Selasa, Februari 27, 2007
Senyum kepada tuhan
Bila mahu berdoa pasangkan niat dalam hati dengan ikhlas. Sambil berdoa seeloknya senyum. Bila senyum, kita meminta dengan ikhlas. Sapalah diriNya dengan kegembiraan biarpun hati kita amat berat. Kalau meminta dengan manusia kita senyum, bermanis muka dan merayu tetapi mengapa kepada tuhan kita seakan memaksa dan dengan muka mencuka?
Kenapa kita harus bermasam muka dengan Allah? Kita mahu meminta sesuatu darinya tetapi mengapa meminta dengan diri yang tidak bersedia. Bersangka baiklah kepadaNya agar Dia menerima doa kita. Ikhlaskan senyuman dan bersihkan hati. Jika doa kita tidak dimakbulkan sekarang, bukan bermakna Allah menolak doa kita. Belum sampai waktunya untuk doa diterima. Mungkin pada kita ada bahagian yang perlu diperbetul dan usaha yang tidak boleh putus. Jadi jangan mudah mengalah jika apa yang kita pinta belum kesampaian.
Senyumlah kepada Allah kerana padaNya ada kegembiraan dan kebahagiaan. Bukankah dia Maha Pengasih lagi Pengayang?
* senyum...jangan tak senyum..
Khamis, Februari 15, 2007
Teori sampul surat
Saya menceritakan hal ini kepada pasangan jurulatih saya, dan dia mengiyakan setelah melihat pasangan pelajar berikutnya menarik sampul yang sama biarpun dia menidakkan pada mulanya. Ini menjadi satu ‘misteri’ dan saya memanjangkan hal ini kepada teman jurulatih yang lain sewaktu kami makan tengahari.
Mula-mula mereka tidak percaya, namun saya bersungguh mengiyakan. Seorang sahabat yang baru tiba, saya minta dia tarik sampul surat yang saya hulurkan. Ternyata dia tarik sampul ketiga!
“Apa yang dapat saya perhatikan, setiap kali saya hulur sampul surat ini, mereka akan tarik sampul yang ketiga,” kata saya.
“Saya dapat satu pasangan lelaki dan dia tarik sampul pertama. Pelajar asing tarik sampul kedua, tetapi 100% pelajar Melayu perempuan tarik sampul ketiga. Mesti ada sebab kenapa mereka punya gerak hati yang sama.”
Saya lihat mereka seolah-olah memikirkan tentang sesuatu. Antara percaya dan tidak. Mungkin juga mencari jawapan.
“Saya rasa mungkin perempuan sifatnya ingin dilindungi dan dia tidak mahu ambil sampul terawal kerana takut. Mereka ambil yang tengah-tengah supaya rasa selamat dan tidak terancam.”
“Aku pun rasa macam tu,” sambung seorang rakan yang dari tadi tersenyum-senyum melihat ‘silap mata’ saya. “Perempuan mahu dirinya berada dalam keadaan selamat dan mahu orang disekelilingnya menjadi pelindung, terutamanya lelaki,” sambungnya.
“Ya, betul tu. Beberapa pasangan lelaki yang saya jaga pula memang ambil sampul yang tepi sekaligus menunjukkan sifat mereka yang lebih bersikap pemimpin dan ingin mendahului,” saya menambah. Terik mentari ditepi tasik, tempat kami melakukan praktikal assignment tidak menghalan kami berhujah meneluarkan teori masing-masing.
“Tapi hairan ya, mengapa semua ambil sampul yang sama. Ini satu teori yang menarik. Saya rasa mesti ada sebab dari segi psikologi. Ah, yang ambil psikologi tiada pula disini,” saya mencari-cari teman jurulatih yang berkelulusan psikologi.
“Oh, kalau begini kita panggil teori ni ‘Teori Zeti’,” seorang pula menambah, seakan memberi riang pada waktu begini. Kami sama-sama ketawa. Teman berkelulusan psikologi tiba sejurus kemudian. Saya mengeluarkan empat sampul dan minta dia memilih salah satu.
Sampul yang ditariknya ialah yang sama – sampul ketiga. Kami semua ketawa melihatkan peristiwa yang kebetulan ini. Dia tercengang tidak tahu hujung pangkal, lalu saya ceritakan perihal yang berlaku. “Saya tak belajar pula tentang ini,” jawabnya ringkas bila diminta berpendapat. Namun, teori ini kelihatan menarik pada pandangannya.
