Memaparkan catatan dengan label Aktiviti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Aktiviti. Papar semua catatan

Khamis, November 30, 2017

Pergerakan Baharu, Zaman Edan

Malam tadi aku dijemput ke satu wacana tertutup di RAMI, atas undangan ustaz Abu Ilkiya. Aku pergi menghormati undangan dia, apatah lagi memang sudah lama tidak ke RAMI. Kebetulan sebelah malam pula tak ada apa-apa dan entah, aku pula memang selalu menolak untuk hadir apa-apa acara sebelah malam. Berbeza pula kali ini, terasa mahu memenuhi undangannya. Alhamdulillah, kehadiran di wacana itu adalah satu keputusan yang tepat.

Wacana sebenarnya membincangkan tentang New Age Movement. Boleh dikatakan satu gerakan dajal. Aku tidak ada idea langsung apa itu NAM. Aku sekadar baca apa yang Ustaz tulis di FB dia dan Google sikit supaya tahu isu sebelum wacana. Tapi masih kelabu.

Rupanya NAM adalah satu gerakan terselindung. Kalau kita selalu dengar Law of Attraction, NLP, hypnotized, dan yang lain macam zen, qi, yoga, reiki... itu semua tujuan akhirnya mengganggu system belief kita, sistem kepercayaan kita, atau lebih tepat lagi akan memberi kesan terhadap iman dan aqidah.

Menariknya, penceramah tidak cerita NAM secara langsung. Dia berkongsi tentang dapatan dia terhadap kajian saintifik terhadap perkara-perkara yang disebut di atas. Dia buat kajian PhD hingga ke Harvard dan mendapati di Barat, NAM sangat kuat dengan perkara tersebut - Law of Attraction, NLP, hypnotized, zen, qi, yoga, reiki dll. Tapi kita kena tahu di sini pun dah berkembang kuat. NLP, LOA semua tu bertujuan ‘menarik’ kepercayaan kita daripada Tuhan. I can, I strong, saya hebat, saya kuat, saya boleh, saya kaya. Semu tentang saya, saya, saya seolah-olah semua dibuat atas kemampuan diri. Kononnya satu cara menjadikan diri positif sedangkan kita tak sedar ia menyebabkan kita meminggirkan tuhan. Inilah cara dajal menguasai kita

Penceramah buat kajian saintifik terhadap semua perkara ini. Dia kaji DNA, sel dan tunjukkan bagaimana sel dan DNA berfungsi. Terangkan bagaimana sistem otak berjalan. Apa itu conscious mind, unconscious mind, switch on/off generic system, junk DNA, brain no vs brain yes dll. Dengan kata lain, kita kenal diri kita secara psychology dan kita boleh buat aktiviti berdasarkan keupayaan sebenar badan kita.

Dari sini, kita dah boleh lawan segala negativity. Tak perlu NLP, yoga, LOA, reiki, cakra, aura etc.

Setelah memahami semua perkara di atas, apakah yang kita boleh lakukan terhadap NAM dan cara mengahdapinya. Wacana ini memberikan jalan penyelesaiannya kepada kita, terpulanglah sama ada kita mahu buat atau tidak, mahu percaya atau tidak. Antara yang beliau sarankan ialah:

