Isnin, November 13, 2006

Serpihan monolog


Kala jengking ini sifatnya baik. Kalau kau mahu tahu, dia tidak akan menggigit atau menyengat kecuali jika di sentuh. Bila dia diusik atau terasa dirinya diancam, dia akan membalas. Tika itu kau akan rasa bagaimana bisa dan peritnya digigit. Lantas kau tidak akan lupa hingga bila-bila.

Jadi, signifikannya?

Jangan kau cuba mahu mengusik orang berbintang kala. Zahirnya memang baik dan mantap. Sebab itu orang lain mudah ambil kesempatan terhadapnya. Namun, bila hati dan perasaannya terusik, dia akan membalas dan bisanya kau akan tahu. Sakitnya memang tidak terucap. Jika bisanya tidak membunuh pun, kau akan ingat gigitan dan sengatannya sehingga mati.

Dan rasanya, dia mungkin tidak berdendam sekali. Banyak kali.

Wah! Kejam sungguh!

Kisah ribu-ribu

Alkisahnya, maka dipendekkanlah dialog tempohari.
A: Memang kereta yang dibawa dari luar dikenakan eksais sebanyak 200-300%.
B: Tujuan sebenarnya ialah untuk menjaga industri Proton dan Perodua. Kalau tidak bungkus!
A: Ya, memang
B: Jadi, berapa kereta tu kena
A: Mula-mula ejen tu kira RM 55,xxx
B: Apa? RM 55,xxx!!!! (terbeliak biji matanya)
A: Ya. Tapi lepas tu dia kata boleh kurang jadi RM22,xxx dengan syarat bayar RM8,xxx pada dia. Undertable!
B: Amboi! Banyaknya
A: Dia kata ini bukan untuk dia, tapi untuk staf dia yang kira tu
(Untuk makluman, situasi ini berlaku ketika hampir nak raya!)
A: Tak kuasa nak bayar. Jadi bila kira lagi dapatlah dikurangkan kepada RM22,xx. Itu pun nak duit kopi beberapa ratus
B: Bayar ke?
A: Taklah. Buat rayuan, dapatlah dikurangkan kepada RM17,xxx. Baru dua hari keluar. No plat pun belum tukar lagi

Kesimpulan: Masih tidak berubah lagi rupanya mereka itu

Telur di dalam bakul

Ada satu kesimpulan yang mudah sebenarnya. Orang tua-tua sudah cakap dari dulu lagi. Kalau hendak bawa telur, jangan letak dalam satu bakul, tapi letak semua telur itu dalam bakul yang berasingan. Kalau letak dalam satu bakul, bila bakul tu jatuh, telur itu akan pecah kesemuanya. Kalau nasib baik, satu dua telur dua sahaja elok. Tapi kalau nasib tidak baik?

Ikan kecil, ikan besar


"Ini pandangan aku sendiri.

Kail kalau di beri kepada pemancing, dia akan beri kita ikan besar. Tetapi kalau kail di beri pada pemetik kelapa sawit, dia akan bayangkan tandan kelapa sawit dan buah lerai, bukan ikan besar, bukan ikan kecil.

Bila tak dapat ikan, dia akan salahkan kail dengan kita sekali sebab beri dia benda salah. Tapi bila si pemancinng beri kita ikan besar, apakah kita akan bersyukur dengan pemberiannya atau kita sebenarnya sekadar menduga kehebatannya memancing?

Kesimpulannya?

Sebelum buat sesuatu benda tu, fikirkan logik dan warasnya dahulu. Jangan main bagi sahaja. Nanti kita akan di salahkan. Sebab itulah orang tua-tua kata kalau takut di lambung ombak jangan berumah di tepi pantai, sebab ombak selalu datang menduga pantai. Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga, sebabnya, mana boleh kail yang sejengkal mahu memancing dilautan yang maha luas.

Itu kata aku. Kata kau, apa pula?"

