Isnin, Februari 20, 2012

Soalan

Sehari dua ini hati saya seperti berkata sesuatu. Saya seperti ditanyakan dengan bermacam soalan tapi tidak pula memerlukan jawapan. Persoalan itu kemudian berlegar-legar di ruang ingatan, bermain-main seperti anak-anak kecil di padang bola dan berpusing-pusing seperti roda basikal di jalanan. Ia hanya berhenti apabila saya tidur, Dan ia muncul lagi apabila saya terjaga dari lena pagi esoknya.

Dalam lena itu muncul beberapa watak bertanyakan soalan yang sama dalam nada yang berbeza-beza berulang-ulang kali. Saya ingin bertanya apa sebenarnya yang mereka mahukan tetapi mereka tidak menjawab. Sebaliknya mereka memalingkan muka ke kiri dan ke kanan, kemudian ke kiri dan ke kanan lagi seperti mencari-cari sesuatu. Saya pun turut sama menoleh ke kiri dan ke kanan dan kek kiri dan ke kanan seperti mereka tetapi sebaik sahaja pandangan kami menyatu, watak-watak itu kembali melontarkan soalan yang sama. Bingung, memang saya bingung. Saya tidak faham apa yang mereka maksudkan.

Saya terjaga dan mimpi itu langsung terbunuh.Saya mandi, solat dan bersiap ke tempat kerja. Soalan itu menjadi teman saya dan duduk di kerusi sebelah yang kosong sepanjang pemanduan saya ke pejabat. Soalan itu masih berkata-kata dan bermain-main di telinga saya. Saya bertambah bingung, pusing, keliru. Saya memutar haluan berbeza, membawa kereta ke arah kawasan lombong yang luas.Saya membiarkan kereta terjunam ke dasarnya. Suara itu segera mati dan tenggelam tidak muncul-muncul lagi. Saya berjaya membunuh suara itu. Saya gembira. Saya tidak lagi bingung.

Dan saya pun tidak sedar yang saya sebenarnya turut sama terjunam dan tenggelam di dasar lombong itu.

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...