Sebenarnya, kesemua enam novel kecuali Lantera Mustika telah saya mulakan bacaan sebelum ini, tetapi tersekat pada bab permulaan. Jadi Ramadhan ini ialah proses untuk menamatkan bacaan tertangguh (disamping al-Qur'an, ya saya tahu itu). Semoga usaha ini dipermudahkan, memandangkan saya punya masa luang yang panjang dengan waktu kerja yang disingkatkan (sehingga mengundang cemburu!)
Buku-buku tersebut ialah (tidak mengikut keutamaan):
- Lantera Mustika - Nisah Haron
- Saasatul Ibad - Faisal Tehrani
- Laskar Pelangi - Andrea Hirata
- Sandera - Arena Wati
- Empangan - Zakaria Ali
- Jejak Langkah - Pramoedya Ananta Toer
Naskhah Lantera Mustika yang masih panas, baru keluar dari sampul Pos Ekspres petang tadi. Terima kasih diatas penghantaran yang sungguh cermat dan mengesankan. Saya amat teruja membuat pesanan melalui talian dengan Ujana Ilmu. Tambahan pula dengan pesanan dari Pn Nisah yang cukup 'menggerunkan'.
Malam ini, Laskar Pelangi tamat dengan seribu pertanyaan dan keharuan. Menimbang untuk menyambung Sandera yang berbaki suku. Namun Lantera Mustika memanggil-manggil, apatah lagi setelah membaca beberapa ulasan yang menarik. Tetapi saya cuba bersikap adil dengan tidak membaca ulasan hingga tamat untuk mendapatkan kesan dramatik. Dan sejujurnya, inilah novel pertama buah tangan penulis wanita yang berada di khutubkhanah saya. Ya, baru saya sedar yang saya tidak mempunyai karya penulis wanita, kecuali dua naskhah kecil karya Khadijah Hashim - novel Badai Semalam (baru dibeli sebulan yang lalu) dan antologi cerpen beliau. Kebetulan atau apa?
Sebulan enam buah buku. Saya cuba mencatat rekod! Selamat membaca (hingga ke helaian terakhir).
2 ulasan:
Semoga maklumat yang diperoleh dapat dihadam menjadi ilmu dan dikongsi bersama orang lain:)
Bakal dikongsi bersama. Sedang mencari buku lain yang sedap dan senang dibaca. Ada cadangan?
Catat Ulasan