Sabtu, Oktober 02, 2010

Iran - 1

Apa yang kita tahu tentang Iran? Selain di label bumi syiah, mullah, Khomeini, Shah Iran, revolusi, Tehran, nuklear, roket, apa lagi yang kita tahu? Saya sendiri tidak tahu banyak. Mahu cari di internet apatah lagi, seolah banyak fakta disekat. Mengapa? Blog guru saya, Dr Faisal Tehrani sejak akhir-akhir ini memberi banyak maklumat tentang Iran. Beliau banyak memuatkan berita juga gambar yang menarik sekaligus membuka keinginan mengetahui Iran yang sebenarnya, lalu menunjukkan ada banyak sisi lain Iran yang tidak kita ketahui. Sisi yang disembunyikan. Sisi yang di sorokkan oleh tangan-tangan ghaib.

Ada sebuah buku yang sangat bagus tulisannya sekiranya kita ingin mengetahui 'siapa' itu Iran. Di tulis oleh Dina Y. Sulaeman dalam terbitan asal di Indonesia (Penerbit Pustaka IIman) dengan judul Pelangi di Persia: Menyusuri Eksotisme Iran, ia telah di terjemah ke bahasa Melayu oleh PTS dengan judul Travelog Iran: Menyingkap Misteri Bumi Ahmedinejad.


Saya hampir terperangkap dengan kedua buah buku ini. Dek kerana gemar membeli buku Indonesia, hampir sahaja 'terbeli' Travelog Iran jika tidak kerana membelek helaian pertama yang memaparkan perincian terbitan. Memaparkan wajah dan nama Ahmedinejad pada kulit buku boleh sahaja dianggap sebagai strategi pemasaran namun secara peribadi saya tidak menggemari idea ini. Saya lebih senang dengan judul dan wajah asal. Kulit baru seperti mahu menjual Ahmedinejad, dan saya tidak langsung tertarik membelinya walaupun wajah Ahmedinejad yang redup dan tenang ini sangat memikat. Ia seolah-olah bercerita banyak tentang Ahmedinejad, bukannya Iran.

Saya baru membawa bab awal perjalanan Dina yang sudah lapan tahun menetap di Iran. Cara penceritaan Dina sangat lancar dan tersusun, ayatnya mudah dan disulami fakta yang memberi kefahaman menyeluruh tentang Iran. Dina berjaya membawa saya ke Iran, memaksa saya mencari Iran sebenar, menyebabkan saya mengimpikan menjejakkan kaki ke Iran.

Setakat ini, saya boleh menamakan Dina sebagai penulis travelog terbaik dan karya ini merupakan ciri travelog yang seharusnya diikuti oleh mana-mana penulis yang berhasrat membukukan perjalanan dari satu tempat ke satu tempat. Menulis travelog bukan sekadar menulis 'saya dari sini ke sana, makan itu minum ini', tetapi memasukkan maklumat tempatan dan perihal masyarakat yang tidak dapat ditemui pada mana-mana buku bukan dengan niat menggurui pembaca tetapi untuk memberitahu. Jika mahu disertakan gambar, biarlah ia memadai dengan fakta yang mahu di kemukakan. Biarlah ia gambar bangunan yang sukar di bayangkan dengan kata-kata, bukannya memaparkan gambar yang boleh di Googlekan di internet.

Saya baru membaca sedikit tetapi sudah teruja. Ulasan sepenuhnya akan saya muatnaik selepas selesai membaca.

1 ulasan:

Shah berkata...

Salam,

Saya juga merupakan salah seorang penggemar kepada apa sahaja yang berkaitan dengan Iran. Sesungguhnya, saya bersetuju bahawa buku tulisan Dina Sulaeman itu banyak memberikan input dan informasi yang sangat menarik tentang dunia Iran.

Jika sudi, saya juga ingin berkongsi tentang satu lagi buku kepada Kak Atie yakni buku "The Hidden Face of Iran" karya Terence Ward iaitu pandangan Iran daripada kaca mata seorang 'mat saleh' yang pernah tinggal di Iran. Maka, dengan ini pembaca dapat mengetahui serba sedikit tentang budaya masyarakat dan sosiopolitik negara tersebut secara lebih dekat daripada kaca mata seorang non muslim.

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...