  1. Bersangka baik selalu dengan Allah. Dia menentukan, Dia mengawal, Dia menyembuhkan. Janganlah sesekali mempersoalkan kenapa kerana sesuatu itu ada sebab yang hanya DIA tahu apa dan kenapa.
  2. Kita boleh kawal otak kita. Itu hakikat. Ramai orang tahu tapi tak sedar. Contoh, katakan pada diri kita tak sakit dengan kuasa Allah, ini akan menyebabkan kita switch off generic system sakit kepada switch on generic system sihat.
  3. Dengan zikir, DNA positif akan activate. Kita akan lebih positif dan sihat. Oleh itu kena mulakan hari dengan zikir.
  4. Sel badan mendengar apa yang kita cakap. Bila positif/gembira, badan kita juga akan jadi positif/gembira. Oleh itu term ‘you are what you are’ adalah betul tetapi jangan sampai menjejaskan aqidah dengan semata-mata mengatakan 'aku' sebaliknya yaqinilah Tuhan yang menentukan segala-galanya.
  5. Jaga apa yang kita makan. Perut adalah punca stress. Stress membawa penyakit.
  6. Kita boleh makan semua benda tapi kena kawal. Konsep vegetarians, vegan tak wujud dalam diet kita kerana kita ada makanan yang halal dan haram. Banyak konsep makanan 'sihat' sekarang telah menjadikan sesuatu makanan itu diharamkan dan mendatangkan ketakutan kepda kita jika kita makan. Mengapa perlu takut? Bukankah semua makanan itu memang ada baik dan buruknya, dan kitalah yang perlu mengawalnya. Jangan sampai nanti kita mengharamkan yang halal.
  7. Kawal subconscious mind dengan tidak melayan, buat tak tahu dan focus dengan apa yang dibuat. Bila solat, fokuslah pada bacaan dan makna, elakkan fikiran merayau. Insha-Allah, kita akan khusyuk.
  8. Kalau kita bergerak dengan subconscious mind, rosaklah badan kita. Orang mabuk dikawal oleh subconscious mind sebab tu dia khayal dan kesannya memudaratkan.
  9. Pagi ialah waktu delta: sesuai untuk bekerja kerana kita energetic. Kalau kita tukar jadual badan, bermakna kita sudah mengganggu sistem badan.
  10. Malam ialah wakti aplha. Sesuai untuk deep sleep. Kemudian bangun pagi untuk tahajud, berzikir, bermunajat.
  11. Bila zikir buat selalu, ia akan duduk kekal dalam memori dan jadi tabiat. Inilah subconscious mind
  12. Untuk buat satu benda kena ada pengulangan. Ulang danulanglah selalu sehingga menjadi tabiat dan duduk dalam subconscious mind.

Untuk keluar dari segala masalah dan kawalan subconscious mind terhadap diri kita ialah:
  1. Sentiasa berzikir & tafakur selalu,
  2. Minta Allah tunjuk apa masalah kita
  3. Kemudian acceptance: mesti terima sebarang kesilapan dan kesalahan yang telah kita buat. Akui kesalahan itu, jangan ego atau deny.
  4. Selepas accept, sedialah untuk berubah

Kesimpulan:
Kalau orang lain tengok NAM satu gerakan, aku lihat malam tadi adalah ruang untuk melihat dan memperbaiki diri. Now i know what should i do to my thesis. Memang betul aku tengah sangkut sekarang. Data banyak, maklumat cukup tapi tidak mampu menulis dengan lancar, tidak mampu mencantumkan semua maklumat menjadi karangan yang baik.

Rupa-rupanya aku dalam state of denial. Denial syndrome.

Denial sebab yakin boleh hantar on certain period of time tapi progress slow. Awal tahun ini aku sudah sasarkan untuk hantar tesis pada bulan Ogos, tetapi aku hadapi masalah dengan diri sendiri. Sepanjang wacana, aku mengupas permasalahan diri. Dalam perjalanan pulang denganmotor paa malam yang sejuk selepas hujan, aku memikirkan masalah yang aku hadapi dan memadankan dengan solusi yang diberikan penceramah.

Problemnya ialah aku ada banyak data, banyak maklumat yang aku dapat dari buku-buku yang aku baca dan nak guna SEMUA maklumat tersebut. Aku rasa rugi bila tak guna SEMUA maklumat tersebut. Sedangkan aku tahu, tak semua boleh dan tak semua sesuai dimasukkan dalam tesis. Tetapi aku takut RUGI - rugi masa kerana dah baca, rugi kepenatan menaip semua maklumat, rugi 'ilmu' yang dah puas dicari (yang tak sesuai pun untuk tesis, tetapi berguna sebagai ilmu dalam menguasai bidang yang aku kaji)

Inilah masalahnya. Masalah dengan diri sendiri, masalah menyusun maklumat, masalah mengurus emosi [insert emoji yang sesuai]

Jadi penyelesaian yang aku dapat ialah, mendamaikan hati dan perasaan. Acceptance. Aku kena focus betul-betul pada penulisa, hentikan sebentar proses mencari maklumat, tulis dan susun apa yang sudah ada dan jika tak cukup, barulah dicari buku yang sesuai untuk menambah data. Denial syndrome sekarang ialah sayang nak buang apa yang sepatutnya kena buang.

