Khamis, Mei 03, 2012

3.0

Ketika Bersih 3.0, saya tiba di  Pasar Seni sewaktu gas pemedih mata sudah dilepaskan di sekitar Masjid Jamek. Awalnya saya berbelah bahagi mahu hadir ketika itu tetapi atas desakan seorag kawan yang beria-ia mengajak, saya turutkan. Ternyata dia merasa seronok untuk pergi atas alasan mahu merasai suasa dan kemeriahan perhimpunan tersebut, mengatasi segala sikap menentang, benci dan menyampah terhadap politik atau kesedaran terhadap lapan tuntutan yang menjadi tunjang perhimpunan ini.

Saya membawanya ke barisan depan dan saya melihat adengan yang seperti diulang tayang beberapa kali. Mereka menjerit-jerit dan polis menembak gas. Kemudian mereka dari lari asap yang memutih dan seorang dua yang berani membaling atau menyepak semula gas ke arah polis. Perkara ini berulang lagi dan lagi dan lagi. Saya setelah tiga empat kali lari bersama mereka dan patah balik berdepan dengan polis kemudian terus mengambil langkah mundur ke belakang.

Saya berdiri di tepi Sungai Klang yang airnya keruh dan mengalir perlahan. Saya memerhati para peserta yang berhimpun, berlari  dan kemudian menjerit-jerit  dan patah balik.  Suasna seperti  pesta lari-lari darri gas pemedih mata. Rami yng berlegar-legar sekitar Pasar Seni dan duduk memerhat. Ada yang baru turun dari LRT dan terpinga-pinga mencari destinasi. Ada yang berjalan menuju ke stesen KTM tanp mengetahuit tiada apa-apa disitu kerana kami sudah pun berpatah balik dari bangunan Dayabumi yang dikepung FRU dan dipenuhi polis.

Saya  memerhati kehadiran para peserta yang pelbagai kaum bersembang sesama sendiri  tentang tuntutan Bersih. Ada yang semangat bercerita kepada sekumpulan anak muda yang baru dikenali. Ada yang takut-takut dan duduk berselindung disebalik rakan seolah-olah itu boleh melindungi dirinya dari terkena gas. Sekumpulan anak muda membawa sepanduk Occupy tiba dan berbincang sesuatu.

Saya meneguk air mineral dan mengelap peluh yang tidak berhenti mencurah turun. Matahari sangat terik memancar dan awan kelihatan cantik bercorak diatas sana. Tiga empat buah helikopter terbang rendah tanpa ada tujuan seperti mahu menyiram peserta dari udara. Seorang pakcik kelihatan mengambil gambar helikopter sambil tangan kirinya terawang-awang. Mulutnya entah menyeranah apa, tenggelam dalam deru kipas yang membingitkan. LRT lalu ulang alik sedangkan jam di tangan semakin menganjak petang.

Saya  menelefon kawan yang masih ghairah dihadapan juga menghantar SMS mengajaknya balik segera sebelum perhimpunan berakhir. Jika tidak nanti LRT penuh dan padat penumpang. Tetapi nampaknya dia seronok menghidu gas pemedih mata dan 'bergurau senda' dengan polis. Para peserta kian di tolak ke belakang oleh para polis, FRU dan diikuti oleh water canon yang kelihatan seperti rasaksa yang sedia membaham mangsa.

Saya memalingkan kepala dari melihat mereka sebaliknya merenung air Sungai Klang yang keruh di dasar sungai. Seribu persoalan bermain di kepala. Apakah tuntutan Bersih 3.0 benar-benar difahami dan dihayati oleh para demonstran ataupun sekadar satu alasan untuk menghadirkan diri ke perhimpunan supaya nanti tarikh 28 April menjadi satu catatan peribadi yang penting untuk diceritakan kepada kawan sekerja, adik beradik, jiran tetangga juga cucu cicit bahawa saya pernah menyertai demonstrasi dan menghidu gas yang menyesakkan dada dan memedihkan kulit.

Saya meneguk lagi air mineral sehingga habis dan Sungai Klang tetap mengalir tanpa henti. Telefon berbunyi dan kawan yang kegembiraan mengajak saya pulang. Ternyata perhimpunan telah berakhir dan kegembiraan jelas terpancar di wajahnya. Saya tidak tahu apa yang perlu diceriakan. Kami beratur dalam barisan yang panjang, membeli tiket LRT lalu kembali ke stesen Putra.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

...apakala diulang baca entri ini, saya diam sejenak sambil mendengar lagu Tanya Sama Hud Hud oleh M Nasir.

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...