Ahad, Ogos 24, 2008

Satu dua soalan

Bila sahaja mendengar ada orang bertukar kerja, atau mendapat kerja baharu atau ada staff baharu masuk ke pejabat, saya suka sekali bertanya beberapa soalan cepu emas kepada mereka dan kemudian membandingkan jawapan mereka dengan situasi saya.

Soalan penting yang saya tanyakan ialah mengapa bertukar kerja? Apa yang kurangnya di tempat lama? Apa yang di carinya di tempat baharu? Dan soalan-soalan selanjutnya menyusul seputar perkara itu.

Saya merasa kagum jika ada orang boleh melakukan sesuatu itu dengan penuh cekal. Misalnya penuh nekad berhijrah dari satu organisasi ke organisasi yang lain dengan harapan perubahan ini adalah yang terbaik. Ada juga beralih bidang ke dalam ruang yang asing, yang tidak pernah di laluinya sebelum ini, dan dilalui dengan keinginan mahu merubah kehidupan. Misalnya berpindah ke bidang pertanian atau penternakan. atau dari syarikat besar ke syarikat kecil. Atau dari jawatan besar ke jawatan kecil.

Selalu-selalu jawapan mereka itu dijawab dengan sepenuh hati. Dan selalu-selalu juga saya termenung memikirkan jawapan mereka. Bagaimana jika perubahan ini bukan seperti yang di hajatkan? Apakah hasilnya jika mereka terperangkap dalam situasi yang mengakibatkan diri mereka mersa terkilan dan menyesal?

Soalan saya dan jawapan mereka yang pelbagai itu bukanlah menjadikan satu pertimbangan untuk saya menilai mereka, bukan juga untuk menentukan untung nasib mereka. Saya melihat kepada diri sendiri. Apakah saya bersedia untuk berubah, atau berhijrah (lagi)? Apakah saya secekal mereka, sekukuh semangat mereka untuk membuat satu keputusan yang penting dalam hidup?

Selang beberapa waktu saya gagal menemui jawapan buat diri. Masih gagal menentukan hala yang sebenar. Masih ada syak wasangka dan was-was bersarang dalam diri. Selalu juga rasa memperkecilkan semangat dan merendahkan kemampuan diri sendiri. Namun saya pasti, satu keputusan drastik harus saya lakukan demi kebaikan diri. Soalnya, bila?

Bila saya renung kembali semangat yang ada apabila berjaya menyiapkan sebuah karya yang berjaya diterbitkan, atau menghantar cerpen sehingga berjaya di siarkan, saya tertanya-tanya dimana datangnya kekuatan dan keazaman sebesar itu, yang mampu menghasilkan sesuatu bermakna buat diri. Semangat yang berlari-lari, kemudian datang kembali, terbang melayang-layang ditiup angin, kemudian mendarat kembali pada diri. Ah, begitu sukar kadangkala untuk menjangkakan semua itu.

Saya perlu lebih istiqamah. Persistent dan consistent. Pilihan ditangan sendiri, dan hidup adalah untuk membuat pilihan.


.

2 ulasan:

z'kea m.s berkata...

Berhijrah memang sangat sukar. Tapi jika kita yakin dengan nikmat tuhan.. inshaallah, tiada apa yang harus kita sangsikan dengan keputusan kita.

YATIE SAARI berkata...

setuju dengan z'kea m.s dengan berhijrah kita dapat mempelajari sesuatu yang baru dan situasi yang berbeza dari yang biasa kita lakukan...ketakutan dan kerisauan itu hanyalah satu 'perasaan' bagi mengelakkan 'perasaan' tersebut..perlulah ilmu pengetahuan dan pelan tindakan dibajai dengan semangat dan keazaman yang membara. Dengan ini, walau apa pun kebarangkalian yang berlaku..kita tidaklah merasa ralat..malah bersyukur dengan perubahan yang dialami.. kekurangan dalam penghijrahan itu pasti ada banyak kelebihan yang kita tidak sedari..yang pasti redha dan bersyukur dengan rahmat dan peluang yang diberi olehNya..

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...