Ini tanda sudah dibanci!
Banci Penduduk dan Perumahan 2010 sudah pun bermula. Rasanya musim banci ini tenggelam dengan demam bola. Apa tidaknya, disana sini orang sibuk bergebang pasal bola. Maka kerajaan terpaksa buat lagu dan iklan khas untuk proses pembancian. Nampak lawak juga bila liriknya diperhati dengan teliti, namun terpaksalah juga dibuat kerana masyarakat kita sekarang asyik mahsyuk dengan lagu, hinggakan nak mengundi, nak sambut kemerdekaan, nak naik haji, nak sambut puasa pun ada lagu khas. Jangan nanti nak naik sekolah ada lagu khas ajak adik-adik dan anak-anak yang liat naik sekolah atau mengingatkan mak bapak yang lupa bila tarikh sekolah dibuka. Almaklumlah, beg dan pakaian sekolah belum dibeli lagi. Terlupa sebab anak dihantar ke kampung.
Bagi yang kurang arif pengetahuan am, banci kali ini kali kelima diadakan secara menyeluruh selepas tahun 1970, 1980, 1991 dan 2000. Dengan kata lain, setiap sepuluh tahun sekali kerajaan akan buat pembancian bagi mengira kembali jumlah rakyat Malaysia sama ada bertambah atau berkurang. Namun kita harus ingat, banci bukan bertujuan mengira jumlah penduduk sahaja. Banyak maklumat yang kerajaan boleh dapat bagi membekalkan satu set maklumat berstatistik yang komprehensif mengenai arah aliran dan corak ciri-ciri isi rumah dan penduduk. Data dan penemuan penting mengenai stok perumahan, jenis dan corak pemilikan juga diperoleh. Maklumat ini dapat membantu dalam perancangan, penggubalan dan pelaksanaan polisi oleh Kerajaan dan digunakan oleh para penyelidik dan individu lain. (Disalin terus dari sini, haih!)
Semalam, ketika sedang bersantai usai iftar sambil jari silih berganti mengklik laman web satu demi satu dengan tv terpasang tidak peduli siaran, kedengaran ketukan di pintu dengan ucapan salam. Pintu rumah sebelah sebenarnya. Apabila salam tidak berjawab dan pintu tidak dibuka, ketukan dan salam itu berganti ke rumah saya. Rasa malas nak buka, hajat hati mahu membatukan diri. Biasanya yang rajin beri salam dan ketuk pintu adalah Bangla jual karpet, makcik jual kerepek dan pegawai kesihatan yang datang memeriksa jentik-jentik (beri nasihat sahaja, tak masuk pun). Namun melihat lampu kalimantang menyala, kipas laju berputar dan tv yang deras berbunyi, rasa tak patut pula saya tidak menjawab salam atau berterusan menutup pintu.
Pegawai banci rupanya. Anak gadis menyandang beg, memakai tag dengan pen dan buku ditangan memperkenalkan diri. Menyedari tugasnya sebagai pembanci, saya berubah menjadi tuan rumah yang baik lalu mengajaknya masuk ke dalam rumah. Dia menolak dan kami pun bersoal jawab dipisahkan pagar jeriji. Ringkas sahaja soalannya; nama penuh, asal, tarikh lahir, kelulusan, pendapatan isi rumah, berapa orang tinggal dirumah, rumah sewa atau beli, kadar sewa, jawatan dan tempat kerja. Kemudian dia menampal kad berwarna menandakan rumah ini telah dibanci. Selesai.
Saya duduk kembali menyambung klik-klik. Berita di kaca tv memaparkan proses pembancian dan menceritakan kesukaran yang dihadapi oleh pembanci. Pihak berwajib menyatakan kesukaran menembusi rumah yang dikatakan berstatus elit seperti Sri Hartamas, Damansara, USJ, Taman Tun blablablabla. Visual menunjukkan rumah mahal yang berpagar tinggi seperti tak beri tetamu datang (tetapi perompak boleh masuk). Seterusnya temuramah dengan orang awam bertanyakan pendapat mengapa sukar nak masuk ke kawasan rumah orang kaya raya seperti itu.
Secara tiba-tiba minda saya menerawang. Kali pertama saya berhadapan dengan 'orang banci' ialah pada 1990, ketika itu darjah enam (tetapi kenapa diatas kata tahun 1991?). Emak sedang duduk berbual dengan jiran dihadapan rumah petang itu bila seorang kakak banci datang memberi salam lalu bertanya beberapa soalan. Emak mengajaknya duduk sekali lalu menghidangkan air. Tentu kakak banci ini haus, fikir saya apabila melihat dia selepas itu berjalan ke rumah jiran yang lain bertanyakan set soalan yang sama. Emak bukan setakat menghidangkan air malah sempat berbual-bual dan beramah mesra. Gaya orang kampung begitulah, macam-macam ditanyakan. Akhir sekali saya lihat kakak itu menunggu van di tepi jalan yang membawanya pulang, yang didalamnya ada beberapa orang yang saya kira abang-abang dan kakak-kakak banci juga.
Tahun 2000 saya tidak melalui proses banci kerana sedang belajar, tinggal jauh dari keluarga. Tetapi ada seorang kawan yang rajin mencari kerja sambilan, bertugas sebagai pembanci. Saban waktu saya lihat dia kelam kabut mengusung beg sandang berwarna hitam tanpa tahu apa sebenarnya yang dia lakukan.