Jumaat, November 10, 2006

Buku: Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri


Tajuk: Perangai Bergantung kepada diri sendiri
Penulis: Pendita Za’ba
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun terbitan: 1987 (Cetakan Ketiga). Cetakan pertama ialah pada 1982
Mukasurat: 103
Tarikh beli:DBP
Harga pada buku: RM 5.50
Harga selepas diskaun (atau harga lelong): RM1.00
Tarikh beli: 30 Julai 2006 di DBP, Kuala Lumpur

Blurb
Tiap-tiap orang diwajibkan beramal dan beribadat sendiri dengan usaha dan tenaganya sendiri – tidak pernah di suruh ia mengira dirinya itu mesti bergantung kepada doa orang sahaja atau kepada fidyah penebus yang dibuatkan orang sahaja bagi mendapatkan kejayaan dan keselamatannya di akhirat kelak! Tuhan tiada pernah menyuruh kita mesti berharap kepada sedekah tahlil dan bacaan-bacaan Qul Hua’llah dari orang apabila mati kelak!!..

Pengantar oleh Datuk Haji Hassan Ahmad (Ketua Pengarah DBP Ketika itu)
Kelemahan syahsiah adalah punca utama kelemahan sesuatu bangsa. Inilah kesimpulan yang telah dibuat oleh Allahyarham Pendita Za’ba dalam buku ini. Menurut Za’ba kemunduran orang Melayu disebabkan sebahagian besarnya kerana mereka tidak percaya pada kebolehan diri sendiri, lemah cita-cita, kurang hemah dan terlalu menggantungkan diri dan harapan kepada orang lain. Orang Melayu lebih cenderung meminta bantuan dan pertolongan orang lain.

Pandangan Pendita ini memang agak berat diterima oleh orang Melayu, dan mungkin beliau menyedari keadaan itu, maka sebab itulah buku ini tidak diajukan kepada mana-mana penerbit semasa hayat beliau. Setelah lapan tahun meninggal dunia, karangan beliau ini baru dapat diketahui oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan disedari tentang pentingnya kepada bangsa Melayu hari ini.

Dewan Bahasa menganggap karangan ini suatu khazanah yang berharga dan perlu dibaca oleh setiap orang Melayu. Bahasa dan gaya bahasanya dikekalkan seperti asalnya. Ini penting, untuk kita memandang karya Allahyarham sebagai pengganti diri beliau dalam membangunkan bangsanya. Mudah-mudahan Allah akan mencucuri rahmat kepadanya, dan mengampunkan dosa-dosanya. Kepada bangsa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka kemukakan nasihat dan amanat Pendita yang dibuat lebih 20 tahun lalu untuk direnung dan dibahas. Diharapkan para pembaca akan dapat menggarap banyak manfaat dari buku ini.

Kisah disebalik buku ini:
Buku ini mengandungi dua bahagian yang dipanggil risalah, iaitu risalah Kedua yang berjudul Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri (yang menjadi tajuk buku) dan risalah ketiga iaitu Kebajikan dan Kejahatan. Setiap risalah mengandungi empat bab.

Dalam bahagian pengenalan yang ditulis oleh Hamdan Hassan, Risalah I telah diterbitkan pada 1952 oleh Jelutong Press, Pulau Pinang dalam tulisan jawi. Ia kemudian diterbitkan kembali oleh DBP dalam edisi rumi dengan tajuk Falsafah Takdir pada 1980.

Namun, Risalah I yang membahaskan masalah pokok dalam memahami dan mengamalkan agama Islam telah menimbulkan kontroversi dan perbezaan pendapat di kalangan ulama, terutamanya di Perak. Akibatnya, Sultan Perak sendiri campurtangan dan mengharamkan Risalah I. Kesannya, penerbitan Risalah II terpaksa dibatalkan oleh penerbitnya dan tidak sampai ketangan pembaca hingga ke akhir hayat penulisnya.

Sehingga kematiannya pada 1974, Za’ba tidak memberitahu dimana dan siapa yang menyimpan Risalah ini. Oleh itu, DBP dalam edisi rumi Risalah I membuat pengumuman supaya sesiapa yang menyimpan Risalah II supaya membawanya ke tengah agar ia dapat disajikan kepada pembaca dan peminat pemikiran Za’ba.

Akhirnya, Risalah II ini ditemui oleh anaknya, Zaharah Za’ba dari seorang penerbit lalu diserahkan terus kepada ketua Pengarah DBP.