Sebenarnya pagi semalam pun aku dah cuba berdamai dengan hati. Redraft tesis dan masukkan point utama dengan meninggalkan point yang tak patut ada. Yang dah baca biarkan sebagai fakta luaran tanpa perlu dimasukkan ke dalam tesis. Bila buat macam tu, Allah, segar rasa jiwa. Baru nampak bayang tesis sebenar. Malam ini bila pergi wacana, terasa lega dan puas kerana apa yang aku buat itu rupanya memang di jalan yang betul. Macam betul-betul diaturkan-Nya. Subhanallah





Khamis, Mei 03, 2012

3.0

Ketika Bersih 3.0, saya tiba di  Pasar Seni sewaktu gas pemedih mata sudah dilepaskan di sekitar Masjid Jamek. Awalnya saya berbelah bahagi mahu hadir ketika itu tetapi atas desakan seorag kawan yang beria-ia mengajak, saya turutkan. Ternyata dia merasa seronok untuk pergi atas alasan mahu merasai suasa dan kemeriahan perhimpunan tersebut, mengatasi segala sikap menentang, benci dan menyampah terhadap politik atau kesedaran terhadap lapan tuntutan yang menjadi tunjang perhimpunan ini.

Saya membawanya ke barisan depan dan saya melihat adengan yang seperti diulang tayang beberapa kali. Mereka menjerit-jerit dan polis menembak gas. Kemudian mereka dari lari asap yang memutih dan seorang dua yang berani membaling atau menyepak semula gas ke arah polis. Perkara ini berulang lagi dan lagi dan lagi. Saya setelah tiga empat kali lari bersama mereka dan patah balik berdepan dengan polis kemudian terus mengambil langkah mundur ke belakang.

Saya berdiri di tepi Sungai Klang yang airnya keruh dan mengalir perlahan. Saya memerhati para peserta yang berhimpun, berlari  dan kemudian menjerit-jerit  dan patah balik.  Suasna seperti  pesta lari-lari darri gas pemedih mata. Rami yng berlegar-legar sekitar Pasar Seni dan duduk memerhat. Ada yang baru turun dari LRT dan terpinga-pinga mencari destinasi. Ada yang berjalan menuju ke stesen KTM tanp mengetahuit tiada apa-apa disitu kerana kami sudah pun berpatah balik dari bangunan Dayabumi yang dikepung FRU dan dipenuhi polis.

Saya  memerhati kehadiran para peserta yang pelbagai kaum bersembang sesama sendiri  tentang tuntutan Bersih. Ada yang semangat bercerita kepada sekumpulan anak muda yang baru dikenali. Ada yang takut-takut dan duduk berselindung disebalik rakan seolah-olah itu boleh melindungi dirinya dari terkena gas. Sekumpulan anak muda membawa sepanduk Occupy tiba dan berbincang sesuatu.

Saya meneguk air mineral dan mengelap peluh yang tidak berhenti mencurah turun. Matahari sangat terik memancar dan awan kelihatan cantik bercorak diatas sana. Tiga empat buah helikopter terbang rendah tanpa ada tujuan seperti mahu menyiram peserta dari udara. Seorang pakcik kelihatan mengambil gambar helikopter sambil tangan kirinya terawang-awang. Mulutnya entah menyeranah apa, tenggelam dalam deru kipas yang membingitkan. LRT lalu ulang alik sedangkan jam di tangan semakin menganjak petang.

Saya  menelefon kawan yang masih ghairah dihadapan juga menghantar SMS mengajaknya balik segera sebelum perhimpunan berakhir. Jika tidak nanti LRT penuh dan padat penumpang. Tetapi nampaknya dia seronok menghidu gas pemedih mata dan 'bergurau senda' dengan polis. Para peserta kian di tolak ke belakang oleh para polis, FRU dan diikuti oleh water canon yang kelihatan seperti rasaksa yang sedia membaham mangsa.

