Jumaat, Mei 15, 2015

Belasungkawa RZ

Saya cuba menghubunginya ketika mula berjinak-jinak dalam bidang puisi. Saya sekadar memerhatinya dari jauh ketika mula memberanikan diri menjejaki Rumah PENA, acara sastera atau majlis karya. Pernah sekali mendengar perkongsiannya dalam bidang puisi bersama sekumpulan pelajar UKM. Saya orang luar yang tersesat dalam acara dalaman.


Dalam PENA, ruang sentiasa terbuka untuk bertemu sama ada dalam mesyuarat atau majlis sastera. Tetapi saya tidak tahu bagaimana harus berbicara dengannya. Kami masing-masing dalam dunia sepi. Tapi bila sahaja mula bertegur, dia akan rancak berbicara. Menjelajah dari makyung ke wayang kulit, puisi sufi ke wahabi-salafi dan macam-macam perkara lagi.


Walau pun berada dalam kelas yang tersendiri, dia tetap begitu. Merendah dan cuma menguntum senyum. Tak pernah suaranya tinggi tapi jika ada yang tidak digemari, pantas dia menegur. Kali terakhir berselisih dengannya ialah di SNL tiga minggu lalu. Memang dalam mana-mana majlis ilmu, wajahnya akan kelihatan. Teringat dahulu ketika kami sibuk membeli buku di Joga, dia mencari pak kiyai untuk bertemu muka. Dia begitu menghormati guru dan memuliakan majlis ilmu. SNL minggu ini pasti tak akan terlihat lagi kelibatnya.


Ketika di KLIBF Tokyo tahun lalu, dia antara insan yang saya kenali dan sempat berkongsi tentang gabungan persembahan wayang kulit dan boneka Jepun 'Edo Ito Ayatsuri Ningyo'. Dia memberitahu bahawa penggiat Edo Ito dari Jepun belajar wayang kulit hingga fasih 'kecek Kelate'. Ramai yang tahu betapa dia cintakan makyung, rebab, wayang kulit dan yang seumpama dengannya, yang menjadi darah dagingnya. Dia sering terbang ke sana ke mari mempromosi budaya dan seni, sehingga tak punya ruang untuk merehatkan diri.


Saya diberikan kesempatan untuk bersama dalam pelbagai acara dengannya. Dari Jogja ke Chennai ke Makassar, ruang sentiasa ada tetapi saya tetap tidak pandai berbual dengannya. Kalau ada pun, dalam kadar yang minimum. Namun dia sentiasa ada bila diperlukan, menghargai bakat anak muda, tidak pernah menolak permintaan dan tidak pernah mendengar dia berkeluh kesah.


Malam sebelum dimasukkan ke hospital, beberapa AJK PENA makan bersama-sama. Namun oleh kerana saya sudah berada di rumah, tidak dapat menyertai mereka. Berita yang diterima esoknya mengejutkan kerana dia tidak pernah kelihatan sakit. Kesibukan yang melanda sebelum dan sebaik pulang dari Padang tidak memberi ruang melawatnya segera, namun sudah merancang untuk melawatnya hari ini. Tetapi rahsia Tuhan tidak siapa mampu menduga.


Dia sudah pergi, dipanggil pulang untuk berehat selama-lamanya. Amat berat untuk saya tuliskan catatan ini namun perlu juga saya coretkan. Sebagai tanda kenangan terhadap perkenalan dengan seorang lelaki budiman. Kita tahu betapa dia menghargai persahabatan dengan menjenguk FB-nya dan ketika dia di hospital. Teman-teman silih berganti mengucapkan selamat tinggal, tidak kira jauh dan dekat.


Kumpulan puisi terakhirnya 'Sehelai Daun Kenangan' bila di baca dengan teliti seolah-olah menyampaikan pesanan terakhir kepada isteri, anak, teman, penggiat sastera, pemimpin dan masyarakat. Semoga anak dan isterinya kuat mengharungi kehidupan selepas ketiadaannya.
Tiada lagi catatannya dalam Perjalanan Salik yang dapat dibaca. Kami akan menyusul nanti.


Al-Fatihah untuk abang Rahimidin Zahari

Rabu, Mei 13, 2015

Catatan Padang #2

2/
Persinggahan anggota kembara Jejak Tarbiah Hamka di beberapa madrasah dan pesantren di Padang disajikan dengan alunan muzik dan dendangan lagu dari perkumpulan yang ditubuhkan dalam madrasah dan pesantren sendiri. Anak-anak ini bukan sekadar menyanyi tapi berkebolehan bermain pelbagai jenis alat muzik dan menggayakan pelbagai jenis tarian dengan baik. Malah mereka menggayakan dengan penuh perasaan dan cara tersendiri.