Petikan menarik
Maka oleh sebab ramai mereka yang demikian ini, jadi bangsa mereka pun terkandaslah dan terhalang daripada mendapat kemajuan yang diingini. Padahal orang-orang bangsa lain yang percaya akan kebolehan diri mereka dan kuat bergantung kepada diri mereka itu sendiri sentiasa juga berusaha dan berikhtiar, belajar dan berniaga, hingga mereka telah beberapa jauh lepas ke hadapan pada serba-serbi perkara dalam hidup di dunia ini. (muka 9)

Nota saya
Buku ini saya ‘jumpa’ ketika mencari koleksi buku terbaru di DBP. Ia terletak di celah-celah buku lelong atau buku diskaun. Sayang sungguh, buku sebegini bagus oleh seorang yang di gelar Pendita di jual dengan harga RM1.00. Ketika saya beli, masih banyak lagi. Tidak tahulah sekarang ini.

Rabu, November 08, 2006

Akhirnya.....

IK ditutup lebih 1,000 mata selepas tujuh tahun
Berita Harian, 8 Nov 2006

KUALA LUMPUR: Pasaran saham tempatan mencatat prestasi kukuh semalam dengan Indeks Komposit (IK) Bursa Malaysia buat pertama kali dalam tempoh hampir tujuh tahun ditutup pada paras melebihi 1,000 mata.

Penanda aras utama Bursa Malaysia itu melonjak 9.98 mata atau 1.01 peratus mengakhiri dagangan pada 1,003.28 mata, selepas sejak seminggu lalu cuba melepasi paras rintangan utama 1,000 mata.

Rabu minggu lalu, IK berjaya melepasi paras rintangan berkenaan apabila mencecah paras 1,006.82 mata dalam sesi dagangan sebelah pagi, tetapi gagal dipertahankan sehingga ke akhir dagangan kerana kegiatan pengambilan untung.

Kali terakhir IK ditutup di atas paras 1,000 mata ialah pada 17 Februari 2000 dengan 1,006.82 mata.

Penganalisis mengaitkan prestasi cemerlang semalam dengan sentimen positif yang berterusan di kalangan pelabur hasil sokongan pelbagai faktor, termasuk jangkaan mengenai pertumbuhan ekonomi negara yang lebih baik, prestasi pasaran serantau dan pengukuhan di Wall Street serta harga minyak dunia yang diniagakan di bawah paras AS$60 setong.

Di samping itu, Perhimpunan Agung Umno yang akan berlangsung bermula 13 November ini turut mempengaruhi sentimen pelabur.

Berikutan faktor asas menggalakkan itu, penganalisis yakin minat belian di kalangan pelabur tempatan dan asing berterusan bagi membolehkan IK bertahan di atas paras 1,000 mata sekurang-kurangnya dalam tempoh terdekat ini.

“Rali hari ini begitu bertenaga dan menyeluruh dengan saham berkaitan indeks melonjakkan IK melepasi paras 1,000 mata.

“Kami menjangka minat berurus niaga akan terus membantu indeks berkenaan untuk bertahan di atas paras 1,000 walaupun faktor pengambilan untung mungkin menjejaskan sedikit prestasinya,” kata Ketua Penyelidik di MNA Securities Sdn Bhd, Wee Kim Hong.

Beliau meletakkan paras sokongan IK pada 990 mata, tetapi yakin penanda aras itu mungkin tidak akan jatuh di bawah paras berkenaan berdasarkan sentimen yang menggalakkan ketika ini.

Ketua Penyelidik di OSK Securities Sdn Bhd, Kenny Yee, pula berkata pasaran dijangka terus meningkat dalam tempoh terdekat, walaupun urus niaga akan berselang seli dengan kegiatan pengambilan untung selepas kenaikan kukuh semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata, walaupun asas pasaran adalah kukuh, paras penutup IK semalam terlalu hampir dengan paras rintangan psikologi 1,000 mata.

Justeru, penanda aras itu kini perlu menguji paras rintangan selanjutnya pada 1,005 mata sebelum mampu melonjak lebih tinggi.

Sementara itu, kenaikan di Bursa Malaysia semalam adalah menyeluruh dengan menyaksikan semua indeks mencatat peningkatan.

Indeks Papan Kedua meningkat 1.10 mata kepada 87.77 mata, Indeks Perindustrian naik 12.77 mata kepada 2,096.23 mata, Indeks Kewangan melonjak 59.57 mata kepada 8,004.26 mata manakala Indeks Pasaran Mesdaq menokok 2.06 mata kepada 115.79.

