Sabtu, Jun 20, 2015

Catatan akhir sebuah perjalanan

Aku cuba mencatatkan kembali apa yang berlaku sepanjang perjalanan dan penemuan akhir aku dengan Logman karim. Semoga ini akan terus mengekalkan ingatanku yang tersisa untuknya.
 
5 Jun 2015 | Sabtu
Sabtu, menjelang Asar. Secara tiba-tiba dapat makluman bahawa Loqman adalah salah seorang mangsa hilang ketika gempa bumi di Gunung Kinabalu pada semalam, 5 Jun 2015 (Jumaat). Secara tiba-tiba aku cuba mengingat kembali tentang Loqman, perkara yang dibuatnya pada pandanganku sebelum berlaku kejadian itu. Dari instagramnya, aku nampak dia berada di sekitar Kota Kinabalu, berjalan-jalan, cari makan dan jumpa kawan. Nampak gayanya dia menghabiskan beberapa lama mas cutinya di sana. Sebelum itu sudah nampak yang dia menyiapkan beg untuk ke dua destinasi berbeza. Kalau satu ke KK, satu lagi? Dia tak memberitahu aku pula tak bertanya.

Sejak siang Sabtu itu mulalah kekecohan antara kami berlaku. Benar, kehilangannya sudah disahkan dan kami menjadi risau. Jika benar dia mendaki Gunung Kinabalu, bagaimana keadaannya? Arifah terus menghubungi IPD Ranau untuk mendapatkan maklumat rasmi. Memang nama Man dalam senaria orang hilang dan masih belum ada berita terbaharu. Ada 19 orang nama hilang, dua dah dapat ditemui. Risau kami cuba memanjatkan doa. Semoga kau hanya hilang, bukannya apa-apa. 
 
Sabtu seperti biasa aku ada kelas penuh. Pagi aku ponteng kelas Arab untuk ke Wacana Falsafah Hidup Hamka. Kemudian aku terus ke Kelas Prof T. Malam ada SNL. Tetapi aku harus pulang kerana esok ada kenduri doa selamat. Selepas kelas Prof T, aku ke Dewan Utama untuk makan dan terus pulang ke rumah. Sampai Serting lebih kurang jam 11. Sepanjang perjalanan mesej tak henti-henti masuk. Benarkah Loqman di sana? Apa khabarnya?

Jauh di sudut hati aku masih mengharap dia tidak apa-apa.

Tetapi mesej-mesej yang masuk kian merisaukan. Zamir bertanya agar sesiapa dalam kalangan BOD boleh menjadi wakil menghubungi keluarganya. Aku tahu BOD tengah pening dengan teater Kelip-Kelip minggu hadapan. Maka aku menawarkan diri. 

Pertama sekali ialah menghubungi ibunya. Aku menghantar SMS memperkenalkan diri. Ketika itu jam 12 tengah malam. Ibu bapanya baru mendarat dari Vietnam. Kami menawarkan tiket untuk keluarganya ke KK jika perlu. Aku tahu ibunya tidak akan membalas sekarang. Tetapi aku tahu dia akan membacanya.


6 Jun 2015 | Ahad
Aku terjaga seawal 4 pagi. Tidak lama kemudian aku terima SMS dari ibunya. Aku segera membalas. Terus aku mendapat panggilan dari ibu. Suaranya serak basah. Dia mengatakan bahawa tiket sudah dibeli malam tadi sebaik sahaja mendarat. Penerbangan mereka jam 9 pagi nanti ke KK. Aku mengangguk. Seolah-olah anggukan ku dapat dilihatnya. 

Usai solat subuh aku dihubungi sekali lagi. Kali ini suara ibu jelas dan segar. Selepas memberi salam suaranya bertukar sayu dan sedih. "Doakan Loqman, maafkan Loqman, dia anak yang baik. Nanti makcik bincnag dengan ayahnya. Doakan makcik tabah." Aku pula bercucuran air mata. Cuma esakan tangis keluar dari mulutku tanpa ada apa-apa yang mampu ku ucapkan.

Bagaimana keadaan mu ketika ini, Man?

Kemudian aku dah sibuk di dapur, memasak untuk kenduri. Jiran tak ramai yang ada kerana masing-masing berhalangan. Jadi aku cuma sekejap-sekejap dapat memegang telefon. Kerisauan dalam hati usahlah cakap. Arifah kerap menghubungi IPD dan menghantar berita dari pakciknya. 

