Selasa, November 23, 2010

Segugus Doa Buat Bonda

Hari ini Selasa, 23 November 2010. Sudah masuk tiga belas hari emak berada di hospital. Saban hari mengunjunginya di sana, dia mengalirkan airmata dan mengajak pulang ke rumah. Rimas duduk diam dan baring di katil tanpa sebarang kerja. Katil di kiri, kanan dan hadapan silih berganti pesakit tetapi dia tetap di situ tanpa sebarang perubahan. Apa yang menggelisahkan ialah tiada satu wayar pun di cucuk di badan, doktor datang setiap jam memeriksa darah tetapi hasilnya tetap begitu. Darah emak masih belum mencapai tahap normal. Tahap dua kata doktor dan masih mencair. Tahap kecairan yang membahayakan.

Asalnya ada darah beku dalam paru-paru emak, yang dikhuatiri boleh menyebabkan strok sekiranya darah beku ini merayap sehingga ke otak. Ia tersangkut di paru-paru menyebabkan emak sesak nafas. Dari Hospital Jempol, emak dihantar ke Hospital Kuala Pilah, kemudian ke Hospital Seremban untuk imbasan badan dan kembali ke Hospital Kuala Pilah sejak 11 November. Lima hari pertama di CCU untuk doktor mencairkan keseluruhan darah kemudian dipindahkan ke wad biasa bagi memekatkan semula darahnya. Tetapi paras darah emak turun naik - sekejap bacaannya 1.17, kemudian 1.3 turun 1.0 dan tiba-tiba semalam tiada bacaan. Hairan pun ada juga. Doktor tidak membenarkan emak keluar atau pindah hospital, dibimbangi keadaannya nanti memburuk. Maka bertambah-tambah rimas emak di hospital. Tidur malamnya pun sudah meracau-racau, sambil mimpi bertemu arwah nenek yang meninggal tanggal lima Ramadhan lalu. Makanan hospital pun enggan di jamah kerana mogok mahu pulang. Cakapnya pun sering mengundang airmata. Apa ayat lagi yang harus di ucapkan untuk memujuk emak supaya kekal dan sabar di hospital?

Sejak dari hari pertama, kami mengunjungi emak bagi menemankannya ketika waktu lawatan, supaya terbunuh kesepiannya seketika. Tetapi bila kami pulang, hanya jururawat dan doktor yang menjadi kawan. Maka bertambah-tambahlah hiba hatinya.

AidilAdha yang lalu adalah yang pertama kali tanpa emak disisi. Malah hari jadi emak pada esoknya pun kami sambut dengan sebiji kek di katil hospital. Keadaan masih begitu juga dan emak tetapi mengira hari keberadaannya di hospital sambil tidak putus bertanya perkembangan darahnya kepada doktor. Tiada apa yang boleh kami lakukan kecuali berdoa, kerana ia adalah senjata kekuatan untuk kami saat di duga sebegini. Tambahan pula kami tahu ini dugaan kecil sahaja berbanding orang lain, tetapi yang kecil inilah yang banyak menggugah semangat dan kesabaran.


Ya Allah,, kau sembuhkanlah penyakit emakku, kembalikanlah darahnya ke paras normal supaya dia boleh pulang segera ke rumah dalam keadaan sihat. Seandainya dia perlu tinggal lebih lama di hospital, maka Kau tetapkanlah hatinya untuk lebih sabar dan tabah. Kami sekeluarga tidak tahu apa yang harus kami lakukan selain berdoa kepadaMu, maka Kau bantulah kami Ya Allah.


Amin.

4 ulasan:

Nur Fatiha Fadila berkata...

Assalamualaikum, Kak.

semoga emak akak dan akak tabah menghadapi dugaan ini.amin

srirahayumohdyusop berkata...

Salam Norziati,

Saya doakan ibu anda cepat sembuh. Amin.

Tanpa Nama berkata...

Salam zeti,
Didokan ibu sembuh seperti sediakala.. kuatkan semangat ya. Aku tahu bagaimana rasanya bila ibu-bapa kita sakit, kerisauan, kesedihan pasti akan sentiasa datang.

-zkea-

Norziati Mohd Rosman berkata...

Wardah,
Amin

Kak Sri,
terima kasih

Zkea,
Ya, begitulah. Ada duka sengsara :-(

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...