Sepuluh tahun kemudian (sekarang), saya melalui apa yang emak lalui dua puluh tahun dahulu. Namun zaman sudah berubah. Melihat kepada berita yang dipaparkan, masyarakat kita secara tidak langsung mengalami satu perubahan sosial yang tidak menarik. Dahulu, pintu rumah boleh di ketuk, salam mudah dijawab, tuan rumah melayan dengan mesra. Tetapi sekarang, tuan rumah jarang lekat, pembantu rumah jadi tuan, anak-anak entah ke mana. Nak buka pintu bila dengar loceng rasa gerun, mahu jawab salam rasa was-was, nak berbual dengan orang yang tidak dikenali rasa bahaya. Lebih senang membatukan diri dalam rumah. Maka kerajaan sendiri pusing memikirkan cara terbaik mendapatkan maklumat bancian yang betul supaya tidak ada yang tertinggal atau ketidakcukupan maklumat.
Perubahan sosio-ekonomi sebenarnya mempengaruhi gaya hidup kita. Memang saya akui yang sekarang ini kita tidak sewenang-wenangnya hidup seperti dahulu. Aktiviti jenayah juga sudah melepasi tahap profesional. Pasti ada yang risau jika ada sahaja yang cuba menjadi penipu dengan menyamar sebagai pembanci yang kemudian berpura-pura sakit perut dan mahu menggunakan tandas lalu mencuri secara kecil-kecilan (seperti jam tangan, laptop) atau melakukan rompakan besar-besaran (memanggil geng selepas mengikat si pembantu rumah). Apatah lagi dengan kebanjiran warga asing yang lebih gemar melakukan jenayah daripada cari kerja sehingga menyukarkan penjenayah tempatan 'cari makan' sehingga terpaksa memikirkan modus operandi yang lebih mantap. Kita dah rasa takut tinggal di negara sendiri (serius!).
Namun kawan, kita harus fikir, apakah kerajaan sebodoh itu membiarkan pembanci masuk ke rumah sesuka hati. Kerajaan juga memikirkan keselamatan warga pembanci, apakah nanti mereka dipukul kerana disyaki menyamar untuk melakukan jenayah atau diperkosa selepas masuk ke rumah orang bujang yang langsung tidak disangka-sangka. Saya pasti kerajaan sudah memikirkan semasak-masaknya pelbagai kemungkinan yang timbul dan mengambil langkah berjaga-jaga sebelum berlakunya perkara yang tidak diingini. Tambahan pula sekarang ini segala-galanya mahu di politikkan. Jadi eloklah kerajaan sediakan payung sebelum hujan.*
Berdasarkan pengalaman saya selepas dibanci, saya ingin menasihatkan perkara berikut kepada tuan puan yang belum dibanci dan merasa takut-takut untuk dibanci:
- Pembanci tidak sewenang-wenangnya masuk ke rumah biarpun diajak dengan wajah yang manis penuh gula. Selamat untuk pembanci, selamat untuk tuan rumah
- Pembanci lebih seronok menanyakan soalan dipintu rumah yang berjeriji. Jadi tak perlulah fikir nak menghidangkan apa selepas bersoal jawab. Selamat untuk pembanci, selamat untuk tuan rumah
- Jika ada pembanci mahu tumpang menggunakan tandas, seelok-eloknya suruh dia pergi ke masjid, surau atau tandas awam. Lebih elok jangan beri masuk kalau ragu-ragu tentang keselamatan. Selamat untuk pembanci, selamat untuk tuan rumah
- Jika pembantu rumah tinggal di rumah lebih lama berbanding tuan rumah, maka nasihatkan dia menelefon majikan terlebih dahulu selepas pegawai banci memperkenalkan diri. Biarlah majikan jawab menerusi telefon kalau pembantu rumah tak pandai nak jawab soalan. Oh ya, pastikan menggunakan loud speaker dan henfon di pegang oleh pembantu rumah, kalau tidak nanti kena kebas. Selamat untuk pembanci, selamat untuk tuan rumah
- Kalaupun mahu pembantu rumah menjawab soalan, siap-siapkan jawapannya terlebih dahulu. Soalan bocor sudah saya sediakan seperti diatas (baca dari awal, jangan langkau perenggan!). Selamat untuk pembanci, selamat untuk tuan rumah
Namun saya rasa kebanyakan rumah orang kaya raya, orang elit di Sri Hartamas, Damansara, USJ, Taman Tun blablablabla telah dilengkapi dengan interkom dan CCTV. Kalau ada yang menekan loceng, si pembantu rumah tahu siapa yang datang dengan hanya melihat melalui CCTV. Soal jawab boleh dibuat menerusi interkom. Teknologi canggih juga bukan?
Dan kalau rumah tuan puan tidak punya interkom atau CCTV atau alat penggera keselamatan atau loceng, hubungi saya segera. Syarikat saya boleh buat pemasangan segera! (Iklan murahan. Aha!)
Nota:
* Nada berubah kepada penyokong kerajaan tegar. Ggrrrrrrr.....
** Saya tulis entri ini dengan geram selepas menyedari ada rakyat Satu Malaysia yang skeptikal, prejudis dan membuat provokasi terhadap para pembanci. Yang buat jahat itu sekelumit, yang dapat nama busuk itu orang lain. Kasihan kerajaaan yang mahu membuat statistik tepat rakyat Satu Malaysia. (Sekali lagi, nada berubah kepada penyokong kerajaan tegar. Ggrrrrrrr.....)
2 ulasan:
Norziati - roh satu Malaysia sukar dihayati. Boleh bantu?
yang datang rumah aku - 5 minit je, tak tanya banyak2 pun...
Catat Ulasan