Menjelang zohor aku segera mandi. Ketika ingin solat (kerana majlis bermula sebaik sahaja selepas zohor), Arifah menghantar berita dari pakciknya:

Maaf..kami baru terima berita yang Loqman baru sahaja meninggal dunia. Dia cedera parah dihempap batu.

Aku rasa dadaku pecah.

Kemudian satu mesej yang lain masuk:

Pakcik Loqman baru call. Dia cakap Loqman dah ditemui..tapi masih koma, dihimpit batu. Sekarang rescue team sedang cuba bawa dia turun untuk ke hospital.

Aku rasa lega tetapi cuma sesaat. Masih belum yakin, masih bergalau.

Tiba-tiba panggilan dari ibunya masuk. Tepat pada azan Zohor berkumandang.

"Loqman dah tak ada. Dia koma tapi sebenarnya dia dah tak ada. Dia Allah piuinjamkan Loqman kepada saya selama 22 tahun sahaja. Maafkanlah Loqman. 

Aku tak dengar ayat selepas itu. Air mata ku turun bagai hujan. Aku tak mampu berkata apa-apa. Sebak, sangat sebak.

Di dapur masih sibuk, di ruang tamu tetamu mula datang.
 
Aku harus segera. Aku hubungi Arifah. Raihan. Izzy dan tak dapat, Zamir. Izzy.

Kemudian aku tulis status di FB

...bersambung...

Rabu, Jun 03, 2015

Sebuah rasa

 Rasa cinta itu hanya dapat dinilai oleh mereka yang jatuh cinta. Bagaimana halusnya perasaan itu, rapuhnya hati, pedihnya jiwa, bergelodak ingatan, terganggu perkataan, berkecamuk tindakan, gelisah perbuatan dan resah yang menjadi teman. Sering teringat-ingat dan terganggu. Perasaan ini dapat ketahui apabila kita sendiri jatuh cinta. Itu perasaan yang sukar diungkapkan.

Begitulah juga dengan ahli sufi. Apa yang mereka rasa hanya merekalah yang faham. Bagaimana mereka dalam cinta yang tinggi kepada Tuhan, perasaan yang dialami, dalamnya perasaan, jernihnya pemikiran, halusnya jiwa dan sucinya hati itu meraka yang rasa. Sukar sekali diungkapkan. Walau pun ada yang cuba menyatakan begitu begini perasaan itu tetapi tidak sama dengan yang merasa. Malah mereka sendiri pun sukar untuk mengungkapkannya. Biarlah cinta kepada Tuhan itu antara mereka dengan Tuhan. Tiada kata-kata yang boleh menggambarkan.

Kalau pun ada yang cuba mengatakan ahli sufi begitu dan begini sifatnya, ia cuma sebahagian kecil sahaja dari apa yang mereka rasa. Selebihnya, kita kena alami sendiri. Kita sendiri perlu berada di tempat iti.

Begitulah nikmat perasaan. Apabila melibatkan cinta, rasalah dahulu barulah tahu betapa dalamnya perasaan itu.

Selasa, Jun 02, 2015

Perangkap masa

Usia antara masa. Apakah kita diperangkap usia atau dibuai-buai dengan masa?

Waktu terasa pantas berlaku. Sudah pun masuk Jun. Apa pencapaiaku tahun ini?

Tidak banyak. Selain kelam kabut oleh kelas Isnin, Rabu, Sabtu dan Ahad, kerja-kerja pejabat kian merosot. Tak banyak projek masuk. Aku dah mula bosan dengan rutin yang sama. Sudah mula mencari peluang luar. Kalau boleh di Singapura, Brunei atau Indonesia. Namun tinggi manalah kemahiran yang aku ada selain Jawi?

Pengajianku kian menarik. Cuma aku terperangkap oleh masa dari membaca buku lebih banyak. Harus aku urus masa dengan lebih baik. Cuma meter Goodreads ku agak baik tahun ini. Sudah mampu membaca sering kelajuan meter. Semiga aku boleh membaca lebih banyak buku.

Sekaligus memerangkap masaku sendiri.

Khamis, Mei 28, 2015

Buat apa pening kepala?

Akhir-akhir ini banyak perkara yang aku fikirkan sehingga mendatangkan kerunsingan. Kawan ku menegurku beberapa kali bila melihat aku tiba-tiba senyap dan salah tingkah.


Apa yang kau fikirkan? Apa yang merunsingkan kau? Aku tidak tahu jawapannya. Sukar nak dimaklumkan kenapa.


