Rabu, Disember 01, 2010

Ke Hatyai 1

Syukurlah saya dikurniakan kesempatan menjejaki Hatyai, sebuah wilayah kecil di tanah selatan Siam. Sebelas tahun lalu - saya masih ingat lagi - berpeluang menjejaki Hatyai, Songkhla juga Satun dalam satu aktiviti yang dianjurkan oleh pihak universiti bersama lapan belas teman. Ketiga-tiga tempat ini menjadi lokasi persinggahan dalam ekspedisi kami di lautan yang bermula dari Satun, mengelilingi kepulauan Langkawi dan berakhir di Kuala Perlis.

Itu cerita dahulu.

Di Padang Besar ketika menanti pasport di cop dan proses pertukaran kepala gerabak. Masa terluang tidak boleh di siakan. Idea datang, ilham mencanak keluar, tangan laju menulis, jari rancak menaip, foto pun di rakam. Inilah kombinasinya

Hujung minggu lalu saya berpeluang ke Hatyai dengan berkeretapi dari KL Sentral bersama rombongan guru-guru dari sebuah daerah di Selangor. Bertolak dari KL Sentral Jumaat (sebelah malam) dan tiba Isnin di KL Sentral (awal pagi) langsung terus ke pejabat. Perjalanan selama empat belas jam, ya 14 jam itu cukup panjang tetapi beberapa acara yang disediakan oleh pihak penganjur tdak menampakkan ia suatu kebosanan. Namun, acara berkaraoke sepanjang perjalanan itu sendiri sudah nampak unsur-unsur tidak serasi dengan saya. Sekejap melayan bolehlah, kalau berterusan menyakitkan telinga sahaja. Saya tidak menghalang atau menegah, tetapi seperti biasa, jika tidak suka saya lebih senang melarikan diri dari bertekak tidak tentu pasal.

Bersama dua teman lain, kami berjalan-jalan sekitar keretapi dari hujung ke hujung gerabak, membuka pintu lalu mengambil udara segar, bergambar di setiap perhentian dan kemudian berhenti di kantin. Lebih senang berbual bicara disini, mencambahkan ilmu dan berkongsi emosi sambil masing-masing dengan buku, pena, komputer bimbit, telefon dan perakam audio menangkap setiap inti perbincangan dan mengecapnya dengan penuh nikmat.
KL Sentral. Tetap membaca sambil menanti

Sewaktu menerima jadual perjalanan, saya sendiri sudah menyangka mengambil masa yang lama. Lalu saya menetapkan buku yang dibawa haruslah tidak berat temanya dan mudah dibawa. Tiga buku inilah yang menjadi teman setiap waktu sepanjang perjalanan disamping buku nota yang sentisa merakam isi hati dan fikiran sewaktu melewati perjalanan yang mengasyikkan.

Saya kira, inilah percutian yang bermanfaat, mengenalkan saya kepada insan yang selama ini saya kenali dari jauh. Kedua-duanya dengan karektar, lalu kami seolah-olah membentuk satu kombinasi menarik dan hebat sehinggakan kelibat kami bertiga menjadi satu igauan dan trauma kepada para rombongan. Bila ada masa terluang, ada sahaja soalan saya tanyakan, sambil seorang lagi menangkap gambar secara curi untuk santapan mata kemudiannya. Perbualan-perbualan inilah yang mencerahkah lalu menimbulkan perasaan gerun kepada ahli rombongan - tiga manusia pelik dengan profil berbeza seolah tersilap masuk ke dalam rombongan walaupun tidak buat kacau.

Ali berdoa semoga Tuan Malim Ghozali PK datang ke gerabak untuk dia bertanya banyak soalan, nyata permintaannya segera di makbul tuhan. Dia bertanya soalan, meletak perakam audio di sebelah, saya menaip status perjalanan dan Bayan dengan kamera seperti biasa.

Paling mengejutkan, satu soalan yang singgah di telinga saya dalam perjalanan pulang. Saya sedang membelek sebuah buku yang baru di beli dari Hatyai - satu-satunya buku yang boleh dibeli dan di baca - ditanyakan satu soalan, "boleh tak berhenti membaca sekejap?" 

Saya terdiam memandangnya yang duduk bertentangan saya disebabkan oleh kedudukan kerusi yang saling berhadapan. Saya terdiam mendengar soalan pelik ini lalu menghulurkan buku ditangan kepadanya yang meminta izin melihat. Dia membelek dari kulit ke kulit, sebuah buku nipis memaparkan kisah dari sebuah filem berjudul Iraq.

"Saya ni kalau rajin membaca, sudah jadi pensyarah sekarang." Dia menyambung sambil ketawa. Entah kepada diri sendiri atau kepada saya, tetapi saya diam juga lalu senyum. Satu senyuman sinis kepadanya. Dalam hati saya beristighfar. Inikah rupa para guru kita yang dalam mendidik anak bangsa pun masih membelakangkan sesuatu yang sepatutnya menjadi keharusan? Saya tiada jawapan untuk itu. 

Keretapi mendesah laju membelah malam yang semakin gelap. Masih berbaki sepuluh jam perjalanan untuk mereka tidur, makan, termenung dan berbual sepuasnya. Itulah makna cuti bagi mereka.



Nota: Kredit semua gambar kepada Bayan yang suka dengan kamera, persepsi sebuah foto pada matanya sangat mencerahkan. Ada sahaja yang menarik di jadikan memori.



4 ulasan:

Siti Salha Rosman berkata...

Dulu, kalau dari KL Sentral nak ke Sungai Petani pun dah mengeluh inikan pula Hatyai. Pasti badan rasa sengal-sengal.

Tanpa Nama berkata...

Pengalaman yang menarik dan mengayakan pemikiran. Bersama awak dan Ali, buat saya semakin kerdil. Ya, saya akui kita kombinasi yang mantap walau pelik. Semoga ada lagi kembara yang boleh menyatukan kita.

Catatan yang ringkas namun bermakna.

Norziati Mohd Rosman berkata...

Siti, pengalaman lebih mahal harganya

Norziati Mohd Rosman berkata...

Zalila, semoga ada peluang lagi untuk kita bersama menjelajah dan mengembara

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...