Khamis, Disember 09, 2010

Tiga situasi

1) Bicara tentang hujan, siapakah tidak gemar? Dingin menyapa tubuh, cuaca yang tidak gelap dan tidak siang, angin berhembus kuat-perlahan sambil sesekali merembes hujan ke muka, pohon melambai-lambai di tiup kencang sang angin, dan apakah lagi?

Perkara sinonim dengan hujan seperti yang dimaklumi umat manusia ialah tidur tetapi saya tidak sedikti pun teruja menikmatinya. Hujan adalah waktu dimana saya bersegera ke tingkap, membukanya seluas yang boleh, memerhati hujan jatuh dari cucur atap lalu menimpa bumi, melihat air mengalir ke longkang, melewati ke parit lalu membawa ke sungai, melihat sampah yang dibawanya sekali, melihat pokok yang meliang liuk dipukul angin, memerhati langit yang gelap, awan yang diliputi hujan. Pernah dahulu saya cuba mengira titis hujan yang jatuh ke tanah namun cepat sahaja disapu air yang deras mengalir.



2) Saya gemarkan pokok, melihat hijau daun, memerhati burung yang berterbangan lalu hinggap di pucuknya. Dahulu saya sering meluangkan masa berada di hutan rekreasi mengikuti aktivti perkhemahan, kembara, ekspedisi atau apa sahaja bersama teman sepersatuan. Bila sudah bekerja, kadang kala ada waktu-waktu tertentu bila lelah melihat hutan batu, saya ke mana-mana taman-taman atau hutan lipur yang berdekatan. Melihat hijau dedaunan pada pepohon tua yang melambai tinggi seakan terapi untuk membuang hiruk pikuk dunia kerja yang mendera diri. Hutan hijau itu adalah ubat menmbuang lelah dan resah diri. Saya merasa amat nikmat dan nyaman berteduh dibawahnya, membaca buku yang berada ditangan sambil mencium aroma yang keluar dari kelopak bunganya. Datangnya saya dari kawasan di kelilingi hutan, dimana pokok pelbagai jenis mengakrabi diri lekas menjadikan saya tidak betah berlama-lamaan di kawasan yang tidak punya pohon.


3) Ketika di Hatyai, kami ditempatkan di lantai dua puluh lima, satu tingkat sebelum ke paras tertinggi. Dari cermin kaca yang melebar, saya memerhati wajah Hatyai yang suram dan kusam kerana baharu sahaja kebah dari ditimpa bah besar yang melumpuhkan bandar ini. Tiada lain bangunan setinggi hotel ini maka pemandangan saya sungguh tidak terbatas, melampaui segala jenis bangunan rumah kedai, hotel, kediaman, restoran dan seribu satu binaan lain. Nun di hujung sana terdapat semacam bukit yang tidak begitu tinggi yang seolah menjadi titik akhir penglihatan. Kota ini nampak kecil tetapi padat dan terasak-asak. Jalannya kecil, kenderaan yang melewatinya berjalan merangkak-rangkak. Wayar elektrik dan telefon saling berselirat sambung menyambung memberi satu pemandangan yang menakutkan. Tiap kali melihat Hatyai dari aras dua puluh lima, saya mencari-cari dimanakah pokok yang boleh saya jadikan terapi mata.

Tiada.


Lebih lama saya di tempat seperti ini, pasti tidak kan lama saya bertahan. Mujur sahaja datang untuk liburan, kalau tidak lekas-lekas saya cari tempat lain untuk membuang resah.

Tiada ulasan:

0002 Catatan India-Kashmir | Menghitung Hari

Januari tahun lalu, sudah masuk fasa berdebar-debar memandangkan tarikh untuk ke India-Kashmir semakin hampir. Mengatur kerja, menyusun buk...