Sebanyak 675 saham untung berbanding 172 rugi, 259 tidak berubah, 275 tidak diniagakan dan 26 saham digantung urus niaga.

Jumlah urus niaga meningkat kepada 875.15 juta saham bernilai RM1.22 bilion berbanding 702.84 juta saham bernilai RM820.90 juta kelmarin.

Oleh Zainab Mohd Yatim

Isnin, November 06, 2006

Menganalisis pasaran ekonomi


Saya tertarik dengan analisis pasaran ekonomi pagi tadi di KLfM yang membincangkan mengenai keadaan pasaran semasa negara - sesuatu yang telah saya tinggalkan sejak sekian lama. Menurut penganalisis, Jumaat lepas pasaran ekonomi dikatakan membawa keceriaan kepada pelabur, seperti mana dengan berlalunya jerebu yang kembali menceriakan ibukota. Walaupun pasaran ditutup pada 998 mata, dalam trend harian ia ada mencecah 1000 mata yang dipanggil intra-trading.

Melepasi atau mencecah 1000 mata dianggap sebagai petanda yang baik untuk ekonomi dan perniagaan semasa. Ia sesuatu yang memang dinantikan - kerana kalau diikutkan kali terakhir pasaran mencecah 1000 mata ialah pada tahun 2000, iaitu hampir 6 tahun lepas. Kemudian beliau mengaitkannya dengan Surah Yusuf, ketika Nabi Yusuf mentafsir mimpi seorang raja. Raja tersebut bermimpi bahawa 7 ekor lembu (atau kerbau) gemuk telah di makan oleh 7 ekor lembu (atau kerbau) kurus. Tafsiran mimpi oleh Nabi Yususf bermakna 7 tahun negara itu akan makmur disusuli oleh 7 tahun derita.

Kemudian penganalisis mengaitkan keadaan pasaran dengan Surah Yusuf ini - menyuruh kita supaya bersedia disaat senang dan berhati-hati dimasa susah. Saya melihatnya begitu begitu signifikan dengan keadaan ekonomi negara suatu ketika dahulu. Saya belajar Ekonomi ketika negara diserang kegawatan pada tahun 1997-2000. Lantas kami banyak buat kajian tentang keadaan ekonomi negara ketika itu dan perbandingannya dengan kemelesetan tahun 1985.

Sebenarnya, ekonomi negara memeng meletup naik pada tahun 1990-an bersama beberapa negara Asia Timur yang lain sehingga digelar Asian Tiger, Asian Miracle dan macam-macam lagi. Perniagaan meningkat naik, pertumbuhan ekonomi mencecah hampir 2 angka, pendapatan perkapita tinggi, inflasi rendah, kadar pengangguran kecil dan pelbagai lagi kenikmatan yang dilimpahi.

Kemewahan ini sebenarnya kalau dilihat bertahan selama 7 tahun dan selepas itu kita diuji dengan kesengsaraan. Banyak perniagaan yang bankrap, NPL meningkat, , berlakunya penjualan saham serta syarikat, inflasi naik, hatta bank pun ada yang bungkus. Ramai peniaga yang terpaksa melelong rumah, banyak kereta ditarik dan ada yang jatuh muflis.

Rakyat biasa yang tidak terlibat dalam perniagaan secara langsung tidak merasakan sangat tempiasnya. Ternyata kegawatan itu menyedarkan dan selepas itu ramai yang mengambil tindakan berhati-hati dalam melaburkan wang atau berniaga, bermain saham, membuka perniagaan atau apa sahaja yang berisiko. Semua mahu ambil jalan selamat. Itu teori saya yang pernah saya katakan kepada seorang kawan dahulu.

Sekarang ekonomi kita sedang dalam proses untuk naik semula. Diharap kemelesetan dan kemurungan 7 tahun itu berlalu seperti mana pasaran yang mahu mencecah 1000 mata. Semoga mendung hitam yang berlalu ini memberi sinar yang benar dan semoga kita bersedia lagi untuk 7 tahun akan datan. Sesungguhnya kata-kata Allah didalam Al-Qur’an itu adalah benar, dan kita sahaja yang selalu lupa.

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...