Sabtu, April 23, 2011

Sepulang dari Tanah Haram

1)
Saya sudah berazam untuk tidak memuatnaik sebarag gambar seputar perjalanan ke Tanah Haram Makkah juga Madinah sama ada di Facebook mahu pun blog. Pemergian ke sana pun cuma di ketahui beberapa teman terdekat, hatta rakan sepejabat pun tahu apabila cuti telah diluluskan dua minggu sebelumnya. Sedangkan tiket telah saya beli sembilan bulan lebih awal. Saya tidak mahu ia menjadi buah-buah riak dan angkuh diri kerana berjaya menjejakkan kaki ke sana lebih awal berbanding teman-teman mahupun keluarga. Tidak juga mahu dianggap hebat dan berjaya kerana pergi di usia muda. Apatah lagi dalam sibuk-sibuk dengan kerja yang tidak berkesudahan dan karya yang tidak kunjung tiba.

Saya amat risau nanti dianggap membanggakan diri. Namun saya akur permintaan dan paksaan beberapa teman jauh yang mahukan saya menaikkan gambar biarpun beberapa keping untuk ditatap. Maka dengan penuh istighfar dan keampunan Tuhan, saya tampalkan beberapa keping gambar dengan ingatan keras bahawa ini bukanlah dengan niat mahu menunjuk-nunjuk. Astaghfirullah.

 
Jabal Rahmah di Arafah, pada titik pertemuan Adam dan Hawa. Simbol kasih sayang dan kecintaan

2)
Sebelas hari sembilan malam dimulakan dengan penerbangan terus Kuala Lumpur ke Jeddah selama sembilan jam dan kemudian diteruskan dengan bas selama kurnag lebih lapan jam ke Madinah tidak termasuk dua jam tergendala akibat bagasi yang hilang. Dua minit selepas menjejakkan kaki, azan Subuh berkumandang dari Masjid Nabawi. Kami tidak dapat berbuat apa lalu cuba mengelakkan diri dari bersikap mementingkan diri dengan meninggalkan beg bergelimpangan lalu memilih untuk solat di hotel selepas mendaftar masuk. Perjalanan ke Masjid Nabawi kami mulakan dengan Solat Jumaat dengan khutbah dalam bahasa Arab yang lebih mendatangkan sayu hati biarpun tidak faham berbanding khutbah di tanah air.

Saya membawa beberapa naskhah buku sebagai peneman biarpun beberapa teman menegah dan menasihati yang saya tidak akan punya masa membaca di Tanah Suci. Dalam fikiran sendiri, tidak salah pun membawa bersama, kerana buku itu kemudiannya membantu saya lebih memahami kawasan dan sejarah. Malah saya membawa pulang dua naskhah buku tambahan dari Makkah. Namun begitu, kedai buku di Mekah tidak mempunyai variasi buku dalam bahasa Inggeris dan saya membawa pulang buku bergambar sebagai kenangan. Tanda mata yang amat bernilai untuk di simpan sepanjang usia.

 
Di ruang legar Masjidil Haram yang juga menjadi ruang solat. Saya sering memerhati dengan asyik para pekerja membersihkan kawasan sekitar setiap kali usai solat. Mereka sangat pantas dan cekap


3)
Hari ketiga kaki ke Mekah menaiki bas selama enam hingga tujuh jam dengan berhenti di Bir Ali untuk berniat ihram. Dan perjalanan selepas itu hanyalah terhad masjid-hotel. Tanyalah kepada sesiapa sahaja yang menjejakkan kaki ke dua Tanah Suci, begitulah rutin harian. Memang dunia tercicir di belakang, lambaian Kaabah sangat kuat memanggil sedangkan diri sentiasa merasa erat dalam dakapan Tuhan. Setiap doa yang selama ini dirasakan ditahan-tahan begitu mudah dimakbulkan biarpun sekadar hajat menemukan teman yang terpisah sewaktu tawaf. Air zam-zam menjadi makanan dan minuman bekalan sepanjang bertawaf dan bersaie. Terasa kenyang sentiasa tatkala menikati air suci ini.

Masjidil Haram dan menara jam yang masih belum siap bersinar cerah dari puncak Jabal Nur. Perjalanan ke Gua Hira' masih berbaki separuh, dan setiap kali berhenti saya sering bertanya diri, "apakah yang menyebabkan Muhammad mendaki hingga setinggi ini?"

4)
Ada program dan ziarah yang diatur kiranya berbeza dengan pakej agen lain. Ini pendapat saya sahaja, dan saya rasa ada benarnya. Bagi yang berkeupayaan, kami di bawa mendaki Jabal Nur. Inilah bukit dimana terletaknya Gua Hira' yang menjadi pencetus kepada keNabian Muhammad dan keRasulan Baginda. Di sinilah Baginda mendaki, bermunajat akan kejahilan kaumnya, mengasingkan diri dari kemunafikan umat, memikirkan penyelesaian terhadap kegelapan yang menyelimuti masyarakat. Bukit yang kini mempunyai tangga, dibina dalam bentuk zig-zag, mempunyai kecerunan yang sangat curam. Kami mula mendaki jam 12 malam, waktu yang sangat baik kerana kegelapan menghilangkan penat memanjat dari segi psikologi. Namun begitu, Jabal Nur tidak segelap mana. Dengan bantuan cahaya bulan yang bulat mengambang, kami melangkah tanpa bantuan lampu suluh. Nur yang tersedia di bukit ini membantu kami sehingga ke puncak, sehingga ke Gua Hira'.

