
Saya pernah mendegar nama novel ini ketika zaman persekolahan dahulu serta nama penulisnya sekali, Tuan Faridah Syed Abdullah. Jika tidak silap, Tuan Faridah saat itu aktif berkarya (dimana pula beliau sekarang ini?). Walaupun begitu, saya tidak pernah berkesempatan membacanya.
Awal tahun 2006, saya menemui buku ini di rumah seorang kawan. Kebetulan adiknya mengambil SPM dan buku ini menjadi buku wajib dalam pakej KOMSASnya. Dan saya bila nampak buku, langsung tidak keluar bilik. Namun kecewa sedikit kerana tidak dapat menghabiskan pembacaan hingga ke titik akhir.
Sejak itu, saya sering tertanya-tanya apakah yang berlaku kepada Awanis atau Anis yang menjadi teraju utama novel ini. Bagaimanakah kesudahannya ketika menjalani sesi praktikal dan apakah dia berjaya melepasi tempoh itu, apatah lagi dia dibuli oleh En. Johari yang merupakan penyelia praktikalnya.
Setiap kali ke kedai buku, saya cuba mencari novel Seteguh Karang dengan harapan saya dapat tahu pengakhir kisah Anis. Alhamdulillah, saya jumpa juga novel ini dicelahan buku lama di sebuah kedai buku yang 'hidup segan mati tak mahu' di pekan Bahau.
Anis merupakan seorang gadis yang cekal dan tabah. Hatinya teguh dan keras seperti karang. Ada kalanya dia menjadi seorang yang keras kepala, namun dia juga seorang perempuan. Bak kata orang, keras-keras kerak nasi bila di rendam lembut juga. Cerita ini memberikan kekuatan watak yang berbeza dari kebanyakan novel yang melambak di pasaran. Kalau kit abaca novel sekarang, wataknya digambarkan sebagai seorang yang lemah, mudah menangis, sering bersedih, mudah patah semangat, mudah putus asa dan seribu satu perangai manusia yang semuanya nak dimuatkan sekaligus. Ia memberi imej buruk terhadap penulis dan tidak memberi kesan mendalam terhadap pembacaan.
Dalam diam saya kagum dengan Anis. Saya dapat lihat betapa cekalnya dia mengharungi hidup tanpa ibu bapa yang meninggal dunia kerana kemalangan jalanraya. Kakaknya, Maysarah pula bersikap pemurung dan hidup dalam dunia sendiri selepas kemalangan itu. Bersama adik angkat, Anita, mereka bertiga mengharungi kehidupan. Sebagai pelajar Kursus Diploma Perladangan di ITM Kangar, Anis perlu menjalani sesi praktikal setiap kali cuti semester. Ketika praktikal di Terengganu, dia di buli oleh En Johari secukupnya. Saya dapat membayangkan betapa susahnya dia yang berpeluh-peluh cuba menjatuhkan setandan kelapa sawit menggunakan chop (alat yang digunakan memetik/menjatuhkan buah) kerana saya tahu betapa beratnya chop yang bertangkai besi.
Novel ini ditulis dengan menarik dan ayatnya mudah difahami tanpa ada maksud terselindung. Pelukisan alamnya juga jelas dan saya dapat membayangkan betapa luasnya ladang kelapa sawit, kesusahan Anis menghidupkan motor, kehidupannya dengan keluarga 'angkat' , keadaan bas yang dinaiki dan suasana pejabat yang tidak begitu menyenangkan.
Kisah ini berlaku 15-20 tahun yang lalu dimana perhubungan sekadar melalui telefon awam dan surat-menyurat. Tiada internet, e-mel, blog, website, SMS atau telefon bimbit. Ia seolah membawa saya kembali ke zaman pengajian saya dahulu. Saya pasti, sesiapa yang hidup dizaman sekarang tidak mampu membayangkan kehidupan tanpa gajet seperti itu.
Saya sering berharap agar ada kesinambungan Seteguh Karang. Saya ingin tahu apa yang berlaku kepada Anis sebaik sahaja tamat praktikal, apa yang berlaku kepada Anita setelah mengetahui yang dia anak angkat dan keadaan kak Maysarah selepas kembali kepada keadaan asal. Namun saya pasti adalah lebih baik menimbulkan satu tanda tanya yang besar kepada pembaca dan diputuskan sahaja cerita ini tanpa ada kesudahannya.