Dari satu segi, suasana ini merupakan satu kejutan buda...ya kepada kami. Ada antara kami yang sukar pada awalnya menerima dendangan muzik dan lagu dari sekolah 'agama'. Oleh itu pada kesempatan yang ada, saya bertanyakan soalan kepada Pak Irfan, Konsultan Pendidikan yang mengiringi rombongan kami di sana.


Muzik adalah satu appresiasi, katanya. Mereka bersandarkan kepada peristiwa hijrah Nabi dari Makkah ke Madinah yang disambut oleh puak Ansar dengan lantunan lagu dan muzik. Malah sejarah pun mengajarkan bagaimana Islam ditanah Jawa dikembangkan oleh Wali Songo menerusi hiburan - wayang kulit, gamelan, bonang dan beberapa lagi.


Ini mengingatkan kepada perjalanan saya ketika ke Jakarta hampir lima tahun yang lalu. Teman yang menjadi tuan rumah pengembaraan memberitahu bahawa masyarakat di sana memang sukakan muzik dan bukanlah satu kesalahan untuk mereka berhibur. Banyak pusat karaoke keluarga dibina dan selalunya keluarga menghabiskan liburan bersama di pusat karaoke. Muzik dianggap terapi dan berkunjung ke pusat hiburan tidaklah menjadi sesuatu yang dipandang serong. Masih segar lagi kata-katanya - berbeza dengan Malaysia, remaja yang berkunjung ke pusat hiburan tidak mengambil narkoba kerana bukanlah itu tujuan mereka. Fokus mereka adalah berhibur, bukannya membuat aktiviti terlarang.


Sekaligus menjadikan kita sedar bagaimana industri muzik di Indonesia begitu meriah dan besar dengan kepelbagaian irama dan lagu. Penghargaan terhadap muzik ini turut dilihat pada usaha mereka menghargai bakat anak-anak sekolahan dengan mengangkat kemahiran mereka yang meminati muzik. Tiada halangan untuk bermain muzik atau menyanyi malah kita kagum bagaimana mereka boleh mengendalikan peralatan muzik dengan baik dan menyelaraskan sendiri sistem bunyi ketika mempersiapkan majlis. Di Bukittinggi saya terharu menyaksikan anak-anak Sekolah Dasar melantunkan alunan pelbagai lagu sebagai persediaan untuk pertandingan antara sekolah.


Muzik pada masyarakat kita masih taboo dan sering terkait dengan aktiviti negatif. Di sekolah, muzik cuma subjek pinggiran bagi melengkapkan jadual. Masih ramai beranggapan muzik adalah bidang tiada masa depan. Pengaruh Nyonya Mansur dan Sabariah kepada Kassim Selamat dalam satu adengan Ibu Mertuaku sangat kuat dalam pemikiran kita hinggakan muzik menjadi bidang yang dipinggirkan.


"Pantang datuk nenek aku ahli muzik!!!"


‪#‎jejaktarbiah‬ ‪#‎jejakhamka‬ ‪#‎ibrahpadang

Selasa, Mei 12, 2015

Catatan Padang #1

1/
Empat hari dikelilingi langit biru, awan bergumpal putih, sawah menghijau, air jernih dan gunung-ganang yang mempesona. Hidup mereka menyatu dengan alam meskipun tahu gempa bumi atau gunung berapi bisa menawan ranah ini pada bila-bila masa. Namun itu bukannya menjadi sebab untuk mereka memperlakukan bumi sewenang-wenangnya. Mereka memahami mengapa begitu keras sifat alam lalu berjaya menikmati hasilnya dengan bercucuk tanam di setiap inci ruangnya.


Pagi tadi ketika mendengar syarahan, antara kertas kerja yang dibentangkan berjudul "Taskhir: Fine Tuning, Intelligent Design and the Scientific Appreciation of Nature" tulisan Dr Adi Setia. Pengisian kertas kerja ini mengukuhkan pandanganku terhadap teras kehidupan di Danau Maninjau, Mereka menghargai alam dan alam pun menghargai keberadaan mereka di atasnya. Sangat berbeza dengan kita yang sering bermusuh dengan panas, sejuk, hujan, ribut dan banjir. Setiap inci tanah kita tar seperti terasa jijik untuk memijaknya.


Penyatuan dengan kehidupan menjadikan alam begitu berterima kasih kepada mereka. Mereka bersahabat dengan alam, bukan menguasainya. Maka fahamlah kini akan pepatah (tomba) yang sering mereka sebut-sebutkan, "alam takambang menjadi guru." Maka fahamlah juga kita mengapa ada kenalan yang begitu keras sifatnya.


