Rabu, Julai 13, 2011

Versi 2.0

Pasca BERSIH 2.0, macam-macam berlaku, pelbagai pandangan, bervariasi tuduhan. Tohmahan dan kutukan jadi mainan. Pihak yang tidak turun dijalanan beremosi melampaui mereka yang berdemonstrasi dan bermandi gas pemedih mata.

Cuba perhatikan tulisan saya untuk versi 1.0 tiga tahun lepas disini.

Dan kemudian, hayati pula puisi dibawah.

Ingat, puisi ini ditulis pada 1983. Sasterawan yang hebat ialah yang tulisannya mendahului zaman. Karyanya meramal masa depan. Pengamatannya bukanlah untuk pembacaan semasa tetapi untuk kajian berzaman.

Selamat menghayati


Bulan Luntur

i
ada bulan di luar
bersih dan mekar
menyeberangi cahayanya
lewat malam baru.
untuk saat ini
tak mungkin aku pandai
memilih yang cantik
pemandanganku retak
oleh luka dalam


ii
bagaimanakah rupa kenyataan?
ataukah pernah ada bentuk padanya:
yang baik dipilih
dengan perasaan hormat,
untuk penyumbang dikarangkan
terima kasih dan diucapkan selamat,
yang sederhana disudutkan pada kebiasaan,
yang jujur dianjur menjaga nilai
yang berani dibenarkan berkata awal?
tapi ini semuanya mimpi,
dilayangkan oleh purnama,
kerana yang kulihat hanya kacau:
yang licik jadi ketua,
yang kejam jadi hakim,
pemuji dipangkatkan tinggi,
pemikir diawas-awasi.
sarjana dipencilkan ke bilik,
si rajin dituduh bercita-cita,
si malas merancang kuasa.
gelap dunia ini
rimba subur
membeli sopan dan seni
kudengar ketawa besar
dari daerah peniaga
dan terkelip senyum
pada sekutunya yang bertakhta.
tiada lukisan, tiada puisi.
lagu telah tenggelam di bawah arahan,
penari dirogol oleh pengurusnya.


iii
bulan luntur
abuk malam terpercik ke parasnya
yang tinggal waktu lebihan
tanpa cahaya atau bersihnya.


25 Mei 1983, Muhammad Haji Salleh

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...