Mutakhir ini aku sudah berjaya mengurangkan jumlah kawan di FB. Malah FB aku jarang-jarang masuk kecuali melihat notifikasi di group atau komen dalam status terdahulu. Aku membuang banyak nama yang memusingkan kepalaku. Benarlah, kita akan serabut dengan FB bila kita mempunyai jumlah kawan yang serabut. Status yang dikongsi, fitnah bermaharajalela, marah-marah yang tidak menentu, komen yang mengarut dan entah pelbagai rencam yang menakutkan. Takut kerana masyarakat kita terlalu peduli dengan apa yang ada di FB, bukan yang ada pada diri orang itu.


Malah aku rasa FB sudah berubah keadaannya berbanding dahulu. Awalnya kita suka kerana FB menjadi tempat kita tulis macma-macam. Jumpa kawan lama pun di situ. Namun akhirnya, kata kawanku, FB jadi semacam pasar. Kita datang, say hi dan berlalu pergi. Tiada human touch. Komunikasi seperti bercakap dengan tiang. Kita hilang nilai kemanusiaan.


Sudah lama aku membebel tentang FB, cuma kali ini aku berjaya meluruskan ketenangan jiwaku. Sudah rasa tenang hidup tanpa FB. Aku rasa keserabutan yang melanda sudah berlalu pergi.


Cuma aku masih belum mampu membebaskan diri dari kerisauan yang macam-macam bila membaca berita itu ini. Aku terlalu risau dan terlalu memikirkan rupanya, hingga kerisauan itu memanjat kepala, menggigit dan menyakitkan kepala ku. Anehnya, sakit itu berada di belakang kepala. Ada yang kata itu tanda darah tinggi. Ada yang kata itu angin dalam urat. Nanti, aku kena redakan ketenganan urat kepala dahulu. Kemudian aku akan bebaskan kerunsingan satu persatu. Entah bagaimana akan aku buang kerunsingan itu, aku pun tak tahu.


Mungkin aku perlu berhenti berfikir dan membuang kerisauan. Hidup seperti ahli sufi yang membuang dunia dan membetulkan hatinya ke arah Tuhan.


Ya, aku rasa itulah yang terbaik untuk ku dan kesihatan diri ku.

Isnin, Mei 25, 2015

Pedagang manusia


Ramai kawan-kawan tanya kenapa saya jarang komen tentang isu semasa kebelakangan ini. Banyak perkara yang memedihkan bila buka FB, khususnya bila melihat fitnah bermaharajalela. Atas sebab itu saya menyahrakan banyak senarai kawan supaya tertapis segala perkongsian yang tidak sah dan sekadar memburukkan keadaan. Jadi janganlah tanya kenapa kena unfriend, tak semestinya putus silaturrahim di luar dunia maya. Fungsi FB sekarang dah berubah, bukan jadi tempat mencari kawan lama ...seperti mula-mula muncul dahulu.
Antara isu yang selalu ditanya pada saya ialah Rohingya. Atas kajian yang pernah saya lakukan beberapa tahun lepas ketika bercita-cita (besar) nak menulis novel tentang masyarakat Rohingya di Malaysia (ah, dah terbengkalai pun), bacaan demi bacaan memahamkan saya apa yang berlaku antara etnik Myanmar, mengapa aung San Suu Kyi diam dan mengapa mereka terpaksa melarikan diri. Isu mereka seringkali masuk ke media massa tetapi tidak ramai yang peduli. Cuma akhir-akhir ini sahaja jadi tumpuan kerana kononnya 'kerajaan tak mahu bantu'. Masalah mereka semakin memberat kerana wujudnya insan yang mengambil kesempatan melakukan aktiviti memperdagangkan manusia - human traffiking - yang lebih teruk keadaannya berbanding perdagangan hamba masa zaman penjajahan dulu.
Kepada kawan-kawan yang bertanya, saya sudah jawab panjang lebar tentang Rohingya. Tambahkan lagi pembacaan supaya kita faham sejarah mereka dan sampaikan kepada kawan-kawan lain supaya dapat maklumat yang betul. Status ini public, kongsilah dan sebarlah untuk kebaikan semua.
Malaysia bukan tak pernah membantu. Ketika Vietnam dilanda perang sekitar tahun 70 ke 80-an, berjuta-juta rakyatnya mencari perlindungan menempuh badai laut China Selatan. Ada yang hanyut hingga ke Filipina, Borneo, Australia, Hong Kong, Indonesia, Thailand dan Malaysia. Kita jadikan Pulau Bidong sebagai penempatan sementara dan mereka dicarikan negara dunia ketiga yang sudi mengambil mereka jadi warganegara. Persatuan Bulat Sabit Merah Malaysia menerima anugerah dunia (dah lupa dari mana) kerana membantu menguruskan kehidupan mereka di Pulau Bidong. (Ini juga antara kajian untuk novel yang dah siap 90% tapi momentum dah lari). Kalau tak tahu, boleh Google kisah 'orang hanyut Vietnam' atau Vietnamese bot people.
Fitnah banyak sangat bila menjadi umat akhir zaman. Carilah sumber yang tepat sebelum mengeluarkan amarah di FB.
*terpanjang pula T_____T