Saya memalingkan kepala dari melihat mereka sebaliknya merenung air Sungai Klang yang keruh di dasar sungai. Seribu persoalan bermain di kepala. Apakah tuntutan Bersih 3.0 benar-benar difahami dan dihayati oleh para demonstran ataupun sekadar satu alasan untuk menghadirkan diri ke perhimpunan supaya nanti tarikh 28 April menjadi satu catatan peribadi yang penting untuk diceritakan kepada kawan sekerja, adik beradik, jiran tetangga juga cucu cicit bahawa saya pernah menyertai demonstrasi dan menghidu gas yang menyesakkan dada dan memedihkan kulit.

Saya meneguk lagi air mineral sehingga habis dan Sungai Klang tetap mengalir tanpa henti. Telefon berbunyi dan kawan yang kegembiraan mengajak saya pulang. Ternyata perhimpunan telah berakhir dan kegembiraan jelas terpancar di wajahnya. Saya tidak tahu apa yang perlu diceriakan. Kami beratur dalam barisan yang panjang, membeli tiket LRT lalu kembali ke stesen Putra.

Rabu, Februari 29, 2012

Dua Puluh Sembilan Februari


Tidak ada apa-apa yang mahu saya tuliskan. Cuma sebagai tanda kenangan terhadap tahun 2012 yang merupakan lompat.

Hari ini bercuti bagi menyelesaikan urusan orang tua. Seperti yag saya katakan di FB,
 Tidak semua perkara dapat kita nikmati. Satu daripada beberapa urusan hari ini mengecewakan, namun saya tahu ada cara lain untuk mengusahakannya. Tetapi ia tidak mendatangkan kesusahan jika saya mengambil tindakan untuk tidak menyelesaikan. Pasti ada ganti yang lebih baik telah direncanakan untuk saya
Ketika hampir selesai urusan, seorang teman memberitahu dia berkelapangan untuk berdiskusi lalu saya memecut ke Shah Alam. Ketika hampir mahu bergerak, seorang teman yang lain mohon saya online malam nanti.

Hidup ini indah jika kita tidak berusaha mengecewakan orang lain. Tiada kasta dalam bersahabat. Semua adalah rakan. Dan saya sangat gembira akan itu. Alhamdulillah :-)

Rabu, Disember 21, 2011

Pasca program

Meskipun ramai skpetikal dan memandang sebelah mata, pada saya persatuanlah yang menjadikan saya seorang manusia serba tahu (ah, kalau pun boleh dikatakan serba tahu). Ketika belajar dahulu, saya sengaja mengaktifkan diri dalam aktiviti berpersatuan selepas dua tahun duduk diam tengok orang. Saya mengambil keputusan itu selepas memasang niat dan matlamat untuk membolehkan saya pandai bercakap. Berat mulut adalah kelebihan saya. Pandai bercakap adalah kekurangan hakiki saya.

Saya pernah menceritakan perihal berpersatuan dalam entri terdahulu. Tetapi dek malas nak korek balik, biarlah cerita lama tu jadi sejarah. Sejarah lama. Saya pula mahu mencipta sejarah baru. Sejarah diri sendiri.

Perhimpunan Penulis Muda Nasional ketiga akhirnya melabuhkan tirainya Ahad lalu, 18 Disember. Saya hanya sibuk kira-kira satu minggu sebelum program tiga hari itu berlangsung. Selaku Bendahari, tugas saya mengawal dan merekod wang keluar masuk. Tetapi nampaknya lebih kepada merekod, bukan mengawal. Wang tiada ditangan saya, dan AJK banyak menggunakan wang sendiri yang dituntut (cliam) kemudian. Faham-faham sahajalah persatuan tidak berduit bertaraf NGO yang sumber kewangan dari yuran pendaftaran ahli (kalau pun bayar) atau tajaan pihak luar atau baki wang dari program kecil-kecil. Jadi nak bergerak bebas agak sukar. Orang boleh kata bebas tapi tanpa wang, kaki dan tangan jadi terikat.

