Kami dipertemukan dalam satu aktiviti yang tidak formal. Kemudian berhubung menerusi emel apabila ada sesuatu keperluan. Facebook belum lagi wujud, malah kami pun tidak langsung mengetahuinya. Oleh itu, kami tidak saling mengenali dengan akrab akan diri masing-masing. Sekadar di pemukaan.
Kami juga jarang bertemu. Sesekali berjanji, dapatlah duduk bersama sambil mencicip secawan kopi dan sepotong kek. Itu pun tidak lama, di sela keripuhan kerja dan ahli yang tidak lengkap. Terkadang seorang tiada,di waktu lain dua tiga orang pula berhalangan. Tetapi itu lumrah apabila semua sudah bekerjaya.
Suatu hari kami bertiga menetapkan waktu. Masing-masing dari arah berbeza, mengejar tren yang sesak selepas waktu kerja. Perbualan melampaui Maghrib dan kami solat bergilir-gilir. Ada sesuatu yang dibicarakan ketika itu tetapi saya kurang jelas oleh kerana letih mengejar tren dan bunyi bising yang menganggu. Beberapa hari kemudian, saya diberitahu hasrat itu dan tanpa berbelah bahagi saya menyokong.
Sambil itu saya menyuarakan pandangan hasil dari pengalaman terlibat secara langsung dalam aktiviti persatuan dan badan bukan kerajaan, serta permintaan saya sekiranya memang benar mahu menjadikan ia suatu kenyataan. Mujur, ia tidak menerima bantahan.
Kemudian nota pertama keluar di facebook pada 1 Mac 2012. Menariknya, nota ini disambut oleh anak muda yang jauh di UK, masih belajar dan sungguh bersemangat. Mereka mengatur aktiviti, dan selang 16 hari kemudian mereka berjaya melaksakan program di Warwick University. Hasil sumbangan mereka gunakan untuk membeli domain name dan membangunkan laman web pertama TFTN.
Ini bukan cerita ajaib, atau kisah penuh mistik dan misteri. Ini kisah kami, kisah Teach for the Needs (TFTN) yang terlahir dari kesedaran guru muda melihat ketidakseimbangan pendidikan di kalangan murid di sekolah. Awalnya kami memandang kepada empat perkara ini: (a) murid kelas corot Tahun Enam (akan mengambil UPSR), (b) anak
yatim, (c) pendapatan keluarga tidak melebihi RM 800 sebulan serta (d)
berkeinginan untuk berjaya; tetapi ramai yang mahu menyumbangkan khidmat bakti, melampaui jangkaan kami. Lalu menerusi expansion program, selepas setahun TFTN berada di Gopeng, Kuantan, Klang, Tambun dan Damansara. Duta (Guru) di sekolah juga bertambah diseluruh negara.
Expansion program menjadi medan sukarelawan bukan guru terlibat dalam ruang pendidikan. Mereka dengan kemahiran yang ada berada di rumah anak yatim (RAY) bagi mengajar atau bercerita atau mengajak bermain atau sekadar berbual-bual bagi membuka halangan yang ada pada diri anak yatim ini. Halangan ini menjadi satu masalah kepada anak-anak yatim ini untuk membuka mulut misalnya, dan sukarelawan ini sedar ia adalah satu perkara yang terhasil dari kekurangan yang terdapat di RAY terbabit. Lalu dengan inisiatif sendiri, mereka mengatur acara, mengumpulkan buku dan mengajak teman-teman datang pda hari biasa melakukan self-coaching atau personal tuition. Nah, itu usaha dan pilihan mereka sendiri. TFTN hanya membuka ruang, dan ruang itu memberi peluang kepada sukarelawan mencurahkan bakti.
TFTN tiada platform, tiada pejabat dan tiada sumber kewangan. Kami bermula dengan kosong. Kosong segala-galanya. Dari situ, menerusi pengalaman yang sedikit, bersoal jawab dan bertanya kepada yang lebih memahami, kami tebalkan muka dan tabahkan hati untuk bergerak perlahan lahan. Kami berusaha mencari Duta,menambah sukarelawan, mempromosi aktiviti, membuat kutipan derma, emel yang tidak putus-putus dihantar dan perbincangan setiap waktu. Ruang pertemuan kami hanyalah di Facebook dan WhatsApps. 24 jam berbincang, bergaduh, berselisih faham tetapi kemudian ketawa kembali. Semuanya kerana TFTN.
TFTN kini sudah berusia setahun. Sudah pun sah di sisi undang-undang untuk bergerak. Tanggungjawab kami kian besar dan berat. Satu demi satu permintaan mendatangi kotak mel, menyatakan betapa anak mereka lemah dan perlu bantuan, anak dipinggirkan guru kerana selalu tidak siapkan kerja atau ibu bapa yang tidak mempercayai anak mereka menghadapi dyslexia. Itu belum lagi kisah seputar dunia pendidikan yang bermacam ragam. Kami melihatnya dengan risau, tetapi kami tahu inilah cara yang boleh kami lakukan sambil sesekali berusaha menghantar pandangan di media agar suara kami di dengari dan usaha kami di pandang.
TFTN yang tidak punya sumber kewangan berharapkan kepada sumbangan orang ramai. Kami membuat kutipan derma menerusi jualan badge, garage sales, jualan t-shirt dan projek khas witamin untuk anak yatim. Ada yang memandang seornag usaha kami mengutip derma. Mereka meminta agar kami lebih sopan, menuruti cara orang -orang tertentu yang katanya lebih bersopan dalam meminta. Kami senyum dan kemudian menggeleng. Ada perkara yang kami setuju untuk tidak bersetuju. Isu derma juga menjadi satu perkara yang saya tekankan sebelum supaya ia tidak menjadi suatu yang bersifat populis, sebaliknya dipenuhi rasa seronok dan penuh kesyukuran, yang melibatkan semua orang dan sesiapa sahaja dengan sukarela menderma.
Selalu saya tanyakan kepada dua penggerak awal ini - apakah mereka jangka TFTN akan menjadi seperti ini suatu hari nanti? Mereka tidak percaya, tetapi saya sangat percaya. Cara kerja kami menjadikan itu semua suatu kenyataan. Dan saya berbangga serta terharu menjadi antara penggerak awal TFTN mestipun ia memakan banyak ruang masa kami. Tetapi kami seronok.
Selamat ulangtahun pertama, TFTN. Semoga Allah mengurniakan kekuatan kepada kita untuk lebih keras berusaha dan bersatu tanpa rasa jemu atau penat.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari
Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...
-
Terdengar lagu ini dalam kereta ketika memandu ke pejabat pagi tadi. Bait-bait liriknya indah di telinga dan sedap dibibir. Cepat-cept cari ...
-
Judul :Saga Penulis : Abdul Talib Mohd Hassan Penerbit : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd Cetakan :15, 1998Tebal : 388 ISB...
-
Hujung minggu yang lalu saya menghadiri aktiviti perkhemahan di Hutan Lipur Lentang, Karak atas undangan sebagai Pembantu Jurulatih. Saya di...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan