Selasa, Oktober 20, 2020

To begin with

Tadi, sebaik selesai sharahan SNL dalam talian, aku buka kembali ig yang sudah lama ditinggalkan. Usianya Mei 2014-September 2019. Cukup-cukup mengisi tempoh pengajian empat tahun. Menjadi saksi perjalanan kesarjanaan. Tempat mencatat nota kuliah. Buku yang dibaca. Ruang menuturkan apa yang terlintas. Mencurah perasaan. Berkongsi harapan. Catatan perjalanan. Keluh kesah sepanjang pengajian. Ruang ekspresi diri. Saksi kepada usaha menulis tesis dari peringkat proposal, presentation, viva dan submission. Perjalanan ini awalnya aku rahsiakan kerana tidak mahu terbeban dengan pertanyaan. Selepas dua semester barulah mula mewar-warkan. Inilah juga tempat air mata tumpah dan peluh mencurah. Ia perjalanan penuh warna warni. Banyak membetulkan dan membaiki diri. Membawa aku kenal akan diri. Mengajar aku kembali kepada akar dan hakikat diri.


 Bila aku baca semua status, rasa seronok kerana ada catatan. Tapi apakah aku sedia melaluinya lagi? Ig ini sudah aku tinggalkan selepas convo pada April 2019. Aku tak rasa nak hidupkan semula. Niatku, bila nak mulakan Phd, aku akan kembali menulis di sana. Entah bila, tak tahu 🤭

Isnin ini semester bermula dengan dalam talian angkara COVID-19. Aku daftar tiga subjek. Ada rasa semangat kali ini. Kenapa? Kerana selepas dua tahun - sejak submission  pada 2018, aku rasa naik kapal tanpa haluan. Kosong. Lost. Hilang. Penat. Aku mahu kembali belajar. Walaupun tanpa ada apa yang aku genggam. Mahu mencari diri yang hilang. Mahu kembali tunduk dan merendah.

Semoga capaian internet berpihak padaku untuk terus belajar dan belajar. Bismillah 

#backtoschool

Selasa, Oktober 06, 2020

Berguru kepalang ajar

Saya selalu berdoa agar dapat peluang berguru dengan seorang editor yang tersohor ini - yang kurang dikenali akan kehebatannya — tetapi pastinya jauhari mengenal manikam. Pengalamannya dalam dunia penyuntingan (dan penerbitan) bukanlah calang-calang. Pernah beberapa kali saya mendengar cerita cara beliau menyunting yang hasil kerjanya yang menimbulkan keinginan untuk mencari peluang yang awalnya dirasakan mustahil.


Pada suatu hari yang cukup baik pada minggu lepas, saya menjemputnya ke pejabat selepas selesai menghadiri satu majlis bersama-sama. Ruang yang terbatas itu saya ambil untuk menceritakan apa yang kami lakukan sepanjang tempoh sepuluh tahun berada dalam dunia penerbitan bersama Akademi Jawi Malaysia. Satu demi satu buku dibawa turun dari rak, disusun di hadapannya. Semua buku ini beliau pegang dari kukit ke kulit. Beliau mencium bau buku, membelek sampul kulit, merasa jenis kertas, mengukur saiz font, dan rupagaya cetakan pada sampul.

Seribu satu soalan ditanya - tentang margin dan sentak, perengganan, tentang ejaan, perumian, saiz kertas, berat kertas, pilihan kertas, penjilidan, mengapa begitu, mengapa begini. Semua yang ditanya bukanlah kerana beliau tidak tahu tetapi mahu melihat mengapa kami melakukannya sedemikian rupa. Jawapan yang diberi ternyata memuaskan dan menyebabkan beliau faham akan keyakinan kami melakukan gaya sedemikian pada penerbitan turath yang pada awalnya beliau seolah tidak bersetuju.  

Pernah sekali dalam satu mesyuarat bersamanya dua jam pertama diperuntukkan bagi membaca dan membetulkan minit mesyuarat lalu yang saya siapkan. Saya lihat bagaimana beliau membaca, merenung, dan mempertimbangkan penggunaan kata-kata pada ayat yang disusun. Mengapa perkataan ini dan bukannya perkataan itu. Mengapa letak titik dan bukannya koma. Setiap perkataan padanya ada sebab digunakan, bukan boleh dimasukkan secara semberono. Minit mesyuarat tak sampai dua muka surat mengambil masa dua jam untuk disahkan bersama suntingan. 

