Selasa, Disember 18, 2007

Satu Liter Air Mata

Ini benar-benar mengundang kesedihan.



Hujung minggu, saya berendam airmata separuh hari kerana cerita ini - 1 Liter Of Tears atau dalam bahasa Jepun ia di namakan 1 Litre No Namida. Bukan setakat satu liter air mata yang tumpah, tapi kekaguman terhadap watak utama yang begitu memberi inspirasi kepada mereka yang masih bernafas.

11 siri, setiap satunya berdurasi 50 minit, membuatkan punggung rasa kebas, mata berpinar-pinar menatap skrin dengan airmata yang sekejap jatuh, sekejap reda. Tidak pernah dalam sejarah hidup saya (sejak 29 tahun yang lalu...ehem..) begitu teruja dengan cerita bersiri seperti ini, apatah lagi kisah airmata. Tetapi saya tidak boleh elak satu perkara - andai ia kisah benar saya tidak akan ketepikan sama sekali.

Dan seperti biasa, saya akan googlekan 1 Litre Of Tears sama ada di Wiki atau youtube bagi mencari maklumat tambahan atau apa-apa sahaja perkara yang menarik yang tidak saya ketahui. Bnayak rupanya perkara yang diluar jangkaan saya yang menyebabkan cerita ini menjadi terkenal.

1 Litre of Tears juga dikenali sebagai A Diary with Tears, A Diary of Tears atau Ichi Rittoru no Namida. Ia mengenai sebuah kisah benar seorang gadis bernama Ikeuchi Aya (nama sebenar ialah Aya Kito) yang menghidap penyakit spinocerebellar ataxia (SCA).

Dalam kisahnya yang sebenar, ia merupakan catatan harian yang ditulis oleh Aya Kito (19 Julai 1962 – 23 May 1988) yang mula menulis diari setelah dicadangkan oleh doktornya bagi melihat sebarang perubahan yang berlaku pada tubuh badan dan pergerakan sehariannya. Akhirnya ia meninggalkan satu habit kepada Aya untuk menulis pada setiap hari tentang dirinya, perasaannya dan pengalamannya sehingga ia menjadi inspirasi kepada orang lain. Aya terus menulis sehingga beliau tidak mampu lagi memegang pen. Diari tersebut telah diterbitkan selepas kematian Aya dan diberi nama 1 Litre no Namida.

Aya dikesan menghidap SCA ketika berusia 15 tahun dan berperang dengan penyakitnya selama 10 tahun sebelum meninggal dunia pada usia 25 tahun. Sehingga kini, 18 juta buah bukunya (diarinya) telah terjual. Bayangkan, ia telah memberikan inspirasi yang cukup besar kepada mereka yang masih hidup untuk terus menghargai kehidupanini.

Apa yang menarik ialah kisah ini digarap dengan cukup cantik. Ada kalanya ia tidak memerlukan dialog yang panjang, cukup sekadar musik latar yang cukup sentimental dan panorama alam yang dimainkan bersama-sama dengan gerak bahasa badan pelakon yang mantap lalu menimbulkan keharuan yang bukan sedikit. Memang ceritanya cukup cantik dan kemas, maka tidak hairanlah biarpun tanpa dialog, airmata mudah sahaja gugur.

Saya berkata benar, kerana saya bukanlah mudah menggugurkan airmata dengan mudah, apatah lagi biula menonton (apalah sangat!). Tetapi cubalah tonton, episod pertama sahaja sudah bikin sebak!

Sedikit nota tentang SCA. Ia sejenis penyakit yang tidak menyakitkan. Ia mengurangkan kemampuan seseorang bertindak, bergerak, memberi respon, kemudiannya mengganggu proses seharian ketika berjalan, bercakap, makan dan apa-apa sahaja aktiviti harian. Ia tidak menyakitkan, lalu biar sebaik atau sepandai mana pun seseorang itu, ia ibarat 'bangkai bernyawa' yang terlantar di katil hospital. Masih boleh berfikir secara waras tetapi tidak boleh memberi respon melalui percakapan mahupun tindak balas fizikal.

Sinopsis berepisod boleh di dapati di sini.

2 ulasan:

sis_aflah berkata...

Salam,

Saya dah tengok cerita ni tapi tak habis.. adik yang bawa balik cd.. setiap kali tengok cd seterusnya, belum sampai setengah cerita saya dah menangis.. memang sedih sangat.. kalau tengok sorang2 mungkin saya akan habiskan..

Apa pun, ia memang sebuah kisah yang cukup menarik... :)

Tanpa Nama berkata...

salam,

memang menyayat hati cerita ini,
setiap kali selepas saya menonton cerita ini, tidak kira mana-mana
episod saya bersyukur kehadrat ilahi kerana memeberikan nikmat kesihatan kepada saya. Alhamdulillah..

walaupun saya seorang lelaki tetapi tanpa disedari ada juga setitis dua air mata yang mengalir..

walaubagaimanapun cerita ini memang memberi iktibar..

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...