Sabtu, Ogos 29, 2009

Menjelang merdeka

Tahun ini negara mencapai kemerdekaan yang ke-52. Agak menarik kerana 31 Ogos jatuh pada bulan Ramadhan. Nanti tengoklah, ada atau tidak rakyat Malaysia menanti di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad atau di taman sekitar KLCC atau di Bukit Bintang atau di Dataran Putra mengira detik 12 malam. Walaupun kerajaan kata tiada sambutan, tetapi kehendak rakyat Malaysia yang macam-macam ini sukar untuk dijangka. Majmuklah katakan.

Hal ini mengingatkan saya pada sambutan abad baru, atau ada yang menyebut millennium baru pada tahun 2000 yang lalu. Biarpun kerajaan Tun M kata tiada sambutan abad baru, rakyat peduli apa. Ketika itu bulan Ramadhan, dan saya ingat lagi, pesta arak besar-besaran diadakan di Bukit Bintang. Ya, keratan akhbarnya masih saya simpan dan tidak sampai hati rasanya mahu mempamerkannya disini. Cukuplah sekadar peringatan akan sambutan yang tidak memberikan sebarang makna sebenarnya. Macamlah kita tidak hidup lagi untuk abad / kurun berikutnya, iaitu pada 1 Januari 2000.

Sambutan merdeka di bulan Ramadhan, apa pengisian yang terbaik? Di sesetengah surau dan masjid, bacaan Yasin diadakan pada malam Jumaat lalu , juga solat hajat dan ceramah kemerdekaan. Tidak ketinggalan solat Jumaat semalam dengan khutbah menjurus tema merdeka.

Semoga kita terus merasa nikmat merdeka ini dengan sepenuh jiwa dan raga. Benar, mengisi kemerdekaan itu lebih sukar dari mendapatkan kemerdekaan itu sendiri. Jadi, kita sebagai warga yang bebas, bersyukurlah dengan apa yang kita kecapi dan perbaikilah diri untuk lebih maju. Semoga negara yang kita cintai ini akan terus aman dan makmur.



**
Cuti panjang hujung minggu hingga ke hari Isnin menyebabkan ramai wargakota mengambil kesempatan pulang berpuasa dikampung. Apatah lagi ramai yang sudah menerima gaji pada hujung bulan. Surau dan masjid di ibukota bertukar suasana. Saf tidak penuh, jemaah kurang, jalan kurang sesak. Moga-moga, surau dan masjid dikampung dilimpahi jemaah. Jangan pula tersandar kekenyangan dek masakan ibu, meninggalkan solat terawikh yang datang hanya sebulan dalam setahun.

Selamat bercuti!

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...