Ahad, Januari 23, 2011

Filem: The Children of Heaven

The Children of Heaven ialah kisah tentang sepasang kasut yang digarap penuh emosi. Ali dan Zahra adalah adik beradik, masih bersekolah. Kalau di Malaysia, dalam peringkat rendah. Segalanya bermula apabila Ali kehilangan kasut milik Zahra sewaktu singgah di sebuah kedai. Sebelum itu dia membawa kasut sekolah tersebut untuk di jahit.

Bagi mengelakkan dari di pukul bapa yang garang ditambah pula dengan keadaan kewangan yang tidak mengizinkan, mereka sepakat untuk berkongsi kasut milik Ali. Zahra menyarung kasut sekolah Ali yang lebih besar dari saiz kakinya pada sebelah pagi dan bersegera pulang selepas waktu sekolah untuk di serahkan kepada Ali yang bersekolah sesi petang. Maka bermulalah episod berlari-lari - Zahra mahu segera menyerahkan kasut kepada Ali. Ali pula tidak mahu lewat tiba walaupun sudah beberapa kali ditangkap kerana lewat. Ini menjadikan Ali berusaha mempercepatkan lariannya supaya tidak di usir dari sekolah. 

Suatu hari, sekolah mengadakan pemilihan calon untuk pertandingan larian (merentas desa) antara sekolah (mungkin atara zon atau antara daerah). Ali yang asalnya tidak mengambil peduli merasa terpanggil untuk menyertai selepas melihat hadiah kemenangan tempat ketiga ialah sepasang kasut sukan. Dia memberitahu Zahra mahu menyertai dan berazam mendapatkan tempat ketiga dan mahu menghadiahkan kasut kepada Zahra.

Ali dapat nombor berapa? Persoalannya bukan kedudukan tempat itu tetapi cara bagaimana penonton merasa debaran yang teramat sangat melihatkan adengan larian sesama atlit. Kita dapat melihat bagaimana Ali begitu bersungguh mendapatkan tempat ketiga walaupun bajunya di tarik dan jatuh. Apabila bangun, dia mendapati beberapa atlit berada dihadapan dan turut bersaing dengannya. Ada seketika dia di kedudukan pertama tetapi memperlahankan lariannya supaya di potong untuk berkedudukan ketiga. Mainan perasaan pada babak ini sangat mendebarkan. Inilah intipati sebenar The Children of Heaven.

Ya, Ali menang akhirnya. Tetapi kemenangan itu amat menyedihkanya kerana tidak mampu mengotakan janji kepada Zahra. Dia memperolehi tempat pertama. Zahra kecewa akan kegagalan Ali. Tetapi akhirnya penonton tahu yang Karim, bapa mereka membelikan sepasang kasut. Simbol-simbol yang ditunjukkan memerlukan penonton berfikir kaitannya dengan setiap plot. Tidak semua dilambakkan. Perlu memahamkan apa dan mengapa. Sehingga bila melihat babak Ali berlari kita seperti mahu berlari bersama.

The Children of Heaven ialah kisah kasih sayang. Tidak perlu mengucapkan ILY. Tidak perlu berpeluk berpimpin tangan. Cukuplah dengan sepasang kasut yang kotor dan buruk. Lambang kepada kehidupan keluarga Karim. Simbol kasih sayang Ali kepada keluarga. Isyarat bahawa sesuatu itu tidak akan datang tanpa usaha. Merupakan makna sebuah kesungguhan.

Kini, apabila menyarung kasut, saya segera teringat kepada Ali dan Zahra.

4 ulasan:

Unknown berkata...

Saya sedang mencari komentar penonton Malaysia mengenai filem arahan Majid Majidi lalu menjumpai blog ini.

Tahniah kerana reviu yang cukup menarik. Iran dengan nuansa filem "Syiah"nya memang tak pernah menghampakan. Penuh dengan rasa kemanusiaan.

Malangnya, penerbit filem di Malaysia tak pernah mahu belajar daripada mereka yang tentunya berakar daripada tradisi Islam. Saya tak ingat bila agaknya saya menonton filem keluaran tempatan yang menggugah seperti ini.

Atau ada ke?

ulasbuku berkata...

Saya tengok cerita ini bersama bapa. Dia kata kalaulah filem Melayu pun sebaik ini, alangkah.

Melalui filem inilah saya pertama kali lihat upacara menangis untuk Hussein.

Norziati Mohd Rosman berkata...

Al Ghazali,
Di Malaysia, filem sebegini buang duit sahaja. Tak laku. Tak bagus pun untuk khalayak. Tak menyeramkan. Tak ada pelakon seksi

Norziati Mohd Rosman berkata...

mxypltk,
Banyak simbol dan lambang yang perlu di baca. Bukan sekadar tontonan

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...