Jumaat, Mac 16, 2012

Empangan kenangan

Malam tadi saya menghabiskan pembacaan Kenyir, novel remaja karya Ali Jusoh [saya mencari nama Ali Jusoh di Google. Karyanya banyak tapi kurang sekali tulisan berkenaan penulis. Ingin sekali saya mengenalinya dari jauh]. Sesuai dengan genre remaja yang saya baca kerana inginkan bacaan santai dan tidak memberatkan, maka novel kecil ini dapat saya habiskan dalam masa dua hari. Cukuplah sekadar memenuhi ruang waktu yang terbatas dalam tempoh seminggu dua ini. Sekurang-kurangnya ada buku yang berjaya saya habiskan.

Membaca Kenyir, saya di sogokkan beberapa fakta menarik tentang tasik Kenyir yang turut menempatkan empangan. Terletak di hulu Sungai Kenyir, Tasik Kenyir merupakan tasik terbesar yang pernah dibina di Asia Tenggara yang bertujuan menjana kuasa elektrik. Terdapat 340 buah pulau kecil menemani tasik seluas 2,600 km. Pulau-pulau ini sebenarnya adalah gunung-gunung yang terdapat di sekitar tasik yang berdiri sebelum di tenggelami air. Ini bermakna, kita akan sampai ke puncak gunung dengan menaiki bot, bukannya dengan berjalan kaki!

Sewaktu pembinaannya, banyak haiwan liar telah diselamatkan termasuk gajah. Beberapa buah kampung telah ditenggelami air, hutan tidak lagi kelihatan malah kawasan kubur (mungkin) telah dialihkan ke tempat lain. Begitulah yang terjadi bila sesuatu tempat itu menjadi empangan, tanah yang dimiliki sejak turun temurun akan lesap dan duduk di dasar tasik. Sudah pasti pewarisnya menerima pampasan yang setimpal.

Saya teringat dokumentari di National Geographic berkenaan pembinaan empangan. Ia menyebabkan saya terpaku di kaca tv selama satu jam menyaksikan teknologi kejuruteraan yang mempermudahkan pembinaan empangan yang besar dan luas. Entah berapa juta tan batu, pasir, tanah, simen dan ribuan tenaga buruh di curahkan dalam pembinaan yang memakan masa dua tiga tahun sebelum ia siap bagi membekalkan tenaga elektrik kepada manusia untuk puluhan tahun berikutnya. Buat seketika, saya merasa sangat kerdil, kecil dan halus di sisi binaan konkrit yang besar agam bagi menampung kuasa air sebelum di lepaskan bagi menjana turbin. Melihat Three Gorges Dam - empangan terbesar di dunia yang letaknya di China - yang menampung banyak air pula menyebabkan saya rasa seperti terbenam di dasar tasiknya yang luas dan dalam. Luas, amat luas. Seperti laut di atas daratan. Melihat empangan yang besar ini, saya merasa insaf akan kejadian dan kehidupan saya di sisi Tuhan.

Three Gorges Dam yang sungguh besar dan luas

Segera saya teringat kenangan ketika berada di Empangan Batu, Ulu Yam, Selangor hampir sepuluh tahun yang lalu dalam pertandingan kayak. Melihat tasik yang luas itu sering menerbitkan rasa syukur kerana berpeluang berada dalam sisi kejuruteraan yang kurang saya maklumi. Empangan Batu cuma membekalkan air tetapi kedamaian tasiknya sungguh menyegarkan. Ia memberi semanagt tambahan kepada saya dan pasangan yang bersaing dalam acara K2 1000m dimana kami mendapat tempat kedua selepas teruk menerima tekanan psikologi dari lawan di kiri dan kanan ketika di garisan permulaan.

Terima kasih kepada partner saya, Milah yang tag gambar ini di FB baru-baru ini. Itulah makna kenangan :-)




Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...