Selepas belajar, pernah juga saya bersama beberapa kawan-kawan bertemu untuk menubuhkan satu NGO baru. Tetapi saya rasa kurang minat pula. Bukan kerana tanggungjawab. Tetapi semakin melibatkan diri dalam NGO, saya perasan ada satu tabiat yang tidak sihat dikalangan mereka. Tak puas hati dengan Presiden persatuan A, dia tubuhkan persatuan B. Hampir kebanyakannya di sebabkan tidak puashati dengan kuasa dan duit. Saya rasa tawar hati. Lalu saya senyapkan diri dan menambah kemahiran dalam paramedik serta mendapatkan tauliah sebagai jurulatih. Itu pun terjun juga ke dalam persatuan yang baru di tubuhkan. Namun begitu, komitmen pula menjadi halangan, dah ahli pula tak serius. Akhirnya semangat yang berkobar-kobar pada awalnya sudah suam-suam kuku. Sekarang ini kalau nak bergerak pun muka yang sama itu jugalah yang turun (normal). Dan kami bergerak perlahan-lahan. Asalkan ada aktiviti dalam setahun.

Ketika belajar dahulu, macam-macam persatuan saya masuk. Anjur program sendiri. Buat aktiviti untuk ahli. Cari penaja. Hingga pernah sama-sama jual nasi lemak dan jaja keliling blok untuk penuhkan tabung program. Saya bermula di peringkat bawah hinggalah setinggi-tinggi jawatan. Kian banyak saya pelajari tentang urusan surat menyurat, dokumentasi, berhubungan dengan VIP dan ahli politik, komunikasi dengan orang bawahan, birokrasi, pengorbanan masa apatah lagi tenaga. Paling penting ialah mengenali manusia. Itu ilmu yang tak boleh di belajar dalam bilik darjah. Ia ilmu praktikal yang bila kita terkena barulah kita tahu apa dan mengapa. Pengalamanlah yang membolehkan saya mengawal diri dari terlalu excited sepanjang program. Siapa yang tidak bangga dapat menganjurkan program bertaraf nasional. tetapi itu perkara kedua. Soalnya, semakin kita mengenal manusia, semakin kita faham kenapa kita jadi manusia. Sudah lama jantung tidak merasa debaran sebegitu rupa, tidur tak cukup, makan yang tidak kenyang, penat kaki dan tangan, peluh membasahi baju, bertekak dan bermasam muka, mara-marah dan sindir menyindir.

Jutaan terima kasih kepada semua AJK. Semakin banyak saya belajar dari kalian. Orang kata lain padang lain belalang. Andai ada sumur di ladang, boleh saya menumpang mandi. Andai ada umur yang panjang, bolehlah kita berprogram lagi :-)

Kalian memang hebat!

(Gambar kemudian, kamera tertinggal)

Isnin, Jun 20, 2011

DOM: Seni dan sastera dalam ruang politik

Kredit foto kepada Zalila Isa yang telah diberi amaran supaya tidak mengemukakan soalan atau pulang dengan tayar keretanya pancit.

Saya dijemput oleh Sdr Lutfi Ishak untuk menjadi ahli panel dalam Dialog Orang Muda (DOM) di Rumah Pena pada hari ini, 19 Jun. Saya menolak permintaan ini asalnya, kerana menyedari masalah utama saya ialah ketidakupayaan berkata-kata secara spontan. Menulis dan berkata itu berbeza. Tetapi Lutfi menyarankan agar saya mencuba dahulu memandangkan 'kita kekurangan srikandi', katanya.

DOM bulan ini bertajuk 'Seni dan sastera dalam ruang politik'. Bicara tentang politik itu mudah, tetapi apabila melibatkan seni dan sastera, maka saya harus mengambil kira pandangan-pandangan sebelum ini akan perkahwinan seni-sastera dengan politik. Sebelum itu, saya sendiri berpendapat yang seni-sastera perlu diasingkan dan berdiri dengan sendirinya tanpa dipengaruhi politik. Sebaliknya, seni-sasteralah yang perlu bertanggungjawab mempengaruhi politik.