Tapi, saya rasa ia berkaitan dengan sifat perempuan itu juga – ingin dilindungi. Namun, sampul surat ketiga masih menjadi misteri.
Buku : Di Hadapan Pulau
Awalnya saya beli kerana – mungkin kerana Pak Samad - kerana saya tidak begitu meminati cerita tentang perang. Saya paksakan membaca dalam usaha meneliti dan mengetahui isinya. Namun kisah di dalamnya benar-benar lain dari jangkaan.
Di Hadapan Pulau memberikan saya gambaran paling jelas tentang suasana perang. Pengkisahan dalam wataknya membuatkan saya menghayati satu persatu perasaan mereka dan dapat menyelami perwatakan mereka.
Begitulah Di Hadapan Pulau yang menginsafkan. Bacalah untuk lebih menyedarkan.
Jumaat, Februari 09, 2007
Puzzle kehidupan
Untuk kesekian kalinya, saya mendengar ayat yang sama.
“Hidup ini ibarat jigsaw puzzle.”
Mula-mula saya tidak mengerti mengapa mereka kaitkan hidup ini dengan jigsaw puzzle. Kemudian saya fikir dan fikir sehinggalah saya rasa inilah jawapannya.
Hidup memang boleh kita kaitkan dengan jigsaw puzzle. Mereka yang hadir dalam hidupku boleh diibaratkan seperti kepingan yang bersepahan dalam pelbagai bentuk dan warna. Mereka itu adalah kepingan puzzle dalam jigsaw besar kehidupan saya. Saya perlu sabar mencari, tekun menyusun, pandai memilih, hebat memadan, sungguh meneka dan bijak menduga.
Puzzle ini perlu cantum dan padan dengan berhati-hati supaya tidak silap. Walau ia sesuai tapi belum tentu menjadi gambarnya. Ada yang perlu dikeluarkan untuk beri peluang yang lain. Kepingan seperti ini perlu diketepikan dahulu. Ada puzzle yang dipadan dengan betul tetapi terpaksa dikeluarkan kerana kepingan itu tidak sesuai, lalu di padankan ke tempat lain. Ada juga puzzle yang seakan sesuai tetapi rupanya tidak. Ibarat manusia yang ada berpura-pura dan suka menafi itu dan ini. Kepingan seperti inilah yang perlu di ketepikan bagi mencari kepingan lain dalam melengkapkan sebuah kehidupan.
Begitulah hidup yang saling memerlukan, ibarat puzzle yang saling melengkapi antara satu sama lain dalam melengkapkan sebuah gambar. Kita pula mahu melengkapkan sebuah kehidupan yang baik dan sempurna. Kita ini bagaikan aur dengan tebing, irama dan lagu dan isi dengan kuku. Tidak lengkap tanpa yang lain. Hingga bila kita memasukkan kepingan terakhir, barulah kita sedar bahawa kehidupan ini cantik sebenarnya, seindah gambar yang kita susunkan. Memang pada awalnya banyak dugaan dan cubaan, namun pengakhirnya adalah yang abadi, yang memberi kepuasan dalam diri.
Jadi perjalanan hidup juga sama seperti melengkapkan puzzle ini. Kita perlu ada matlamat bagi melengkapkannya supaya kita tahu arah akhir hidup ini. Sebagai Muslim yang punya pegangan, perjalanan kita telah diatur dengan cantik supaya destinasi hidup kita menjurus ke satu arah. Hanya kita yang perlu memilih jalan yang harus kita lalui.
Hidup ini memang penuh dengan dugaan. Tanyalah pada diri apa yang harus kita lakukan. Jalan yang lurus tanpa belok itu membosankan. Itulah hidup ibarat sebuah perjalanan.
Batu Caves
22/01/07
Satu kesederhanaan
Saya terlebih dahulu berkenalan dengan sasterawan lain lewat karya mereka. Misalnya Sudara oleh Arenawati, Seluang Menodak Baung oleh Shahnon Ahmad dan Imam oleh SN Abdullah Hussain atau mendownload puisi Usman Awang dari internet. Awalnya saya banyak bermesra dengan karya SN Shahnon Ahmad yang ketika itu mudah didapati, dan beliau juga saat itu sedang rancak berkarya. Malah, pernah juga bertemu dengan SN Abdullah Hussain yang saya temui di DBP, langsung ke gerai berhampiran lalu berbual-bual bersama dengan seorang rakan. Pak Samad - yang pernah saya terserempak di KL - hanya saya pandang dari jauh sahaja. Tiada niat mahu menegurnya.
