Warkah seorang aku
Mungkin warkah ini akan ku tulis dengan airmata. Ah! Maaf, awal surat lagi aku sudah membicarakan yang tidak enak. Tetapi, ketahuilah bahawa, apa yang akan aku coretkan ini bukan sekadar satu omongan kosong, malah sesuatu yang lahir tulus dari hati ini.
Perkara ini sudah pun berlegar dikepalaku sejak beberapa hari yang lalu, malah kadangkala menjadikan tidurku tidak nyenyak dengan mimpi-mimpi dan igauan yang mengganggu dan menggusarkan fikiran. Awalnya, aku membiarkan dan cuba melupakan. Tetapi, mana mungkin ia pergi dengan sendirinya tanpa aku cuba melupakannya.
Pening bukan?
SATU
Aku mahu mencoret lebih panjang tentang diri aku ini. Dan kau nilaikanlah harga sekeping hati ini, sama ada ia benar benar luka atupun cukup lara.
Tahun ini, awal 2006 bakal menyaksikan usiaku bertambah ke 28. ah! Angka yang aku rasa tidak ada apa-apa makna, selain dari pertambahan usia. Selalu aku dengar orang berkata yang dia hidup ini disebabkan oleh itu dan ini, kerana itu dan kerana ini. Aku? ah, aku sendiri tak mengerti mengapa mereka berkata demikian dan mengapa harus ada jawapan untuk soalan itu.
27 tahun aku hidup, aku sering merasa kesunyian. Aku rasa aku tiada apa-apa, tiada siapa kecuali diri aku sendiri (selain dari keluarga di kampung). Aku sendirian disini,oleh itu aku hidup untuk diri sendiri. Aku sunyi kerana aku tiada siapa, aku sunyi kerana aku hanya ada aku. Hanya diriku. Aku selalu bermain dengan diri sendiri, melihat hanya diri sendiri, berkawan dengan diri sendiri, ketawa dengan diri sendiri dan menangis dengan diri sendiri. Aku rasa aku tiada siapa yang boleh berkawan, yang boleh aku ajak keluar untuk makan, yang boleh aku ajak berbual dan berbicara, yang boleh aku ajak untuk mendengar kisah lara hati, yang boleh ketawa dan menangis sama-sama. Ah! Tiada.
Aku tidak memilih sahabat, aku tidak memilih kawan. Aku mencari yang boleh mendengar, menegur dan berbicara, yang boleh bersama bila aku perlu. Aku tidak memilih kawan, sahabat atau teman. Tidak sama sekali! Tetapi aku sendiri yang dipilih oleh orang lain untuk tidak menjadi teman. Mengapa ya? Satu persoalan yang jawapannya cukup panjang untuk aku ulaskan, malah kalau perlu berjela-jela.
Ada satu perkara yang menyebabkan aku sentiasa dipinggir dalam berkawan. Kalau pun bersahabat, aku dapat merasakan bau-bau yang tidak menyenangkan dan amatlah elok untuk aku mengundurkan diri sebelum hati aku terguris dengan lebih dalam lagi. Aku sentiasa cuba untuk melarikan diri dari orang lain kerana aku sendiri tak mahu mereka merasa tidak selesa apa bila aku turut serta dengan mereka. Kau mesti tertanya mengapa aku berkeadaan begini. Aku tidak cacat, malah sempurna fizikal dan mental. Tetapi ada satu perkara yang menyebabkan aku sering rasa terpinggir dan terhina dengan pandangan mata yang tidak mengerti. Ah! Alangkah kejamnya mereka itu. Tetapi aku tidak menyalahkan mereka, malah aku bersyukur kerana mereka menyedarkan aku tentang siapa diri aku.
Selama hidup ini, satu kekurangan yang sering aku bawa ialah wajah ku sendiri. Kenapa? Mungkin kerana kau sendiri belum melihat siapa aku. Kalau pun dah lihat, tentu kau akui kebenaran ini dan beransur mahu meninggalkan aku seperti sahabat aku yang lain. Kerana wajahku inilah, aku sering dipinggirkan, dipandang sepi oleh insan lain dan tidak dipedulikan, malah sering menerima jelingan yang tidak perlu dari mereka yang tidak mengerti tentang diri ini. Sudah cukup terasa hati ini, hinggakan setiap pandangan dan jelingan itu menjadikan aku seorang yang rendah diri, cukup rendah diri dan menimbulkan ‘mental block’ pada diriku untuk bercampur dengan orang lain.
Aku menjadi takut untuk berkawan, kerana aku takut menerima pandangan orang lain, dan takut orang lain tidak senang aku bersama dalam kelompok mereka, yang selalu menyebabkan aku mengasingkan diri biarpun berada dalam keramaian. Aku menjadi malu untuk berkawan kerana aku malu dengan wajahku dan tidak mahu mereka malu kerana aku adalah sahabat mereka. Mengapa aku jadi begini, ya? Cuba kau sendiri bayangkan, doktor sampai pada tahap menasihatkan aku untuk buat surgery, kerana katanya itu adalah penawar yang paling berkesan untuk wajahku yang penuh dan berlubang-lubang dengan parut jerawat. Bukan setakat wajah, malah badan juga. Sampai kesitu sekali tahapnya! Jadi aku rasa kau pasti sudah dapat mengagak bagaimana teruk agaknya rupaku ini….hmmm
Sukar sebenarnya untuk aku keluar dengan wajah yang sebegini. Aku tidak pernah mengatakan yang rupaku ini buruk tetapi aku bersyukur kerana masih punya wajah yang sempurna tanpa kecacatan fizikal. Malah parut-parut ini menjadikan aku sentiasa bersyukur dan rendah diri atas kekurangan aku dan sentiasa insaf bahawa ada orang yang lebih teruk dari aku sebenarnya. Tapi, tiap kali aku keluar, mata yang memandang ibarat belati yang mencucuk tangkai hati ini. Itu belum lagi jelingan dan kerutan dahi yang memandang bagi hendak keluar biji mata, yang menambahkan lagi bisa, pedih dan lara hati. Aku selau bertanya pada diri sendiri, disaat manusia menidakkan rupa dan paras wajah sebagai fackor utama dalam menjalin persahabatan, mengapa masih ada yang memperlekehkannya. Aku tidak menemui jawapannya malah aku biarkan ia menjadi soalan yang tanpa jawapan, yang bila aku cari pun sekadar menambah bisa, pedih dan lara hati ini.
Wajah yang berparut dan berlubang ini ibarat bangkai yang aku bawa kemana-mana. Wajahku sudah sembab dan membengkak dari dalam. Aku takut kalau-kalau ia bertukar kepada kanser sahaja. Ramai yang bertanya dan menyarankan aku menggunakan itu dan ini, memakai itu dan ini, menyapu itu dan ini. Aku senyum dan menolak dengan penuh hikmah. Terima kasih atas cadangan itu, aku tidak rasakan yang kulit ini mampu diubah. Sudah lama ia berkeadaan begini dan sudah sebati dengan diriku. Sebut sahaja namaku, maka sudah terbayang wajah seorang perempuan yang punyai wajah yang berparut dan berlubang-lubang disana sini. Bukan aku tidak mahu mengubahnya, bukan aku tidak mahu menukarnya menjadi baik, tetapi hati aku sudah pedih dan penat untuk berusaha kerana hasilnya cuma membuang duitku. Aku katakan sekali lagi, parut dan lubang-lubang ini sudah lama bermaharajalela dan mengambil masa juga untuk diubati. Tetapi, aku sudah pedih hati untuk berusaha. Biarlah aku dengan keadaan begini. Sekurang-kurangnya aku dapat menilai hati budi orang yang ingin bersahabat denganku, sama ada dia ikhlas atau buat-buat. Memang ada nada putus asa tetapi aku tidak mahu segala usahaku menjadi satu tekanan hingga boleh merubah wajah ku sendiri. Biarlah, dan kadangkala aku senang berkeadaan begini….
