Rabu, Mac 12, 2008

Buku : 1515

Sudah lama menyimpan hasrat, akhirnya berjaya juga memiliki 1515. saya harus merasa malu, kerana novel yang saya kira cukup besar kesannya ini lewat berada ditangan biarpun selalu juga mendengar nama Tun Nyemah Mulya dan Adi Fimiyun disebut orang.

Dua perkara besar yang saya mahu sebutkan. Pertama tentang kegemilangan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka. Kedua, Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka memang tidak patut tumpas di tangan Portugis laknat. Inilah perkara yang cuba dibangkit oleh FT sehinggakan ada yang benar-benar percaya Tun Nyemah Mulya adalah satu tokoh yang telah dipadamkan dari sejarah kerana kelicikan orang barat memutar fakta.

Tentang perkara pertama - sejauh mana fahamnya kita akan kegemilangan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka? Besar manakah jajahannya? Luas manakah pengaruhnya? Semua orang tahu Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dahulu amat cemerlang, gemilang, terbilang, sejahtera, aman dan makmur. Namun, sumber maklumat kita terhad. Dari buku teks sejarah yang kita pelajari, tahulah kita kerajaan Melaka itu besar pengaruhnya, ramai pedagang menghampiri, banyak barang di dagangkan, pelbagai masyarakat wujud, ramah penduduknya, adil pemerintahnya, sejahtera kehidupan rakyatnya, sehingga mendorong rasa cemburu orang luar akan kehebatannya. Melaka memang sekeping tanah yang subur, maka sesuai sekali untuk dicampakkan apa-apa benih sahaja. Tetapi, sebesar mana gambaran kita akan kegemilangan itu? Cukupkah dengan apa yang ada pada buku teks?

FT dalam novel 1515 melukiskannya dengan jelas. Ariflah saya kini betapa Melaka itu memang amat maju. Tergambar dihadapan mata Melaka sebuah negeri (negara?) dagang yang cukup makmur. Islam menjadi paksi kepercayaan dan diamalkan dengan sungguh. Seluruh dunia berhimpun, berkenalan dan bertemu. Justeru, masyarakatnya juga maju kerana terdedah dengan dunia luar, bercampur gaul dengan orang pelbagai, mampu bertutur pelbagai bahasa dan lebih cergas mindanya kerana pergaulan yang meluas. Ini adalah satu gambaran yang tidak pernah saya bayangkan. Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka lalu mengundang rasa iri pihak yang berdagang. Bayangkan, Melayu menjadi tuan kepada semua bangsa di dunia. Hebat bukan? (Jangan lupa akan hal ini. Melayu pernah menjadi tuan).

Perkara kedua, oleh kerana ia negeri yang hebat, Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka memang tidak patut tumpas dan di jajah. Novel 1515 tidak lama ditangan sebaik saya habis membacanya, disambar oleh seorang rakan yang katanya “saya tak percaya Melaka boleh kalah.” Dia peguam muda, maka hujahnya panjang. “Melaka ketika itu tempat berhimpunnya semua manusia, dan lebih terbuka mindanya. Boleh dikatakan teknologi mereka lebih maju kerana ia menghimpunkan benda yang orang China, orang India dan Eropah tiada.”

Maksudnya, apa yang orang China ada, belum tentu orang India ada. Jadi, Melaka menjadi titik temu untuk mereka. Oleh itu, orang Melaka lebih maju kerana mereka dapat segala benda itu terlebih dahulu sebelm di dagangkan oleh orang lain. 1515 sendiri menunjukkan betapa Albuquerque begitu naif tentang jam bandul sehingga Nyemah Mulya merasa hairan. Begitu juga cermin, sehingga menimbulkan rasa kasihan di hati Nyemah bila membayangkan bagaimanalah agaknya puteri-puteri Portugis berdandan. Guna imbasan wajah di airkah?

Dua perkara ini sudah cukup menunjukkan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka mempunyai struktur ekonomi dan teknologi yang jelas. Mereka sudah ada meriam, dan bukan bertempur menggunakan keris dan tombak. Mereka tahu menggunakan bom, bukan sekadar menyerang secara melulu. Lalu, apakah penyebab ketewasan Melaka di tangan Portugis? Jawapannya mudah sekali. Sehebat manapun sesebuah negara itu, andai ia membelakangkan agama dan Tuhan, maka akan tiba pembalasan maha dahsyat dari langit. Akan ada satu hukuman yang tidak disangka-sangka. Sesuatu yang menyebabkan kita tidak sempat mengucapkan apa-apa, atau mengambil apa-apa, kerana ia datang tanpa isyarat. Maka kita harus bersedia pada bila-bila masa tanpa mempersoalkan, samalah keadaanya bila kita harus sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi mati. Ditambah lagi dengan pengkhianatan orang luar yang datang mengaut hasil sahaja dan tidak langsung ada perasaan belas dan kasihan. Tiada keinginan untuk membantu apatah lagi menumpahkan taat setia. Akhirnya Melaka menjadi mangsa, Melayu menjadi korban.

Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka memang tidak patut tumpas. Tidak patut di jajah. Tidak patut Kristian bertapak di Tanah Melayu. Betapa dahsyatnya pertempuran mereka, betapa taktikalnya strategi yang di lakukan, ia tidak mampu membendung hasrat ulung Feringgi yang keji untuk menanam salib di setiap inci tanah Melaka. Itulah satu-satunya impian mereka, disamping membawa hasil Melaka pulang ke Portugal. Hingga kini, kita melawat A Farmosa, menziarai Gereja St Paul tanpa kita sedar ia adalah hasil dari tumpahan darah dan airmata datuk nenek moyang kita dahulu.

Sesungguhnya membaca 1515 cukup menginsafkan.

.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

x jumpa pon aku carik buku neh!

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...