Isnin, Januari 24, 2011

Buku: Sandera

 

Rasanya novel ini sukar di temui. Saya kira bertuah memilikinya ketika mencelah-celah di antara rak buku yang padat di sebuah kedai buku langka di Jalan Tun HS Lee. Dan harganya lebih mahal tiga kali ganda daripada harga asal. Tetapi wajahnya masih baik dan tubuh masih teguh. Tiada muka surat yang hilang. Tiada kesan koyak atau gigitan binatang yang cemburu pada buku. Saya kira pemilik asalnya menjaga dengan baik, atau sekadar mendiamkannya di rak buku sebelum menjualnya kerana tidak mahu ia luput di telan anai-anai atau lipas atau tikus.

Sandera bermaksud tawanan jaminan (Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan). Saya mengambil masa yang lama membaca Sandera. Hampir dua tahun. Tiga kali berhenti pada tempoh yang lama dan terus menyambung kembali tanpa ada rasa mahu mengulang baca dari awal. Saya gagahkan juga menghabisi sehingga terbit kelegaan pada akhirnya seolah-olah keluar dari satu tempat yang menyeramkan.

Sandera ialah kisah perjuangan.  Kisah panjangnya merujuk kepada pembinaan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa. Bermula dari Busad di Makassar pada 1939 hinggalah 1967 di Malaysia. Untuk lebih jelas, perjuangan dalam Sandera adalah merujuk kepada perjuangan parti dan ahli Umno. Dalam novel ini ia dinamakan Parti Melayu Bersatu. Mereka kemudian menjadi ahli politik, diplomat, birokrat, duta, hakim, majistret, guru, nazir, askar, pensyarah, ahli perniagaan. Ada yang menukar perjuangan kerana kecewa. Ada yang tidak berpuas hati dengan pemimpin. Ada yang bertelagah dengan kehendak parti. Ada yang benar-benar dan jujur. Ada yang insaf dan kembali. Ada tertangkap dan di-ISA-kan. Ada terbunuh sewaktu konfrantasi.

Semua yang tertera dalam sejarah negara di ceritakan. Semua. Kisah sewaktu British menguasai tanah air. British menyerah mudah ketika Jepun datang. Derita ketika perang dunia kedua. Bintang Tiga mengganas selama 14 hari. Proses kemerdekaan. Suasana selepas merdeka. Isu undang-undang, bahasa, ekonomi dan perpaduan. KRIS, PETA, Melayu Muda, gerakan bawah tanah. Kemerdekaan Indonesia. Belajar ke Eropah (memang kita sangat berkiblatkan British). Malayan Union, Parti Melayu Merdeka (merujuk kepada Parti Negara di bawah Dato Onn), merdeka, hasrat penyatuan bersama Indonesia, keganasan komunis.

Semua isu dari 1939 hingga 1967 dibangkitkan kerana semua watak dalam novel ini adalah cermin kepada para pemimpin negara. Apa yang pemimpin fikirkan, itulah yang mereka bahaskan. Itulah yang mereka perjuangkan. Mereka adalah tulang belakang kepada pemimpin tersebut.

Sandera tidak berpusat kepada satu watak utama. Setiap wataknya ada karekter dan personaliti tersendiri. Dari Busad, ia melarat kepada watak Sariyah ibu Busad. Jubir teman seperjuangan Busad di Makassar. Dari Makssar Busad lari ke Kuala Terengganu, tanah tumpah ayahandanya. Romo sepupu Busad yang kemudiannya menjadi Brigedier Jeneral dalam angakatan Tentera Indonesia. Jusuh tahi judi. Mahmud seorang Hakim di Singapura dan perjuangannya dalam Melayu Muda. Diikuti anak-anak Mahmud seperti Zahid, Midah, Mahadi, Zainab dan Kadir. Zahid yang beraliran kiri dan kemudiannya di tangkap. Mahadi yang terbunuh sewaktu konfrantasi. juga 1001 watak lain yang menunjangi novel ini. Sama ada mereka pejuang, pengampu, pengkhianat, ahli politik, ahli perniagaan. Pemikiran sebelah kiri dan pejuang sebelah kanan di tunjukkan dengan jelas. Apa yang mereka mahukan. Apa yang sebenarnya mereka perlu.

Membaca Sandera amat mendera jiwa. Penceritaannya memihak kepada Umno yang di dalam novel ini dinamakan parti Melayu Bersatu. Tetapi mereka adalah pejuang suci. Sebenar-benar pejuang. Tidak terliur dengan nama dan pangkat. Tidak takut dengan kekalahan. Semangat membara dengan kemerdekaan. Tetapi saya tersiksa kerana novel ini memihak walaupun tidak berat sebelah. Jadinya membaca pun bagai di paksa-paksa. Maafkan saya untuk perasaan ini. Kerana itulah terasa berat sangat mahu menamatkannya. Dan apabila menyebut tentang Umno, maka terpaparlah gaya hidup para pemimpin di ibu kota dengan liberalisasi. Mereka mencampurkan semua pengaruh Inggeris. Kehidupan pasca-koloni yang tercari identiti apatah lagi ada yang belajar di luar negeri.

Saya sarankan semasa Perhimpunan Agung Umno akan datangi, ada kan satu sesi khas untuk membahas novel ini dari berbicara soal yang karut-marut ketika perhimpunan. Biar para perwakilan terbuka minda akan erti perjuangan. Biar mereka tahu sejarah pembentukan Umno. Biar mereka sedar tujuan mereka berparti. Barulah laku buku Sasterawan Negara. Laku untuk di baca, bukan untuk di bakar!

Sukar sekali mengulas Sandera kerana ia adalah sebuah sejarah yang panjang. Tetapi jika kita celik sejarah, tidak sukar mengagak arah novel ini. Sebab itulah enjin carian Google tidak dapat memapar keputusan carian terhadap novel Sandera.

Lain-lain ulasan di Ulasbuku

6 ulasan:

melihat buku berkata...

Novel ini memasuki sayembara yang sama dengan Interlok. Memang payah nak jumpa.

ASaL berkata...

Sandera yang menghantar saya ke sekolah Akrab.

Sandera novel Pak Arenawati yang menang anugerah Sayembara 10 tahun merdeka DBP.

40 tahun kemudian, di musim perayaan 50 tahun Malaysia Merdeka, di majlis Sayembara 50 tahun Merdeka dijayakan oleh DBP (2007), saya seolah-olah kembali melihat Arenawati.

Norziati Mohd Rosman berkata...

MB,
Memang payah nak jumpa

Norziati Mohd Rosman berkata...

As,
Satu nostalgia. Beliau pergi ketika kita berhimpun berbengkel di Melaka. Ketika baru menyebut mahu menemui beliau. Ketika mahu mengenali beliau lebih dalam

zizie ali berkata...

Ketika ambil STP 1980 subjek BM (Kertas 2 adalah Kajian Kesusasteraan Melayu) , kami diberi pilihan unt menjawab Sandera (Arena Wati) atau Keluarga Gerilya (Pramoedya Ananta Toer). Saya memilih Keluarga Gerilya kerana plotnya tidak terlalu kompleks. Sandera punya sub-plot yg sangat banyak dan latar masa yg panjang.

Norziati Mohd Rosman berkata...

zizie ali,
Benar, Sub-plot pelbagai dan latar masa yang panjang. Saya berhenti beberapa kali pun kerana itu, tetapi bagus untuk dibaca oleh golongan pejuang dalam parti Umno. Saya ikhlas menyarankan mereka agar lebih kenal parti dan perjuangan

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...