Terima kasih Jejak Tarbiah yang membawaku ke Danau Maninjau-Bukittinggi-Padangpanjang.


‪#‎jejakhamka‬ ‪#‎jejaktarbiah‬ ‪#‎ibrahpadang‬

Rabu, Mei 06, 2015

Sekalung doa..

Penulisnya kini berada di hospital dan dalam keadaan membimbangkan. Semoga kesihatannya kembali pulih dan sihat seperti sediakala. Semalam tak dapat bersama mereka makandi luar sambil meraikan kemenangan. Hari ini pula sekadar menerima pesanan dari teman-teman yang melawatnya, tidak juga dapat bersama.


Namun doa tetap tidak putus buatnya, pemuisi yang dihormati tuan Rahimidin Zahari

Ahad, Mei 03, 2015

Seorang graduan IC

Pusingan ketiga ke PBAKL semata-mata mencari 77 Tuju karya Zaen Kasturi ketika banyak pempamer sudah menutup jualan pada hari terakhir. Sempat bertemu beberapa penulis dan mendapatkan tandatangan juga buku percuma sebagai tanda persahabatan.


Sebelum itu makan tengahari bersama seorang graduan Imperial College dan inti perbualan sudah pasti isu hangat tentang pelajar yang dipenjarakan di sana. Maka perbualan pun melencong ke pelbagai arah termasuklah sistem pendidikan, persediaan pelajar keluar negara, pemantauan, cabaran hidup dan kedewasaan di negara asing. Macam- macam juga isu yang dibincangkan dan sempat singgah melawat Galeri Petronas yang sedang mengadakan pameran majalah Gila-Gila.


Ada beberapa buku yang penting berjaya dibeli kali ini tetapi ada juga yang terlepas dari pandangan. Di luar, hujan lebat sedang menyimbah bumi. Perjalanan malam ini menaiki komuter yang melesat laju tapi kosong. Masih ada lelaki yang tidak kenal koc perempuan untuk apa dan mereka harus di ajar mengenali diri mereka sebagai seorang lelaki. Atau pun kena tampal notis pelbagai bahasa supaya mereka lebih faham.


*bebelan dalam koc merah jambu

Sabtu, Mei 02, 2015

Tumpahnya kuah

Ketika membawa emak dan abah ke Labis, abah menyampaikan hasrat untuk singgah ke Bukit Kepong. Sebagai pemandu keluarga merangkap anak yang baik (ok ini exaggerate), saya tidak pun membantah. Hari cuti, perjalanan lancar, keadaan kereta elok, minyak dah tuang penuh dan cuaca pun baik maka kami sampai elok-elok selepas hujan lebat di Chemplak. Ketika di Bukit Kepong, abah tunjukkan kawasan di mana berlakunya pertempuran, tentang jambatan yang belum ada ketika itu, kedudukan be...rek polis, kampung-kampung berdekatan, jeti dan bot yang berada di tebing sungai dan arah bantuan-bantuan yang sampai.


Abah memang tak banyak bercakap (macam anaknya juga) tetapi rajin melayan orang berbual (macam anaknya juga). Sesekali bila dia buka mulut, kita rasa macam tak pernah sekolah tinggi. Entah dari mana datangnya pengetahuan dia tentang sejarah, politik, kisah-kisah underground dan perkara yang kita tak terfikir. Mungkin ini berkat dari belajar gaya orang dulu-dulu. Ilmu kekal dalam hati hingga ke akhir hayat.


Moral of the story: ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. LOL

Jumaat, Mei 01, 2015

Baucerisme

Sekiranya anda mendapat Baucer Buku 1Malaysia dan membeli di MAPIM sempena PBAKL, ketahuilah bahawa anda tidak akan mendapat diskaun 20% (atau lebih dan kurang) kecuali jika membayar secara tunai. Keadaan ini adalah tidak adil dan sangat kejam kepada pembeli yang terpaksa mengecilkan jumlah pembelian dan bersikap memilih setelah mengidam buku-buku yang diinginkan sekian lama. Situasi ini amatlah menghairankan tatkala penjual lain ghairah menurunkan harga jualan. Jangan salahkan mahasiswa jika mereka memilih buku yang lain untuk dibeli kerana buku MAPIM boleh dibeli pada waktu biasa tanpa diskaun.


Sungguh malang apabila penerbit universiti sendiri tidak membantu dalam memandaikan mahasiswa!
‪#‎takpuashatitapitetapbersyukur

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...