Sabtu, November 10, 2007

Gelombang Kuning

Agenda utama saya hari ini ialah masuk pejabat dan keluar tepat pukul 1 petang. Ambil adik di Pudu yang baru turun dari Sg Petani. Dia dijangka tiba lebih kurang pukul 5. Kemudian terus ke majlis jamuan syarikat di Taman Botani Putrajaya yang berlangsung dari jam 6 petang hingga 8 malam. Penutupnya ialah rumah terbuka sebuah persatuan penduduk yang berlangsung dari Isyak hingga pukul 10 malam.

Saya tahu hari ini ada satu perhimpunan di Dataran Merdeka hingga ke Masjid Negara. Perhimpunan yang memanggil 100,000 rakyat ini pastinya - pada fikiran saya – menyebabkan tidak berbaloi untuk saya memandu ke KL. Jalan sudah pasti jam. Jadi saya saya merancang menggunakan kemudahan awam. Komuter, Putra LRT dan Star LRT. Lebih mudah. Dengan Touch n Go, saya boleh touch dan go kemana-mana destinasi yang saya suka dan boleh menukar fikiran sekelip mata di atas tren.

Menuju ke stesen UKM Bangi, sudah ada polis buat road-block. Wah! Gawat! Getus hati. Mencari parkir, saya tidak menunggu lama. Komuter tiba kurang dari lima minit menanti. Satu petanda baik. Masuk sahaja ke dalam, ada sekumpulan lelaki (boleh agaknya dipanggil pakcik) memakai kopiah duduk memenuhi koc.Wajah-wajah segar dan bersih mereka membayangkan kemungkinan yang tidak pasti. Lagak mereka bukan orang KL , bukan orang Selangor. Saya mencari chemistry antara tarikh hari ini dan destinasi komuter. Hm...apa ya?

Entah kenapa perjalanan yang lancar pada awalnya tersekat-sekat. Menghampiri Bangsar, komuter bergerak perlahan. (Ini perkara biasa. Bagi yang selalu menggunakan komuter, tentu faham betapa lembabnya koc-koc ini bergerak) Menghampiri KL Sentral, berhenti lagi. Di luar, hujan mula mencurah. Pergerakan kereta dari Bangsar menuju ke ibu kota tersekat. Penumpang komuter gelisah. Hampir 15 minit tidak bergerak. Entah apa yang berlaku diluar tidak dapat di duga.

Salah seorang pakcik menjawab panggilan telefon. Menjawab dalam keadaan semua orang boleh mendengar (mungkin juga mahu menegur tiga orang anak muda yang bergurau bertepuk tampar pada tahap melampau dihadapannya), dia mengkhabarkan bahawa ‘dah ada yang kena siram di Masjid Jamek.’ Oh, telahan saya tentang destinasi mereka benar sekali. Kemudian, mereka mula membuka cerita tentang politik, tentang pilihanraya, tentang pemimpin.

Bila komuter bergerak, semua menjadi lega. Entah disengajakan atau memang benar berlaku atau mungkin sengaja perjalanan di lambatkan (agaknya), ia sekaligus memberi jawapan seolah-olah keadaan sedang gawat di tengah bandaraya. Ini telahan saya sahaja, sedangkan saya sendiri tidak mendapat gambaran jelas keadaan di luar. Sementara itu, saya bertanya kepada diri – ke mana arah saya sebenarnya? Masih awal untuk ke Pudu. Jangkaan adik saya tiba pukul 5. Masih ada tiga jam lagi. Pandangan saya silih berganti dengan kereta yang berderet diluar, hujan gerimis yang menyejukkan serta kumpulan pakcik yang bersemangat di dalam koc.

Akhirnya saya memutuskan untuk mengikut kumpulan pakcik ini. Saya bertanya kepada diri beberapa kali – betulkah keputusan yang saya ambil ini? Saya berdoa dalam diam sambil mengingatkan diri bahawa saya berniat baik sekarang ini- niat asal mahu ke Pudu tetapi melencong ke arah lain. Teringat kamera di dalam beg. Ah, fungsinya boleh digunakan tepat pada masanya.

Tiba di KL Sentral, kumpulan pakcik ini awalnya tidak mahu turun. Saya bersandar pada tiang. Mungkin mereka mahu turun di stesen berikutnya iaitu Kuala Lumpur yang terletak berhadapan dengan Masjid Negara. Hot spot. Tiba-tiba salah seorang dari mereka yang saya kira ketua memanggil yang lain untuk keluar. Saya mengekori mereka tanpa teragak-agak. Di luar komuter, mereka berbincang. Mungkin mencari arah. Mahu sahaja saya menunjukkan mereka arah ke Dataran Merdeka dengan menggunakan Putra LRT (dengan turun di Pasar Seni), namun kaki laju sahaja melangkah ke pengimbas touch n go.

Keluar sahaja dari ruangan komuter, saya dapati mereka masih berkumpul dan berbincang. Saya memutuskan menaiki Putra LRT dan bertukar Star LRT di Masjid Jamek menuju Plaza Rakyat (Pudu). Tatkala ini, hati berbelah bagi. Pergi atau tidak? Masih lagi dengan niat ke Pudu biarpun tadi telah memutuskan mengikuti kumpulan pakcik. Tanpa mereka, saya seperti putus asa. Saya pasti kumpulan pakcik itu sekarang memikirkan cara untuk ke Dataran. Dengan niat yang baik, saya berpatah balik untuk membantu. Malangkah, mereka tiada. Mungkin sudah berpatah balik dengan komuter. Atau mungkin juga mahu melarikan diri dari pandangan polis yang ramai berpusing-pusing di ruang legar.

Hujan masih gerimis tatkala Putra LRT meluncur keluar dari KL Sentral. Dari jauh kelihatan ramai orang serba kuning berjalan ramai-ramai ke satu arah. Jalan banyak yang kosong ditutup. Saya semakin gelisah didalam tren. Ada juga penumpang yang bising-bising. Mungkin juga mahu turut serta. Sebaik berhenti di Pasar Seni, saya membuat keputusan penting dalam hidup. Saya mahu turut serta. Beberapa orang berlari-lari keluar, saya mengekori. Mengeluarkan kamera, saya snap beberapa gambar dari stesen. Sebelum keluar dari stesen, beberapa orang polis memerhati dengan mata yang tajam. Rupanya laluan keluar stesen ditutup. Pintu yang kecil sahaja dibuka dengan polis berdiri dikiri kanan memerhati. Saya tenangkan hati. Debaran tak henti-henti. Saya berdoa supaya ini keputusan yang betul. Keputusan penting dalam hidup.

*Berlari-lari dibawah gerimis

Di bawah laluan LRT, ramai berlari-lari mengekori kumpulan yang berjalan kaki. Hujan tetap gerimis. Saya bagaikan wartawan dengan bebas snap gambar sesuka hati. Wajah-wajah mereka cukup ceria, biarpun masing-masing tidak pasti apa yang akan berlaku selepas ini. Baik atau buruk. Tenang atau kacau.

* Suasana di bawah LRT Pasar Seni

Helikopter berlegar-legar dan terbang rendah. Dari Pasar Seni, kumpulan membelok melalui bangunan KWSG menuju ke Istana Negara. Ada laluan yang ditutup. Kereta yang degil mahu lalu terperangkap dengan kesesakan. Yang berbaju merah menjadi raja di jalan. Mereka mengawal lalu lintas. Yang berbaju kuning berbangga dengan perhimpunan. Hati saya tetap dengan debaran. Sememangnya ini keputusan paling penting pernah saya buat dalam hidup. Dan buat pertama kali dalam hidup, saya bangga dengan diri sendiri. Biarpun sepuluh tahun dahulu saya pernah turun sekali di Jalan TAR, namun kali ini saya lebih berani kerana seorang diri.

* Agak-agak cukup tak 100,000.00

Sambil berjalan saya ambil gambar. Jam ditangan menunjukkan pukul 2.30 petang. Lagak seorang wartawan, dengan sesuka hati menghalakan lensa kamera ke sana ke mari. Hampir tiba di Istana Negara, laluan tersekat. FRU sudah menanti dengan trak berderet-deret. Mereka sudah berbaris dihadapan trak menghalang laluan. Yang berbaju merah pula membuat rantai manusia menghalang yang berbaju kuning dari meneruskan perjalanan menghampiri Istana, atau setidak-tidaknnya menghampiri FRU. Satu tindakan yang bijak dari mengelak di provokasi.

* Mata memerhati, melihat, mengecam

Dengan kamera saya mara kehadapan. Mereka yang dikiri kanan menjerit mengulangi kata-kata pemimpin yang berucap silih berganti. Mat Sabu, Hadi Awang dan Anwar Ibrahim - tokoh yang dirindui, kemudian keluar juga kata keramatnya – reformasi. Saya mara setapak ke setapak kehadapan. Wajah FRU yang bengis, pemuda berbaju merah dan kuning, wartawan yang memanjat, helikopter yang terbang rendah, polis diatas trak, dan mereka yang berhimpun – katakanlah apa sahaja – semua menjadi mangsa kamera. Gerimis sebelum berhenti. Mereka yang datang berhimpun semakin ramai. Tetapi tiada apa yang boleh dirisaukan. Semuanya aman sahaja. Cuma suara yang kedengaran keras.

* Trak merah beratur menghalang laluan

Selepas satu jam berhimpun, seorang polis diatas trak mengeluarkan amaran: “Saya ketua Polis daerah Brickfields. Saya mengarahkan anda semua beredar dalam masa lima minit.” Dia mengulangi dua kali.

*Lima minit sahaja!

Apa tindakan oleh mereka yang berhimpun? Cukup gentlemen. Mereka terus sahaja berundur. “Marilah kita pulang, undur-undur,” kata mereka. Untuk beredar (tidak tahu ke mana) tidak mengambil masa yang lama. Saya mahu menjadi orang terakhir menanti apa sahaja yang akan berlaku selepas itu. Kalau disiram pun, pasti saya orang yang pertama basah. Tetapi saya tidak dibenarkan menunggu. Pemuda berbaju merah mengarahkan saya beredar. “Jangan duduk sini kak. Kena pergi,” nasihatnya. Saya akur. Tetapi yang saya kagumi, diatas jalan, tidak ada (langsung) sampah. Katakan apa sahaja – botol, plastik, suratkhabar – tiada. Bersih. Memang ini perhimpunan yang bersih.

* Perhimpunan bersih. Lihat sahaja jalannya yang bersih

Sebaik mereka beredar, ada lagi satu kumpulan yang baru tiba. Mungkin mahu buat perhimpunan kedua. Tetapi segera diminta beredar oleh para pemuda berbaju merah yang begitu sopan menegur. Sejuk sedikit hati mendengar arahan lembut mereka. Mereka semua – yang berbaju kuning ini – beredar, mungkin juga pulang. Saya mengandaikan semuanya sudah berakhir. Ada yang singgah di Masjid Negara untuk solat. Ada juga menyambung di perkarangan masjid. Tetapi dimana-mana, polis dan FRU menanti.

* Di hadapan stesen keretapi lama

Di Dataran Merdeka, FRU berbaris panjang. Lagak mereka mahu menghambat dan menangkap sesiapa sahaja yang lalu dan menghumban mereka kedalam trak. Tenang sahaja kami beredar. Dari situ, mereka bersepahan. Ada yang terus pulang menaiki Putra dan Star LRT di Masjid Jamek. Ada yang singgah solat di Masjid Jamek. Yang lain-lain mungkin menunggu sahaja apa sahaja yang akan berlaku selepas ini.

* Menuju Dataran Merdeka

Ahamdulillah, segalanya berakhir dengan baik. Tiba sahaja di Masjid Jamek, adik memberitahu dia sudah tiba. Sangka saya di Pudu, rupanya di Hentian Duta. Oh, dengan dia yang buta tentang Kuala Lumpur, saya jadi kalut seketika. Jauh juga mahu kesana. Kalau nak pergi pun, teksi sahaja yang ada. Saya menelefon Angah, memintanya kesana melihat-lihat adiknya. Dia menggunakan motor dari pejabatnya di Mid Valley, jadi tidaklah sukar. Mujurlah panjang akal. Kemudian saya minta adik naik teksi dan turun di Pasar Seni. “Teksi tak masuk Pasar Seni. Turun di KL Sentral,” katanya. Lalu kami bertemu disana. Dari KL Sentral, saya naik komuter turun di UKM Bangi. Saya terbayang suasana tadi. Hanya kamera menjadi saksi. Dengan kaki yang lenguh kerana jauh berjalan (tapi seronok!), komuter pula merangkak tersengguk-sengguk, saya terlepas menghadiri majlis jamuan syarikat apabila tiba di stesen tepat jam 8 malam.

Begitulah perjalanan saya hari ini. Satu perjalanan yang panjang. Satu pengalaman yang membanggakan. Saya ulangi sekai lagi, buat pertama kali dalam hidup, saya bangga dengan diri sendiri. Apa sahaja orang lain kata selepas ini, atau persepsi masyarakat mahu pun kutukan dari mana-mana pemimpin, mata saya adalah saksi atas segala kebenaran yang berlaku. Tiada apa-apa. Cuma berhimpun dengan aman dan pulang selepas diarahkan. Jadi, apa bising-bising?


Nota: Berita yang keluar selepas itu memang tidak memihak kepada perhimpunan ini. Memang ada yang disiram di Masjid Jamek, memang ada yang ditangkap, memang ada yang di provok, tetapi pada sisi lainnya, gelombang kuning ini diharap mampu memberi kesedaran tentang pilihanraya yang adil dan bersih. Undi adalah rahsia, dan ia adalah hak kita sebagai warganegara.

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bersih sungguh!, sebuah pandangan dari sisi lain. wah, membaca saja tak puas hati, tak sabar nak dengar cerita dari mulut akak sendiri~

tahniah, kerana 'menang' dalam melawan ketakutan!

Norziati Mohd Rosman berkata...

Nak dengar cerita..boleh sahaja... hehehe.. nanti kita borak tiga jam lagi sampai kedai tutup macam arituh!

Unknown berkata...

Assalamualaikum Ziati,

Seolah terhukum diri tidak bebasnya rasa yang membelenggu jiwa
tatkala ingin dirasa menghayati kejayaan sebagai maruah. Nilai perundangan sesekali menghukum kejahilan kita kerana berpendirian itu adalah hak paling asas amat perlu dihargai dirasakan untuk dihayati.Usahlah sehingga ia hilang lagi.

Kassim Selamat berkata...

Syabas Zeti kerana berada bersama kelompok Gelombang Kuning.

Langkahmu petang itu tepat sekali!
Terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman.

Nur berkata...

Cayalah Kak. :)

Norziati Mohd Rosman berkata...

Ilham,
Peace no war :-)

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...