Selasa, Oktober 02, 2007

Entri kecewa yang benar-benar kecewa






Video ini memang menarik. Tak kiralah ia dibuat oleh orang luar atau yang mahu memburukkan kita, tetapi agak-agak, kalau rakyat tanah air ini yang buat, ada ke media yang sudi nak publish?

Menjelang pilihanraya kampus, saya teringat zaman ketika belajar. Berkempen hingga ke pagi, menyiapkan serta menggantung poster, flyers, risalah kempen, goodies kepada pemangkah, pamplet calon, dan pelbagai lagi perkara yang diperlukan untuk perang saraf. Psyc War.

Ketika itu, saya belum didedahkan lagi dengan suasana politik luar. Semua keadaan kelihatan bersih dan suci. Pada saya kempen kami ketika itu 'kempen budak-budak yang baru belajar. Salah betul tak ada siapa yang sudi nak tunjukkan.'

Bila pecah reformasi 1998, kemudian pilihanraya umum 1999, mata saya dicelikkan dengan suasana politik yang begitu kotor dan busuk. Barulah saya sedar, inilah rupanya cara sebenar orang berpolitik. Perang sarafnya lagi dahsyat. Entah apa-apa. Kemudian mereka masuk ke kampus dengan alasan 'mahu membersihkan kampus dari sebarang parti politik' Tetapi mereka yang masuk kampus dengan lambang parti tu untuk apa?

Sejak itu, pilihanraya kampus menjadi sebusuk dan sekotor pilihanraya yang diluar sana. Mereka melabel perkumpulan pelajar dengan pelbagai nama. Media menggelar mereka proaspirasi dan propembangkang. Para pelajar diwajibkan mengundi. Siapa tak turun, adalah habuannya. Insentif juga diberi. Top-up juga pernah dijadikan hadiah mengabui mata pelajar. Ini bukan cerita kosong. Benar-benar berlaku.

Kampus semakin lesu. Pelajar semakin selesa pergi kelas dan balik hostel. Dikelas, pensyarah tanya, pensyarah juga yang menjawab. Bila demam peperiksaan, suasana hostel bagai diserang garuda. Masing-masing sibuk membaca dan menghafal. Tidak ada sesiapa yang boleh buat bising. Bila mendaftar subjek, semua berebut-rebut nak ambil dengan pensyarah yang baik bagi markah. Bila dah dapat, kelas selalu ponteng. Alasannya mudah. Overslept. Assignment tiada kualiti. Tambahan pula dengan zaman internet yang memudahkan kerja, copy & paste sahajalah dari pelbagai sumber.

Pelajar sarjana mengelak mahu buat tesis, kerana susah dan banyak kerja. Mahu ambil exam sahaja, mudah. Menjadi mahasiswa ibarat menjadi pelajar sekolah. Bezanya suasana dan tempat. Kaedah tetap sama - masuk kelas, baca dan hafal. Masing-masing selesa menganga untuk disuap. Kadangkala nak telan pun kena paksa.

Sebarang aktiviti dilakukan tiada sambutan. Majlis ceramah atu forum yang membincangkan perkara serius atau isu semasa negara dipandang sepi. Kehadiran cuma pihak komiti atau seorang dua pelajar prihatin. Selalu penceramah merasa kecewa. Tidak kurang pula universiti terpalit nama.

Video klip ini ada benarnya. Mulut mahasiswa dizip dengan AUKU dan ISA. Jangan sesiapa yang berani bersuara. Saya pernah marahkan seorang roommate dahulu yang bila tiada kelas akan tidur sahaja. Lesu. Tetapi marah saya marah dalam diam. Marah yang tak boleh bercakap, kerana telah dizip oleh AUKU. Saya pula ditempelaknya nanti.

Entri ini entri kecewa. Kalau dulu lesu, sekarang tak tahulah apa gelaran yang patutu diberi. Tangan terikat, mulut terkunci. Menggolek kena, digolek pun kena. Saya bukanlah bagus sangat dalam hal ini. Setidak-tidaknya mata saya celik, akal saya boleh berfikir dan tidak dibodohkan oleh orang yang mahu mempergunakan saya sewenangnya. Saya tahu dimana saya berdiri. Setidak-tidaknya.

Tidak adil saya membayangkan dahulu dengan sekarang. Tetapi untuk melihat bagaimana keadaan negara akan datang, lihatlah kepada generasi mudanya sekarang ini.

Di mana kita mahu berdiri?

:-(

2 ulasan:

Muhammad Teja berkata...

mahasiswa dalam negara diburu AUKU dan ISA. Mahasiswa luar negara diburu SB dan CIA.. mana kebebasannya?

Tanpa Nama berkata...

Salam..

"Aku tak nak masuk campur..Biarlah diaorg.." Antara kata-kata yang diberikan ketika meminta pandangan tentang situasi politik di negara.

Mana boleh dibiarkan ketika usia sudah mencecah 1/4 abad?

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...