zon atau antara daerah). Ali yang asalnya tidak mengambil peduli merasa terpanggil untuk menyertai selepas melihat hadiah kemenangan tempat ketiga ialah sepasang kasut sukan. Dia memberitahu Zahra mahu menyertai dan berazam mendapatkan tempat ketiga dan mahu menghadiahkan kasut kepada Zahra.

Ali dapat nombor berapa? Persoalannya bukan kedudukan tempat itu tetapi cara bagaimana penonton merasa debaran yang teramat sangat melihatkan adengan larian sesama atlit. Kita dapat melihat bagaimana Ali begitu bersungguh mendapatkan tempat ketiga walaupun bajunya di tarik dan jatuh. Apabila bangun, dia mendapati beberapa atlit berada dihadapan dan turut bersaing dengannya. Ada seketika dia di kedudukan pertama tetapi memperlahankan lariannya supaya di potong untuk berkedudukan ketiga. Mainan perasaan pada babak ini sangat mendebarkan. Inilah intipati sebenar The Children of Heaven.

Ya, Ali menang akhirnya. Tetapi kemenangan itu amat menyedihkanya kerana tidak mampu mengotakan janji kepada Zahra. Dia memperolehi tempat pertama. Zahra kecewa akan kegagalan Ali. Tetapi akhirnya penonton tahu yang Karim, bapa mereka membelikan sepasang kasut. Simbol-simbol yang ditunjukkan memerlukan penonton berfikir kaitannya dengan setiap plot. Tidak semua dilambakkan. Perlu memahamkan apa dan mengapa. Sehingga bila melihat babak Ali berlari kita seperti mahu berlari bersama.

The Children of Heaven ialah kisah kasih sayang. Tidak perlu mengucapkan ILY. Tidak perlu berpeluk berpimpin tangan. Cukuplah dengan sepasang kasut yang kotor dan buruk. Lambang kepada kehidupan keluarga Karim. Simbol kasih sayang Ali kepada keluarga. Isyarat bahawa sesuatu itu tidak akan datang tanpa usaha. Merupakan makna sebuah kesungguhan.

Kini, apabila menyarung kasut, saya segera teringat kepada Ali dan Zahra.

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...