Rabu, November 12, 2008

Kenangan lalu

Suatu malam pada bulan Ramadhan yang baru berlalu. Malam pada minggu pertama. Ada satu tender penting perlu disiapkan dengan ketelitian yang paling maksima. Geram bercampur baur kerana terpaksa mengorbankan kesucian Ramadhan yang sukar di cari ganti. Maka janji di buat supaya kembali ke pejabat sebaik sahaja solat terawikh selesai di kerjakan. Biarlah habis di buat menjelang imsak pun tidak mengapa, kerana niat tidak mengganggu Ramadhan itu lebih utama. Ditambah lagi dengan azam yang amat kuat tidak mahu meninggalkan terawikh, apatah lagi pada awal-awal bulan begini.

Waktu sudah berganjak ke dinihari. Mata tidak dapat di tahan-tahan mengantuknya, sudah berpinar-pinar, kepala sudah tidak dapat menampung sengsara menanti waktu, letih badan tidak terucapkan bila perlu berulang alik dari mesin fotostat ke pencetak, kembali ke mesin fotostat dan pencetak bagi memastikan dokumen terhasil menepati citarasa dan kehendak si pengatur rentak yang sekadar menyuruh dan mengkritik. Sudah beberapa kali juga tersengguk di hadapan monitor. Air dan makanan yang dibekalkan langsung tidak membantu.

Sementara menanti teman sepejabat menyiapkan dokumen tambahan yang diperlukan, jejari menekan tetikus, mengklik entah apa-apa yang terlintas di kepala. Satu persatu menggoogle menjelajah dari satu destinasi ke destinasi yang lain. Tiba-tiba terlintas satu perkara, dan terus sahaja menaip dan search. Keluarlah apa yang dimaksudkan kenangan, dan mata yang tadi layu segar bagai di sirami embun pagi yang cukup syahdu.

Diri ini mula mengenali irama nasyid sebaik menjejakkan kaki ke Pusat Matrikulasi UIA yang ketika itu duduknya di Lembah Pantai, yang sekarang ini menjadi Insitut Perguruan Bahasa Antarabangsa (IPBA). Naif sungguh ketika itu. Sudahlah tidak pernah tinggal di asrama, menetap pula di ibu kota, bahasa pengantar pula Arab dan Inggeris, maka saya lebih dahsyat dari rusa masuk kampung. Ketika ta'aruf week (minggu suaikenal), alunan nasyid menjadi irama mengiringi hati kami yang kerinduan kampung halaman dan keluarga tetapi turut gembira dengan suasana baru, teman yang menceriakan, brother dan sister yang banyak membantu dan semangat berkobar menuntut ilmu. Nasyid menjadi teman kala sunyi di senggang waktu dalam tempoh seminggu hinggakan suara Nazrey Johani dari The Zikr serta Bangsar Boyz sebati dengan diri. Itu sahaja yang di kenali ketika itu.

Tahun 1996 waktu itu, nasyid bukanlah satu industri besar seperti sekarang, yang setahun kemudian di gegarkan dengan kemunculan Raihan. Nasyid ketika itu dipandang sepi, cuma terkenal dikalangan pelajar sekolah agama, ibarat satu industri underground biarpun mereka punya potensi lebih besar berbanding industri mainstream. Apatah lagi dengan kemunculan Nada Murni di bawah label al-Arqam (jangan lupa The Zikr juga anak didik al-Arqam), ada unsur prejudis terhadap nasyid ketika itu biarpun ia tidak mengganggu gugat mana-mana pihak.

Irama nasyid ketika itu cukup simple, tenang kedengaran, tiada unsur yang melalaikan. Liriknya cukup menyentuh, malah sehingga kini air mata boleh mengalir bila mendengarkan dan menghayati. Unsur yang di sentuh adalah kecintaan kepada tuhan dan keinsafan (apalagi!), persahabatan dan kasih sayang. Namun saya amat-amat khusyuk dengan bait kata yang di susun kerana cukup indah dan puitis. Bila mendengar nasyid dalam irama asalnya, kenangan lalu ketika matrik perlahan-lahan datang bermain di fikiran. Teringat pada kawan-kawan, pada suasana matrik yang mendamaikan, pada tangganya yang tinggi dan memenatkan, pada kesungghan mengutip mutiara ilmu dari pensyarah pelbagai negara, usaha belajar bahasa Arab berdikit-dikit dan English yang tersekat-sekat, pada perpustakaan yang menjadi rumah kedua di tahun kedua, pada blok asrama yang tinggi dan pada diri yang baru mengenal kehidupan. semuanya adalah kenangan yang tidak dapat d lang kembali. Dalam diam, suasana matrik itulah yang mengajar saya sedikit sebanyak menjadi manusia yang kuat dan tabah di kota besar ini, sehingga kini.Irama nasyid yang dialunkan ini benar-benar membawa saya kembali ke zaman lampau!

Hari ini saya terasa ingin menggoogle dan download beberapa nasyid yang masih tersisa ingantannya di fikiran. Penat rasanya mendengar alunan nasyid dewasa ini yang tidak cukup menyentuh jiwa (tetapi bukan semua ya!). Pilihan saya tetap The Zikr dengan suara mersik Nazrey. Dalam masa yang sama, saya masih mencari Bangsar Boys terutama Akrab Persahabatan (yang diperbaharui oleh Inteam) juga lagu berhantunya yang selalu diulang-ulang iaitu Lima Cinta, Cintai Bumi Kita, Insan Sama Sahaja, Kembali Kepada Agama, Ranjau Berduri, Selamat Berpisah, The Love Of God (baru saya tahu Zahid yang mengalunkan nasyid ini. Hmmm...beralih bidang bila dewasa). Ada sumber untuk Bangsar Boyz?

Kredit kepada empunya yang meletakkan link sini. Marilah dengar alunan nasyid The Zikr yang bersih lagi suci. Yang penting hayatilah liriknya itu. Selamat mendengar!



.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

oh..akk ex uia kerr..bez r bce blog akk..r 2 try g kdai bku cri bku akk tp xde..pe pn kuatkan smngat deh.

mata yang memandang,hati berkata berkata...

100% agree...uia mmg lain dr yg lain.mgejar kt sesuatu yg mungkin tidak akan kt temui d u lain.especially part nsyd,bro n sister....ngeeeee.....

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...