Isnin, Ogos 30, 2010

Baca @ Ramadhan

Asalnya enam, kemudian bertambah satu. Buku yang saya sasarkan untuk baca sepanjang Ramadhan ini adalah seperti berikut:

  1. Delima Ranting Senja - Siti Zainon Ismail
  2. Enggang Lalu Ranting Patah - Harper Lee
  3. Konserto Terakhir - Abdullah Hussain
  4. Orang Lama - A Samad Ismail
  5. Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur - Keris Mas
  6. Serigala dan Sekuntum Tulip - SM Zakir
  7. Sungai Mengalir Lesu - A Samad Said
Setakat ini yang sudah ditamatkan hanyalah Orang Lama yang saya pinjam dari seorang kenalan. Orang Lama merupakan novel langka, entahkan ia lulus atau tidak sebagai bacaan. Kenalan saya membelinya nun jauh di Kota Kinabalu di celah-celah longgokan buku berbahasa Mandarin. Kisahnya berkisar perjuangan orang berhaluan kiri yang selepas merdeka cuba mendapatkan kembali sokongan dan momentum dari rakyat Malaya bagi membangkang pembentukan Malaysia sehingga menyebabkan berlakunya konfrantasi. Mereka menerima bantuan kewangan dari negara luar bagi menghalang usaha tersebut dalam memastikan nusantara Melayu dibentuk menerusi sebuah kesatuan negara Melayu. Ya, ada unsur kontroversi didalamnya. Sambil itu saya cuba mengaitkannya dengan suasana politik semasa - tatkala hubungan kita dengan negara jiran di bulan Ramadhan ini sedikit bergetar.

Sekarang sedang berhempas pulas menghabiskan Delima Ranting senja, sebuah novel yang bisa membuatkan dahi berkerut-kerut. Bagi menyeimbangkan bacaan, saya baca bersekali dengan Konserto Terakhir, sebuah novel Komsas yang pernah saya baca ketika menjadi guru tuisyen sementara ketika baru tamat belajar. Delima Ranting Senja membawa saya berputar-putar dari Malaysia ke Indonesia, lalu ke Thailand, Myanmar, Filipina dan negara-negara Eropah (setakat ini). Malah kini lebih mengenali sekitar budaya di ribuan pulau yang berserakan di Indonesia, mengenal siasah dan budaya serta corak hidup masyarakatnya. Mungkin kerana pernah melibatkan diri dalam kerja sukarela maka novel ini amat dekat dengan diri dan mampu saya hayati walaupun ada banyak tanda tanya. Perlu membaca sambil Google menyala bagi memudahkan pencarian atas isu yang kurang difahami. Delima Ranting Senja sebenarnya mengajak pembaca melihat ia melampaui keterbatasan sebuah novel. Ada rangkuman sejarah, sastera, geografi, sains. ekonomi dan politik didalamnya.

Konserto Terakhir sekadar bacaan ringan, membawa diri terbuai buai dengan derita Hilmi yang dipinggirkan dan kisah hidup golongan korporat Melayu sekitar 70-an yang berusaha membentuk identiti diri. Teringat pada filem Abang yang saya tonton bulan lalu. Sikap-sikap yang terpapar adalah acuan dari budaya barat dan saat itu kita masih lagi belum bebas dari kongkongan imperialis. Golongan korporat selesa dengan budaya orang putih sehingga budaya Melayu itu dipandang sebagai kolot dan ketinggalan. Tetapi ia masih lagi wujud hingga kini, bukan?

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya ingin dapatkan novel Enggang Lalu Ranting Patah (1990)atau karya asalnya To Kill A Mockingbird by Harper Lee (1960). boleh tolong saya dapatkan novel ni? jika ada tolong email saya suzanaamir@hotmail.com

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...