Isnin, Mei 06, 2019

Dua tahun berlalu

Ramadan mengimbas kenangan dua tahun yang lalu. Ketika itu Ismael Za Azrene baru masuk bertugas (semula) di UM dan pejabatnya betul-betul depan perpustakaan. Maka dengan pantas berfikir dan membuat keputusan, saya merancang perjalanannya ke tempat kerja yang dapat memanfaatkan kedua-dua pihak. Dia baru balik dari perjalanan jauh, lalu saya tawarkan duduk di rumah sepanjang puasa sebelum mula menyewa. Selepas sahur, kami cepat-cepat subuh dan memulakan pemanduan ke UM seawal pukul 6. Pukul 7 atau beberapa minit sebelum 7 pagi, kami tiba di masjid al-Rahman. Kami tidur sekejap selepas menunaikan solat-solat sunat sementara menanti pejabat dan perpustakaan buka pada pukul 8. Sepanjang Ramadan itulah, penulisan tesis saya dapat digerakkan, susunan bab diperhalusi dan kandungannya ditambahbaik. Walaupun saya tidak meminjam atau merujuk apa-apa buku, suasana di perpustakaan sangat membantu dengan semangat yang berkobar-kobar untuk menyiapkan tesis. Kira-kira tiga kali seminggu kami meredah perjalanan pagi manakala hari yang lainnya saya ke pejabat menguruskan apa yang perlu atau memadai memperkemaskan tulisan di rumah. Ramadan tahun itu ternyata memberi kesan yang kuat pada perkembangan tesis dan tahun berikutnya, tesis dihantar untuk penilaian.
Selamat menyambut Ramadan al-Mubarak. Semoga kita dapat menunaikan puasa sebulan pada tahun ini dalam keadaan sihat dalam menambah amalan dan ibadar.

Selasa, April 30, 2019

Konvo: Kenangan dan Harapan

Sebaik sahaja menyambung pengajian empat tahun laju, emak dan abah sentiasa bertanya tentang pelajaran saya, tujuan belajar, bila kan habis dan sejauh mana perkembangan pengajian. Mereka sudah mengira bilakah saya akan tamat dan menghitung tarikh majlis konvokesyen. Bagi emak abah yang tidak berpeluang belajar lebih tinggi, apatah lagi melepasi sekolah menengah, pada mereka, itulah majlis besar yang perlu diraikan, apatah lagi mereka tidak dapat bersama-sama menghadirinya sewaktu saya tamat ijazah sarjana di UiA dahulu - atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan saat akhir. Emak dan abah sudah dapat membayangkan bagaimana suasana majlis konvokesyen di UTM kerana pernah berada dalam dewan meraikan adik saya lima tahun lalu, juga di peringkat sarjana. 
Kira-kira 19 hari yang lalu, abah dimasukkan ke hospital kerana jangkitan kuman pada paru-paru. Kuman terlalu mengganas dan membahayakan, sehingga perlu dilanjutkan tempoh rawatan bagi membolehkan cecair yang lebih kuat dimasukkan ke badan abah. Dengan perasaan cemas, kami menghitung hari: Ramadan yang hampir tiba, kenduri kesyukuran yang ditangguhkan, janji temu pembedahan katarak di hospital dan majlis konvokesyen, semuanya nampak tidak menyebelahi. Akhirnya, hari besar ini diraikan tanpa abah. 
Habis majlis konvokesyen, kami terus balik dengan harapan sempat mengejar waktu lawatan yang tamat pukul 7.30 malam. Tetapi nasib tak menyebelahi dan kami melawat pagi ini, sebelum waktu berakhir pada 7.30 pagi. 
Begitulah penghujung sebuah perjalanan yang belum berakhir