Sepanjang pendakian yang mencabar, dengan zikir menjadi bantuan mengurangkan keletihan, kami berhenti berpuluh kali bagi merehatkan kaki. Saya pula beratus kali mengulang dalam hati, apakah yang membawa Muhammad ke mari mengasingkan diri - ke bukit yang tinggi dan cerun, dengan Khadijah menghantar makanan sebagai bekal, menjadi teman yang tabah dan sabar dengan suaminya. Entah berapa kali saya mengulangi soalan pada diri, entah berapa kali saya ucapkan kenyataan ini kepada pendaki. Dan saya tidak temui jawapannya. Zat Allah yang Esa lebih mengetahui apa yang ada dalam diri Muhammad, membawanya ke Hira', menyebabkan malaikat menyampaikan wahyu Allah yang menjadi peganggang kita hingga ke hari ini.

Sepanjang perjalanan naik dan turun, itulah soalan yang bermain di fikiran. Soalan-soalan yang tidak saya temukan jawapan. Dan setiap kali itu juga, airmata mengalir mengenangkan diri ini bertuah di lahirkan dalam Islam. Terharu dengan Muhammad yang sanggup mengorbankan dirinya demi kepentingan masyarakat bagi membawa mereka keluar dari kejahilan. Dan kita tatkala melihat kejahilan dan kejahatan, apa yang kita lakukan? Menegur atau lari dari masalah? Kita memilih untuk lari, bukan?

Dan malam  gelap, mata bengkak, tak siapa pun nampak.

 Di hadapan Kaabah. Sayu hati mengenangkan entah bila kan datang lagi

 5)
Bila di tanya apakah saya melalui sebarang perkara pelik atau ajaib di sana, saya terdiam. Mengapa harus saya cerita sesuatu yang boleh mengundang takjub manusia sedangkan perkara paling ajaib yang harus saya akui adalah berdiri tegak di hadapan Kaabah. Tidak ada air mata yang tidak gugur bila memandang Kaabah yang kukuh berdiri lebih 1400 tahun yang lalu. Inilah pusat perhatian kita. Inilah arah kita. Inilah kiblat kita. Malah sebaik tiba ke tanah air saya memegang kukuh kata Haji Azhar, "jangan sesekali di ceritakan keburukan Mekah dan Madinah." Ya, tidak akan sesekali biarpun ada peristiwa yang patut dijadikan teladan untuk semua. Malah saya membawa nasihat untuk semua teman-teman, pergilah di usia muda. Banyak manfaat yang dapat kau nikmati. Percayalah!

6)
Menerangkan kepada adik yang masih belum faham akan Kaabah, Mekah dan Madinah memaksa saya mencari ayat yang paling mudah. Saya menunjukkan gambar yang saya rakam, suasana dan persekitaran yang lebih banyak dari wajah sendiri.

"Memang Kaabah adalah rumah Allah, tetapi Allah tidak tinggal didalamnya. Allah ada di mana-mana. Sebab itu kita boleh berdoa di mana-mana. Kita tidak boleh lihat dia, dia bukan seperti kita ini. Kalau Allah ada di dalam Kaabah, memang dah ramai orang datang untuk minta ampun dengan segera."

Sebelum dia membalas saya segera menyambung, " Kaabah ini cuma simbol untuk kita solat dan beribadah. Kita memandang ke satu arah. Sujud pada satu titik. Rukuk pada satu fokus. Kalau tidak ada arah, kita akan solat tunggang terbalik, seorang memandang utara, seorang ke selatan. Tidak ada satu arah yang sama."

Saya mahu menyambung tetapi setakat ini saya harap dia faham. Kemudian saya sedar ilmu masih kurang untuk memahamkan mereka akan Islam. Saya masih perlu belajar.

 7)
Dengan bangunan tinggi berceracak sekitar Masjidil Haram, binaaan manakah yang dapat menandingi Rumah Allah yang menjadi pusat dunia? Duduk di hadapan Kaabah pasti mengundang sayu yang tidak terhingga. Hati di gamit untuk kembali. Pasti.



7 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

terima kasih sobat kerana memenuhi janji utk pos al kisah pengembaraan di sana..diri kechil ini sgt berbesar hati..sgt menginsafkan..

sgt sebak tidak tertahan..terima kasih sekalung budi..

blogger misteri berkata...

aduhaii

merenung sejenak diri ini

Wan A. Rafar berkata...

Semoga perjalanan ini akan dapat menambahkan lagi ketakwaan anda kepada Allah.

Norziati Mohd Rosman berkata...

Jenn, berdoalah supaya boleh sampai ke sana pada usia muda

Norziati Mohd Rosman berkata...

mohdhafifi,
lebih banyak yang perlu direnungi sebaik sampai ditanah air

Norziati Mohd Rosman berkata...

mohdhafifi,
lebih banyak yang perlu direnungi sebaik sampai ditanah air

Norziati Mohd Rosman berkata...

Pak Wan,
Terima kasih untuk doanya

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...