Rabu, Februari 03, 2010

Kembara Jakarta - Jejak toko buku (Siri 2)

Hari kedua, hari dimana saya ke Kwitang dan Senen, saya turut menjejaki Toko Gramedia di Mal Puri Indah. Saya minta ditinggalkan supaya teman saya itu tidak kegelisahan menanti. Dia tahu keinginan saya dan dia sendiri sudah merencanakan rancangannya ke salun.

Sampai juga saya ke Gramedia. Toko bukunya besar dan susunan bukunya sangat sistematik. Saya tidak terlalu mengambil gambar kerana asyik dengan buku yang disusun kemas mengikut seksyen - buku baru, buku terlaris, buku agama, bisnes, pariwisata (pelancong), sastera indonesia, novel, manajemen, sejarah dan sebagainya. Yang bagusnya, mereka membezakan novel remaja, novel (dewasa?) dan sastera Indonesia. Jadi, sangat mudah mencari tanpa perlu bersusah payah membelek satu persatu. Bayangkan jika di Malaysia, tiga golongan karya ini disusun dalam ruangan yang sama. Pasti berpeluh mencari mana satu karya yang dinamakan sastera, dan yang mana bukan sastera.
Susunan buku yang kemas di rak. Suasana dalam Gramedia Mal Puri Indah 

Karya sastera disini bermaksud yang dihasilkan oleh penulis berstatus karyawan atau sasterawan seperti Pramoedya Ananta Toer, Rosihan Anwar, Emha Ainun Najib atau WS Rendra manakala novel dan novel remaja dihasilkan oleh penulis yang saya kira 'biasa' dan belum mencapai taraf sebenar sasterawan atau karyawan.
Suasana dari luar Gramedia Mal Puri Indah. Hiasan sempena Krismas sudah mula menghiasai pintu masuk 

Tetapi kegilaan penggemar buku, perkara yang menjadi kerisauan ialah ongkos. Sebanyak mana buku yang mahu dibeli pun, kekangan kewangan tetap menjadi perkara pokok. Saya tidak berlamaan didalam kerana khuatir membawa pulang buku yang banyak, sedangkan sisa hari di Jakarta masih panjang. Lalu saya menyambar empat naskhah buku termasuk sebuah karya yang baru diluncurkan sehari sebelum itu (18 Disember) berjudul 'Demi Allah, Aku Jadi Terroris' karya Damien Dematra. Saya terbacakan berita pelancaran dan ulasan di akhbar Kompas semalam, dan teruja mendapatkannya.

Suasana dari luar Gramedia Grand Indonesia Shopping Town. Ini kedai buku, bukan Isetan KLCC!

Pada hari kelima, saya singgah ke Gramedia yang terletak di dalam Grand Indonesia Shopping Town. Wah, inilah dia syurga buku sebenar. Oleh kerana letaknya dalam sebuah kompleks beli belah yang besar, maka Gramedia disini juga berskala besar. Grand Indonesia Shopping Town, mengikut maklumat pada Wikipedia merupakan salah satu pusat membeli belah berskala besar di Asia Tengara. Berkeluasan 250,000 meter persegi (2,700,000 kaki), setinggi lapan tingkat dan punya dua blok yang besar dihubungkan oleh jejantas melintangi jalan utama. Ia lebih gah berbanding Mid Valley Mega Mall atau Pavillion! Suria KLCC pun kalah.

Eskalator di dalam Toko Gramedia Grand Indonesia Shopping Town. Saya ulangi, eskalator dalam kedai buku!

Gramedia Grand Indonesia mempunyai dua tingkat yang penuh buku terletak di lantai dua dan tiga. Lantai bawah dipenuhi buku terbitan tempatan dan naskhah terjemahan. Lantai atas pula khusus untuk buku terbitan luar negara. Nafas saya berbaur sedih bila mengenangkan beza darjat toko buku disini dengan kedai buku di Malaysia yang hidup bagai tidak-tidak. Bayangkan ini - ia ada eskalator, dipenuhi pecinta buku yang berpusu-pusu didalamnya - satu keadaan seperti Jusco mengadakan pesta jualan pada hari Jusco Card. Penyaman udara tidak terasa sejuk malah saya berpeluh-peluh mencari buku. Tidak dapat saya bayangkan perasaan teruja melihat susunan buku di rak. Ya, bagaikan gila memilih, tidak tahu yang mana harus saya beli.

Satu keberuntungan hadir pada waktu yang tepat. Gramedia sedang meraikan ulangtahun pertama beroperasi di Grand Indonesia Shopping Town. Lihat diskaun yang tertera. 35%. Membeli buku bagai tak ingat dunia. Mujur juga bahu terasa nak patah memikul, jika tidak pasti tak cukup bagasi membawa pulang semuanya.

Pada hari ke tujuh, saya ke Gramedia Mal Pondok Indah, satu lagi gedung membeli belah berskala besar. Namun Gramedia Mal Pondok Indah tidak sebesar di Grand Indonesia. Namun begitu, ia masih bersaiz MPH Mid Valley. Suasana dalamnya kemas dan tenang, memilih tidak menyukarkan, membelek pula tidak mendatangkan rasa bersalah dipandang atau dijeling pembantu jualan.

 Susunan buku dalam Gramedia Mal Pondok Indah. Luas mata memandang segala buku tersusun. Mudah dicari, senang dilihat

Satu perbezaan ketara ialah cara penyusunan buku. Mereka tidak menyusun menggunakan rak yang tinggi. Jadi, buku mudah dicapai dan senang mata memandang keliling kedai buku. Dibandingkan dengan toko buku di Malaysia - mengambil kira MPH, Kinokuniya dan Times, mereka gemar menyusun menggunakan rak tinggi. Kurang sekali menggunakan meja pamer / meja display. Agaknya mentaliti mereka ialah buku harus letak di rak sahaja. Jadi, gaya konvensional ini tidak menampakkan variasi dan membosankan.

Suasana dari luar Gramedia Mal Pondok Indah. Nampak elegen dan mengujakan

Saya tidak tahu apa lagi yang harus saya perkatakan tentang toko buku di Jakarta. Selama ini mendengar keriangan orang lain yang berjaya menjejakinya, kali ini saya sendiri merasa bertuah dapat menrasa nikmat berada di perut gedung buku. Nikmat tidak terucap. Bila agaknya Malaysia atau Kuala Lumpur punya toko buku semewah ini. Sekadar Times, Borders, Kinokuniya atau MPH, masih jauh darjat kita dengan mereka.

Benar. Inilah yang dikatakan syurga dunia. Sekarang masa untuk membacanya sahaja.






Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...