Ada beberapa perkara penting yang saya sampaikan:

1) Seni-sastera harus melepaskan diri dari politik
Sasterawan Negara yang pertama, Keris Mas dalam pidato penerimaan Sasterawan Negara pada 1981 sudah pun menyatakan bahawa ‘kedudukan sastera dan segala kegiatannya haruslah dikecualikan darpada kepentingan politik golongan atau politik parti’. Beliau kemudian menerangkan mengenai politik sastera dan sastera politik. Amat baik untuk kita faham keduanya. Beliau mengatakan bahawa, 'politik sastera yang saya maksudkan ialah pendirian politik terhadap sastera, dari segi polisi tentang sastera dalam hubungannya dengan kehidupan kebangsaasn. Ini berbeza dengan pengertian Sastera Politik, iaitu sastera yang diperalat oleh golongan atau parti politik.'

Saya setuju dengan pandangan Haris Zalkapli bahawa kita harus membezakan parti politik dan politik. Parti politik ialah apabila kita berdiri atas pentas parti, mewarnakan diri kita dengan ideologi parti menjadikan diri kita ini berpihak. Sikap yang harus kita ambil ialah tidak partisan (non-partisan), tiada parti, tidak meyebelahi dan tidak memihak. Oleh itu, kita boleh mengambil sikap untuk mengkritik dan mengulas tanpa ada apa-apa kepentingan pun. Label yang kita pakai (sekiranya berparti), sekadar membunuh minat pembaca kerana mereka tahu kepada siapa tulisan itu ditujukan.

Oleh itu, adalah baik untuk menulis isu politik kerana kita bebas untuk mengkritik dua pihak – pembangkang dan pemerintah. Orang politik ada kepentingan sendiri tetapi orang seni ada kesamaan antara mereka. Budayawan, karyawan dan seniman mengkagumi hasil SSB tanpa mengira warna kulit. Kecintaan terhadap seni membolehkan mereka misalnya duduk berjam-jam hanya untuk memperkatakan sebuah buku yang dibaca. Cuba kita lihat apa yang orang politik lakukan apabila bertemu. Perkara yang negatif sahaja boleh kita

2) Seni dijadikan sebagai ruang escapism untuk berhibur.
Meluat dengan suasana politik, seni dijadikan landasan untuk bergembiran dan berhibur. Seni-sastera khususnya, mula mengasingkan diri dari politik. Mereka perlu mencari sesuatu untuk membuang rasa menyampah terhadap politik yang dipenuhi janji palsu dan adu domba. Namun begitu, mutakhir ini sudah ada serpihan anak muda yang berani bergerak atas dana sendiri menghasilkan karya seni secara sendiri-sendiri. Mereka mencetak buku sendiri dan dijual kepada kawan-kawan. Filem pendek yang dihasilkan pula menunjukkan pemberontakan secara sinis terhadap masyarakat dan pemimpin. Ini boleh dikatakan suara baru dunia anak muda yang sudah terdedah dengan gelombang FB, Twitter, blog, friendster, myspace, youtube dsb.

Mereka ada banyak saluran bagi menerbitkan karya. Jika bukan dengan jalan biasa, bisa sahaja mereka menjualnya secara underground atau pun dalam talian. Mereka menggabungkan seni, sastera, budaya, mewujudkan satu identiti baru seperti apa yang dikatakan oleh SM Zakir sebagai vernakular cosmopolitan. Konsep mereka urban dan moden, elitis dan natural. Tidak ada unsur agama, budaya, adat dimasukkan. Mereka adalah satu kelompok yang membentuk acuan sendiri yang berbeza dari acuan semasa. Mereka tidak mahu menyibukkan diri dengan politik dan tradisi yang telah menyelimuti mereka sejak lahir. Mereka adalah kelompok pemberontak yang mahu suara mereka dinilai bukan berdasarkan keadaan semasa apa yang tetapi berdasarkan apa yang mereka ada tanpa ada penglibatan unsur luar.

