Ya, benar. Nada pengucapan kamu sejak akhir-akhir ini mengundang pelbagai persepsi. Ramai yang meneka kamu dilanda kemuraman dan kekecewaan yang amat mendesak. Ada yang menduga, kamu diduga cubaan yang melilit diri sehingga kamu tidak mampu berkelakuan biasa. Wajah kamu, air muka kamu, kata-kata kamu, memberi bayangan kegusaran diri.
Kamu tidak mengiyakan atau menidakkan, namun kata kamu, mengenal manusia bukan mudah. Walaupun hanya ada dua jantina dimuka bumi, kehadiran mereka seperti butiran pasir di gurun nan luas. Pelbagai sifat. Bermacam tabii. Cukup sukar kita sesama insan menebak apa yang ada didalam hati mereka. Ada gemar bersembunyi dibalik bayang-bayang sendiri, ada yang senang mempunyai dua personaliti, malah ada yang tersepit dicelah diri.
Kemudian kamu bertanya, apakah cara yang baik mengenal manusia apatah lagi yang diikat oleh tali persahabatan? Apakah sebenarnya nilai sebuah persahabatan? Apakah yang berharga dalam sebuah persahabatan itu selain persahabatan itu sendiri?
Kamu mengulang soalan ini sehingga jemu. Kemudian kamu lena dengan kenangan lalu sebelum kamu dikejutkan lagi oleh soalan yang sama.
Kamu akui telah berdosa. Dosa kepada seorang sahabat, kepada persahabatan, kepada tali yang mengikat kamu dan sahabat.Kamu mengaku menjadi pengkhianat. Kamu mengaku menjadi pemusnah amanah. Kamu mengaku telah menghapus kejujuran persahabatan. Kamu akui melanggar tembok penghadang yang selama ini kukuh, lalu melepasi benteng manusiawi, membiarkan keinginan menguasai diri, melanggar aturan semulajadi, menjadi penentang arus dan lalu hanyut dalam kemahuan keinginan.
Kamu akui tewas.
Akibatnya kamu disiksa. Kamu tahu memang itulah balasan yang patut kamu terima. Namun kamu persoalkan akan peritnya yang tidak tertanggung hingga kini. Kamu akui telah mengkhianati. Kamu mengakui berkali-kali. Lalu, kamu menyatakan maaf buat sekian kali. Kamu merasa berdosa, merasa terhina, merasa tersiksa oleh perbuatan diri. Kamu mengharapkan kemaafan berbalas. Namun sahabat itu cukup mendera, seolah dendam telah lama bersarang. Lalu, soalan kamu tidak berbalas, sapaan tiada jawapan. Usikan tidak berbekas, ajakan tidak diendah. Wajahnya mencuka, dibalas pandang pun tidak. Mukanya selesa meraba bumi, membiarkan kamu hiba kerana merasa sepi.
Kamu hampa. Kerap kali amu bertanya apakah dengan sepotong maaf berkali-kali belum cukup kuat membaiki tali yang sudah di robek? Harus dikatakan apa lagi selain maaf, jika segala yang kamu lakukan dibalas tuba?
Kamu diberi pembalasan maha pedih.
Persahabatan yang jujur dan ikhlas - nasihat yang lain - akan segera memaafkan jika menyedari mereka saling memerlukan. Cubalah kamu larikan diri darinya, nescaya kamu akan terasa kehilangan dan mahu kembali. Sahabat ialah insan yang amat diperlukan oleh manusia dalam menti perjalanan sehari-hari. Teman segandingan yang mengerti payah lelah, yang mengerti erti susah dan senang. Tidak akan betah hidup sendiri, pasti perlukan seseorang untuk berlawan cakap meskipun jarang bersetuju akan sesuatu perkara. Begitulah erti sebuah persahabatan ini.
Tetapi melihatkan apa yang berlaku, kamu sendiri tidak pasti akan masa depan. Sehingga bila renggangnya tidak tahu, walaupun kamu telah melihat dia sentiasa gelisah dan resah kehilangan kamu sebagai seorang yang selalu disampingnya. Dia tahu, kamu selalu menjadi bahu untuknya bersandar, memberi telinga untuk mendengar, memberi ruang masa biarpun kamu dikejar waktu dan bersama berkongsi airmata duka dan gembira. Kamu tahu dia kehilangan, kamu tahu dia keseorangan. Tetapi bila usaha kamu merapati tidak diendahkan, apalah gunanya terkejar-kejarkan bulan yang jauh didada langit dan kamu menjadi pungguk yang memandang hiba dari celahan ranting.
Pada kamu ada pedih dalam hati dipinggirkan tanpa sebarang kemaafan, dan dia menjauh kerana terasa dikhianati dan enggan memaafkan.Akhirnya kamu akur bahawa sukar untuk menafsir sebuah persahabatan.
Kamu bertanya lagi, sampai bila harus begini?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari
Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...
-
Terdengar lagu ini dalam kereta ketika memandu ke pejabat pagi tadi. Bait-bait liriknya indah di telinga dan sedap dibibir. Cepat-cept cari ...
-
Judul :Saga Penulis : Abdul Talib Mohd Hassan Penerbit : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd Cetakan :15, 1998Tebal : 388 ISB...
-
Hujung minggu yang lalu saya menghadiri aktiviti perkhemahan di Hutan Lipur Lentang, Karak atas undangan sebagai Pembantu Jurulatih. Saya di...
5 ulasan:
sangat sukar.sangat betul.
suka tulisan akak yang ni.
:)
teruskan berkarya
salam.. bernas! sy pn selalu bfikir tntg ini..
percayakan org? lg masalah...
kdg rs lelah sgt mlayan manusia, mlayan arus2 khidupan ni..
terima kasih anda mmbuat sy bfikir..
Fami, kebetulan kita berkongsi perasaan yang sama. Blog Fami berpusing pada isu yang sama. Sabar.
Anon, sandarkan semua kepada Tuhan.
Fikir-fikirkan
sepertinya aku serik...
sepertinya aku serik...
Catat Ulasan