Paling penting yang disampaikan ialah penerbitan bukan berkenaan berapa banyak judul yang dicetak tetapi judul yang boleh dicetak berkali-kali. Misalnya satu judul boleh menjadi pelbagai edisi - paperback, kulit keras, edisi mewah, edisi jimat, edisi ringkas, edisi kanak-kanak dan sebagainya. Setiap penerbitan ini ada khalayak peminatnya dan ini akan memberi lebih pilihan kepada pembeli, bukan sekadar judul baharu. 

Sepanjang pertemuan itu, dapatlah saya faham sedalam-dalamnya bahawa editor bukan semata-mata atas dasar titik, noktah, huruf dan ayat. Editor ialah keseluruhan buku yang dipersembahkan. Editor ialah wajah kepada buku yang dikerjakannya. Editor berada dalam buku, dalam setiap proses buku - sejak dari proses pemilihan naskhah hinggalah sampai ke tangan pembeli. 

Saya menanti peluang berguru dengannya. 

Cuma berani ambil gambar curi. 

Rabu, Mei 27, 2020

Membersihkan rak

Pada Syawal kedua, awal pagi saya siapkan invois untuk pelanggan yang membeli dan membayar buku pada penghujung puasa dan pada hari raya pertama (buku terbitan Akademi Jawi). Kemudian saya tonton satu filem. Selepas empat atau lima kali terlelap, maka tamatlah juga filem tersebut. 


Selepas itu nak buat apa? Saya berdiri depan rak, melihat buku, pegang satu, cuit satu. Kemudian saya keluarkan dan masukkan dalam satu kotak. Hajat di hati sudah lama mahu melepaskan buku-buku tertentu, jadi saya terus masukkan gambar buku-buku ini ke dalam grup Kolektor Buku. Tanpa disangka-sangka (ingatkan masih ramai beraya senyap-senyap), mesej dan komen masuk menderu-deru. Jadi tak menang tangan melayan dan menjawab. Sehingga malam, sehingga raya ketiga (semalam) saya masih melayan komen dan tempahan pelanggan. 

Semua buku ini telah disiapkan dan dibungkus elok-elok. Pagi ini sambil beratur menunggu giliran masuk, sempat juga follow up pelanggan yang belum membayar - kerana peraturan ialah mesti dibayar dalam tempoh 24 jam. Ada pelanggan tak perasan mesej masuk ke Messenger, ada yang terlupa sudah menempah, ada juga yang membatalkan tempahan.

Saya melihat rak lagi. Semakin bersemangat nak lepaskan buku-buku lain.

Ahad, Mei 10, 2020

Persahabatan yang dimusuhi

Ketika merumikan Majalah Qalam, satu perkataan asing yang menjadi kesukaran dicari padanan Rumi ialah ejaan اليق س جوسي


Melihat kepada konteks ayat dan tema perbincangan dalam teks, ini adalah nama tokoh dan berhubung langsung dengan nama Lee Kuan Yew - yang dalam Jawinya agak mudah dibaca. Setelah banyak kali mencuba dan meneka, dapatlah dibaca dan disahkan nama tokoh ini ialah Alex Josey.

Melalui Wikipedia, membaca latar belakang Alex Josey (1910-1986) menarik juga. Beliau terlibat dalam perang saraf semasa zaman darurat di Tanah Melayu dan kemudian berkhidmat dengan Radio Malaya Dna juga Radio Singapura. Banyak tulisan dan laporannya tentang keadaan politik Tanah Melayu dan Singapura disiarkan dalam media antarabangsa. Josey juga menjadi koresponden pertama yang dihalau keluar dari Singapura (atas sebab apa, kena cari). Selepas Singapura berpisah dari Malaya, Josey kembali ke Singapura dan menjadi Setiausaha Politik Lee Kuan Yew selama 10 tahun. 

Atas persahabatan baik dengan LKY, Josey menulis biografi pemimpin tersebut. Apabila ternampak biografi ini dijual dengan harga mampu milik, ternyata peluang tak boleh dilepaskan. Sekaligus teringat kembali kenangan merumikan nama Alex Josey yang cukup mencabar.

Ahad, Mei 03, 2020

Hari ke empat puluh tujuh

Hari ini sudah masuk hari ke-47 PKP. Ramadan pun sudah masuk hari ke-10. Kita sudah 47 hari dikurung di rumah, dikurung oleh musuh yang tidak kita nampak.

Esok PKPB, ya'ni diberi kebebasan nan terhad. Tetapi siang tadi, laporan harian dari KKM sudah menunjukkan kenaikan kepada tiga angka.

Apakah akan membaik atau semakin buruk?

Semoga Allah membantu kita.

Rabu, April 01, 2020

Pesona buku di Kaherah

 Judul: Aku, Buku & Kota Kaherah
 Penulis: Syed Shahriman Jamalulail

Selalu kita membaca coretan pengambara buku ke kedai-kedai buku terpakai di Malaysia, atau di Eropah, mahupun ke kota-kota buku dunia. Ada yang gemar mencari buku langka, ada yang ingin merasai keunikan sesetengah kedai buku atau sekadar menikmati suasana yang berbeza dari kebiasaan. Aku, Buku & Kota Kaherah memberi perspektif baharu tentang dunia buku dengan menampilkan suasana perbukuan di negara Arab, khususnya di Mesir, atau lebih khusus lagi, Kaherah. 
 
Memang jarang kita mendengar perkongsian dunia perbukuan berbahasa Arab, kurang sekali tulisan tentangnya, malah sedikit pengetahuan kita tentangnya, kecuali kepada mereka yang memang yang bergelumang di dalamnya, misalnya pelajar Malaysia di sana. 
 
Inilah kelainan yang ada pada Aku, Buku & Kota Kaherah.
 
Saya terpesona dengan setiap ceritanya. Penulis menimba sepenuh pengalaman sewaktu berpeluang belajar di Univeriti al-Azhar dengan menggeluti buku dan pasaran buku nadir di Kaherah. Dia mencari buku dari lorong ke lorong, dari kedai ke kedai, menjejakkan kaki ke Pesta Buku Antarabangsa Kaherah yang terbesar di dunia Arab selain meluangkan masa bertalaqqi dengan buku-buku yang dibeli. Penulis menyedari nilai buku nadir, membuatkan dia akhirnya menjadi dia pemburu dan kolektor khususnya buku edisi pertama, buku-buku kontroversi  buku bertandatangan penulis atau buku yang dilarang (buku haram). Semuanya ada nilai dan darjat yang tersendiri di mata seorang pemburu buku. Malah ada juga yang mencuri dan menjualnya pada harga yang sangat tinggi.
 
Selain bercerita tentang pengalaman menjadi kolektor dan pemburu buku nadir, penulis juga merakamkan pengalaman bertalaqqi dengan para mashaikh, menceritakan serba sedikit kandungan buku yang menarik dan penulis yang jarang didengar. Buku-buku berbahasa Arab dapat dicapai oleh mereka yang menguasai Bahasa Arab, atau mungkin, oleh mereka yang rajin membaca karya terjemahannya, sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Namun berpeluang membaca sendiri dalam bahasa asalnya berbanding terjemahan pasti membawa pemahaman yang berbeza, apatah lagi sekiranya terbit beberapa edisi berbeza, ya’ni edisi yang diperbaharui seperti yang berlaku pada  Tafsir Zilal al-Quran yang ditulis oleh Sayyid Qutb. Malah penulis turut menegaskan adalah lebih baik membaca sendiri kitab-kitab ini berbanding mendengar komentar orang lain yang selalu mengundang salah faham, dan ini akan dapat membetulkan pandangan jika buku itu dibaca, dan dirujuk pada orang yang betul. Ini banyak membantu penulis membetulkan pandangannya sendiri, begitu juga pandangan rakan-rakan yang mudah terdedah dengan fahaman haraki yang bersifat perjuangan. 
 
Kegilaan terhadap buku dan mengumpul buku menyebabkan penulis – apabila memutuskan kembali ke Malaysia - membawa pulang 20 kotak buku. Ternyata dunia buku Arab ini lebih mengasyikkan!
 
 
 * Buku yang dibaca semasa PKP. Baca dan habis baca
 

Selasa, Ogos 20, 2019

Pasca ceramah


Baru selesai menghadiri ceramah Prof Dr Farish A Noor (ya!) di ISTAC pagi tadi dengan tajuk CONTEMPORARY NEOCOLONIALISM IN THE MALAY WORLD. Pertama kali mendengar ceramahnya, pertama kali juga masuk ke dalam Main Hall ISTAC. Semua serba sempurna, alhamdulillah.

Antara intipati ceramahnya, dan perlu aku buat bacaan tambahan selepas ini (macam selalu):
  1. Beliau memulakan ceramah dengan memberi tiga situasi penjajahan di Jawa, Burma dan lautan Asia Tenggara
  2. Beza antara colonial - colonialism dan empire - emperialisme
Nampaknya tidak sempat ditaip panjang. Oh, ah!

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...