3) Politik mengongkong SSB menjadikan ia tidak bebas bergerak
Para budayawan, karyawan dan seniman dewasa ini kelihatan tidak bebas berkarya. Mereka takut untuk bersikap kerana ditakutkan oleh undang-undang. Semakin keras undang-undang dikenakan, semakin kurang nilai karya yang dihasilkan. Oleh itu, semakin banyak karya picisan dihasilkan, filem tahyul bermaharajalela dan novel pop semakin galak diterbitkan.

Ramai pihak kini selesa play-safe, mengambil jalan selamat dalam berkarya. Tidak mengkritik terlalu keras atau menghentam secara terang-terangan. ISA dan OSA dijadikan punca ketakutan. Inipun berlanjutan dengan apa yang berlaku sebelum ini. Mengambil contoh Operasi Lalang ada 1987 dimana lebih 100 orang ahli politik ditahan dan empat akhbar dibatalkan permit. Manakala gegar reformasi pada 1997-8 menyaksikan beberapa majalah tenggelam timbul terbitannya seperti Tamaddun dan Wasilah. Ketakutan terhadap periuk nasi menjadikan karya yang menggugat semakin kurang nilainya. Kononnya kita diikatkan diberi kebebasan tetapi bebas dalam makna yang bagaimana jika kaki dan tangan diikat?

4) Seni-sastera harus keluar dari prejudism kepartian
Para budayawan, karyawan dan seniman tidak boleh berdiri atas parti politik tetapi boleh berpolitik. Misalnya apa yang SN A Samad Said lakukan terhadap PPSMI dengan berceramah atas pentas parti PAS kerana perjuangan mereka sama – menghapuskan PPSMI. Jika UMNO sendiri menentang PPSMI, saya pasti Pak Samad pun akan turut duduk semeja. Tetapi apa yang SN Shahnon Ahmad lakukan ketika menjadi ahli PAS dan menjadi ahli parlimen itu pula berbeza. Beliau sudah memilih untuk berpihak dan memakai baju parti dalam setiap langkah. Oleh itu, tiap kali beliau menulis (waktu itu) boleh kita anggap sebagai mewakili suranya dalam PAS walau pun kini beliau sudah berpatah arang berkerat rotan.

5) Seni-sastera mempengaruhi politik atau seni-sastera dipengaruhi politik
Seni dan sastera adalah perakam perjalanan politik negara. Memperkatakan mengenai seni, sastera dan budaya dalam ruang politik masa kini, ada dua konteks yang perlu kita lihat. Pertama, apakah seni, sastera dan budaya dipengaruhi oleh politik atau kedua, apakah seni, sastera dan budaya mempengaruhi politik. Apa yang jelas dapat kita perhatikan kini, politik sudah mempengaruhi seni dan sastera, menjadikan apa-apa sahaja karya dihasilkan dengan berhati-hati dan melalui jalan yang selamat. Ada batasan yang tidak dapat dilihat, yang telah ditetapkan bagi kreativiti tertentu sehinggakan seolah tidak wujud kebebasan untuk berkarya.

Keadaan ini berbeza dari apa yang berlaku ketika berusaha kearah kemerdekaan. Propaganda kemerdekaan dihasilkan menerusi karikatur, sandiwara, filem, lagu patriotik juga tulisan dalam bentuk puisi, cerpen yang mengajak rakyat untuk bersatu dan bersedia. Selepas merdeka, seni dan sastera dilihat sebagai pemangkin kefahaman rakyat terhadap agenda politik negara ketika itu yang dalam proses memajukan dan membangunkan tanah air. Maka, ramai budayawan, karyawan dan seniman khususnya dari kalangan yang berpendidikan turun padang dan berdiri di atas pentas politik untuk membantu dan bercakap bagi pihak kerajaan. Karya yang dihasilkan, cerpen dan puisi misalnya adalah menunjukkan betapa kerajaan sangat mementingkan pendidikan, pembangunan seperti pembinaan jalanraya dan sekolah, kemudahan bekalan elektrik dan air yang bersih. Dalam cerpen, watak-watak ahli politik ditunjukkan sangat bekerja keras saban waktu demi membalas jasa kerana dipilih menjadi wakil rakyat. Pegawai kerajaan pula dilihat bertimbang rasa dengan rakyat dan bekerja dengan sepenuh hati sebagai seorang penjawat awam yang berhemah. Mereka menganggap kerja yang mereka galas adalah tanggungjawab yang maha besar yang perlu dipikul dan perlu dilaksanakan demi kepuasan rakyat.

