Selasa, Mac 31, 2009

Garisan


“Anak perempuan sekarang ni nak menjaganya tak macam kita dulu. Kak Miah kena jaga anak-anak kak Miah tu elok-elok.” Muncung Kak Miah panjang menghala ke arah tiga orang anak perempuannya yang leka bermain pasir yang sesekali di simbah air laut yang perlahan menyapa.

Mentari di Port Dickson jam empat petang masih terang bersinar. Cahayanya yang jatuh di hujung horizon berkilau-kilau menyambar mata menyakitkan pandangan. Mujur kanta mata hitam tersisip kemas di beg sandang yang saya bawa, menjadi menjadi tabir mata memudahkan saya melihat dan memerhati kegembiraan pengunjung di penghujung cuti sekolah.

Saya memandang ke arah anak kak Miah. Masih kecil, masih mentah. Yang sulung baru darjah satu. Yang bongsu menghampiri usia dua tahun.

“Cuba tengok sebelah tu, tiga lelaki, tiga perempuan. Tiga pasang. Malam minggu ni, entah apa pula yang mereka lakukan,” kak Miah menambah. Saya menoleh ke khemah sebelah yang di sewa bersekali tiga kerusi rehat. Tiga pasang anak muda yang baru lepas mandi duduk berbual sambil mengeringkan badan. Saya mendengus perlahan sambil menggelengkan kepala.

“Anak perempuan atau anak lelaki, sama susah nak mendidiknya. Yang penting apa yang kita tanamkan pada mereka,” saya mengisar duduk sambil membetulkan kacamata yang terletak di puncak hidung.

“Tapi kita dulu tidaklah seperti sekarang. Cabaran sekarang ini , selain suasana yang macam-macam, kita perlu kawal dia sepanjang masa. Dengan siapa dia berkawan, dengan siapa dia bercakap, apa yang dia lakukan. Hendak melepaskan mereka seketika amat sukar, sentiasa menyebabkan kak Miah rasa tidak selesa. Tapi, tak kan lah kak Miah perlu kurung mereka. Susah juga.”

Saya mendengar luahan kak Miah sambil sesekali mengerling ke arah rambutnya yang mengerbang di tiup angin. Hati saya terdetik sesuatu.

“Didikan perlu betul kak. Yang paling utama ialah kita tunjukkan pada mereka dua perkara sahaja – baik dan buruk. Betul dan salah.”

Kak Miah memandang saya dengan penuh tanda tanya.

“Ajarkan kepada mereka yang mana satu garisan putih, yang mana satu garisan hitam. Tunjukkan yang mana satu perkara yang betul dan apa yang salah. Bukannya ditengah-tengah, di garisan kelabu. Itu garisan yang boleh mengelirukan. Tiada ruang tengah antara dosa dan pahala.” Saya tidak mengerling langsung ke arah kak Miah. Saya tahu dia merenung saya dengan perasaan serba salah. Saya tahu dia rasa tertampar dengan ayat jujur yang saya tuturkan. Saya tetapkan pandangan ke laut lepas. Saya malah rasa perlu menyambung.

“Bila mereka tahu beza antara baik dan tidak, mereka boleh fikir sendiri apa yang patut mereka lakukan, sudah boleh menimbang sendiri perkara yang sepatutnya.”

Kak Miah mengangguk perlahan sambil merenung ombak. Kakinya menguis pasir halus.

“Zaman sekarang terlalu mencabar rasanya.”

Saya senyum. “Memang zaman sekarang penuh cabaran. Nabi sendiri mahukan kita mendidik anak mengikut zaman anak-anak itu sendiri, bukannya seperti mana kita dididik. Jadi kita harus menuruti arus, bukan menentangnya. Tetapi, harus guna sampan yang kukuh, bukannya sampan yang bocor.”

Kak Miah menoleh ke arah saya. Dia mengangguk beberapa kali sambil memainkan rambutnya. Benar, saya sendiri selalu tertanya dan keliru. Mengapa di pejabat kak Miah boleh sahaja elok menutup rambutnya kemas dengan tudung, tetapi tidak di luar. Saya memberanikan diri bertanya.

“Ah, inilah yang kak Miah rasa sekarang. Mahu rasa insaf, mahu bertaubat.”

“Tetapi bila?”

Dia senyum serba salah. Padanya, ikut mood. Kalau rasa mahu pakai, pakailah. Jika rasa bosan dan mahu menanyangkan rambut yang ada sedikit warna perang, maka tanpa perasaan bersalah, dia pun keluar rumah begitu sahaja.

“Itulah yang saya maksudkan dengan garisan hitam, putih dan kelabu. Anak-anak pasti keliru mengapa kak Miah boleh buka dan tutup sesuka hati.”

Kak Miah angguk lagi. Saya amat berharap dia terkesan dengan teguran spontan ini. Dan matahari tetap segar bersinar di hujung laut, menghantar ombak ke pesisir pantai dan pengunjung yang masih enggan berganjak dari laut.

Port Dickson tenang petang itu, tetapi hati saya rusuh dengan garisan yang tidak jelas.

1 ulasan:

CERITAKUASN berkata...

Kisah benar ker? Hidup berkenaan pilihan. Terpulang kepada individu untuk membuat pilihan. tetapi Allah telah khabarkan pada kebanyakan ayatnya... hanya bagi mereka yang tahu berfikir. So, fikir-fikirkanlah

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...