Tentu kau dah dapat jawapan mengapa aku sentiasa merasa sunyi. Aku tidak membuang sahabat, malah tetap ada sahabat dan ada yang begiu baik padaku. Tetapi aku sudah menjadi seorang yang rendah diri dan punyai halangan mental terhadap orang lain. Bila aku keluar bersama mereka, aku cuba mengasingkan diri dangn berjalan seorang diri atau lari jauh dibelakang supaya tidak bersama kelompok meeka. Aku tidak mahu mereka dicemuh dalam diam hanya kerana mempunyai sahabat yang wajahnya berparut dan berlubang-lubang. Aku sendiri faham perasaan mereka yang mahu sahabat yang baik-baik dan sempurna sahaja. Aku tahu dan faham akan sifat manusia yang mahukan yang lengkap, sempurna serta yang indah-indah sahaja. Inilah yang menjadikan aku semakin jauh dari mereka…. Bila aku keluar sendiri, aku akan pandang wajah yang ada satu persatu, melhat dan mentafsir pandangan mata mereka...
Aku memang rasa sunyi..tiada teman untuk dibual bicara, sekadar berteman diri sendiri melayan lara hati. Kadangkala aku rasanya lebih senang seorang begini, tak perlu risau pasal yang lain, tak perlu gundah gulana tentang mereka yang diluar. Tapi ada juga pahitnya, bila ketawa dan menangis bersendirian. Bila mulut terkunci tanpa ada teman yang boleh diajak bual atau mendenagr curahan perasaan dan luahan hati ini. Yang ada hanyalah coretan pada kertas, buku dan laptop yang menjadi tempat untuk aku mencurahkah segala rasa marah, benci, gusar, dendam, rindu dan sayang aku pada mereka. Apa yang aku coretkan adalah apa yang terpendam dilubuk jiwa, moga ia menjadi satu warkah berharga buat masa depanku…
DUA
Aku jua ingin rasa disayangi, ingin rasa diambil perhatian dan diberi pehatian, aku juga teringin untuk menerima panggilan telefon dari seseorang bertanyakan sama ada aku sudah makan atau beluum, sihat atau sakit, sibuk atau lapang. Aku juga ingin diajak keluar dan makan, berjalan dan berbual, bergurau dan memikir masa depan. Aku merasa cemburu bila melihat temanmelayan panggilan telefon berjam-jam, SMS dan berbual bicara tentang itu dan ini. Aku merasa cemburu bila melihat teman dibawa keluar dan makan, berjalan dan berbual, bergurau dan memikir masa depan.
Aku teringinkan semuanya itu, tetapi bila memikirkan satu perkara ini, hati aku terdetik keras, apakah ada insan yang sudi melihat diri ini, mahupun menjeling, bertegur dan menyapa. Apakah ada insan yang mampu mengusik tangkai hati ini, bertanya dan bermesra. Apakah ada insan yang simpati dengan keadaan diri ini dan cuba menghiburkan hati. Tidak..sepanjang ingatanku tiada..tiada siapa yang pernah berbuat begitu. Usah katakan lelaki, yang perempuan juga memingggirkan, tetapi mujurlah ada seorang dua yang memahami, tetapi itu tidak memadai sebenarnya. Yang memahami itu menyembuhkan luka buat seketika, tetapi esoknya luka itu berdarah kembali dan bernanah….
Yang aku lakukan sekarang ini, sekadar berdiam diri. Mereka ini sekadar menjadikan aku lebih sepi dan hiba, lebih gundah dan lara. Aku menjadi pendendam perasaan, rendah diri dan menyingkirkan orang lain dari kehidupanku. Sebab itu aku rasa lebih elok hidup seorang diri. Daripada mereka menyusahkan hidupku, lebih baik aku tidak menyusahkan mereka. Biarlah aku dengan dunia ku, dengan cita-citaku, biarlah aku kejar impian yang telah aku cipta, impian yang mahu aku bina dan kejar, supaya dunia melihatku dengan mata yang terbuka dan hati yang besar, biar mereka tahu siapa aku dan biar mereka kenal aku ini siapa. Biarlah aku tidak berjodoh dan biarlah aku tidak berteman. Jika itu yang telah disuratkan untukku, aku redha…..
Maaf, warkah ini terlalu panjang dan penuh dengan airmata. Tetapi selepas 27 tahun aku bernafas, inilah diriku. Andai kau sudi untuk terus menghulurkan persahabatan, aku sedia tetapi was-was tetap wujud dalam diri.
Sekian,
Aku
070106