Khamis, April 04, 2019

Sempat mendengar perkongsian En Wan Dasuki Wan Hasbullah berjudul Istinggar Dalam Manuskrip Melayu: Tradisi Ilmu dan Teknologi Minangkabau. 
Wacana diadakan di tingkat 5 PWTC sempena PBAKL.
Satu maklumat menarik yang sempat dicatat ialah tentang jumlah istinggar di Melaka yang mencecah 7,000 pucuk sewaktu diserang Portugis. Soalnya, mengapa 7,000 pucuk senjata tak dapat mengalahkan ketumbukan Portugis yang datang dalam tiga buah kapal? Maka jawapan bernas yang boleh dibuat kajian lanjut ialah kemajuan pembuatan ubat bedil, penstoran ubat bedil dan ketahanannya dalam cuaca Melaka yang panas dan lembab. Ini mungkin menjadi faktor lain yang jarang diperhatikan.
Namun saya tak dapat duduk lama. Telinga mendengar, mata tertutup. Bila mata terbuka, tangan pula tak henti-henti menaip. Maka berlarilah pula kita ke tingkat 3.
Satu pembentangan yang sangat menarik. Semoga rakaman dapat disiarkan selepas ini.

Khamis, Mac 28, 2019

Penyunting Menyunting


Tahun ini saya diberikan peluang menyunting lebih banyak judul dalam pelbagai bidang. Secara keseluruhan, sebanyak 17 judul berjaya ditangani dalam masa tiga bulan - sejak Januari hinggalah awal minggu ini. Saya percaya, jumlah yang banyak dalam tempoh yang singkat tidak akan menjadi kenyataan jika dikerjakan sendirian. Semua atas kerja berpasukan dan semangat kerjasama yang meringankan kerja nan berat. Tiada tugas yang dirasakan membebankan kerana semua dijalankan dengan rasa semangat dan gembira dalam suasana positif meskipun melangkaui bidang. Namun paling utama ialah kasih sayang dan rahmat yang Allah kurniakan dalam bentuk kesihatan, kekuatan fizikal dan keseimbangan emosi sehingga dapat menyiapkan buku dalam masa yang ditetapkan. Semuanya berawal daripada tujuan yang jelas sehingga matlamat dapat dicapai tanpa tergelincir dari sasaran.
Daripada sejumlah judul ini, 13 judul terbitan Akademi Jawi yang mana 8 judul telah siap diterbitkan. Jemputlah ke khemah Kafilah Buku bagi menikmati hidangan lazat kami. 
—-
Temui kami di 
Pesta Buku Antarabangsa KL
Khemah Kafilah Buku 
Dewan Tun Razak 3
3225-3227 & 3245-4243
29 Mac - 7 April
10 pagi - 9 malam

Jumaat, Januari 25, 2019

Gemok yang Pergi


Begitu banyak kenangan bersama Mok. Kucing jalanan yang diberi makan, kemudian dibawa ke hospital dan dipotong kakinya kerana luka teruk. Kesan dari kehilangan kaki, doktor menasihatkan kami meletakkan dalam rumah supaya keadaannya lebih selamat. Tapi sebelah siang, kami lepaskan Mok supaya dia dapat hidup seperti biasa. Sejak itu, Mok menjadi kucing kesayangan. Setiap kali balik kerja, Mok akan berlari-lari menuju ke pagar terloncat-loncat dengan kaki tiganya. Pukul 5 pagi, dia akan panjat katil dan minta makanan. Kalau tak bagi, dia akan protes kencing depan peti sejuk atau depan mesin basuh walaupun pasir dia ada sebelah mesin basuh --- memang mengundang kesabaran. Ada masanya Mok akan tidur sama-sama sebelah malam, kemudian turun naik katil bila rasa panas dan rimas. Mok dikenali ramai kerana berkaki tiga. Setiap orang yang datang rumah, akan kenal Mok.
Tapi malam tadi Mok dah tak ada. Aku pula masih terasa dia panjat katil pukul 5 nak minta makanan sambil ajak tahajud sama. Selamat tinggal Mok. Kenangan akan disimpan sampai bila-bila. 

Selasa, Januari 15, 2019

Belerang Ibn Arabi




Tahun 2018, selain berjaya menyiapkan tesis dan melepasi peperiksaan lisan (viva), menjadi penyunting karya terjemahan biografi Ibn Arabi ini memberi satu pengalaman baharu yang cukup bermakna. Saya berdebar-debar sejak mendapat tahu diberi tugasan untuk menangani buku ini, malah sering ternanti-nanti bilakah akan siap diterjemah supaya dapat segera dikerjakan sambil menyelami kehidupan Ibn Arabi. 
Namun atas keperluan menyiapkan tesis dan memberi tumpuan penuh kepada kajian, saya hanya sempat menyunting pengenalan sebelum menyerahkan semula kepada penerbit. Kalau diikutkan perasaan, saya mahu terus menyunting dan menulis tesis, dengan berangan agar dapat memaksimumkan masa sebaiknya. Peluang tidak datang dua kali. Namun risikonya, yang dikendong keciciran, yang dikejar pula tak dapat. Semoga dapat lagi peluang akan datang.
Jika ditanya mengapa menyibukkan diri dengan kerja luar - saya sebagai penyunting akan sentiasa berusaha menambah pengalaman, mengasah kemahiran dan memperkukuhkan kepakaran agar menjadi penyunting serba mahir dalam apa-apa genre dan bidang. Apatah lagi dalam keadaan yang tidak menentu sekarang, macam-macam boleh berlaku.

Ahad, Januari 13, 2019

Yang adil dan tafsiran luar dewa

“Justice is not procedure but a result of particular action.
Baru-baru ini, seorang anak muda mengadu pada abah. “Kadang-kadang susah nak berniaga. Ada sahaja orang bagi projek pada saudara mara dia. Kita terpaksa cari jalan susah untuk usaha sendiri.” Anak muda ini usahawan Felda yang mewarisi perniagaan ayahnya. Produknya dipasarkan di seluruh negara. Segala cabaran yang dilalui sempat diceritakan dalam mengharungi kesesakan jalan menuju Kuala Lumpur.
Tetapi abah jawab tenang. “Tapi macam itulah yang Nabi lakukan - bekerjasama dengan orang-orang yang terdekat dengannya, yang dikenali. Sebab itu Nabi mulakan dengan keluarga dan sahabat.”
Saya duduk di belakang mendengar perbualan itu dengan fikiran yang halus, bagaimana Nabi mengembangkan Islam dengan orang-orang yang dipercayai di sekelilingnya, yang mana mereka juga mempercayai kejujuran dan yakin pada kata-kata Nabi yang diketahui tidak pernah melafazkan kata-kata yang batil. 
Peristiwa ini terbayang kembali dalam fikiran tatkala mendengar satu soalan diutaran kepada Prof Wan Mod Nor Wan Daud, semalam - semasa syarahan pembukaan WISE tentang sejauh mana kronisme dan nepotisme dengan melihat kepada hubungan Nabi dan para sahabatnya. Apa yang abah utarakan pada anak muda itu tidak jauh dari apa yang Prof Wan jelaskan tentang apa yang diertikan sebagai kronisme dan nepotisme. Konsep ini dicipta atas pandangan alam Barat setelah melalui pengalaman buruk mereka terhadap amalan yang telah dipesongkan dari kebaikan sehingga mendatangkan tanggapan salah. Konsep justice atau keadilan, sepatutnya diletakkan pada kedudukan yang membolehkan kita memilih dan memberi berdasarkan kemampuan yang sepatutnya, bukan sekadar memberi atas dasar seseorang itu mempunyai ikatan persaudaraan dengannya. Akhirnya, konsep kronisme dan nepotisme dicipta bagi melambangkan sikap seperti itu.
Mendengarkan hujah Prof Wan, terkenang juga kepada jawab balas abah. Ternyata hari itu, abah mengajar sesuatu yang lebih besar kepada anaknya yang bersekolah lebih tinggi daripadanya.

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...