Kecuaian saya pagi tadi hampir membawa padah.
Cuaca pagi tadi mendung, tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda hujan. Saya membuka tingkap sambil memandu, tambahan pula bertujuan menyedut udara segar pagi yang sejuk dan mendamaikan. Kebetulan pagi tadi destinasi pertama bukanlah ke pejabat, tetapi arah 'lain' di KL. Saya memilih menggunakan komuter, lalu parkir di tepi jalan menghala ke stesen UKM Bangi. Perjalanan lancar tanpa gangguan. Tiba di KL Sentral, pagi masih awal, dan saya juga tiba awal dari masa yang dijanjikan. Sambil berlegar-legar di dalam kawasan KL Sentral, perut tiba-tiba minta di isi bila ternampak papan tanda kedai makan yang bersepahan. Sebaik sahaja membayar dan duduk, satu panggilan telefon dari nombor yang asing masuk ke talian.
Terkejut seketika saya panggilan itu dari pegawai KTM yang membuat rondaan. Sangkaan saya mereka mahu 'clamp' kereta kerana parkir di luar kawasan, tetapi sangkaan saya salah.
"Saya telefon nak beritahu tingkap kereta cik sebelah penumpang hadapan tidak tutup." Kata-katanya terus mematikan selera saya.
"Saya dapat nombor telefon ni dari kad cik yang ada tergantung dalam kereta. Saya minta izin ambil dari dalam kereta." Saya tergamam tanpa kata. Terbayang kereta yang di parkir dengan tingkap terbuka.
"Err...terima kasih..hmm...tapi...," saya keputusan ayat, kehabisan kata-kata. Tiba-tiba saya merasakan segala urat dan saluran darah yang menyambungkan nafas dan darah ke otak bagaikan terhenti.
"Nanti cik tutuplah tingkap ni ya. Saya risau pula nanti jadi apa-apa." Saya tidak ingat apa yang dikatanya selepas itu, kerana yang bermain dalam fikiran saya ketika itu ialah - kereta hilang, kelam-kabut diparkir, buat laporan polis, claim insurans, beli kereta baru, buat downpayment, tiada kenderaan ke pejabat, kesusahan mahu bergerak kesana kemari, maka terpaksalah meminjam motor adik atau ambil kereta yang di kampung...blaa..blaa...blaa...
Yang saya ingat hanyalah bila saya mengucapkan terima kasih berkali-kali kepada si pemanggil.
Buat seketika saya terpandang mee yang terhidang. Mati akal dibuatnya. Saya tidak mampu berfikir waras, lalu menyuapkan mee dengan perasaan separa siuman.
Telefon berdering lagi, dari pemanggil yang sama.
"Saya letak semula kad cik tadi. Jadi sekarang ni macamana?" dia bertanya meminta tindakan dari saya. Saya terdiam lagi. Kali ini sudah mampu berfikir.
"Saya ni sebenarnya sedang meronda di sini. Saya dari Kajang. Cik dimana sekarang?" dia bertanya lagi bila melihat saya seolah-olah tergamam.
"Saya di KL Sentral, ada kursus hingga pukul 1."
"Jadi macam mana sekarang?"
"Ermm..boleh tak saya minta tolong encik untuk tengok-tengokkan kereta saya sementara encik meronda. Tak payah tunggu disitu pun tak mengapa. Sekadar tengok-tengok," saya meminta simpatinya, semoga dia boleh membantu.
"Saya tak boleh tunggu d sini cik," dia membalas.
"Maksud saya, tak perlu tunggu. Cuma tengok sahaja bila encik lalu lalang disitu."
"Saya tak lalu di sini lagi cik. Saya lalu sekali sahaja."
Saya terdiam seketika.
"Saya ni cuma beritahu. Kebetulan saya meronda disini hari ini. Saya takut apa-apa terjadi pada kereta cik pula nanti." Nampaknya dia begitu prihatin. Syukurlah.
"Tak mengapalah, nanti saya uruskan." Berkali-kali ucapan terima kasih saya ucapkan.
Saya berfikir sambil mengunyah mee. Nyata saya tidak mampu menghabiskan sarapan dengan kepala yang tidak tenang.
Sekali lagi dia menelefon.
"Cik mintalah tolong dari kawan ke, adik ke, suami ke. Bahaya kalau ditinggalkan kereta dengan tingkap terbuka disini," katanya lagi.
Hendak minta tolong dari siapa pula? Kalau ada kunci spare elok juga. Masalahnya kunci spare dirumah. Berpatah balik semata-mata mahu tutup cermin? Saya melirik ke arah jam. 9.30 pagi. ada masa setengah jam sebelum kursus bermula. Satu kursus yang penting. (Malah saya ponteng kerja pag ini kerana kursus ini).
Berpatah balik adalah satu keputusan yang wajar biarpun saya harus menyalahkan kegopohan dan kebodohan diri kerana tidak terlalu berhati-hati. Tidak pernah terjadi kejadian seperti ini sepanjang saya memegang stereng, kerana saya seorang yang cukup cermat. Biasanya saya akan melihat sekeliling kereta sehingga berpuas hati sebelum keluar. Tetap pagi tadi, entah kenapa. Mungkin kerana terlalu teruja mahu mengikuti kursus ini, atau mungkin juga satu hukuman kerana lari dari kerja, dengan sengaja.
Saya beristighfar, membaca apa yang patut bagi menyedapkan hati.
Memang tidak wajar berpatah balik, fikir saya. Masa, saat ini begitu berharga. Bukan setakat emas, malah lebih dari itu.
Lalu?
Tidak mungkin saya berpatah balik. Ini tindakan drastik. Saya menetapkan keputusan yang dirasakan amat wajar disaat ini. Saya bertawakkal dan berdoa semoga tidak ada apa-apa perkara buruk berlaku. Kalau hilang pun kereta nanti, saya berdoa semoga Allah menukarkannya dengan ganjaran lain yang lebih besar, kerana apa yang saya lakukan saat ini pun adalah kerana-Nya (mungkin kerana-Nya).
Tawakkal. Itu sahaja usaha setakat ini.
Saya berdoa dan berdoa. Bukannya berdoa 'andai ia hilang, digantikan dengan yang lain' tetapi 'berdoa supaya tidak hilang.' Satu doa yang positif dan memikirkan yang positif, biarpun saya merasa amat risau. Bagi saya, ia hilang tak mengapa. Kereta ini pun hasil titik pelun sendiri, dan hilang pun kerana kecuaian sendiri. Mungkin tiada rezeki. Tetapi yang baiknya, janganlah hilang
Jadi, bagaimana keadaan kereta selepas itu?
....akan bersambung.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari
Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...
-
Terdengar lagu ini dalam kereta ketika memandu ke pejabat pagi tadi. Bait-bait liriknya indah di telinga dan sedap dibibir. Cepat-cept cari ...
-
Judul :Saga Penulis : Abdul Talib Mohd Hassan Penerbit : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd Cetakan :15, 1998Tebal : 388 ISB...
-
Hujung minggu yang lalu saya menghadiri aktiviti perkhemahan di Hutan Lipur Lentang, Karak atas undangan sebagai Pembantu Jurulatih. Saya di...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan