Khalifah Harun al-Rashid kemudian pergi ke rumah Imam Malik bagi mempelajari kitab tersebut lalu duduk di atas sebuah kerusi yang lembut. Melihat keadaan itu, Imam Malik pun menegurnya lagi. Imam Malik sangat berharap agar sang khalifah benar-benar dapat memuliakan ilmu, merendahkan diri sebagai seorang pelajar dan menghormati guru. Khalifah kemudian duduk bersama-sama Imam Malik.
Ketika Khalifah berhajat agar dua orang anaknya menuntut ilmu bersama Imam Malik, anak-anak ini dinasihati oleh Imam Malik agar tidak diawasi oleh pengawal dan hendaklah duduk belajar sehingga majlis berakhir.
Betapa adab dalam menuntut ilmu sangat diberi penekanan oleh para sarjana dan cendekiawan silam kerana ilmu mempunyai tempat yang tinggi dalam memberi kepandaian kepada insan. Tatkala menjadi pelajar, kita patuh kepada saranan guru, menekuni ilmunya dan memahami apa yang disampaikan. Tatkala itu segala gelar, pangkat dan nama yang panjang berjela tidak memberi kesan kepada kita sekiranya ilmu masih sama dengan insan yang tidak punya apa-apa. Tinggalkanlah gelar, pangkat dan nama ketika belajar kerana ketika itu kita hanyalah seorang penuntut ilmu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan