Rabu, Januari 03, 2024

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buku untuk disunting dan seboleh-bolehnya tidak menangguh kerja supaya tidak dibebankan pada orang lain. Paling penting ialah menyusun jadual untuk adik-adikku bergilir datang ke rumah kerana anak-anak bulus yang 5 ekor ini perlu diberi makan dan dibersihkan pasirnya, paling tidak dua hari sekali. Oleh kerana kami pergi berdua, maka kenalah sediakan upah untuk mereka datang menjenguk. Senbei paling sensitif dan kena bagi dia peluang keluar sekejap supaya dia tidak pening duduk beramai-ramai di dalam rumah. 

Nota kaki: Tiga bulan kemudian, semua kucing ini - kecuali Anjang - sakit dan mati 😟





Selasa, Januari 02, 2024

0001 Catatan India-Kashmir | Permulaan

Sudah sepuluh bulan berlalu sejak perjalanan ke India-Kashmir berakhir. Sudah ada yang bertanya nak ke mana tahun ini.

Nanti, kita ada hutang merakam catatan India-Kashmir. Satu-persatu akan diceritakan di sini.

Lessgooo


#1000catatanindia #decluttermymind

Jumaat, Jun 23, 2023

Catatan India-Kashmir | Permulaan


Sebenarnya tidak ingat siapa yang mencadangkan, tetapi rasanya bukan dari ku. 

Bila TravelTreasure keluarkan iklan jadual trip tahun 2023 pada Julai 2022, maka adikku Salha yang melihat-lihat iklan tersebut mencadangkan untuk ikut serta. Aku pun lihat status iklan tersebut. Nak pergi mana agaknya? Kemudian dia mencadangkan India-Kashmir. Aku belek iklan, kalendar dan tabung. Nampak semuanya positif. Aku pun beritahu Hidayah, mengajaknya sekali. Ada beberapa kawan mudah sikit nak bersembang. Almaklumlah introvert!


Rabu, Januari 18, 2023

Tahun beranjak baru

Sudah masuk tahun baru. Perlu ada semangat untuk menjadi lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini, khususnya tentang kesihatan dan ibadah. Ada yang pelru ditambah, ada yang perlu dibaiki.

Semoga kemahiran menterjemah dan menyunting semakin baik dan bertambah senang untuk menyiapkan tugas. Mungkin boleh mencari beberapa penerbit baru untuk meluaskan capaian dan kepelbagaian?


Kapal baru tembirang baru,
Baru sekali masuk Melaka;
Tuan baru saya pun baru,
Baru sekali berjumpa mata.

Isnin, September 19, 2022

Menajamkan bahasa

Hari ini di pejabat, melalui perbincangan dengan Kak Zaleha, aku diperkenalkan dengan Idries Shah. Pada mulanya aku membayangkan Sultan Idris Shah dari Perak, namun orang lain. Aku dimaklumkan Idries Shah seorang penulis yang banyak menghasilkan karya berunsur kesufian dan kerohanian. Justeru karya Idries Shah elok dibaca dan ditekuni bagi menajamkan kemahiran berbahasa dan mengarang.

Ada beberapa perkara penting yang ingin aku rakamkan secara pendek:

  1. Puisi dan pantun tak perlu perkataan yang abstrak. Hanya perkataan konkrit perlu dimasukkan. Tak perlu juga banyak imbuhan. Misalnya kesedihan dan sedih, gunalah sedih sahaja. Jadi ayatnya tidak lewah.
  2. Kemahiran berbahasa masih lemah. Kurangnya perkataan yang digunakan. Perlu banyak membaca karya yang bagus.
  3. Antara yang boleh ditekuni jika ingin memahirkan anekdot ialah membaca karya Idries Shah manakala Fihi Ma Fihi oleh Rumi jika mahu mengasah kemahiran dalam berpuisi.
  4. Menerusi Idries Shah, disebut beberapa laryanya seperti The Sufis dan Tales of the Dervishes. Manakala Islanders ialah sebuah alegori menarik, hampir menyamai Hayy Ibn Yaqzan atau Robinson Crusoe.
Maka seperti biasa, aku mula mencari dan membaca Idries Shah. 

Dan teringinlah aku membaca Fihi Ma Fihi dan Akulah Angin, Engkaulah Api oleh Annemarie Schimmel yang kedua-duanya ada di rumah.


Ahad, Jun 26, 2022

Selepas menonton

Usai menonton Mat Kilau, saya membaca semula Pahang DaÅ‚am Catatan Kolonial (PDCK), buku yang saya sunting tahun lalu. Buku ini merakamkan sejarah negeri Pahang sejak mula negeri ini didiami manusia dengan merujuk kepada kesan arkeologi dan peninggalan purba, kesultanan Pahang moden dan sejarah daerah-daerah yang ada di negeri Pahang. Ini termasuklah peristiwa penting perang saudara antara Wan Ahmad dan Wan Mutahir, latar belakang sultan-sultan Pahang moden, para tokoh tempatan dan pegawai kolonial yang berkhidmat di Pahang. Dan sudah pasti nama seperti Dato’ Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, JP Rodger, Hugh Clifford dan Frank Swettenham tidak boleh dipisahkan dari negeri Pahang.
PDCK memasukkan segala catatan para kolonial yang ditemukan berkaitan Pahang sama ada daripada hikayat dan catatan sejarah, minit mesyuarat, laporan akhbar, catatan para pegawai British khususnya W Linehan (A History of Pahang), Clifford (In Court and Kampong, Malay States dan banyak lagi), Swettenham (Malay Sketches, The Real Malay dan beberapa lagi) dan laporan tahunan oleh residen dan Pesuruhjaya Tinggi British. Catatan mereka dipetik, dibahas dan dijelaskan bagi memberi gambaran yang lebih murni dari sudut pandang anak tempatan berbanding sisi kolonial yang kita ketahui berunsur berat sebelah.
Untuk membandingkan PDCK dan filem Mat Kilau sudah tentulah tidak adil oleh kerana perjuangannya yang panjang dan usia Mat Kilau yang mencecah 104 tahun sewaqtu meninggal pada 1970 - tidak mungkin membolehkan segala-galanya diceritakan dalam seratus dua puluh minit.
Namun saya catatkan secara pendek nota-nota berikut - yang melibatkan fakta - sebagai rujukan (lain-lain aspek dah ramai yang ulas, saya sebut bahagian saya sahaja):
• Perjuangan Mat Kilau bukan hanya di Pulau Tawar dan Kuala Tembeling, sebaliknya melibatkan juga Semantan, Kuala Lipis, dan banyak lagi tempat.
• Mat Kilau banyak melarikan diri dan tidak menetap di satu-satu tempat akibat digempur British, hingga akhirnya mengundurkan diri ke Terengganu dan Kelantan,
• Perjuangan ini turut melibatkan Tok Gajah dan Tok Bahaman. Dalam filem ini, kelihatan Mat Kilau berjuang seorang diri, tidak dilibatkan sekali yang lain (memadailah dalam satu babak)
• Perbualan harian mereka bukan semata-mata tentang nasib orang Melayu, ketuanan Melayu, keistimewaan Melayu sebaliknya strategi untuk menyerang British, laluan serangan, ruang melarikan diri,
• Mereka bukan menentang semata-mata kerana cukai
• Mat Kilau dan Clifford hampir sebaya dan mereka pernah beberapa kali berdepan dalam pertemuan yang mesra (sebelum Mat Kilau mula menentang Bristish), dan juga tegang.
• Amalan-amalan Mat Kilau tidak ditunjukkan, tidak memadai dengan mengatakan ‘ilmu tasawufnya tinggi, ilmu aqidahnya bagus’.
• Sebagai panglima seharusnya Mat Kilau perlu lebih keras, ada daya kepimpinan, selalu memberi semangat, sentiasa memotivasi para pejuang.
• Ketokohan Tok Gajah, ayah Mat Kilau perlu ditampilkan dengan lebih serius sebagai panglima yang masyhur kerana beliau banyak mencorakkan keperibadian Mat Kilau
• Peristiwa 'kemunculan semula’ Mat Kilau pada 1969 yang menggemparkan patut dimasukkan
Seperkara yang paling mengecewakan ialah tiada sepatahpun loghat Pahang yang disebutkan, malah tiada dialog yang membolehkan kita teringat-ingat.
Walau apapun, filem Mat Kilau ada tarikan tersendiri, dan rasa kekecewaan di atas pastilah tidak menjejaskan kepuasan menontonnya. Penambahbaikan boleh dimasukkan kemudian, yang saya rasa pasti akan ada kesinambungan kerana perjuangan Mat Kilau dalam filem ini baru sahaja bermula. Pastikan ada sekualnya!

*PDCK sudah siap diterbitkan dan akan dijual dalam beberapa ketika nanti.


Menonton bersama teman sepejabat. Tiga orang lagi tiada dalam gambar

Ahad, Mei 01, 2022

Baca dahulu, baca sekarang




Aku mula membaca Imam sebelum masuk wad. Ini akan aku kisahkan kemudian.

Namun secara pendek yang dapat ku tulis, membaca haruslah dibantu dengan ilmu, bukan sekadar membaca. Imam yang aku baca dahulu tatkala dada belum ada ilmu yang benar. Kini, bila Imam dibaca semula, banyak perenggan di dalamnya yang dahulu aku setuju kini tidak aku setujui. Banyak yang aku geleng kepala, ada yang aku pangkah dan tanda.

Ini bukan kerana usia yang semakin matang, tetapi berkat bimbingan guru-guru yang menjadikan aku dapat menilai dengan baik apa yang dibaca.



 

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...