Dalam tahun 1970-an misalnya, kerajaan giat mengajurkan dan menaja pelbagai acara, sayembara atau peraduan yang bersifat seni dan sastera. Hadiah yang ditawarkan luamayan. Tetapi ada timbal baliknya pula. Kerajaan mahukan apa yang ditulis itu ada kena mengena dengan kerajaaan, atau dalam bahasa kasarnya mempunyai unsur mengampu, bukannya mengkritik. Ketika itu, seni dan sastera semakin dilihat dipengaruhi oleh politik dan terpaksa mengikut arus politik.

Namun situasi politik yang menyebalkan sesudah itu menyaksikan seni dan sastera meminggirkan diri dari terlibat dalam politik. Seni dan sastera dipisahkan dari politik dan mencari tapak untuk berdiri atas kaki sendiri. Ia tidak lagi dianggap penting dan berupa hiburan semata-mata. Seni dan sastera dijadikan alat untuk membuang rasa meluat, menyampah dan rasa kelakar terhadap badut politik yang seperti sarkas. Seni dan sastera menjadi hiburan yang menggembirakan menerusi karya ringan dan picisan. Politik bukan lagi medan serius, oleh kerana msyarakat sudah menyampah dengan politik, maka mereka mengambil seni dan hiburan sebagai medan membuang rasa meluat itu. Seni dan sastera dijadikan alat untuk berhibur dan bergembira, bikin senyum dan suka, buang masalah dan hiruk pikuk dunia.

Oleh sebab itulah, filem yang ditayangkan tidak lagi berunsur mematangkan atau mendewasakan atau berunsur serius tetapi dipenuhi tema tahyul, semi porno, keruntuhan akhlak dan gangsterisme. Sesekali apabila filem yang baik dikeluarkan, misalnya 1957 Hati Malaya, tiada sambutan diberi kerana ia ‘tidak menghiburkan’.

Dari segi penulisan pula, timbul apa yang dipanggil novel pop, yang merupakan bacaan ringan berkisar kisah cinta disulami unsur kemasyarakatan. Kurang sekali (bukan tiada langsung) dapat kita lihat karya yang benar menggigit sebagaimana dahulu dihasilkan oleh Affandi Hassan, Usman Awang. Oleh itu, ada yang mengaitkan ini dengan penganugerahan SN yang begitu jauh jaraknya antara satu sama lain (SN Anwar Ridwan dan SN Kemala adalah terkecuali).

DOM ditutup dengan soalan terhadap kurangnya keprihatinan karyawan terhadap isu semasa, misalnya peruntukan MASTERA yang dipotong. Karyawan kelihatan sangat minat dengan politik dan mengkesampingkan isu lain yang tidak kurang hebatnya. Saya menjawab, bagaimana boleh kita mengetahui sesuatu itu besar atau kecil jika akhbar arus perdana saban waktu memaparkan berita politik dan propaganda parti sebagai berita utama, sehiggakan kisu berkaitan masyarakat diketkepikan dan diberi ruang kecil sahaja.

Acara pun tamat dan setiap panel dihadiahkan senaskhah terjemahan The World Is Flat ihsan ITNM serta token. Dunia Sama Rata - yang selalu saya belek dan renung dari jauh akhirnya masuk ke dalam rak buku saya. Membaca sepintas lalu muka surat pertama dan kedua, sangat menarik sekali kupasannya Thomas Friedman sehingga memaksa saya berjanji untuk segera menamatkan buku ini.

Terima kepada DOM dan Pena yang memberi peluang dan Lutfi yang membuka ruang. Terima kasih daun keladi, kalau mahu jemputlah lagi :-)

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...