Sabtu, Mei 23, 2015

Dimensi baharu dunia sastera?

Berada dalam Forum Penulis Muda Pen bertemakan Dakwah Dalam Sastera Islam: Kreativiti dan Pengaruh pagi tadi seperti menemui dimensi baharu dalam dunia sastera apabila setiap ahli forum bercakap tentang pentingnya ilmu dan kesedaran kepada ilmu.
Apa yang ditegaskan ialah peranan dan tanggungjawab sebagai penulis, bukan lagi mencirikan apa yang patut ada pada novel Islami. Jika penulis itu sedar dia adalah penulis yang mempunyai kesedaran dan tanggungjawab yang telah disandar... kepadanya sejak di alam ruh, maka tidak akan wujud apa yang disebut sebagai sastera cabul, sastera lucah atau karya-karya yang mengajak ke lembah dosa. Ilmu yang ditimba menerusi pembacaan atau perguruan turut menjadi penapis atau penampan kepada bacaan-bacaan luar yang bukan dari tradisi kita. Hatta kalau baca Bible pun tak kan rasa apa-apa kerana kita dah ada ilmu yang kuat untuk menapisnya.
Ahli forum juga kebetulan adalah pembaca tegar. Mereka dan saling berkongsi bahan bacaan yang patut dibaca. Pengalaman sebagai pembaca dan kemudiannya menjadi penulis banyak membantu mereka untuk menekuni karya yang patut dan tidak patut dibaca. Namun begitu mereka tidaklah semudah itu menghukum sesuatu buku tetapi memberi panduan kepada pembaca yang lain supaya boleh menilai yang baik dan yang buruk.
Ia ibarat kita menemui lampu yang lebih terang dari apa yang kita temui sekarang. Kita akan merasa bahagia dan gembira berada di situ kerana kita tahu lampu itu adalah lampu yang benar-benar menerangi kita. Kalau kita sudah yakin berada dalam lampu yang cerah, kita akan cepat merasa gelisah bila berada dalam lampu yang malap.
Kisah-kisah yang diangkat dari Sheikh Abdul Qadir al-Jailani dan pengalaman ahli panel membaca karya-karya besar Islam seperti Imam al-Ghazali menunjukkan arah sebenar sastera Islami tanpa perlu dibumbui oleh lambakan ayat al-Quran dan hadis dalam setiapa karya tanpa disharahkan atau ditunjukkan bagaimana dan apa sebenarnya. Semoga ini membuka ruang baharu kepada makna sebenar sastera Islami yang berteraskan pemikiran, adab dan estetika makna tanpa mengenepikan takah keindahan, faedah dan kesempurnaan seperti yang ditafsirkan oleh Dr Braginsky.
Terima kasih kepada ahli panel yang membawa perbahasan dengan baik sehingga saya benar-benar merasa terhibur dan puas hati. Sudah lama tak mendengar forum yang boleh meningkatkan takah kefahaman seperti ini. Cuma sayang sekali, terpaksa keluar awal sebelum habis panel berbicara.

Ahad, Mei 17, 2015

Erti hari guru kepada bukan guru

Anak-anak, kami ini bukan cikgu. Kami datang cuma mahu mengajar kamu tentang hidup. Hidup ini keras, hidup ini perjuangan. Hidup ini memerlukan kehidupan. Kami cuma sukarelawan yang cuba memberikan sedikit masa dan kasih-sayang.
Kakak ini sendiri pun semakin jarang meluangkan masa. Hidup sudah sesak, bukan lagi seperti dahulu. Tapi kakak cuba meluangkan beberapa minit yang ada. Supaya kamu ingat bahawa masih ada kakak yang sudi bersama kamu.
Anak-anak dari Sekolah Tahfiz Darul Fuqaha, Bangi. Terima kasih kerana menerima kami, sukarelawan TFTN

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...