Namun, saya yang mengikuti dunia pengkaryaan dengan rapat, tidak pernah ketinggalan mengetahui apa dan siapa Pak Samad, terutama ketika dia melancarkan mogok seni satu ketika dahulu. Dalam diam, saya banyak menyimpan artikel mengenai Pak Samad sehinggalah kini saya sedar yang Pak Samad ialah seorang sasterawan yang banyak mendapat publisiti berbanding sasterawan lain (jika itu boleh saya umpamakan).
Saya, dari sehari kesehari apabila ke kedai buku akan sentiasa terserempak dengan buku tulisan Pak Samad, tidak seperti sasterawan lain yang jarang saya temui. Dan entah kenapa, juga tidak seperti hasil oleh sasterawan lain, saya akan beli, tidak kira puisi atau buku kanak-kanak. Selalunya saya baca sesudah berapa lama saya perapkan di rak buku. Hingga akhirnya saya sedar bahawa yang dalam diam, saya meminati karya beliau – terutamanya puisi. Tanpa saya sedari , saya telah mengumpul banyak karya Pak Samad berbanding sasterawan lain – Pak Samad yang saya ‘tidak minati’ awalnya akhirnya bertandang ke dalam jiwa saya dengan senyap.
Awal Januari yang lalu, pesanan VCD A Samad Said – Kehidupan Seorang Seniman Malaysia tiba dari Ujana Ilmu. Saya mengambil masa beberapa minggu sebelum dapat menonton kedua VCD ini. Isi pertama membuatkan saya begitu tersentuh sekali. Kehidupan Pak Samad amat sederhana dan luarbiasa – mengatasi paras kebiasaan manusia normal. Rumahnya hanya dipenuhi dengan buku dan buku dan buku, tiada langsung hiasan dinding, perabot, bunga, gambar atau sebarang hiasan. Paginya bersarapan dengan secawan teh, tanpa vitamin, ubat atau food supplement yang lain. Bayangkan usianya yang sudah menjejaki 70 tahun masih sihat dan kuat, tiada penyakit dan gagah berjalan kaki kesana kemari, sementelahan pula Pak Samad tidak mempunyai kenderaan sendiri dan selesa dengan kenderaan awam. Saya kira ini adalah satu disiplin yang kuat, dimana Pak Samad menjaga kesihatan melalui amalan pemakanan yang baik, menjaga kecergasan badannya dengan berjalan kaki sebagai aktiviti senaman serta menjaga kesihatan mental melalui aktiviti pembacaan yang dilakukannya saban waktu.
Walaupun Salina adalah novel pertamanya dan boleh dikatakan sebagai senario sebenar masyarakat selepas perang, Pak Samad kini lebih cenderung kepada penulisan bercirikan Islam. Pembacaannya kiri tertumpu kearah tokoh Islam silam yang banyak menyumbang kepada perkembangan peradaban dunia. Dan azamnya lagi ialah – mahu belajar hidup sesederhana mungkin. Dalam fikiran saya, sederhana bagaimana lagi yang Pak Samad mahukan?
Kehidupannya mudah, simple dan sederhana. Tidak complicated seperti sesetengah dari kita dengan rutin harian yang menyesakkan. Malah, Pak Samad kelihatan selesa dan santai. Dia masih lagi aktif berkarya dan saya kira dia antara sasterawan yang giat kesana ke mari memenuhi undangan itu ini dan keluar sesekali di akhbar bagi menjawab persoalan tentang dunianya.
Itulah Pak Samad. Dia menyebabkan saya dalam diam tertarik lalu meminati karyanya dan juga kesederhanaan dirinya. Saya bercita-cita mencontohi kesederhanaan ini dan berazam merentasi ranjau dan duri yang dihadapan saya ini juga dengan kesederhanaan.
0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari
Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...
-
Alhamdulillah, berita yang sedap untuk di dengar di penghujung Ramadhan. Akhirnya, penantian lebih setahun Tee Hui Yi, 14, berakhir semalam...
-
Saya tahu, sesiapa yang meyinggahi blog ini tertanya mengapa saya tidak mengemaskini atau menghantar entri terbaru. Bukan sekadar pengunjung...
-
Terdengar lagu ini dalam kereta ketika memandu ke pejabat pagi tadi. Bait-bait liriknya indah di telinga dan sedap dibibir. Cepat-cept cari ...