Jumaat, Jun 25, 2010

T.E.A.M


Pertama sekali mendengar TEAM diberikan maksud sebagai together everyone achieves more saya menjadi sangat teruja. Ia sangat tepat. Maka bersempena dengan Piala Dunia, ada kerjasama erat daripada pelbagai pihak yang tiba-tiba wujud. Penonton bola memenuhi ruang gerai dengan meminum bercawan-cawan teh atau kopi, dan tuan punya kedai menyediakan layar besar bagi menarik pengunjung. Ada konsep timbal-balik dan sama-sama menang.

Musim demam Piala Dunia melanda, apa sahaja yang dibualkan, pasti ada sangkut paut dengan bola. Menulis entri blog atau meletakkan status pada Facebook misalnya, pasti berbau bola. Kata orang, demam sekali dalam masa empat tahun ini harus di sambut. Rugi kalau di tinggalkan atau tertinggal.

Setiap kali menonton perlawanan, tidak kiralah selepas Maghrib atau awal pagi, saya sering melihat dari sisi yang berbeza. Biasanya saya kaitkan ia dengan kehidupan dan kerjaya. Portfolio di pejabat yang berkaitan dengan sumber manusia menyebabkan tabiat ini bukan di ada-adakan. Banyak yang perlu diambil kira bagi membaiki suasana kerja. Tambahan pula melihat gelagat pemain, penonton dan pengulas tidak bertauliah itu sebenarnya mengundang tawa dan ilham, yang secara tiba-tiba mahu turut sama beradu dalam kepala.

Saya suka merenung dari sisi lain. Kerjasama berpasukan dalam menjana kemenangan. Kekuatan fizikal bagi menampung kelajuan musuh. Usaha tidak mengenal lelah bagi membuat serangan ke pihak lawan. Saling membantu bagi menghalang serangan bertali arus pihak lawan. Prinsip tidak mudah berpuas hati biarpun sudah mendahului. Jangan tamak dan pentingkan diri sendiri. Usah sia-siakan peluang di hadapan mata. Dan paling penting ialah jangan mudah menyalahkan atau menuding jari jika berlaku kesilapan.

Paling penting ialah bolasepak itu permainan berpasukan. Setiap sebelas orang ada peranannya. Penyerang, pertahanan, penjaga gawang, pemain tengah, sayap kiri atau sayap kanan semuanya telah dietetapkan supaya menjalankan peranan masing-masing. Sebelas orang pemain selama sembilan puluh minit mengejar bola dan usaha menendangnya ke pintu gol lawan tidak akan terhasil dengan hasil usaha seorang. Ia usaha berpasukan. Tidak akan ada pasukan yang berjaya dengan seorang pemainnya sahaja yang bertungkus lumus.


Ini sekaligus membawa saya kembali ke bengkel penulisan skrip bersama AVA dan Pn Maizura Mohd Ideris tiga minggu yang lalu. Katanya, membuat karya visual (drama, filem, telemovie, dokumentari) adalah hasil usaha berpasukan. Ia adalah gabungan usaha penulis skrip, skrip, pelakon, jurubusana, pengurus produksi, pengurus line, jurukamera, penata cahaya, juruteknik, penyunting, pembancuh teh (katering!) dan penerbit sebagai pemberi dana. Jika pincang satu, maka kemungkinan karya itu rosak tetap ada, walaupun satu peratus. Oleh itu, skrip yang baik belum tentu menghasilkan karya yang baik tanpa pasukan produksi yang baik. Dan ada kalanya dengan pasukan produksi yang produktif, skrip yang tidak berapa cantik boleh juga menghasilkan karya yang cukup terangkat. Ia bergantung kepada kerjasama sesama ahli. Yang penting, ada kesungguhan menghasilkan karya, lalu mereka hadir dengan matlamat yang sama.


Samalah juga dengan hidup kita. Sebagai khalifah, kita dianjurkan hidup bekerjasama sesama insan. Saling tegur menegur atas perkara yang salah, saling bantu membantu bila di dalam kesusahan. Untuk ke syurga, bukanlah dengan usaha seorang diri. Sebab itu, solat berjemaah itu digalakkan dengan ganjaran 27 kali lebih dari berseorangan.

Dalam bidang kerja, kerja berpasukan ini amat ditetapkan. Jika penyerang itu tugasnya menjaringkan gol sebanyak mungkin, dia telah di tetapkan cara bagaimana dia menjaringkan gol. Setiap hari berlatih cara untuk menyepak bola tepat ke gawang dengan pelbagai cara. Mereka belajar cara membuat sepakan penalti, sepakan percuma, menggelecek lawan dan membuat sepakan sudut. Semuanya dengan matlamat menewaskan penjaga gol. Itulah skop kerja penyerang. Seperti mana skop kerja staf di sesebuah penjabat, tidak ada kerja yang boleh bertindan antara satu sama lain, mestilah setimpal dengan jawatan dan gaji, dan tidak punya unsur menganiya. Semuanya  harus di berikan peluang sama rata.


Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...