Rabu, November 25, 2009

Berbisnes ibarat 'berperang' (tapi bukan berperang) - Siri 1

Saya diberitahu oleh seorang bekas pegawai askar, terdapat Empat Fasa Peperangan (4 Phases of War), yang disimpulkan dengan mudah seperti berikut:
1) Advance (Mara)
2) Attack (Serang)
3) Defend (Pertahan)
4) Tactical deployment (Mengatur kedudukan secara taktikal)

Apabila mendengar beliau bercerita, saya segera mengaitkan fasa ini dalam perniagaan. Mungkin ada mengibaratkan ini seperti tips peperangan oleh Sun Tzu, tetapi kerana belum baca buku Sun Tzu, memadailah saya membuat pengamatan sendiri tanpa mencampuradukkan ia dengan pandangan luar.

Mari kita lihat kaitan fasa peperangan dengan fasa perniagaan.

Pertama, mara (advance).

Untuk mara atau masuk dalam perniagaan, kita haruslah mempersiapkan diri dengan segala macam kemahiran. Oleh itu, amat sesuai untuk kita belajar selok-belok perniagaan secara terus, maksudnya belajar secara praktikal dengan usahawan / peniaga / pemilik perniagan. Oleh itu, kita selalu melihat ramai orang bekerja bagi menimba pengalaman, belajar secara serius cara menjalankan perniagaan kemudian barulah memulakan perniagaan sendiri.

Kita perhatikan bagaimana askar bersiap sedia ke medan perang. Sebelum ditauliahkan sebagai askar, mereka perlu menjalani pelbagai jenis latihan dari peringkat asas satu demi satu sehingga ke peringkat berikutnya. Mereka dibekalkan dengan ilmu perang, bukan sahaja dengan menggunakan senjata juga tanpa senjata. Mereka ditanam dengan disiplin yang kuat, 'rejim' latihan yang perit (drill), pengulangan secara rutin dan menempuh tempoh masa yang rigid (baca: kemahiran bukan boleh datang sekelip mata). Bagi yang tidak tahan, maka mengalah dan tewas. Jika cekal dengan impian menjadi seorang askar, maka bertahanlah dengan segala macam perkara yang tidak pernah terfikirkan (ragging, denda).

Sebaik sahaja selesai dan berjaya melepasi tempoh latihan, mereka dikurniakan tauliah dan benar-benar bergelar seorang askar. Mereka benar-benar telah melepasi satu tempoh latihan yang memeritkan tetapi ia adalah satu proses bagi membentuk seorang askar yang berjaya (baca: jangan mengalah dengan cubaan, biarpun ketika bekerja diamanahkan tanggungjawab berat dan tekanan kerja yang mendera). Apa yang diterapkan ialah, mereka mempertahankan sebuah negara dari serangan musuh, dan nyawa harus dipertaruhkan untuk tujuan itu.

Oleh itu, jika kita benar-benar mahu berjaya sebagai seorang usahawan / peniaga, laluilah semua halangan di tempat (andai menjadikan tempat kerja sebagai medan latihan) dengan istiqamah dan jujur. Siapkan segala kerja, jangan melawan kata dan arahan ketua, usah bertelagah dengan teman sepejabat dan konsisten dengan prestasi.

Lihat dan perhatikan bagaimana ketua membuat tidakan berikut: menyelesaikan masalah, membuat keputusan, memberi arahan yang boleh diterima kepada kakitangan bawahan, mengendalikan mesyuarat, berkomunikasi dengan ketua (superior) dan kakitangan bawahan, berhubung dengan pelanggan dan pembekal, membentangkan bajet, membuat analisa pasaran,  memotivasi pekerja, menyusun atur hidup dipejabat dengan rumah, memahami organisasi dan syarikat dan macam-macam lagi. Smeua ini pelajaran tidak langsung yang kemdiannya akan dipraktikkan dalam perniagaan sendiri.

Fasa kedua peperangan menyusul dalam entri berikut

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...